KATA orang; "bersahabat biar seribu..." Sekiranya dikira jumlah sahabat sejak kecil hinggalah ke usia setengah abad, memang jumlah sahabat mencecah seribu. Kiralah jumlah sahabat sekampung dan sepermainan. Jumlah sahabat sekelas dari darjah satu hinggalah ke tingkatan enam atas. Sahabat sekuliah di universiti. Sahabat di tempat kerja dan sebagainya. Secara peribadi, saya mempunyai sahabat dari kalangan pemain catur IPTA seluruh Malaysia, dari kalangan pemancing, dari kalangan penulis kreatif dll.
Bagaimanapun kita terpaksa menerima hakikat bahawa apabila masa terus berubah, kita akan kehilangan sahabat itu seorang demi seorang. Hilang dalam erti kata tidak menemu, namun hilang di hati tidak sesekali. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah ramai teruja apabila bertemu sahabat yang telah hilang sehingga 20 atau 30 tahun dahulu. Seperti kata salah seorang sahabat saya... walaupun masa terus berubah, persahabatan tidak pernah berubah. Wallahu a'lam.