Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, June 30, 2015

Perkongsian Ramadan III


SETELAH beberapa kali tazkirah dibuat pada pertengahan tarawih, malam tadi telah diumumkan bahawa atas nasihat penceramah tazkirah malam semalam, tazkirah akan dibuat setelah solat sunat tarawih selesai.  Itulah yang berlaku di surau berdekatan rumah saya.

DI SINI saya cuma nak berkongsi, khususnya kepada generasi baru yang mengerjakan solat sunat tarawih dengan cara yang mereka jumpa sekarang.  Sekarang ada surau tertentu mengupah 'al-hafiz' menjadi imam solat sunat tarawih supaya membaca satu juz surah setiap malam sesudah al-Fatihah.  Buku yang menjadi rujukan ialah Asas-asas Fardu Ain tulisan Ustaz Sulaiman Endut seperti dalam gambar di atas.  Diterbitkan kali pertama 1993 oleh Pustaka Haji Abdul Majid.  Ustaz Sulaiman Endut pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga (JAKIM).  Antara cara mengerjakan solat sunat tarawih seperti tertera dalam halaman 150 buku ini ialah: "Surah yang dibaca sesudah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat boleh mana sahaja yang kita kehendaki.  Umpamanya mulai dari at-Takathur (al-Hakumut takathur) sampai surah Lahab (Tabbat yada Abi Laha-bin).  Pada rakaat kedua setelah dibaca al-Fatihah boleh dibaca mana-mana surah, tetapi diutamakan surah al-Ikhlas (Qul Huawallahu ahad)."

MAKNA kata boleh sahaja baca surah panjang-panjang, tetapi baca surah pendek inilah yang biasa saya jumpa sebelum tahun 1980-an dulu.  Sekadar berkongsi pengalaman....

Friday, June 26, 2015

Perkongsian Ramadan II


WALAUPUN berita bertajuk "JAIS syor laksana solat tarawih 20 rakaat" ini tersiar dalam Berita Harian bertarikh 23 Jun 2015, saya hanya menemuinya pada 25 Jun, iaitu sehari selepas saya menulis tentang tazkirah di bawah entri Perkongsian Ramadan.  Makna kata tulisan saya sebelum ini berasas.  Tambahan pula surau dan rumah saya di negeri Selangor.  Namun saya tidak fikir surau di tempat saya itu akan mematuhi syor yang dikeluarkan oleh JAIS....

Wednesday, June 24, 2015

Perkongsian Ramadan


RASANYA masih belum terlalu terlambat untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Antara pengisian ibadah di bulan Ramadan ini selain bersolat sunat tarawih ialah bertadarus al-Quran dan berqiamullail.  Bagaimana pula dengan tazkirah?. Masjid yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah selepas solat Zohor. Surau yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah (dinyatakan 30-40 minit) selepas empat rakaat solat tarawih. Di sini saya cuma nak berkongsi soal jawab agama yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 12 Ogos 2012.  Antara petikannya ialah "...Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya." Walau pun hujah ini dibuat oleh seorang berkelulusan PhD dan disokong dengan dua hadis sahih, diyakini tetap ada orang yang tidak setuju.  Kalau tak, masakan surau terdekat mengadakan tazkirah dalam waktu tarawih... Malah diyakini menjadi juara apabila di papan kenyataan tertera jadual tazkirah, iaitu pada 19, 20, 21, 22, 23, 25, 26, 27, 28, 29 Jun, 1, 2, 3, 4, 5, 8, 9, 11, dan 12 Julai 2015 lengkap dengan nama  penceramahnya.  Mujur tahun ini solat sunat tarawih dibuat lapan rakaat sama ada dibuat tazkirah atau tidak.  Tahun-tahun sebelum ini kalau ada tazkirah, buat lapan rakaat, kalau tiada tazkirah buat 20 rakaat.  Saya cuma nak berkongsi sahaja.  Saya tidak berani berpendapat.  Siapalah saya kalau dibandingkan dengan ahli jawatankuasa surau... Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa ilaihi 'l-marji'u wa 'l-ma'ab.

Friday, June 12, 2015

Alahai Harum Manis II


MASIH tentang Harum Manis.  Untuk ke Perlis saya tidak menggunakan GPS atau Waze sebagai petunjuk jalan.  Mereka kata senang guna Waze.  Tekan sahaja butang sampailah ke tempat di tuju.  Sebagai Otai saya tidak biasa.  Namun saya rujuk juga peta topografi, Google Map, dan Buku Peta Warisan Semenanjung Malaysia Petronas.  Mana-mana yang perlu, diphotostat dan ditanda. Ada juga yang dilukis semula bagi jemputan kahwin dalam Whatsapp.  Syukurlah nampaknya mudah sahaja untuk sampai ke semua tempat, iaitu Simpang Empat, Perlis, Kuala Perlis, Kangar, Beseri, Padang Besar, dan Felda Rimba Mas.  Di Kedah pula, sampai Kg. Pida Siam, Pekan Rabu, dan Jalan Kangkung Simpang Empat.  Sebagai orang Selatan Semenanjung tentulah teruja apabila sesekali sampai ke negeri paling Utara.  Berbalik kepada si Harum Manis, sebiji boleh penuh sepinggan.  Namun sewaktu nak menjamahnya teringat juga tentang harganya.  Sepinggan Harum Manis harganya sama dengan sepinggan chicken chop.  Bagaimanapun, apabila merasa isi Harum Manis yang halus, manis dan beraroma, memang berbaloi.  Nak rasa kena tutup mata, tapi buka minda.  Jangan peduli apa orang lain nak kata.

Friday, June 5, 2015

Alahai Harum Manis


SEBULAN lepas, iaitu pada 1 Mei 2015 saya memandu dari Serdang, Selangor ke Perlis.  Masa itu ada cuti bersambung selama empat hari.  Oleh hal yang demikian, Lebuhraya PLUS penuh kereta dan sering tersangkut dengan kesesakan.  Sampai Perlis tiga jam lewat daripada sepatutnya. Singgah di Simpang Empat, Perlis ambil anak dan terus ke homestay di Beseri, Perlis.  Besoknya ke Pekan Rabu, Alor Setar.  Kemudian ke Jalan Kangkung di Simpang Empat, Alor Setar menghadiri majlis kahwin rakan anak.  Kemudian ronda ke Kuala Perlis.  Kemudian balik ke homestay di Beseri untuk rehat dan solat.  Petang itu ronda di Padang Besar.  Kemudian ke rumah kenalan di Felda Rimba Mas tidak jauh dari Padang Besar itu.  Dipendekkan cerita masa itu adalah musim mangga Harum Manis bermula.  Bagaimanapun banyak gerai ada menjualnya terutama di jalan antara Simpang Empat ke Kangar. Cadangan dibuat untuk membelinya barang sebiji.  Lagipun boleh pilih sendiri untuk pilih yang terbaik.  Bagaimanapun pemikiran negatif menghalangnya.  Dikhuatiri harganya mahal, ada yang busuk, ada penipuan bukan Harum Manis yang asli dan sebagainya.  Maka singgah pun tidak.

Kononnya nak bercuti hingga Isnin (cuti umum), tetapi mengenangkan jalan sesak masa datang, dikhuatiri pula jalan sesak pada hari Isnin, maka baliklah ke Serdang pada Ahad 3 Mei. Tiadalah Harum Manisnya, namun banyak juga bawa balik buah Kuini yang dikait di homestay atas pelawaan tuannya dan buah mangga Sala pemberian kenalan di Felda Rimba Mas. Di Serdang seseorang kata "apalah, pergi Perlis tak makan Harum Manis, dia tak pergi pun dah dapat rasa!.". Cerita Harum Manis belum berakhir.  Akhirnya saya dapat juga Harum Manis pemberian orang Felda Rimba Mas melalui anaknya yang bekerja dan menetap di Serdang.  Masa pergi dulu belum masak.  Dan rakan sekerja juga tawarkan samada saya berhajat dengan harga RM24.00/kg....