Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, December 19, 2012

Siapa Bertuah


HARI Sabtu lepas bolehlah dikatakan suatu hari yang penuh hiruk-pikuk dan memenatkan.  Menjelang Suboh hinggalah selepas Mahgrib, penuh dengan aktiviti yang melibatkan komitment keluarga. Ada orang datang minta 'baby'nya dijaga separuh hari.  Terpaksa mendukungnya satu jam sewaktu 'orang rumah' 'shoping' sayur-ikan di pasar awam. Lepas itu hantar anak ketiga ke Alamanda, Putrajaya bersama kawannya. Lepas itu jemput anak kedua di kolej di UPM dan terus ke Kajang. 'Shoping' beg dan tudung berdekatan Ali Stor.  Lepas pekena sate Samuri dekat Stadium, terus ke KAMDAR beli kain. Jam 5.00ptg balik dari situ terus ke Alamanda jemput anak dan kawannya. Selepas solat Asar di rumah, terus ke Seri Kembangan kononnya nak beli mesin basuh. Masa inilah kawan saya telefon tanya sama ada saya nak ikan Patin itu.  Dia sedang memancing di kolam MAEPS. Dengan segera terus ke sebuah pasaraya untuk beli barangan dapur kerana perlu menanti kawan saya di rumah sebelum jam tujuh.  Kawan saya bukan sahaja beri Patin, malah seekor lagi Rohu.  Saya sempat menjeling seekor lagi Rohu seberat kira-kira 3kg dalam keretanya.  Dia kata dua ekor lagi sudah diberi kepada orang lain.  Usai solat Mahgrib, parang pun dicapai untuk mengayakannya.  Mujur malam sebelumnya saya telah perhatikan bagaimana penjual ikan air tawar di pasar malam menyiang ikan.  Kalau Rohu seekor, tidak sampai seminit dah siap.  Kalau Keli, dalam seminit antara 10-15 ekor boleh siap.  Pendek kata, memang bertuah la kan, tak pergi memancing pun boleh dapat dua ekor ikan.  Ikan Patin itu pula saya goreng beberapa keping malam itu juga dan besoknya.  Ternyata kali ini memang sedap. Tidak ada langsung bau hanyir atau bau tanah.  Tetapi kalau dapat pergi sendiri memancing di mana-mana 'port' tentu lagi seronok kan, kan....

Friday, December 14, 2012

Buku Bertuah


BUKU ini bolehkah dikatakan bertuah?  Ceritanya begini... Pada 11/12/12 saya berkunjung ke Big Bad Wolf Book Sale 2012 yang berlangsung di Mines International Exhibitions & Convention Centre (MIECC) dari 7 - 23 Disember 2012.  Hari itu di Selangor cuti am kerana Hari Keputeraan Sultan Selangor.  Buku berbahasa Melayu memang tidak banyak berbanding buku bahasa Inggeris.  Oleh itu saya mencapai sebuah novel tulisan Abd Talib Hassan bertajuk "Diari Hati" sebagai 'tanda' saya telah menghadiri pesta buku tersebut.  Bagaimanapun sebelum membayarnya, saya berjalan-jalan lagi dan tiba-tiba ternampak buku "The Ultimate Encyclopedia of KNOTS & ROPEWORK".  Justeru saya memang kebelakangan ini sering melayari laman web sehingga hafal beberapa jenis ikatan atau simpulan, maka buku ini tentu sekali menepati cita-rasa saya.  Antara simpulan yang saya dah hafal termasuklah ikatan "bowline", "palomar", "Uni Knot", "Trelene" dan "Rapala Knot".  Tanpa berkira bahawa gaji belum dapat, buku yang berharga RM20.00 selepas potongan ini saya bawa ke kaunter bersekali dengan sebuah novel.  Bertuah tak ini buku?!

Wednesday, December 12, 2012

Tangguk Bertuah

TUAH saya memang tiada pada hari itu, tetapi tangguk ini memang bertuah.
MULANYA seorang rakan sepejabat nasihatkan saya supaya beli tangguk yang baharu.  Alasannya ialah tangguk saya terlalu kecil dan dibuat dari benang.  Kecil menyusahkan apabila menangguk ikan besar.  Benang pula menyusahkan apabila mata pancing jenis rambai tertusuk tali tangguk.  Saya pula suka tangguk itu kerana boleh dilipat menjadi kecil dan mudah dibawa ke mana-mana. Atas nasihat itulah dan pengalaman sendiri di kolam Danau Pinggiran, saya pun beli tangguk baharu.  Tangguk ini memang besar dan talinya daripada nylon.

Memandangkan saya ada dua keping kupon untuk memancing dua jam di Danau Pinggiran, saya pun mengajak Sifu saya, En. Maslan memancing di kolam tersebut.  Beliau yang agak lama tidak memancing dan tidak tahu lokasi 'port' tersebut setuju atas tajaan itu.  Kami pergi pada pagi Sabtu beberapa hari selepas beli tangguk itu.  Malangnya kali ini saya hanya naikkan Lekoh kecil dan Lampam lagi kecik gile kata bebudak muda sekarang.  Sifu saya pula memperlihatkan kemahirannya!  Apabila gagal memancing 'botom' dia mentafsir riak di air.  "Tengok itu, ikan main kat permukaan," kata Sifu "kita mesti tukar taktik, umpan atas air." katanya lagi.  Dan dia memang pantas dalam hal ikat-mengikat mata kail.  Kali ini dia gunakan umpan roti.  Saya hairan apabila umpannya yang ringan boleh dilontar jauh sedangkan umpan saya yang berat pun hanya separuh jarak sampainya.  Tali pancing dia pun kendur jer berbanding tali pancing saya yang tegang menjumam ke dasar kolam.  Bagaimana pun terbukti teorinya menjadi apabila tidak lama pancingnya mengena dan seekor Patin seberat 1kg dinaikkan.  Tidak lama kemudian kena lagi, tetapi kali ini dia perlukan antara lima hingga sepuluh minit untuk naikkan Patin seberat 6.1kg!

Saya capai tangguk beliau untuk membantu.  "Guna tanggukkau!" kata Sifu.  Aku faham, tangguk dia kecil, lebih baik guna tangguk saya yang lebih besar itu.  Itulah tuahnya tangguk yang baharu saya beli!  Ikan pertama yang ditangguknya seberat 6.1kg!  Walaupun ikan orang lain....

Tuah tak ada, tapi rezeki saya pula melimpah hari itu.  Peraturan kolam menyatakan ikan lebih 3kg hendaklah dipulangkan dan dilepaskan kembali ke kolam.  Pemilik kolam bayar balik RM12.20.  Sifu kata ambillah kerana dia datangpun ditaja oleh saya.  Bukan itu sahaja, seekor lagi ikan Patin seberat 1kg itu dia beri pada saya.  Malah seorang jiran pemancing, sebelum pulang telah menyerahkan hasil tangkapannya, iaitu seekor Pacu seberat 1.4kg untuk saya bawa balik.  Makna kata, kira bertuah jugalah kan? kan!