Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, November 25, 2010

Buku Baharu Saya



BUKU Gaya Bahasa Sastera Melayu ini saya beli pada 15/11/2010 sebagai kenang-kenangan menerima ijazah Master Sastera (Kesusasteraan Melayu) dalam majlis Konvokesyen UPM Ke-34 dua hari sebelumnya. Buku ini yang dipilih kerana ia berkaitan dengan bidang pengkhususan saya, iaitu stilistik. Buku kali pertama terbit 2010 ini terus dibeli dan dibaca kerana saya berpendapat perlunya maklumat terbaharu dalam segala bidang. Bagaimanapun atas sifatnya sebagai wacana kritikan sastera, membacanya agak menyeksakan. Ditambah lagi seorang rakan di meja sebelah, di pejabat sedang menghayati novel ADAM karya Ramlee Awang Murshid. Lalu saya pun mencapai novel ADAM kepunyaan saya sendiri yang telah lama dibeli tetapi belum pernah membacanya. Sebelum ini apabila saya dan dua oang rakan lagi telah membaca novel Ayat-ayat Cinta, kami dapat berdiskusi dan berborak tentang novel itu. Oleh itu tentulah lebih seronok kalau lepas ini dapat berborak tentang novel sebuah ini pula. Ternyata saya begitu seronok mengunyah ADAM sehinggakan dalam satu hari saya dapat membaca hingga lebih kurang 100 halaman. Hal ini jarang dapat saya lakukan musim kebelakangan ini.


Buku ini pula saya beli pada 19/11/2010. Buku cetakan pertama 2010 ini saya beli atas beberapa sebab. Antara sebabnya ialah novel pertama yang saya pernah miliki ialah Noni karya Abdullah Hussain. Noni adalah hadiah yang saya terima selepas menyertai suatu peraduan dalam majalah Murni (kalau tak silap), iaitu pada tahun 1978. Selepas itu saya mula berminat untuk mempunyai koleksi novel sendiri. Abdullah Hussain, sebagai seorang daripada penulis yang saya minat, sewajarnyalah buku Proses Kreatif: Satu Pengalaman Rohani ini saya miliki. Sebelum ini pun saya sudah mempunyai beberapa buah buku berbentuk proses kreatif, antaranya Kuras-kuras Kreatif (Azizi Hj. Abdullah); Jejak Kreatif (Arenawati); Penulisan Kreatif: Teori-Pengalaman-Cabaran (Othman Puteh); Proses Penulisan Kreatif (Mana Sikana) dan Memoir Zurinah Hassan.


Buku Tumbuhan Liar Berkhasiat Ubatan juga saya beli pada 19/11/2010. Buku ini cetakan kedua 2010 terbit kali pertama 2006. Buku ini banyak kelebihannya, antaranya tulisannya yang mudah dibaca dan gambarnya yang jelas mudah dicam. Faedahnya tentulah yang lebih utama, iaitu mengecam jenis-jenis tumbuhan dan kegunaannya sehari-hari.

No comments:

Post a Comment