Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, January 20, 2012

Buku Lagi...

BUKU adalah benda pertama yang kerap terlintas dalam minda saya untuk dijadikan hadiah perkahwinan. Buku agama adalah kategori utama menjadi pilihan, antaranya Terjemahan al-Quran ar-Rahman dan bimbingan lengkap fardu-ain selain novel. Minggu depan giliran adik ipar (adik isteri) akan naik pelamin. Saya dalam tercari-cari buku apakah yang sesuai untuk dijadikan hadiah, telah mengalami penemuan visual ke atas buku Masakan Tradisi Melayu Johor. Buku terbitan pertama 2009 oleh Utusan Publications ini saya rasakan antara buku yang paling lengkap, sempurna, dan cantik. Penulisnya pula, Noraini Margono seorang yang berpengalaman luas dalam dunia masakan. Waima sesuai untuk semua satu Malaysia, tentu lebih serasi pabila penerimanya sendiri orang Johor.






ANTARA resepi yang terkandung dalam buku ini ialah Ikan Botok-botok.




ANTARA bahan yang digunakan untuk memasaknya ialah dedaunan seperti yang telah dijelaskan dalam entri sebelum ini, iaitu pucuk ubi, daun beruas, daun kaduk, pucuk betik, dan pelbagai jenis daun puding.

Wednesday, January 18, 2012

Pokok Lagi...

SELAIN Ubi, saya juga menanam pokok puding dan lain-lain betul-betul di sebelah bilik pejabat saya. Maklumlah ada tanah di sebelah bangunan. Daripada terbiar baik diusahakan. Pokok Puding


Pokok Puding


Pokok Buas/Bebuas/Beruas.

Tiga jenis pokok di atas adalah bahan untuk memasak Ikan Botok-Botok. Bahan lain untuk buat botok-botok ialah puding senduk, pucuk ubi, pucuk betik, daun kaduk, dll. Semua daun ini dibentang atas daun pisang, kemudian diletak ikan tenggiri yang sudah digaul dengan kerisik, serai, bawang putih merah, dll. Kemudian dikukus. Makan dengan nasi panas. Ya Salam, pasti nak lagi!



Pokok Puding Hitam


Daun pokok ini biasa dicampur dalam rendang daging



Thursday, January 12, 2012

Diam-diam Ubi III

DIAM-DIAM ubi berisi. Diam tak diam sudah beberapa kali tapak penanaman ubi kayu saya bersilih ganti. Sudah dicabut, tanam semula, dicabut lagi, dan tanam semula. Dimulai dengan satu variety ubu kayu, iaitu Ubi Medan, kini saya sudah menanam empat variety ubi kayu. Variety tersebut seperti dalam gambar di bawah mengikut susunan ialah Ubi Medan, Ubi Putih, Ubi Indon, dan Ubi Pulut. Ubi Medan. Paling biasa ditanam orang. Batangnya berwarna kemerahan semasa kecil. Batang tua berwarna gelap. Dahannya kemerahan. Kulit ubinya agak berkakah. Sedap dimakan apabila direbus dan cecah dengan sambal tumis bilis. Benih asal saya dapat dari Batu Pahat, Johor.


Ubi Putih. Batangnya berwarna hijau cerah. Apabila tua pun masih cerah berbanding ubi medan. Saya belum pernah makan ubinya, tetapi sahabat saya yang mendapatkan benih ubi ini dari kampungnya di Kapar, Kelang berkata, ubi inilah yang paling sedap.



Ubi Indon. Batangnya lebih gelap berbanding Ubi Medan dan Ubi Putih. Dahannya lebih merah daripada ubi medan. Kulit ubi ini agak licin atau rata. Tekstur ubinya mungkin antara ubi medan dan ubi pulut. Masih dalam peringkat kajian.



Ubi Pulut. Daunnya ketara berbeza, iaitu panjang. Ada orang mengelarnya ubi jurai sebab daunnya yang berjurai itu. Isi ubinya mungkin tidak dimakan orang kerana tidak empuk. Kalau hendak dimakan pun kena diparut dahulu dan dibuat kueh. Pucuk ubi inilah yang selalu dimakan dan banyak dijual di pasar malam. Benih asal saya perolehi dari seorang rakan sekerja yang tinggal di Sungai Buluh.