Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, December 29, 2008

Borong Buku di Dawama


SEMALAM saya berpeluang ke Dawama, Hulu Kelang. Semuanya tanpa disangka dan tidak dirancang. Mulanya saya ke majlis perkahwinan seorang rakan di Ulu Yam. Saya ke sana beramai-ramai dalam sebuah van. Perjalanan ke sana dari Serdang melalui Lebuh Raya MRR2 mengingatkan saya tentang festival buku tersebut. Kalau nak pergi memang dah tak jauh. Tetapi saya hanya menumpang kenderaan orang. Sewaktu perjalanan balik selepas solat Zohor di sebuah masjid, saya pun berseloroh "Lepas ini kita singgah ke Dawama, beli buku." Kata-kata saya disambut positif oleh sebahagian daripada rakan-rakan yang seramai 11 orang termasuk dua kanak-kanak dalam kenderaan itu. Akhirnya harapan menjadi kenyataan. Saya beli 27 buah buku termasuk senaskah majalah Dewan Pelajar. Antara buku yang saya beli ialah "Teori Semantik" oleh Ruth M. Kempson, "Takah demi Takah" selenggaraan Mohd. Yusof Hasan, dan "Gaya dalam Cereka: Penerapan Linguistik dalam Prosa Cereka Inggeris" terjemahan Umar Junus. Maka bertambahlah koleksi buku saya seperti dalam foto di atas. Koleksi buku yang saya paparkan ini dianggarkan kira-kira 60% kerana ada dua almari lagi di rumah saya tapi tidak penuh. Dan sebahagian lagi ada di pejabat. Sempena hari ini cuti awal Muharam, saya ambil kesempatan ini mengucapkan selamat tahun baharu Hijriah.

Saturday, December 27, 2008

Sebuah Eksposisi

SAYA masih berada pada tahap eksplorasi dalam bidang blog ini. Ada orang kata tahap tadika. Dan saya harus menerima hakikat ini dengan fikiran terbuka. Pantun Melayu ada menyebut: "Buah cempedak di luar pagar/ambil galah tolong jolokkan/saya budak baru belajar/kalau salah tolong tunjukkan" Setelah saya agak terkial-kial bertanya sana-sini bagaimana untuk memanmtapkan laman blog ini, hari ini saya rasa puas hati kerana dapat menyempurnakan beberapa perkara asas walaupun banyak lagi boleh diperbaiki. Benarlah ungkapan yang berbunyi apabila kita tahu sesuatu, kita akan sedar bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu. Dalam al-Quran (Az-Zumar : 9) pun ada menyebut "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?". Petikan ini sangat popular untuk membedakan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Pada sisi yang lain kita tidak boleh wewenang mentafsirnya kerana petikan ini hanya sebahagian daripada ayat sembilan. Dan ayat sembilan ini satu daripada keseluruhan 75 ayat yang terkandung dalam surah Az-Zumar yang sebahagian besarnya memperkatakan soal tauhid dengan berbagai cara. Pada tahap ini saya bak rerama yang baru keluar dari kepompongnya. Atau pun kudup sedang menguak kelopak. Entahlah. Wa 'llahu a'lamu bi 's-sawab, wa ilaihi 'l-marji'u wa'l-ma'ab.

Wednesday, December 24, 2008

Festival Jualan Buku DBP 2008


Festival jualan buku DBP kembali lagi. Tentu ia amat bermakna kepada pencinta buku seperti saya. Sebabnya inilah masanya untuk borong buku kerana diberi diskaun sehigga 70%. Festival kali ini berlangsung dari 10/12/08 - 11/01/09. Tempatnya seperti biasa, iaitu Kompleks Dawama beralamat Lot 1037, Jalan AU3/1, 54200 Ampang/Hulu Kelang, Selangor. Saya belum berpeluang menjengahnya. Harap-harap peluang itu ada sebelum berakhirnya festival. Harapan saya tentunya setinggi gunung. Sebab itu sukar untuk sampai ke puncaknya. Yang paling penting, festival ini mengingatkan saya pada festival yang sama dua tahun lepas. Pada 27/12/2006 saya beli dua bakul penuh buku. Setelah disusun di atas meja, saya pun ambil gambar untuk kenang-kenangan. Di sini saya paparkan gambar semua buku yang saya beli sekaligus itu. Harganya... hmm... tak payahlah disebut, tapi memang berbaloi. Tak rugi membelinya. Kalau nak buat rujukan tak payah pergi perpustakaan. InsyaAllah boleh juga digunakan oleh rakan-rakan, jiran, dan anak-cucu kalau ada....

Monday, December 22, 2008

Antara sejarah, nostalgia, dan diari

SAYA baru balik dari Kursus Audit Dalaman ISO di Hotel Marriot, Putra Jaya. Kursus yang diadakan di Bilik Training, Dataran Putra (Level 3) ini dijalankan selama dua hari, iaitu hari ini dan besok (22-23/12/2008). Kursus ini dikendalikan oleh Total Organisation Management Consulting (M) Sdn Bhd. (TOMC). Apabila saya catatkan dalam ruangan blog ini, secara tidak langsung saya seperti menulis dalam sebuah diari yang akhirnya nanti akan dibaca sebagai sejarah atau pun nostalgia. Saya pernah menulis diari setiap tahun, iaitu awal tahun 80-an hingga awal 90-an. Selepas itu saya tidak mengamalkannya lagi. Akibatnya banyak peristiwa yang saya tidak ingat tarikhnya yang tepat. Kadang-kadang terasa rugi apabila terikh yang tepat itu diperlukan saya terkial-kial mencarinya melalui resit atau borang-borang dalam fail.
Catatan: 22/12/2008(Isnin);5.55ptg.

Sunday, December 21, 2008

Johor: Ruang dan Skop Sejarah

PABILA menatap akhbar hari ini - Ahad - Mingguan Malaysia (21/12/2008:15), maka saya digamit nostalgia tentang sejarah. Tulisan Norizan Abdul Muhid itu penuh satu muka surat termasuk enam gambar yang setiap satunya penuh cerita. Satu daripadanya tertulis "Abdullah Zakaria Ghazali (tengah) dan Mohd. Rezuan Othman (kiri) semasa Seminar Penulisan Sejarah Nasional Malaysia di Universiti Malaya, baru-baru ini".

Nostalgianya ialah saya pernah menghadiri Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor yang diadakan pada 21-23 Julai 2006 bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Bengkel itu dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor, dan GAPENA. Dan Prof Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali adalah panel sesi 1 yang bertajuk "Johor: Ruang dan Skop Sejarah". Selepas menghayati ucapan beliau malam itu, saya semakin sedar tentang pentingnya sejarah.
Berbalik kepada siaran akhbar hari ini, dapat dikutip beberapa pernyataan penting. Seminar sehari yang dihadiri kira-kira 400 peserta itu bersetuju mewujudkan Struktur Organisasi Projek Penyelidikan dan Penulisan Sejarah Nasional Malaysia. Subjek sejarah dijadikan subjek wajib kepada pelajar sekolah rendah bermula Tahap 2. Dan rancangan menghasilkan sebuah buku yang konkrit, yang benar-benar asli tentang cerita sejarah negara, iaitu Sejarah Nasional Malaysia.

Saturday, December 20, 2008

Sejarah bukan sekadar subjek untuk lulus

TAJUK di atas adalah tajuk tulisan Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri (Berita Harian, 18/12/2008:33). Antara tulisan beliau ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap merasmikan Wisma Sejarah, iaitu bangunan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) menyarankan supaya mata pelajaran sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara. Saya bukanlah ahli dalam bidang sejarah. Cuma insaf dan sedar betapa pentingnya sejarah dan negarawan dunia pun mengakui sejarah adalah 'peristiwa lalu yang membentuk masa depan kita'. Sambil mengharapkan saranan ini menjadi kenyataan pada tahun hadapan, harapan juga supaya mata pelajaran sejarah ini dapat diajar dengan berkesan dan menarik kepada seluruh warga muda negara yang suatu masa nanti akan menjadi sebuah komuniti seperti sekarang....

Friday, December 19, 2008

Salam Perkenalan

Salam sejahtera....

Hari tentunya menjadi sejarah kerana hari pertama saya, insan kerdil kepada Khaliqnya ini muncul dalam persada blog sewaktu ramai rakan-rakan saya sudah lama dan mapan dengan dunia blog. Tentunya banyak yang saya perlu pelajari supaya ruangan sempit ini berupaya menyumbang luas menjadi faedah kepada sesiapa yang sudi menatapnya. Bersesuaian dengan konsep yang saya pilih, mungkin saya akan lebih menumpukan tulisan ke atas sejarah dan nostalgia sambil melarikan diri dari konflik yang selalunya sukar diselesaikan. Kenapa sejarah dan nostalgia? Sejarah amat penting kerana melupakan sejarah menyebabkan kita mengulang kesilapan lama. Jika jari kita luka terkena pisau dan melupakannya, mungkin besok kita akan terluka lagi dek pisau yang sama. Nostalgia pula adalah suatu perkara yang kadang-kadang tidak terbeli atau dengan kata lain kita perlu membayar dengan harga yang mahal untuk menciptanya. Kadang-kadang sesuatu itu apabila kita terlepas, kita tak akan menemuinya sampai bila-bila. Sekian, selamat menghayati tulisan yang tak sepertinya....