Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, November 30, 2009

Nostalgia Taiping, Perak

ANTARA sejarah dan nostalgia. Antara nostalgia dan sejarah. Mana lebih penting. Sejarah membuktikan tidak baca buku bermakna tidak akan lulus periksa. Nostalgia pula perlu dirakam. Ah, nostalgia penting juga lalu iktibar sejarah harus dikorbankan. Untuk kesekian kalinya saya berpeluang berkunjung ke negeri orang. Sebagai orang Johor, berkunjung ke Perak amat bermakna.

Atas tujuan kerja lapangan bersama 32 orang pelajar bacelor pengurusan alam sekitar dan beberapa orang pegawai; dengan sebuah bas panjang dan sebuah van kami bergerak ke Utara dari Serdang pada pagi 16 Nov 2009 serentak dengan hari ulang tahun kelahiran saya. Di pendekkan cerita, sebaik memasuki daerah Taiping, Perak, saya teruja dengan begitu banyaknya gerai durian dan rambutan. Jika begitulah banyaknya, saya agak harganya tentu amat rendah.

Dipendekkan cerita lagi, tengah hari itu kami pun sampai di tempat penginapan. Saya bayangkan ”homestay” yang akan diduduki berupa kampung yang ada pokok-pokok dan kolam, rupanya empat buah rumah yang berjauhan dalam Taman (perumahan) Lake View, Taiping. Begitu pun saya harus bersyukur dengan apa yang ada. Sekurang-kurangnya saya telah pun dapat melihat sekitar bandar Taiping.

Pemandangan di Taman Tasik Taiping

Tempat pertama kami pergi petang itu ialah sekitar stesen keretapi yang khabarnya akan ditutup tidak lama lagi kerana sedang dibuat stesen yang baru. Kedatangan kami disambut dengan hujan lebat. Hal ini menyukarkan pelajar-pelajar membuat soal selidik tentang 'ecotourism study'. Pagi besoknya kami semua ke Hospital Taiping. Di pejabat Faber Medi Serve (FMS), kami diberi taklimat tentang pengurusan sisa klinikal dan insinerator. Selepas itu kami bertolak ke tapak insinerator yang dikendalikan oleh syarakat berkenaan.

Petang hari kedua itu saya sepatutnya menyertai pelajar-pelajar mendengar taklimat oleh Jabatan Perikanan Daerah dan melawat kilang belacan di Kuala Sepetang. Tetapi atas sebab teknikal, saya akhirnya sangkut di Taman Tasik Taiping. Malamnya pula, saya berkesempatan berkeliling dalam kawasan Safari Night Zoo. Malangnya hujan begitu lebat dan tidak semua penghuni Safari Night Zoo dapat dilihat.


Bergambar ramai selepas mendengar taklimat di Majlis Perbandaran Taiping

Seterusnya pada hari ketiga, pagi itu saya mendengar taklimat di Majlis Perbandaran Taping termasuk taklimat tentang kerja pemungutan sisa pepejal. Petangnya pula, saya menyertai rakan-rakan dan pelajar ke Taman Paya Bakau Kuala Sepetang. Selepas diberi taklimat oleh Ranjer berkenaan, kami merentas hutan paya bakau sambil mempelajari hal-hal berkaitan bakau. Petang itu berkunjung pula ke kilang membuat kayu arang. Begitu banyak rumah iglu dapat dilawati sambil diberi penerangan oleh ranjer segala hal berkaitan pembuatan kayu arang daripada kayu bakau. Selepas itu kami semua mengambil kesempatan menjamah mee udang yang selalu menjadi sebutan itu. Kedai Mak Teh yang popular itu penuh manusia. Bas panjang milik jabatan penjara sahaja ada dua buah. Maka terpaksalah ke gerai lain.

Keceriaan tergambar di wajah-wajah pelajar dan rakan staf di kilang kayu arang tanpa kelibat juru kamera (tak rasmi) yang terpaksa memegang Nikon D300 (sayalah tu)


Sebagai kemuncak dan penutup, malam itu kami menjamu selera dengan babeku di bangsal berhampiran sungai di kawasan hutan bakau Kuala Sepetang. Pelajar yang dibahagikan kepada empat kumpulan membuat persembahan sama ada menari, menyanyi atau berlakon. Empat hadiah hamper disediakan. Ternyata pelajar-pelajar itu kebanyakannya berbakat di samping dapat menyiapkan tugasan yang diberikan.

Besok paginya kami pun bertolak balik ke Serdang. Saya yang menaiki van, dalam perjalanan balik sempat singgah di Manong. Kami mengutip sendiri buah-buah durian di kebun seorang daripada rakan sekerja. Dan hampir setiap orang dari kami berlima telah pun menderma darah kepada pacat-pacat yang rupanya banyak di awal pagi dalam kebun durian itu. Seorang rakan perempuan kemudiannya menyorok dalam van tidak turun-turun.


Dalam perjalanan balik, singgah di Manong, Perak, mengutip durian di kebun seorang rakan.

Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha

Pabila tersepit di tengah-tengah waktu sisa, inilah waktunya untuk membebaskan sukma sesingkat mungkin, dalam melalui liku-liku kehidupan yang di kiri-kanannya keluarga, sahabat, jiran, masyarakat dan sebagainya yang kekadang menuntut kita berkorban dalam melerai konflik yang selalunya membekas masalah justeru pada hari yang mulia ini (10 Zulhijjah 1430) saya mengucapkan salam aidil adha kepada semua muslimin dan muslimat dan dalam kesempatan singkat ini saya menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan atas segala salah silap sama ada disedari atau tidak.