Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, November 19, 2012

Antara Memancing dan Main Catur

 Memancing di Danau Pinggiran, Putrajaya pada 17/11/12
Kejohanan Catur Tertutup UPM pada 18/11/12

DUA-DUA bukanlah pilihan pertama. Pilihan pertama ialah apa yang sedang dibuat sekarang, iaitu menulis. Waima menulis dalam blog kerana selain menulis cerpen untuk siraran media cetak, tulis dalam blog pun sebahagian proses mematangkan aktiviti penulisan.  Bagaimanapun antara memancing dan main catur di atas ada cerita di sebaliknya.

Dalam satu minggu ini, sebahagian rakan sepejabat memancing di Tasik Banding, Grik, Perak. Seorang rakan lagi memancing di sebatang sungai di Pahang.  Di Tasik Banding mereka dapat ikan Kaloi. Di Pahang rakan saya dapat ikan Kelah.  Saya dapat ikan Rohu pun jadilah.  Yang terkilannya ialah selepas melabohkan mata pancing ke kolam, saya pun pergilah ke kaunter pembayaran/pendaftaran.  Balik semula ke tempat tadi, terlihat seseorang sedang memegang joran saya sambil melayan Rohu besar, dan seorang rakan saya sedia menangguk.  Sedangkan apa yang paling seronok ketika memancing ialah ketika berlawan dengan ikan!  Yang mengembirakan ialah umpan yang saya adun persis dulu-dulu nampaknya masih berkesan.  Tidak perlulah saya minta umpan daripada rakan alias sifu baru itu.  Dan belum sempat masukkan ikan ke dalam jaring, pancing saya mengena Rohu lagi!  Selepas dua jam, pulang ke rumah untuk ke majlis perkahwinan. Orang dah jemput, kenalah pergi kan.

Kejohan catur pula, saya hadir dengan pasrah.  pasrah kerana tidak cukup baca buku catur. Banyak komitment lain yang mengehadkan peluang berlatih main catur.  Tambahan pula sudah hampir tiga tahun tidak terlibat dengan kejohanan catur.  Banyak pergerakan dah lupa.  Justeru lawan saya pun bukan calang-calang orang.  Pusingan pertama saya jumpa pemain Malaysia, pusingan kedua jumpa pemain UPM dalam MASUM. Pusingan ketiga baru menang mudah.  Apa yang paling mengharukan ialah dalam pusingan terakhir saya korbankan Kuda, Gajah dan Tir untuk tiga bidak lawan sehingga saya tinggal satu gerakan untuk Sahmat! Kerana putus asa barangkali lawan saya korbankan Permaisurinya dengan memakan satu lagi Tir saya.  Sebab tidak sabar nak menang, dengan bersicepat saya makan Permaisuri itu denga bidak di hadapan Raja tanpa terfikir Raja akan terdedah dan lawan saya yang hampir kalah itu letakkan Tirnya menekan Permaisuri yang dibelakangnya ada Raja.  Sepatutnya saya menang tiba-tiba jadi kalah!  Itulah Catur!  Penuh dengan muslihat dan taktik, tetapi masih bergantung pada nasib!

Wednesday, November 14, 2012

Memancing Rohu

SUDAH lama sebenarnya saya tidak memancing secara serius.  Serius bermaksud benar-benar memancing.  Tidak serius pabila sesekali balik kampung memancing di parit hadapan rumah.  Awal bulan ini saya teringin mengikut seorang rakan yang selalu sangat cerita beliau pergi memancing dan dapat banyak ikan besar.  Rakan saya bermurah hati mengajak saya menaiki keretanya ke kolam Danau Pinggiran di Putrajaya.  Di kolam itu seorang lagi rakan kami sudah menunggu.

Seperti dulu-dulu saya kepal adunan dedak pada dua mata kail, membalingnya ke tengah kolam dan mencacak joran condong ke langit.  Rakan saya yang mula-mula dapat seekor patin.  Lepas itu dia dapat lagi seekor pacu pula.  Kemudian rakan yang seorang lagi itu pula dapat Rohu.  Kemudian dia dapat lagi, rohu juga. Saya masih tak dapat-dapat.  Adakah umpan saya tidak sesuai? 

"Kaujadi tukang tangguk je lah... ha ha" gurau seorang rakan selepas satu setengah jam pun saya masih tidak dapat apa-apa.

Selanjutnya baru saya sedar... zaman sudah berubah! Stail saya sudah tidak diguna lagi oleh pemancing sekarang.  Rakan saya suruh lihat orang keliling kolam, bagaimana mereka memancing. Rakan saya menghulur mata pancingnya untuk saya gunakan.  Mata pancing itu berbentuk spring dan terdapat mata kail antara lima hingga sepuluh bilah di kelilingnya.  Dedak bercampur perasa nescafe dan pandan dikepal pada spring sehingga berbentuk bom tangan.  Sebab itulah agaknya ia dipenggil mata bom.  Pada setiap mata kail pula di cucuk roti yang telah bercampur sejenis minyak pemikat ikan.

Seterusnya umpan dibaling ke tengah kolam.  Tali ditegangkan dan joran diletak secara horizontal malah tunduk sedikit ke bawah di atas dua batang tongkat besi berbentuk Y.  Hati saya berbisik di dalam, kalau dapat seekor pun jadilah untuk dibawa balik sebagai bukti aktiviti riadah ini tidak sia-sia.  "kau tak payah usik, tunggu je lah sampai kena!" kata rakan saya itu.  Benarlah begitu.  tidak sampai 10 minit saya sudah dapat seekor Rohu yang agak besar.

Rakan saya yang mula saya gelar Sifu itu menawarkan umpannya untuk digunakan seterusnya.  Syukurlah kerana selepas itu saya dapat lagi dan dapat lagi hingga lima ekor semuanya..  Saya digelakkan lagi kerana membawa jaring yang sangat kecil.  Seperti dalam gambar, jaring itu hanya muat untuk seekor sahaja.