Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, January 28, 2011

Bagaikan Hilang Ingatan


BAGAIKAN Puteri yang saya miliki adalah hadiah daripada seorang sahabat penulis yang menggunakan nama pena Nalida pada 13/12/2005. Selesai dibaca sebulan kemudian. Lima tahun selepas itu baharulah saya beli sambungannya Cinta Sang Ratu sebagai kenang-kenangan berkursus di Grand Bluewave, Shah Alam pada 15/12/2010. Itu pun sebab MPH di SACC tidak jauh dari situ. Juga selesai dibaca dalam masa sebulan. Sebelum membacanya, anak saya membacanya dahulu dan selesai dalam dua hari. Justeru dia berminat membaca dan membeli siri ketiga; Hijab Sang Pencinta di MPH Alamanda, Puterajaya. Maka saya teringin juga menghayati Hijab Sang Pencinta itu.
BAGAIMANAPUN setelah membaca Hijab Sang Pencinta, saya terganggu oleh beberapa persoalan. Kenapa Laksamana Sunan bertarung dengan Hang Tuah? Siapa Nyi Burga Kelara? Bila pembantu Saifudin, Djailuh diganti oleh Sadik? Dan macam-macam lagi. Ternyata saya telah hilang ingatan ke atas novel pertama.
LANTAS saya "tutup" Hijab Sang Pencinta selepas letak penanda di halaman 152 dan "buka" semula Bagaikan Puteri. Setelah memamah 150 halaman, saya rasa macam 90% tak pernah baca Bagaikan Puteri itu. Ternyata setelah lima tahun, saya bagaikan hilang ingatan...
WALAUPUN Hijab Sang Pencinta sebagai penutup trilogi Bagaikan Puteri, Ramlee Awang Murshid nampaknya mencipta sebuah kesinambungan bertajuk Cinta Sufi menjadikan empat buah semuanya. Saya bagaikan terikat untuk membacanya. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan... Uhh habis masa senggang aku...!?

Tuesday, January 25, 2011

Salahkah Saya...?


SALAHKAH saya? Tiba-tiba saya teringat lagu Mengapa Aku Disalahkan dendangan Kelthum. Soalan ini adalah retorik bernada konflik. Ceritanya begini...
HARI itu saya ingin keluarkan sedikit duit daripada akauan ASW2020. Mulanya saya pergi ke CIMB. Selepas mengisi borang, saya pun tekan punat pada mesin nombor giliran. Wah, tertulis your number: 2142 dan now serving: 2113! Makna kata saya perlu tunggu 29 giliran lagi baru dapat berurusan. Tak boleh jadi ni... fikir saya. Silap-silap satu jam pun tak siap? Lalu saya keluar berjalan kaki mendaki sebuah jejantas menuju ke sebuah pejabat pos.
Di Pejabat Pos saya tekan punat pada mesin bagi mendapatkan nombor giliran. Tertulis atasnya no. anda 2175 dan no. sekarang 2155. Rasanya lebih baik tunggu 20 daripada 29. Tambahan pula di Pejabat Pos, dua kaunter dibuka. Saya pun menunggu di luar. Tiba-tiba saya terfikir sesuatu lalu masuk semula memeriksa kertas-kertas sekitar mesin no. giliran. Saya jumpa kupon bernombor 2172 sedangkan nombor itu belum sampai. Entah siapalah yang meninggalkannya di situ. Bukankah lebih baik dia masukkan ke dalam tong sampah?. Setelah mengambilnya saya keluar dari pintu. Tiba-tiba saya rasa nak periksa lagi lalu masuk semula. Saya nampak ada satu kupon atas lantai. Saya pun mengambilnya dan nombor 2160 yang tertera pun masih belum dipanggil. Kali ini saya mengambilnya dan duduk di bangku yang disediakan kerana nombor itu akan dipanggil tak lama lagi...
SELESAI berurusan, saya pun berjalan kambali menaiki jejantas di atas jalan raya yang kiri kanannya berpagar. Sebelum masuk dalam kereta, saya ingin lihat giliran berapakah sekarang di CIMB. Nombor yang baharu dipanggil ialah 2119! Wah, ternyata saya dapat menjimatkan banyak masa! Tetapi salahkah tindakan saya itu? Mintak ampun....
HARI ini di Pejabat Pos sama, saya pula terkena. Seorang pelanggan perempuan yang datang kemudian dari saya tiba-tiba dihulur sekeping kupon untuk kaunter A oleh seorang pelanggan lelaki kenalannya yang telah selesai urusannya di kaunter B. Saya tak kisah pun... tapi kalau boleh janganlah buat depan-depan saya hu hu.... Ternyata dia balik dulu dan saya perlu tunggu beberapa ketika lagi.

Thursday, January 13, 2011

Al-Fatihah Buat Seorang Follower Saya

HARI ini ramai blogger menulis tentang pemergian Allahyarham Abdul Aziz Baharom(Shahrun?), seorang blogger yang menggunakan nama Yang Gambi. Beliau yang berumur 56 tahun meninggal kira-kira jam 11.10 malam tadi. Ketika ini mungkin telah selamat disemadikan di Felda Keratong 2 Pahang. Saya rasa terharu dengan pemergiannya dan liputan meluas oleh para blogger. Hal ini demikian kerana beliau adalah seorang daripada sepuluh followers saya. Saya terharu juga kerana beliau sebagai penulis besar sudi menjadi followers ke atas blog saya yang kerdil ini. Dalam senarai followers blog saya ini, jika dilalukan cursor ke atas ikon beliau tertera nama fatanah@yahoo.com. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, al-Fatihah.

Monday, January 3, 2011

Cuba Teka


PERTAMA dalam tulisan saya kali ini tentulah ingin mengucapkan selamat menempuh tahun baharu 2011 semoga buku baru yang dibuka kali ini menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan. Tahu tak imej apa di atas? Cuba teka! Kata orang sekeping gambar menyamai 1000 perkataan. Mungkin saya tertarik dengan keceriaan warna-warna yang bergabung, iaitu merahnya buah, hijaunya daun dan birunya langit sambil dihias dengan putihnya awan larat. Lalu apa yang ingin diwar-warkan di sini?.
Sebelum dilanjutkan persoalan di atas, ingin saya jelaskan bahawa dengan kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menjulang piala Suzuki AFF di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dengan agregat 4-2 pada 29 Disember 2010, Perdana Menteri telah mengistiharkan cuti umum pada 31/12/10. Apabila hari Jumaat itu diistiharkan cuti umum, maka saya dan keluarga pun berkesempatan pulang ke kampung menemui ibu-bapa. Apabila berada di kampung, maka tidak dapatlah saya melayari internet seawal satu satu sebelas.... Bagaimanapun hari ini adalah hari pertama bagi kebanyakan kita mula bersekolah atau mula berkerja dalam tahun baharu ini kan!
Berbalik kepada persoalan di atas. Imej di atas adalah rakaman kamera saya ke atas pokok pucuk manis yang saya tanam dalam pasu di halaman rumah. Jika anda cam akan pokok itu, makna kata itulah antara ilmu yang anda ada. Jika tidak cam, makna kata waima kita pandai masih ada benda yang kita tidak tahu. Awal tahun ini mungkin kita dah boleh mula berfikir bagaimana untuk menampung kekurangan yang ada. Saya sendiri pun baharu tahu pokok pucuk manis berbuah begitu. Apabila ia cukup merah dan matang, ia akan merekah dan pecah. Dalamnya terdapat beberapa biji benih berwarna hitam sebesar kacang hijau. Dan saya yakin biji benih ini boleh digunakan untuk menanam pokok pucuk manis dengan banyaknya yang mana sebelum ini saya menanamnya dengan mencucuk batangnya yang dibeli di pasar setelah daunnya diambil buat sayur.
Harapan saya pada awal tahun ini, moga benih yang ditabur di tanah itu akan bertunas, hidup membesar segar, dan berupaya menjadi sayur hidangan yang menyelerakan. Amin.