HARI Isnin kelmarin saya bercuti kerana kononnya akan penat selepas hantar anak mendaftar di UniMAP Perlis. Maklumlah dari Serdang perlu memandu kereta sejauh hampir 500km!. Sebelum ini hanya balik kampung jauhnya hanya 240km. Pagi Isnin itu terfikir pulak, tak kan nak tidur je kat rumah kan! Jiran sebelah rumah yang sedang membilas tiga batang joran kata dia baru balik dari Pulau Ketam. Wah, lagi bersemangat. Segala peralatan memancing saya muatkan dalam kereta. Baki roti Gardenia beli tiga hari lepas, saya ambil sekeping dan penyekkan tipis dan potong-potong sebesar batang mancis. Sang isteri tanya nak pergi mana? Kali ini saya jawab terus nak pergi memancing. Tak tipu.
Jam 9.00 pagi saya terus memandu ke kolam Danau Pinggiran di Putrajaya. Kali ini saya gunakan joran teleskopik Exori kerana joran Uglystik PRO saya tertinggal di pejabat. Seperti biasa saya gunakan dedak 929, tetapi kali ini saya bancuh dengan air soya. Jiran sebelah rumahlah yang bagi petua ini. Dedak dikepal pada mata bom, roti dicucuk pada mata pancing. Sesekali saya tukar umpan baru. Namun selepas dua jam sunyi sahaja seluruh kolam. Saya kata pada pemancing di sebelah, nak kata umpan saya kureng, orang lain pun tak dapat...
Akhirnya pemancing di kiri-kanan saya balik dengan kecewanya. Saya masih menunggu. Beberapa orang lain datang. Saya sudah berkira-kira nak balik jam 1.00 selepas tiga jam membangau, apabila tiba-tiba tali pancing saya ditarik dengan lajunya. Saya pun membalas tarikan itu. Rasa tidak terbalas dan terasa ikan kali ini adalah yang paling besar pernah saya pancing di situ. Saya buat gaya seorang pro, iaitu tarik hujung joran melepasi kepala, kemudian turunkan joran sambil gulung. Kemudian pam lagi dan turunkan jorang sambil gulung tali. Saya terlupa diri bahawa joran itu jenis teleskopik! Seseorang kata jangan sampai ikan itu masuk bawah kipas kincir, kalau masuk situ habislah! Hal ini membuat saya pam joran dengan kuat... dan tiba-tiba joran saya patah!
Ketika inilah beberapa orang yang tidak saya kenali mula membantu. Seorang menarik tali dengan tangannya sambil menjerit minta kain (untuk elakkan tangan terluka, tali pancing kan halus), seorang memegang tangguk, dan seorang lagi mengulung tali ke dalam reel. Saya pulak jadi tukang tengok kerana keadaan menjadi kelam-kabut. Syukurlah akhirnya seekor Patin seberat 3.2kg dapat didaratkan. Sudah lama saya teringin naikkan Patin, akhirnya!
siapalah saya...
Wednesday, September 4, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment