Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, November 24, 2016

Cerita Tentang Kereta


HARI Khamis sewaktu undurkan kereta dari kawasan rumah kedai, saya lihat kiri pastikan tiada kereta lalu.  Bagaimanapun baru undur sedikit dah terkena sebuah kereta berwarna hitam.  "Maaf encik, ada kereta di kiri jalan sebab itu saya masuk kanan" kata pemandu wanita itu sebaik turun daripada keretanya.  Setelah melihat dari atas didapati cuma calar sedikit sahaja, saya kira selesai sahaja.  Saya pun minta maaf kerana terhantuk kereta...adat memandu kereta, sesekali memang tersentuh kereta orang lain.

HARI Jumaat sewaktu keluarkan kereta dari rumah untuk ke pasar malam, sang isteri sudah nampak calar itu. Pok pek pok pek bla bla bla dia kata lampur merah pun dah hilang.  Dah hilang?

HARI Sabtu setelah memastikan memang lampu pemantul cahaya telah tiada, tinggal yang sebelah kiri sahaja, saya pun pergi semula ke tempat kemalangan itu, kira-kira satu kilometer dari rumah.  Selepas tercari-cari, saya dapat semula serpihan lampu itu yang telah pecah kepada 7 bahagian.

HARI Ahad sewaktu keluarkan kereta dari rumah untuk ke pasar awam, sang isteri sudah nampak lampu itu ada kembali di tempatnya. Dia tanya "berapa ringgit kena untuk tukar lampu itu?"  Saya kata "satu sen pun tak kena..."

Thursday, November 17, 2016

Cerita Tentang Buah Sukun



CUBA bayangkan, ada dua biji buah Sukun yang sudah cukup tua untuk dijolok, kemudian Sukun itu digoreng untuk sarapan pagi atau minum petang.  Malangnya sudah empat hari ini, sejak Isnin lepas dan hari ini hari Khamis, buah Sukun itu tidak dapat dijolok semata-mata kerana ada orang parkir kereta di bawahnya.  Tidak tahu siapa tuannya dan ke mana perginya. Siap dipasang 'steering lock' lagi, dan 'handbreak' ditarik.  Kalau tidak, bolehlah ditolak sebentar.  Tengok gayanya buah Sukun itu semakin hitam kulitnya dan kemungkinan akan lembik di tangkainya...

Tuesday, November 8, 2016

Cerita Tentang Ikan



DUA ekor ikan Lekoh tersebut saya pancing di Danau Pinggiran, Putrajaya hampir satu tahun atau sekurang-kurangnya 10 bulan lepas.  Oleh kerana kecil, saya bawa balik dan masukkan ke dalam akuarium di pejabat.  Antara yang menarik untuk diperkatakan ialah pendapat seseorang yang mengatakan bahawa kalau dua-dua jantan atau dua-dua betina, ikan itu tidak akan bertelor.  Akhirnya minggu ini sampailah masanya ikan tersebut nak masuk kuali.  Selepas ditimbang didapati setiap seekor seberat 400gm.  Selepas disiang didapati kedua-duanya ada telor. Besar pula tu telornya...