Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, November 12, 2010

Kisah Seram

Kisah benar ini berlaku tiga hari sebelum Aidil Fitri lalu...


MALAM itu aku tidak dapat tidur. Jam dinding sudah menunjukkan pukul dua pagi, sedangkan pukul lima nanti mesti bangun, mandi, solat Subuh, dan kalau boleh seawal jam 6.30 pagi akan memulakan perjalanan balik kampung di Selatan tanah air. Sebentar mengiring ke sebelah kanan mengadap dinding yang gelap. Sebentar lagi mengiring ke sebelah kiri mengadap tingkap. Di langsir tingkap ada cahaya yang membias dari lampu jalan. Uhh... kenapa pula tak boleh tidur ni... Kalau tak cukup tidur, besok pagi tentu mengantuk ketika memandu jarak jauh. Ahh... padahal dah mula berbaring sejak jam 10.00 malam tadi!
Tidur awal pun tak guna. Sentiasa aje ada gangguan selagi 'mahluk asing' yang bertebaran dalam rumah ini tak tidur. Bebudak tu memang penuh aktivitinya. Kalau tak tengok internet, tengok TV. Kalau tak baca buku sekolah, baca fikiran orang lainlah kononnya. Emak mereka pula sentiasa ada kerja sebagai persiapan untuk balik kampung besok. Pinggan mangkuk sentiasa berlaga berkelentang-kelentung. Seminit dua terlelap juga sebelum ada yang kejutkan tanya itu ini.
Bunyi kelentang-kelentung bersambung ketika aku terjaga dan lihat jam dinding pada angka lima. Tak lama lepas tutup semula mata, aku dikejutkan. Rasa-rasa badan taklah teruk sangat, tapi aku cakap juga "tak boleh tidurlah malam tadi..." dan sang isteri berkerut dahi; "habis macam mana? tak payah baliklah... besok ajelah balik..." Aku mula teringat bahawa selama ini memang setiap kali balik kampung, kami akan bertolak sebelum jam 7.00 pagi. Pernah juga balik kampung petang, tetapi akan menghadapi sebahagian laluan pada sebelah malam. Berjalan malam agak menyeramkan apabila melalui jalan yang sunyi tanpa lampu jalan. Masalah penglihatan yang terhad paling dipertimbangkan. Pendek kata, isteri memang tidak suka bertolak petang atau malam. Malah tengah hari pun!
Kita balik kampung ajelah, kataku mengenangkan cuti rehat telah pun diambil. Kalau balik kampung boleh juga tolong-tolong orang tua bersihkan keliling rumah yang penuh daun-daun berguguran dan ranting-ranting bergelimpangan. Dan kami pun bergegas bersiap seperti kebiasaannya. Paling susah adalah memastikan bebudak bangun, mandi dan solah Subuh.
Seperti yang dijangkakan, sebelum tepat jam 7.00 kami sudahpun meninggalkan rumah yang sudah ditutup semua suis lampu, kipas, TV, dan sterika kecuali peti ais. Semua pintu dan pagar juga sudah dipastikan berkunci. Setakat setengah jam pertama, iaitu sampai Seremban, aku masih rasa segar lagi. Dan rasa bersyukur. Namun tak lama kemudian aku mulalah rasa mengantuk. Aku gerak-gerakkan badan supaya tulang renggang dan darah mengalir lancar. Sesekali berbual dengan isteri dan anak supaya otak berfungsi. Sesekali buka tingkap supaya udara baru dapat masuk bersama oksigen.
Menghampiri hentian sebelah di Bemban aku pun membelok ke kiri. "Mengantuk ke?" tanya isteri. Jawabnya memang 'ya' tapi egokku menyuruh jawab "taklah... nak pergi bilik air... tak tahan." Menyusur laluan R&R itu kulihat beberapa wakaf ada orang. Di hadapan bilik air banyak kereta memaksa aku mengunjur ke depan lagi. Di hadapan sebuah MPV ada ruang kosong. Keteta pun diparkir di situ. Sebaik aku matikan suis enjin tiba-tiba 'alarm' bergema dan keempat-empat tombol kunci dekat cermin pintu kereta tenggelam menandakan kereta terkunci dengan sendirinya. "Hai?!..." teriakku yang naik hairan dengan kejadian yang tak pernah berlaku itu. Aku segera menarik picu di sebelah pemandu ke atas dan semua picu turut naik ke atas. 'Alarm' pun bergema lagi dengan panjangnya dan tak lama semua pucu bergerak turun semula. Aku tarik lagi picu ke atas. 'Alarm' kembali bergema dan tak lama semuanya bergerak turun semula sebelum bunyi 'alarm' berhenti.
"Tak kan pulak bateri habis? Bateri baru aje tukar tujuh bulan lepas. Paling kurang pun bateri boleh tahan setahun, tak kan tujuh bulan dah 'weak'?! Semua orang seisi kereta naik cemas. Isteriku kata "laa..! ada hantu ke?" Aku tergelak dalam hati. Aku perlu bertenang. Ini bukan malam. Ini siang. Tak kan siang-siang pun hantu nak kacau? Aku bertenang dan cuba hidupkan enjin kereta ketika isteriku menyuruh semua anak-anak keluar dari kereta. Namun dua tiga kali pulas anak kunci, seperti tiada apa-apa respons. cuma bunyi klik dan klik. Ini mengukuhkan lagi tanggapan bahawa memang bateri dah habis! Dan aku mula terfikir nampak gayanya kena minta orang tolak kereta. Nanti apabila dah hidup, aku akan singgah pekan Tangkak dan cari mana-mana bengkel kereta untuk tukar bateri baru.
"Tak apalah..." kataku pada mereka semua "...pergi bilik air dulu!" aku perlu bertenang. Selepas keluar dari bilik air, aku tak nampak kereta MPV yang parkir di belakang kereta aku tadi. Sebelum minta orang tolak kereta baik aku cuba hidupkan enjin dulu, fikirku. Manalah tahu... Dan ternyata hanya dengan sekali pulas sahaja enjin kereta dapat dihidupkan! Aku rasa bersyukur yang amat sangat. Perlukan aku teruskan niat ke Tangkak untuk tukar bateri baru? Tetapi kenapa tadi enjin tak boleh hidup? Kenapa kereta ini boleh terkunci dengan sendirinya? Kenapa? Kenapa? Kenapa berlaku masa ada kereta di belakang? Dan kenapa apabila kereta itu tidak ada, tidak ada masalah pula? Adakah kerana 'remote control" kami mempunyai jarak gelombang yang sama? Itulah yang aku fikirkan. Dan akhirnya aku selamat berpuasa dan berhari raya di kampung. Dah dua bulan ini pun, kejadian seperti itu tak berlaku lagi.

No comments:

Post a Comment