Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, March 14, 2018

Apabila Pejabat Berhampiran Hutan

 Pernah nampak ayam hutan, Bangau, burung Puchong setinggi budak, biawak, malah kira-kira sepuluh ekor memerang sedang  berpesta menangkap ikan di sini.
Di sinilah saya berjalan "beriringan" dengan seekor ular Tedung Sela 
berwarna hitam sepanjang empat kaki.

BILIK saya di pejabat terletak dalam sebuah bangunan setingkat seluas 60' x 30'.  Ruang dalam bangunan dibahagikan kepada dua, iaitu ruang Makmal Penyelidikan Akuatik dan ruang menempatkan tiga bilik staf.  Bilik saya yang paling hujung ke arah "hutan" berhampiran.  Ada sebuah tasik seluas padang bola sepak.  Justeru terdapat pelbagai jenis haiwan hidup di sekitar.  Selain ikan kerap kali saya terserempak biawak, memerang, ayam hutan, bangau, burung puchong dan pelbagai jenis lagi.  Namun yang paling mengerunkan ialah terdapat banyak ular di sekitar. Dalam tempoh dua tahun ini lebih sepuluh kali saya terserempak ular.  Dua kali pihak Bomba (Bantu Mula) datang. Sekali sebab ular Batam Tebu yang muncul betul-betul depan pintu bangunan, dan sekali lagi sebab ular Sawa sepanjang 12 kaki yang muncul sekitar15 meter dari bangunan.

Kerap juga haiwan masuk dalam bangunan yang memaksa kami berusaha menghalaunya keluar seperti burung, tupai, katak dan lain-lain.  Cicak memang tempat dialah.  Pernah sekali di luar pengetahuan saya, seekor biawak kecil telah masuk ke dalam bilik apabila pintu bangunan terbuka dan pintu bilik saya juga terbuka. Rakan staf yang nampak cuba cari, tak jumpa, juga tidak maklumkan. Saya hanya sedar apabila bau bangkai sudah meruap di belakang susunan buku.  20 buah buku terpaksa dibuang kerana baunya melekat.

Pada 9/2/18 ketika saya solat Asar dalam bilik tiba-tiba seekor lipan bara panjang sejengkal menyusur di tebing sejadah sebelah kanan dari arah belakang. Mujur dia tidak naik atas sejadah ketika masih rakaat ketiga itu. Ular Tedung Sela pula pernah saya terlangkah. Hanya sedar selepas terdengar bunyi "sssss", dan ketika saya jengok dalam parit konkrit yang kering sedalam tiga kaki itu, kepalanya dah kembang.  Rupa-rupaya saya akan berhadapan situasi lebih berbahaya apabila kelmarin (12/3/18) ketika saya berjalan di belakang bangunan tiba-tiba ular tedung sela yang berwarna hitam panjang empat kaki dengan ukur lilit sebesar ibu jari kaki itu menyusur hanya sejengkal di sebelah kaki kiri saya dan menyusup ke celah rerumput dekat pokok pandan di hadapan.  Allahuakbar. Saya terdiam dan trauma sekejap. Ada kamera di tangan pun tak sempat klik.  Alhamdulillah kerana saya merasakan masih bernasib baik setakat ini...