Di pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.
Perjalan diteruskan lagi ke Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Jo yang menjaga gerai keropok melayan kami dengan baik. Setiap kami diberi sebotol air minuman dan menjamah dodol serta serunding daging. Keropok ikan dan keropok sira semestinya menjadi buah tangan untuk dibawa pulang. Untuk mandi dan solat Maghrib kami menumpang sebuah rumah di Pasir Hor setelah menelefon tuannya di Serdang. Malam itu kami membeli-belah di Wakaf Che Yeh pula. Kenderaan yang masuk dikenakan bayaran RM2.00. Saya sempat membeli tali pinggang kulit dan sepasang baju batik buatan Hungga daripada kain gobi. Ternyata pasar itu antara destinasi pelancongan di Kelantan. Menjelang 11.30 malam, kami sampai semula di Kuala Krai. Besok seawal jam 6.00 pagi akan bertolak ke Gua Musang.
Di Pusat Latihan Kesedar
Seawal jam 5.45 pagi kami sudah dikejutkan untuk bersiap. Dan seawal 6.15 pagi kenderaan yang dinaiki telah pun bergerak ke Gua Musang. Dipendekkan cerita kami ada janji temu dengan pihak KESEDAR pada jam 8.30 pagi selain akan ke Pejabat Tanah dan Jajahan dan Majlis Daerah atas tujuan meninjau lokasi sebelum datang lagi nanti pada 26/6/2001-1/7/2010 bersama 30 orang pelajar UPM.
Pokok Tongkat Ali yang berbuah
Di Pusat Latihan Kesedar, kami meninjau dan berbincang tentang beberapa perkara, iaitu berkaitan tempat penginapan pelajar, makan dan minum, serta aktiviti yang akan dijalankan.
Selepas makan tengah hari di Gua Musang, kami teruskan perjalanan ke Lojing di Barat Gua Musang. Hampir dengan Lojing, kami singgah dahulu di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, iaitu sebuah sekolah perkampungan orang asli. Guru Besar tiada maka bertemu Guru Penolong memaklumkan kedatangan rombongan kami pada 1 Julai nanti. Selepas singgah di Lojing kemudiannya, kami bertolak pulang melalui Cameron Highland. Secara peribadinya, kali terakhir saya menjejakkan kaki di Cameron Highland ialah 30 tahun dulu dengan mengikuti rombongan pemuda kampung semasa di Batu Pahat, Johor.
Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang.
Anak-anak orang Asli di asrama SK Pos Brooke
Pemandangan sebahagian Lojing yang menjadi ladang sayur-sayuran
Strawbery yang merah dan manis di Cameron Highland.
Akhirnya, kami turun ke Tapah. Berhenti di R & R Tapah dan bertolak balik selepas solat Maghrib. Kira-kira jam 10.00 malam kami selamat sampai di Serdang menjadikan perjalanan ini genap dua hari.
No comments:
Post a Comment