Hendak dijadikan cerita (cerita benar), hari Jumaat lepas, saya bermain tiga jenis sukan. Sebelum solat Jumaat di masjid, bermain karom. Selepas Asar, jam 5.00 petang, main ping pong. Selepas solat Mahgrib pula, main bola tampar!
Hal ini jarang berlaku. Kebetulan seorang rakan yang sepatutnya bertemu dalam suku akhir pertandingan karom mengajak bermain pra-perlawanan. Kalah pun tak mengapa asal kan dapat pengajaran sebelum perlawanan sebenar. Antara kesilapan ialah kuku yang panjang dan tidak fokus.
Ping pong pula menyaksikan saya layan hingga tiga game, tiga set setiap game. Syukur kerana menang 3-0, 3-0, dan 2-1. Berpeluh sakan jugalah dibuatnya. Latihan ini bagi persiapan menghadapi kejohanan antara Pusat Tanggungjawab. Moga getah raket ping pong benilai RM90.00 sejak lima tahun dulu masih berprestasi tinggi. Getah ini penting kerana memberi daya pantulan yang tinggi di samping skil yang perlu ada pada setiap pemain.
Bola tampar memang diminati sejak kecil. Justeru apabila diminta datang pada saat akhir, tidak mampu menolaknya. Perlawanan lima set ini adalah persahabatan antara staf dan pelajar. Walaupun kalah 2-3, pengajaran daripada kekalahan itulah yang penting. Sebagai orang lama, minda terkongkong dengan prinsip main bola tampar adalah dengan tangan walaupun beberapa kali melihat pemain lain kadang-kadang menggunakan kaki. Bola dah nak cecah lantai pun saya masih berusaha mengangkatnya dengan tangan. Selepas ini perlu anjakan paradigma bahawa ketika yang sesuai, gunalah kaki. Ketika rakan sepasukan menyambut bola, kita perlulah hampir dengannya untuk membantu. Menghantar bola pula jangan ke lubuk sendiri tetapi lubuk lawan. Majulah sukan untuk kesihatan.
No comments:
Post a Comment