Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, October 15, 2010

Tarikh 13 Haribulan


KENAPA dan mengapa tiba-tiba tarikh 13 haribulan menjadi istemewa? Hal ini demikian kerana pada 13 Otober 2009 saya menghantar tesis ke Sekolah Pengajian Siswazah untuk peperiksaan akhir (Viva). Pada 13 Januari 2010 saya menghadapi Viva. Pada 13 Mac 2010 saya menyerahkan tesis yang telah dimurnikan selepas Viva. Tarikh 13 Mei 2010 mesyuarat Senate diadakan dan bersetuju menganugerahkan saya Master Sastera (dengan tesis). Dan akhirnya pada 13 Oktober 2010 saya dikurniakan Ijazah Master Sastera (Kesusasteraan Melayu) dalam Majlis Konvokesyen UPM ke-34. Syukur ke Hadrat Allah Azzawajalla yang melimpahkan rezeki. Terima kasih kepada Ibu dan Bapa yang mendoakan. Terima kasih kepada pensyarah yang membimbing khususnya penyelia saya. Dan terima kasih kepada sahabat-rakan yang banyak memberi sokongan. Terima kasih.

Tuesday, October 12, 2010

Diam-diam Ubi


MUNGKIN saya agak beruntung kerana di sebelah bangunan tempat saya berkerja ada sebidang tanah yang boleh diusahakan. Untuk menanam pokok di rumah teres di taman perumahan tempat saya tinggal memang sukar kecuali pokok jenis kecil dalam beberapa buah pasu. Rakan-rakan sekerja menanam pokok cili, kangkung, bende, terung, kacang botol dll. Hampir setiap hari mereka menuai hasil dan menjimatkan belanja dapur. Saya memilih menanam ubi kayu. Hal ini demikian kerana ruang tanah yang berada di dalam pagar telah habis menjadi 'hak' mereka. Lalu diam-diam saya menanam sebaris ubi kayu betul-betul di luar pagar. Diam tak diam, masa pun terus berlalu, dan pokok ubi kayu itu pun terus membesar. Akhirnya sampailah giliran saya pula menuai hasilnya. Hari itu, jam 5.00 petang, saya pun mencabut sepokok untuk dibawa pulang ke rumah. Di rumah, jam 6.00 petang, isteri saya pun mula merebusnya sambil memasak sambal tumis. Tepat jam 7.00 petang, saya sudah pun menjamahnya. Ya Salam! ubi kayu yang empuk dan warnanya menjurus kepada kristal itu memanglah tersangat sedapnya. Mungkin ada sesuatu yang boleh diambil untuk renungan. Pertama, seperti ikan segar atau daging lembu segar, ubi juga sedap jika masih segar. Hal ini demikian kerana didapati jika ubi kayu itu sudah tiga-empat hari, ia akan masuk angin dan apabila dimasak, warnanya lebih menjurus kepada putih bukan kristal. Kedua, benarlah seperti kata perbidalan; diam-diam ubi berisi... bukan macam saya... bising tapi nil! he he.

Thursday, October 7, 2010

Sahabat Baru

SAHABAT? Tiba-tiba sahaja terfikir tentang sahabat! Kenapa dan mengapa!? Perlukah ditanya pada sama itu hud-hud. Atau memadai tanya mereka yang arif dengan sikostilistik atau sikolinguistik atau yang sama waktu dengannya.
Seawal jam 6.30 pagi tadi saya sudah buka kunci pintu pagar dan berjalan kaki menyusur lorong rumah dan rumah kedai di taman perumahan itu. Hajat di hati nak beli dua bungkus nasi lemak untuk sarapan di rumah. Tiba-tiba saya teringat bahawa sudah lama tidak membeli sarapan di gerai itu. Justeru teringat juga dah lama tidak berpapasan dengan seseorang. Seseorang yang kerap juga datang ke gerai itu sewaktu subuh masih panjang. Kekerapan itu akhirnya membuat dia menegur-sapa dan menegur lagi dalam beberapa kali subuh kemudiannya.
Ketika membayar harga nasi lemak, saya lihat keretanya telah pun sampai dan berhenti di hadapan blok rumah kedai. Dalam hati saya berkata-kata; saya akan tegur begini: "hai, dah lama tak jumpa!". Namun ketika berjalan pulang - memang laluan saya - sewaktu dia turun dari keretanya - maka saya pun menegur "Assalammualaikum!". Saya tiba-tiba tidak berani menegur dengan ayat yang disusun tadi. Manalah tahu kalau dia seorang pegawai berpangkat tinggi. Saya pun kena juga jaga batas-batas bahasa.
Ucapan salam saya sebenarnya baru setengah jalan ketika dia berkata "Hai lama tak jumpa ya..." ucapnya sambil melemparkan senyuman. Ah! itulah yang saya nak ucapkan tadi!" desisku dalam hati. Sambil membebaskan ekspresi, saya terfikir begini pula: Adakah dia bakal sahabat baru saya....!?

Monday, October 4, 2010

Sahabat Baik

SAUSSURE telah mengemukakan dua konsep, iaitu signifier (pelambang/penanda) dan signified (yang dilambangkan/petanda). Bagaimanapun Bathes (1991) dalam kajiannya terhadap novel pendek Balzac yang bertajuk Sarrasine tidak menggunakan istilah tanda, tetapi kod (Sohaimi Abdul Aziz, 2003). Signified bagi sahabat baik ditandai oleh berbagai signifier antaranya ialah kerap berinteraksi dan saling tolong-menolong tidak kira dalam masa susah atau senang. Secara peribadi, dalam kalangan begitu ramai sahabat saya, tentulah ada yang boleh dikategorikan sebagai sahabat baik justeru saya suka mendahulukan kemaslahatan beliau dari diri sendiri. Saya juga sering menghubungi beliau untuk bertanya khabar juga sebagai signifier bahawa beliaulah sahabat baik saya, tetapi kebelakangan ini saya jadi takut disebabkan sudah tiga kali saya hanya menerima kod waima dalam bentuk 'smile'. Konflik timbul apabila saya gagal mentafsirkan makna kod tersebut. Mungkinkah saya telah melakukkan suatu kesalahan tanpa disedari? Kalau demikian halnya, demi Shawal yang masih ada lima hari ini saya menyusun sepuluh jari memohon sebilion kemaafan dari hujung rambut yang paling panjang hinggalah ke hujung jari kaki yang paling menonjol. Semoga Allah Azzawajalla memberi petunjuk dan hidayahNya kepada kita semua. Amin.

Friday, October 1, 2010

Sahabat Lama

ORANG kata sahabat bagi seorang lelaki seharusnya lelaki dan sahabat bagi seorang perempuan seharusnya perempuan. Tapi ada orang lain pula kata ikut kata enggang makan buah beluluk, ikut kata orang masuk dalam lubuk. Oleh hal yang demikian saya bersahabat dengan siapa sahaja tak ikut gender. Sekarang pun saya ada sahabat dari kalangan seorang perempuan... Namun apa yang saya nak kongsi ini ialah tentang seorang sahabat saya - seorang perempuan - yang kali terakhir saya jumpa ialah 20 tahun dahulu semasa isteri saya melahirkan anak pertama. Awal tahun ini saya mewakili keluarga di Johor menghadiri jemputan kahwin di Dewan Seri Endon di Putrajaya. Saya bukan kenal sangat pun dengan tuan rumah, ini kan pula jemputan lain yang kelihatannya dari kalangan orang ada kelas. Ketika berjalan balik dari meja hidangan, saya lalu di hadapan seorang perempuan yang sedang berdiri sendirian. Kelihatan dia tersenyum dan saya pun membalas senyumannya walaupun isteri ada disebelah dan anak-anak juga.
"Dah makan?" sapanya.
"Dah. terima kasih." jawab saya.
"Macam kenal je... dari mana eh?"
"Aah macam pernah jumpa!. Saya wakil orang Batu Pahat" jelas saya ikhlas dan dengan harapan dia sedar bahawa saya hadir atas kapasiti hubungan saudara.
"Oh, kira sedaralah ni! Saya isteri Umar..." jelas dia dengan panjang lebar.
Saya kemudian minta diri untuk pulang tanpa memikirkan apa-apa. Apabila saya balik kampung kemudiannya dan menceritakan hal ini kepada emak dan makcik saya, mereka kata isteri Umar itu latar belakangnya begini-begini maka terkejutlah saya dengan hebatnya. Kalau masa itu saya kata dari Taman Sri Serdang, sudah tentu dia akan kata dia juga pernah tinggal di Taman Sri Serdang. Seterusnya perbualan kami tentu akan berkisar hal lain. Barulah saya sedar bahawa memang saya pernah bersahabat dengannya sebelum 20 tahun dulu. Pernah kira-kira dua-tiga minggu selepas saya berkahwin, dia menahan saya yang sedang menunggang motosikal ketika pulang dari solat Jumaat dan menyerahkan sehelai kain batik sebagai hadiah untuk isteri saya. Kenapalah saya tidak boleh cam wajahnya selepas 20 tahun!? Dan saya yakin pertemuan itu tidak akan berulang lagi walaupun dia sudah menjadi sedara bau-bau bacang.