Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, November 8, 2013

Joranku Terjun Kolam dibuatnya

JIKA pada entri bth 4/9/2013 saya tulis tentang joran saya patah dibuatnya, kali ini saya nak cerita tentang joran saya terjun ke dalam kolam.  Hal ini terjadi pada hari Khamis 31 Okt. 2013.  Hari itu saya ambil cuti rehat untuk berehatlah, tapi berehat di tepian kolam Danau Pinggiran Putrajaya.  Saya cuma nak pinjam kolam tu dalam dua jam sahaja dengan kos RM10.  Namun baru satu jam duduk dah dapat tiga ekor Pacu dan seekor Patin.  Kali ini saya gunakan umpan baru, iaitu dedak Dindings.  Perambutnya juga baru, iaitu bentuk"V" dengan dua mata.  Ketika joran melentur dan saya menyambutnya, terasa begitu berat.  Tali pula asyik keluar dari kekili.  Lama juga mengepamnya hingga suatu ketika terasa ada dua kali getuan mengejut.  Hairan! Adakah mengena dua ekor ikan kerana ada dua mata kail!?  Tangan saya lengoh melayan.  Sesekali pangkal joran diampu pada lengan.  Sesekali disangga bawah ketiak.  Akhirnya muncul Patin, dan mata pancing tersangkut pada ekor!  "Patutlah bertenaga ikan tu," kata seseorang.  Setelah berjaya dinaikkan, saya dapati ada mata kail tanpa perambut di mulutnya, dan ternyata perambut saya putus satu. Apa yang saya rasa dua kali getuan tadi mungkin sekali masa perambut putus, dan sekali lagi masa ekornya pula tersangkut mata satu lagi. Setelah ditimbang, berat ikan Patin kali ini 3.6kg!
 Ikan Patin 3.6kg



Joran berlumpur setelah dinaikkan dari dalam kolam

Sewaktu saya berasa lega kerana trip kali ini begitu berjaya, tiba-tiba joran saya ditarik dengan lajunya.  Saya dapat lihat joran itu bergerak mengelongsor terus masuk dalam kolam dan hilang dari pandangan mata! Saya panik seketika.  Beberapa orang yang perasan menegur.  Mereka minta saya gunakan joran satu lagi menggarau dengan mata tiga.  Kebetulan memang saya sentiasa bersedia dengan mata tiga itu.  Seorang pakcik mengambil joran saya dan mengikatkan mata tiga tersebut. Setelah itu beliau melontarnya ke tengah kolam dan menggarau.  Kali ketiga menggarau dah dapat tarik tali dan terus bertarung kerana ikan masih tercangkuk pada mata kail.  Tiba-tiba tusss! tali jadi ringan.  Dia kata tali dah reput ke? Dalam hati saya kata mungkin dia ikat tidak ketat tadi... Kemudian saya hulur mata tiga bersekali gewang sesudu.  Dia yang ikat lagi.  Kali ini tersangkut pula dengan entah apa di tengah kolam. Tarik lagi dan putus.  Kali ketiga baru dapat tarik tali pancing yang terjun itu, tetapi dah ringan.  Maknanya ikan (entah ikan apa) dah terlepas.  Walaupun dapat tali, pancing masih terbenam dalam kolam.  Dia kata kalau berani masuk sahajalah, dalamnya paras dada.  Wah, tidak sanggup rasanya!  Seorang pemancing menawarkan diri menggarau dengan mata spring kepunyannya sendiri.  Setelah sepuluh kali lontaran baru dapat ditarik joran saya yang terjun itu.  Itu pun dengan agak bersusah-payah.

No comments:

Post a Comment