Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, April 25, 2013

Menang Satu Saat

'PUNCH CARD' adalah mekanisme yang digunakan untuk memastikan pekerja hadir dan balik pada waktu yang ditetapkan.  Dalam tahun 80-an mesin yang digunakan berbentuk jam dan sekeping kad berwarna kuning dimasukkan untuk cetak waktu kehadiran.  Di sesetengah pejabat kerajaan, apabila tiga kali lewat, kad akan ditukarkan ke warna hijau, kemudian jika masih melakukan kesalahan, kad akan ditukar ke warna merah.

Dalam abad ke-21 ini kehadiran dibuat melalui sistem komputer on-line.  Lebih canggih lagi pekerja hanya perlu 'cap jari', iaitu meletakkan ibu jari pada peranti elektronik yang disediakan berhampiran pintu pejabat.  Di pejabat saya masih menggunakan sistem komputer secara on-line, iaitu hidupkan komputer, buka perisian 'punch', masukkan ID dan password.  Kehadiran semua staf akan terpapar, maka bolehlah lihat siapa yang datang dulu, siapa lewat datang, dan nama siapa tiada dalam skrin menunjukkan dia cuti atau kerja lapangan.

Kelmarin anak saya minta dihantar ke kolej seawal 6.15 pagi.  Saya fikir inilah masanya untuk menjadi orang pertama hadir ke pejabat.  Sebelum ini hampir setiap hari seorang pensyarah menjadi orang pertama hadir, iaitu sekitar jam 6.40 pagi.  Saya tidak pernah menang waima selalu ke pejabat seawal 7.00 pagi.  Selepas saya 'punch-in' di paparan komputer saya lihat waktu kehadiran saya 06:40:19 dan waktu kehadiran pensyarah tersebut 06:40:20 di bawah nama saya.  Wah, saya menang cuma satu saat!

Tuesday, April 23, 2013

Antara Meminjam Drp Bank dgn Isteri

HUJUNG-HUJUNG bulan begini ramai orang kehabisan duit belanja. Hujung bulan begini barang dapur tetap kena beli.  Minyak motor atau kereta tetap kena isi. Sesuatu di luar dugaan juga kadang-kadang mendatangi kita, contohnya tetiba kereta rosak, atau kena balik kampung kerana sedara sakit, atau cermin mata pecah, atau dakwat printer habis, atau anak-anak perlukann duit, dan bermacam ragam lagi la...

Kalau kereta tetiba rosak, selalunya kos untuk membaiki bukan sedikit.  Biasanya antara RM300.00 - RM500.00.  Bayangkanlah kalau ia berlaku pada hari ini, contohnya 23hb. sedangkan gaji biasanya 25hb.  Saya berani kata setiap sepuluh orang Melayu yang lalu di hadapan saya, sembilan daripadanya kekeringan wang kocek, terutamanya yang lelaki.  Malahan hal ketidak-cukupan ini bukan sahaja berlaku pada hujung bulan, sebalik nya awal bulan lagi dah negatif selepas bayar hutang sana hutang sini.  Jika ini berlaku perlulah ada suntikan modal supaya pusingan wang setiap bulan stabil.  Satu-satunya cara suntikan modal ialah dengan meminjam.  Meminjam pun perlu dengan kesedaran bahawa dua atau tiga tahun lagi kita akan stabil apabila gaji dah naik, bonus pun dapat, serta beberapa kos sara hidup dapat dikurangkan.

Berbalik kepada meminjam tadi, daripada siapa patut meminjam?  Kalau ada jutawan Melayu Islam yang sudi memberi pinjaman tanpa mengenakan sebarang keuntungan, baguslah.  Biasanya pinjaman peribadi dibuat melalui  bank atau syarikat kooperasi.  Biasanya apabila meminjam, contohnya dua puluh ribu Ringgit Malaysia, kita dihulur oleh pegawai kaunter wanita dengan senyuman manis menawannya, dan hati pun senang serta lapang waima selepas lima tahun kita telah membayar balik kepada pemberi pinjam itu hingga dua puluh lima ribu Ringgit Malaysia!  Bukankah lebih baik pinjam daripada isteri...?  Tak payah pinjam sampai dua puluh ribu, pinjam dua ribu pun cukuplah...  Tengok responnya camne....!?


Monday, April 22, 2013

Cerita Tentang Ikan


SAYA tidak bermaksud menjuruskan blog ini ke dunia pancing, tapi penglibatan saya dalam dunia catur semakin tidak diterima di organisasi saya bekerja.  Dunia penulisan pun tidak terkejar. Bulan Februari lepas ada juga sertai pertandingan catur terbuka UPM, tetapi saya hanya meraih 3.5 mata daripada 7 perlawanan.  Mungkin sebab itu saya tidak dijemput untuk ke 'inter-varsiti' dlm bulan Jun ini di sebuah univrsiti di Utara. Tentang penulisan pula, banyak sebab yang tidak dapat diterima oleh rakan penulis sebagai sebab tidak menulis, ha ha.

Cerita tentang ikan, saya telah mengambil cuti rehat pada hari Rabu, 3 April 2013.  Seperti biasa saya pergi kerja (pergi ke tempat kerja sebenarnya). Kemudian kira-kira jam 9.00pg saya dah sampai di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya bersama dua orang rakan sekerja (mereka pun ambil cuti).  Syukurlah, hanya dua jam memancing, saya dapat naikkan enam ekor Rohu. Kerana berjaya, isteri tak kata apa.

Itu cerita kejayaan.  Pada 13 April saya pergi lagi apabila rakan saya kata mereka berdua akan turun. Malangnya apabila saya sampai, tidak pula kelihatan kelibat mereka.  Selepas berhubung melalui telefon, barulah saya tahu dia ada hal dan tak jadi pergi.  Dilema dibuatnya.  Dia yang ajak, saya yang jadi mangsa. Dah sampai tak kan tak hulur joran kan!  Selepas dua jam, rezeki saya kali ini cuma tiga ekor Lampam sebesar tapak tangan! Kerana gagal tahanlah telinga...

Nak kata gagal, tidak juga.  Apabila disiang, didapati perut ikan ini agak bersih berbanding Lampam dari tempat lain.  Beberapa hari kemudian, isteri saya pun gorenglah tiga Lampam ini bersama tiga ekor ikan laut.  Seorang anak saya makan seekor.  Kemudian seorang lagi anak saya buat lauk makan nasi.  Selepas solat Zohor, apabila saya buka tudung saji..."eh, dah habis ikan Lampam!?" baru saya tahu rupanya dia makan dua ekor.  Dan ikan laut tu masih tidak luak.