Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, October 30, 2009

Nostalgia Taman Negara Selai

Poster yang dilekatkan di kiri-kanan pacuan empat roda kami

SEMUA yang akan berakhir harus bermula. Untuk bermula itulah yang payah walaupun hanya sedikit catatan diperlukan untuk kenangan alias nostalgia dalam blog ini. Pada 24 Oktober 2009 lalu, bermulalah satu lagi perjalanan. Program yang dinamakan Ekspedisi Saintifik 4x4 Taman Negara Selai disertai oleh 17 orang yang terdiri daripada staf Fakulti Pengajian Alam Sekitar (13) dan NAHRIM (4). Kami menaiki empat buah kereta pacuan empat roda. Kami bertolak pada jam 10.00 malam dari UPM. Dengan bertolaknya itu, bermakna terlaksanalah rancangan yang asalnya pada 23-25 Disember 2006. Halangan yang terjadi pada masa itu ialah berlakunya banjir besar yang dianggap berlaku 50 tahun sekali itu.
Tulisan pada baju T yang saya pakai

Dalam perjalanan malam itu, kami singgah di Tanjung Agas selepas melihat begitu ramai orang sedang memancing di jambatan atas Sungai Muar. Kami juga tidak lepaskan peluang memancing. Ikan yang paling banyak dapat dinaikkan ialah Belukang. Naik juga seekor Senangin dan Buntal. Jam 5.00 pagi, kami meneruskan perjalanan dan singgah sarapan di Felda Chemplak Barat, iaitu di rumah ibu-bapa seorang daripada peserta ekspedisi. Karipap dan mee hoon goring yang dihidangkan memang amat sedap.
Antara spesis tumbuhan yang ditemui

Kami meneruskan perjalanan pada jam 9.00pagi. Tempat pertama perlu singgah semestinya pejabat Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) di Taman Berjaya, Bekok untuk mendapatkan kebenaran memasuki Taman Negara. Akhirnya jam 11.00pg kami sudah melepasi Lubuk Tapah. Enam buah chalet atau pondok disewa dengan bayaran RM10.00 seorang. Dapur juga kami sewa untuk memasak nasi dan mengoring ikan belukang yang kami dapat dari kuala Sungai Muar.
Labah-labah di tepi Sungai Selai

Sesuai dengan namanya; Ekspedisi Saintifik, kami menjalankan beberapa kajian dan mengambil gambar flora dan fauna untuk tujuan dokumentasi. Peserta dari NAHRIM mengukur lebar, dalam, dan laju air sungai Selai untuk mendapatkan jumlah isipadu air yang melalui sungai. Sampel air pula diambil untuk mengukur parameter COD. Saintis dari UPM pula mengambil sampel hidupan akuatik. Pelbagai jenis plankton, kumbang, dan ikan diambil untuk mendapatkan gambaran kualiti air semasa Sungai Selai.
Ada sekumpulan lagi pengunjung Taman Negara Selai

Hari kedua di Taman Negara Selai, kami tidak lepaskan peluang merentas hutan. Saya yang pernah ‘jungle tracking’ di Lukut sebelum ini dapat merasakan perbezaannya. Kali ini laluannya memang amat mencabar kerana banyak laluan yang curam. Maka banyaklah tali disediakan untuk berpaut. Terdapat juga jambatan di atas satu juram. Memandangkan masa terhad, kami tamatkan pendakian setakat Takah Pandan, iaitu satu air terjun yang tipis aliran airnya, tinggi kira-kira 15 meter puncaknya, dan curam hampir 90 darjah sudutnya.
Papan tanda untuk 'jungle tracking'

Pulang semula ke pondok, kami sempat berendam dalam kesejukan air Sungai Selai sebelum bertolak balik pada jam 11.00 pagi. Dalam perjalanan balik, kami singgah Zohor di Masjid Jamek Bekok. Kemudian singgah Balai Polis Bersejarah Bukit Kepong. Kemudian singgah lagi dekat Parit Bunga, Muar untuk menikmati mee bandung dan soto kambing.

Detik-detik terakhir di Sungai Selai, Taman Negara Selai

No comments:

Post a Comment