Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, July 31, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor IV

 Sejurus sebelum menaiki feri dari Pulau Pangkor ke Jeti Lumut

PERISTIWA yang tidak akan dilupakan dalam perjalanan kali ini ialah pada hari terakhir.  Masa itu kami dalam perjalanan balik dari dari Pulau Pangkor. Sewaktu saya mula berjalan di Jeti Pangkor menuju ke feri yang sedang menunggu jauh di hujungnya, saya perasaan ada kelainan pada beg baju yang saya jinjing.  Saya hairan kerana terpaksa ketatkan semula pelapik pada tali beg.  Kemudian saya hairan kerana beg saya sepatutnya ada zip di kedua-dua hujung beg. Warna beg sama, iaitu biru putih. Semua orang dah nak sampai ke feri.  Tinggal tiga orang lagi bersama saya dan mungkin orang terakhir.  Saya beritahu kawan-kawan kegusaran ini.  Setelah diperiksa didapati ada tag peserta dari UPM. Maknanya beg rakan pesertalah.  Pabila dibuka sedikit, nampak baju sukan.  Saya pun ada baju camtu, tapi tak bawa.  Dengan rasa bimbang, saya angkut juga beg itu dan humban bersama beg-beg lain di haluan feri.  Dalam feri mereka semua gelak dengan berbagai ramalan sewaktu saya penuh kerisauan.  Saya telefon pihak Teluk Dalam Resort jika ada beg yang masih tertinggal di sana.  Mereka kata ada dan akan dihantar ke booth Resort di tanah besar.  Saya tenangkan hati dalam kebimbangan.  Kalau hilang beg itu, habislah! Ada flash kamera yang bernilai hampir seribu ringgit, ada joran teleskopik ezori saya bernilai RM100, dan 'fishing reel' jenis DAIWA bernilai RM175.00.  Kalau setakat baju saya tak kisah sangat.

Selepas feri berhenti di Lumut, saya bergegas ke tempat beg itu dihumban.  Syukurlah beg saya ada di bawah timbunan beg-beg lain.  Lega rasanya.  Pemilik beg yang saya bawa tadi bermati-matian mengatakan dia memang bawa beg itu tadi siap dengan bukti saksi lagi.  Saksi saya pun ada tadi dan berbalas hujah.  Apa pun yang penting, peristiwa ini menjadi pengajaran.

Tuesday, July 30, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor III



SETELAH kami dipecahkan kepada lima kumpulan, kami diminta memberi nama kepada setiap kumpulan berdasarkan nama kereta.  Justeru, BMW dipililh sebagai nama kumpulan.  Tugasan pertama ialah menyusun no 1 hingga 9 atas sembilan petak supaya semua arah menghasilkan jumlah 15.  Tugasan kedua diberi sebuah puisi/sajak untuk dipecahkan kodnya.  Dengan mudahnya saya dapat pecahkan kepada "Kota Belanda".  Di Kota Belanda kami diberi bola ping pong seorang sebiji dan usahakan supaya beredar melalui semua ahli tanpa jatuh.  Dipendekkan cerita, pelbagai klu itu membawa kami ke Tokong Fu Lin, Rretoran Pak Hassan, Muzium dan kilang ikan bilis.  Saya diminta melukis dan mewarna pemandangan dari tempat paling tinggi Tokong Fu Lin.  Kumpulan kami kena makan laksa terlebih dahulu di Restoran Pak Hassan sebelum dapat klu berikutnya.  Kami diminta siang satu kilogram ikan bilis dan belah dua sebelum dapat klu terakhir, iaitu berkumpul di Lobby Teluk Dalam Resort.  Kami sampai hanya lewat dua minit daripada juara explorace ini!

Thursday, July 25, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor II


PROGRAM di Pulau Pangkor tersebut menyaksikan sesuatu yang berbeza, iaitu persepsi tentang fotografi.  Sebelum ini sesuatu program itu menyatakan seorang atau dua orang fotographer sahaja.  Malah ada yang tidak hirau langsung, bergantung kepada siapa yang menjadi ketua program tersebut.  Kali ini, hasil perbincangan dalam mesyuarat sebelum program, lima orang fotographer telah disenaraikan.  Antara sebabnya ialah mereka menyedari bahawa di sana nanti akan ada sesi 'explorace' di mana peserta akan dibahagikan kepada lima kumpulan.  Justeru, lima kamera diperlukan untuk merakamkan aktiviti lima kumpulan berlainan yang tentu sahaja akan terpisah kepada lima lokasi berlainan.  Perlu dinyatakan bahawa telah terlalu banyak kali program yang melibatkan kira-kira 40 orang pelajar, apabila dibahagikan kepada lima kumpulan, saya hanya mampu merakam aktiviti satu kumpulan sahaja.  Mungkin tiada koleksi langsung jika saya tidak diturut-sertakan.  Seterusnya apabila diperlukan kemudian hari, saya juga yang ditanya ada tak gambar itu ini?!  Antara kamera yang dibawa ialah Nikon D300 (saya bawa), Nikon D200, Nikon D90, Nikon D40, dan kamkoder.

Wednesday, July 24, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor I


SAYA berpeluang ke Pulau Pangkor pada 5-7 Julai 2013 yang lalu.  Perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam dari Kuala Lumpur.  Kami semua seramai kira-kira 50 orang berkampung di Teluk Dalam Resort.  Banyak aktiviti dan peristiwa yang berlaku di sana.  Antara aktiviti tersebut ialah berakit.  Kami dibahagikan kepada lima kumpulan.  Setiap kumpulan diminta mengikat dan menyiapkan rakit sendiri.  Kemudian kami bertanding.  Saya mengayuh tanpa henti.  Alhamdulillah, kumpulan saya (kumpulan BMW) menjuarai acara ini.  Malah penganjur kata kami pecahkan rekod, iaitu sampai dalam masa 25 minit sedangkan masa terpantas pernah dibuat sebelum ini ialah 45 minit, malah ada yang gagal sampai ke pantai Resort. Aktiviti/cerita lain akan dicatat kemudian....