IANYA memang menjadi sejarah dan nostalgia apabila pada 1 Shawal saya tidak pulang ke kampung. Di sebuah rumah teres dua bilik yang saya sewa ketika itu di sebuah taman perumahan di Serdang, Selangor, saya hanya dapat bayangkan betapa 240km di Selatan Tanah Air sana, semua adik beradik sedang berkumpul, berjamu ketupat rendang bersama emak dan abah.
Kenangan 23 tahun dulu kembali menhimbau apabila pada 17 Ogos 2013, Hot FM mengundang ND Lala dan Shila Hamzah ke konti. ND Lala menceritakan tentang kemiskinannya suatu masa dulu hingga tidak mampu balik kampung pada hari lebaran. Justeru, kepada emaknya sendiri diberitahu dia balik rumah mertua, kepada emak mertua diberitahu dia balik ke kampung emak sendiri. Satu di Perak, satu di Selangor.
Begitulah yang berlaku kepada saya 23 tahun dulu. Saya memang tidak berduit untuk pulang ke kampung pada Hari Raya Aidil Fitri. Alasan yang saya berikan kepada ibu-bapa sendiri dan ibu-bapa mertua ialah isteri baharu bersalin secara pembedahan, oleh itu tidak boleh renyah untuk ke sana-sini. Katalah saya naik bas, turun-naik bas dengan mendukung bayi dan beg baju lagi. Silap-silap terbuka jahitan di perut! Logik tak alasan tu....!?
No comments:
Post a Comment