Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, December 30, 2010

Diam-diam Ubi II

HUJUNG tahun dah... Pejam celik pejam celik, setahun pun berlalu. Saya yang bising-bising, satu karya pun tak tersiar. Hal ini berbeza dengan pokok ubi yang saya tanam di sebelah pejabat saya. Pokok ubi kayu Medan seperti dalam gambar di atas saya tanam dua bulan sebelum hari raya puasa. Makna kata sudah lima bulan lebih. Diam-diam ia dah mencapai ketinggian tujuh hingga lapan kaki. Kalau ada rezeki dan panjang umur, lima bulan lagi kami dah boleh menikmati hasilnya. Maka benarlah kata pepatah diam-diam ubi berisi.

Apa pulak ni...? Inilah antara koleksi saya yang diam tak diam semakin bertambah. Koleksi ini saya gantung dalam bilik di pejabat. Pejabat saya pula terletak betul-betul di belakang sebaris pokok ubi dalam gambar di atas. Bukan nak menunjuk cuma diharapkan koleksi ini dapat dijadikan sumber inspirasi waima tak dapat bebaskan ekspresi....

Ini sahajalah catatan untuk tahun ini. Moga dapat menulis dan bersua lagi pada tahun hadapan...

Friday, December 24, 2010

Alahai Buku Lagi...


SEPERTI yang dijelaskan dalam entri sebelum ini, saya telah menghadiri kursus dan menginap di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam selama lima hari lima malam, iaitu dari 12/12/10 hingga 17/12/10. Pada hari kedua kursus, iaitu pada jam 3.48ptg, saya menerima sistem pesanan ringkas dari anak saya yang berbunyi "Kita nak beli buku Bumi Cinta, penulis Ayat-ayat Cinta bayarkan boleh tak? (ejaannya saya dah betulkan daripada ejaan ringkas budak-budak muda). Tak kan pula saya nak kata tidak boleh! Novel Ayat-ayat Cinta tersebut pun pernah dibeli dan dibaca! Saya bayangkan anak saya sedang menunggu jawapan sambil membelek-belek novel Bumi Cinta di MPH Bookstore Sdn Bhd cawangan Mid Valley itu. Ketika itu pun saya manalah tahu besok petang akan ke MPH Bookstore juga tapi cawangan SACC Mall, Shah Alam? Dan sambil mendengar ceramah kursus, saya perlu cepat memberikan jawapan! Dan yang paling penting, apabila saya yang bayarkan (akan bayar selepas balik berkursus), maknanya buku itu adalah buku kepunyaan saya... Manalah emak anak saya itu tidak marah kalau duit dihabiskan untuk membeli buku... Kalau beli sate kan kenyang....

Monday, December 20, 2010

Buku Sempena


JIKA Lim Swee Tin menghasilkan sajak-sajak sempena, iaitu kumpulan Sajak-sajak Sempena: Citra Kurnia dan Sajak-sajak Sempena: Sukma Cemara, saya pula sering membeli buku-buku sempena. Setiap kali saya berpeluang berpergian, selalunya kerana kerja lapangan, berkursus, berseminar dan sebagainya. Buku yang dibeli tidak semestinya novel, tetapi boleh juga buku kritikan, buku am, buku-buku panduan dan sebagainya. Ketika berpeluang ke Sabah suatu masa dulu, saya beli sebuah buku catur dan ditulis dalamnya "dibeli sempena menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal Ke-8 di Universiti Malaysia Sabah pada 25-26 April 2007". Bagaimanapun kadang-kadang puas cari kedai buku, tetapi tidak menemui. Antaranya perjalanan saya ke Taman Negara Selai dan Hutan Simpan Ayer Hitam. Baru-baru ini saya telah menghadiri kursus "Ketua juruaudit/Juruaudit ISO 9001: 2008" di Hotel Bluewave Shah Alam pada 12-17/12/2010. Saya sempat singgah di MPH Bookstores Sdn Bhd di SACC Mall, Shah Alam. Berjalan kaki sahaja dari Bluewave ke SACC Mall. Disebabkan masa yang terhad, saya sempat capai Cinta Sang Ratu tulisan Ramlee Awang Murshid. Antara justifikasi kenapa pilih novel ini ialah saya memiliki dan telahpun membaca novel sebelumnya, iaitu Bagaikan Puteri. Setelah menurunkan tandatangan dan tarikh beli buku ini, saya catatkan "sempena...." seperti di atas.

Thursday, December 9, 2010

Alahai Buku...


TENTANG buku: Pepatah China mengatakan "daripada buku kita mendapat gadis gelita, daripada buku juga kita mendapat rumah emas". Saya sendiri pun tak ingat kutip kat mana... yang pasti saya terbaca hampir tiga dekad yang lepas.


Tentang pokok: Menjadi hobi atau kegemaran atau kesukaan saya mengumpul artikel atau tulisan berkenaan pokok. Hal ini dibuktikan dengan koleksi tentang tumbuh-tumbuhan yang saya simpan sejak 1983 terutamanya tulisan Lam Peng Sam, Perisiden Persatuan Perkebunan Selangor ketika itu dalam akhbar Utusan Malaysia.
Tentang cerpen: Menjadi hobi atau kegemaran atau kesukaan saya juga menulis cerpen. Cerpen pertama saya tersiar dalam majalah Dewan Siswa pada 1983. Membaca buku tentang pokok adalah perlu untuk menulis sebuah cerpen. Cerpen saya bertajuk Ketutu Idaman dalam Tribun Putra bertarikh 15 Mac 2000 berakhir dengan "Sehelai daun durian berbentuk lanseolat berwarna keemasan bersalut satu lapisan sisik bersilium terlungkup dalam raga motosikal. Ketutu Idaman tiada lagi di situ."
Segala-galanya berjalan dengan baik semasa saya berkunjung ke MAHA2010 pada hari terakhir; 5 Dis. 2010. Tiada masalah kesesakan lalu-lintas kerana pergi awal pagi, berkunjung ke gerai nurseri dan buah-buahan, urut tapak kaki dengan orang tuna penglihatan, dan singgah gerai makanan popular. Juga ke pameran Blok B. Padahal dah datang pada hari kedua hari itu, tetapi kali ini baharu perasan ada juga gerai Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Di gerai Utusan, isteri saya beli buku Menjahit Langsir. Tanpa pengetahuan dia, saya bayar sekali harga buku Tanaman Hiasan... yang mendapat potongan 20% daripada harga asal RM48.00. Dalam pengetahuan dia apabila malam di rumah. "Beli juga buku itu..." katanya sambil menggeleng-geleng kepala. Kegumbiraan pun berakhir. Dan saya terus teringat sahabat yang punya hobi yang sama!

Friday, December 3, 2010

Kursus Pengecaman Pokok

SEPERTI yang dijelaskan dalam entri sebelum ini, saya telah pun menghadiri Kursus Pengecaman Pokok di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor pada 28 - 30 November 2010 yang lalu. Apabila tawaran mengikuti kursus ini dibuka, dengan bersicepat saya menelefon urusetia di Fakulti Perhutanan, UPM untuk memastikan mendapat tempat sebagai peserta. Kelulusan mengikuti kursus pula perlu diperolehi daripada Ketua PTJ tempat bertugas. Justifikasi yang saya berikan ialah terdapat satu kursus anjuran Jabatan yang memerlukan pelajar mencari beberapa jenis daun untuk dijadikan herbarium waima kursus EMG 3006 itu sebenarnya dibantu oleh staf lain. Sebab kedua dan paling umum, ialah mencukupkan jumlah kurus tujuh hari setahun yang diwajibkan kepada setiap staf. Namun sebab peribadi yang tidak dizahirkan ialah sebagai penulis cerpen, saya perlukan ilmu bantu. Bak kata Faisal Tehrani dalam bukunya Karya Nan Indah (hal. 180) "ilmu bantu, berfungsi untuk menimbulkan unsur kekaguman atau menunjukkan betapa real cerita anda itu."


Berbalik kepada kursus itu sendiri, kerana tarikh yang bertindih, saya terpaksa melepaskan peluang menyertai Ekspedisi Saintifik 4x4 di Ulu Slim. Begitupun, saya rasa telah membuat pilihan yang tepat. Secara tidak langsung saya kini tahu di mana letaknya hutan simpan itu dan suasana dalamnya. Untuk mencari lokasi kursus itu pun panjang ceritanya. Daripada 40 peserta kursus, hanya enam ke tujuh orang yang saya kenal. Pengajar kursus pula dari JPN Terengganu, JPN Pahang, FRIM, dan seorang Penolong Pegawai Sains UPM. Pengajar yang akhir ini mengejutkan saya kerana dulu sama-sama temuduga dan diterima menjawat jawatan pembantu makmal. Sekarang keprofesionalannya jelas terserlah. Selain ilmu dan rakan baru yang saya dapat, makanan yang disediakan pun... Ya Salam! Peristiwa yang jadi ingatan pula, ialah apabila hujan turun dengan lebatnya sedangkan dalam hutan itu tiada langsung tempat berlindung. Habis basah lokos baju, beg dan alat tulis dibawa.
Pengisian kursus mungkin dapat digambarkan daripada foto di atas. Di akhir kursus ini setiap peserta diberi sepuluh helai daun kering yang berlainan. Peserta diminta menyatakan nama pokok, nama saintifk, nama familinya, dan karektor pokok tersebut berdasarkan sehelai daun diberi. Fuhh... bukan tak ingat, cuma keliru untuk padankan daun itu dengan kira-kira 50 pokok yang telah diteliti! Antara pokok yang ditunjuk ajar ialah pokok Nyatoh Taban Merah, Mersawa Kuning, dan Kempas. Daun di atas adalah daun pokok Keruing Mempelas yang mempunyai karektor mid vein nya yang menonjol dan berbulu macam baldu dan urat daunnya agak berselang, bentuk antara urat daun agak melengkung seperti zink, dan tepi daun melengkung sedikit. Belum lagi kena jelaskan batang pokoknya, kulit, dan getahnya bagaimana?