SEPERTI yang dijelaskan dalam entri sebelum ini, saya telah pun menghadiri Kursus Pengecaman Pokok di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor pada 28 - 30 November 2010 yang lalu. Apabila tawaran mengikuti kursus ini dibuka, dengan bersicepat saya menelefon urusetia di Fakulti Perhutanan, UPM untuk memastikan mendapat tempat sebagai peserta. Kelulusan mengikuti kursus pula perlu diperolehi daripada Ketua PTJ tempat bertugas. Justifikasi yang saya berikan ialah terdapat satu kursus anjuran Jabatan yang memerlukan pelajar mencari beberapa jenis daun untuk dijadikan herbarium waima kursus EMG 3006 itu sebenarnya dibantu oleh staf lain. Sebab kedua dan paling umum, ialah mencukupkan jumlah kurus tujuh hari setahun yang diwajibkan kepada setiap staf. Namun sebab peribadi yang tidak dizahirkan ialah sebagai penulis cerpen, saya perlukan ilmu bantu. Bak kata Faisal Tehrani dalam bukunya Karya Nan Indah (hal. 180) "ilmu bantu, berfungsi untuk menimbulkan unsur kekaguman atau menunjukkan betapa real cerita anda itu."
Berbalik kepada kursus itu sendiri, kerana tarikh yang bertindih, saya terpaksa melepaskan peluang menyertai Ekspedisi Saintifik 4x4 di Ulu Slim. Begitupun, saya rasa telah membuat pilihan yang tepat. Secara tidak langsung saya kini tahu di mana letaknya hutan simpan itu dan suasana dalamnya. Untuk mencari lokasi kursus itu pun panjang ceritanya. Daripada 40 peserta kursus, hanya enam ke tujuh orang yang saya kenal. Pengajar kursus pula dari JPN Terengganu, JPN Pahang, FRIM, dan seorang Penolong Pegawai Sains UPM. Pengajar yang akhir ini mengejutkan saya kerana dulu sama-sama temuduga dan diterima menjawat jawatan pembantu makmal. Sekarang keprofesionalannya jelas terserlah. Selain ilmu dan rakan baru yang saya dapat, makanan yang disediakan pun... Ya Salam! Peristiwa yang jadi ingatan pula, ialah apabila hujan turun dengan lebatnya sedangkan dalam hutan itu tiada langsung tempat berlindung. Habis basah lokos baju, beg dan alat tulis dibawa.
Pengisian kursus mungkin dapat digambarkan daripada foto di atas. Di akhir kursus ini setiap peserta diberi sepuluh helai daun kering yang berlainan. Peserta diminta menyatakan nama pokok, nama saintifk, nama familinya, dan karektor pokok tersebut berdasarkan sehelai daun diberi. Fuhh... bukan tak ingat, cuma keliru untuk padankan daun itu dengan kira-kira 50 pokok yang telah diteliti! Antara pokok yang ditunjuk ajar ialah pokok Nyatoh Taban Merah, Mersawa Kuning, dan Kempas. Daun di atas adalah daun pokok Keruing Mempelas yang mempunyai karektor mid vein nya yang menonjol dan berbulu macam baldu dan urat daunnya agak berselang, bentuk antara urat daun agak melengkung seperti zink, dan tepi daun melengkung sedikit. Belum lagi kena jelaskan batang pokoknya, kulit, dan getahnya bagaimana?
terima kasih kerana menyertai kursus ini, ;p
ReplyDeleteSaya yang patut ucap terima kasih kerana diberi peluang menyertai kursus yang sangat baik ini.
ReplyDeletesalam en rahman.. tu daun pokok keruing ke?hehe..saje teka
ReplyDeletehmm..bukan senang kan nak kenal pokok,daun,bunga,buah kann...
tp mmg seronok belajar botani dan dendrologi ni =)
rugi saya tak sertai kursus ni..
manatau, boleh jumpa kawan2 lama
"Rugi tak sertai kursus ni" adalah klausa untuk lima bintang. Titin tak sertai sebab kursus Microsoft Access 2007. En. Azlan tak sertai sebab Ekspedisi Saintifik Ulu Slim. Sulongbikong....hiks.
ReplyDelete