Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, February 25, 2011

Buku Klasik 3


(ADA pun cherita "NYAWA Di-HUJUNG PEDANG" ini telah mendapat hadiah yang pertama dalam peraduan mengarang cherita-cherita yang di-anjorkan oleh Jabatan Penerangan, Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1946 dahulu)

BEGITULAH catatan sebelum Pendahuluan novel Ahmad Murad bin Nasruddin ini. Buku chetakan yang keempat ini tertulis juga "Terchap Di-Khee Meng Press, 214 High Street, Kuala Lumpur 1957. Manakala dalam "Pendahuluan" novel ini dinyatakan buku ini mula di-chap dengan huruf Rumi, kemudian atas permintaan pembacha, di-keluarkan pula dengan huruf Jawi. Antara petikan yang menarik ialah pada halaman 54: Burung yang di-dalam sangkar dan harimau di-dalam penjara ada lebih peluang terlepas kelur dari kurungan-nya itu daripada orang-orang yang di-dalam kurongan M.P.
KISAH PELAYARAN ABDULLAH (ke-Kelantan dan ke-Judah) merupakan karya kedua penting Abdullah bin abdul Kadir Munshi selepas Hikayat Abdullah. Diterbitkan pada 1960 oleh Kuala Lumpur; Oxford University Press; Singapura; Malaya Publishing House Ltd. Tidak dapat nak diulas, bagaimanapun di bahagian belakang ada disertakan glosari, contohnya makna hatta, shahdan, arakian, chinchu, belibis, peluru tunang, laut kulzum dll.

Wednesday, February 23, 2011

Buku Klasik 2


KESAN Kesusasteraan Tua Di-Tanah Ayer

BUKU ini disusun oleh Abdullah bin Hj. Musa (Lubis) serta di-chitak dan di-terbitkan oleh QALAM, Singapore. Buku ini setebal 106 halaman. Dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu pangaroh sastera pada satu2 bangsa, pembahagian kesusasteraan, kesan kesusasteraan daripada Arab dan juga Farsi, sastera kebangsaan,dan puisi lama (puisi tua).



Panduan 'Akal

PANDUAN 'Akal adalah buku bachaan bagi darjah III di-keluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk Ministry of Educations Federation of Malaya. Ia adalah satu daripada The Malay School Series (No. 39). Buku chetakan baharu yang ke-empat (1959) ini mengandungi 40 pelajaran dalam bentuk cerita dan pantun. Antara cerita yang terkandung ialah Ayam Jantan dengan Musang, Abu Nawas Jadi Ayam Jantan, Kejadian Siang dan Malam, Pantun dn Mendaki Gunung Everest.

Thursday, February 17, 2011

Buku Klasik 1

KALI ini saya ingin berkongsi tentang buku-buku lama yang mungkin sekarang sudah dianggap klasik. Saya ada menyimpan beberapa buah buku peninggalan bapa saudara sebelah ibu. JALAN ke Kubor karya Khadijah Hashim ini diterbitkan pada 1969 oleh Penerbitan Pustaka Nasional Singapura. Lengkap dan masih boleh dibaca, tetapi tepi-tepi buku banyak kesan dimakan bubuk. Lorong Seribu Liku (1964) pula telah hilang kulitnya.

ORANG Tua Dengan Laut seolah-olah bacaan wajib bagi penulis-penulis lama yang tersohor. Buku cetakan kedua ini (1962) (Kali pertama 1961), diterbitkan oleh Oxford University Press dan masih elok lagi. Sementara Musafir yang merupakan Pemenang Pingat Perak Peraduan Novel DBP 1958 diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1959. Tiada gambar pada kulit luarnya mungkin kerana ia berkulit keras. Musafir karya Hasan bin Muhammad Ali ini telah saya baca pada pada 5-6/7/2005. Dua hari sahaja selesai mungkin kerana novel dulu-dulu tipis dan mudah, sebab itu dulu-dulu saya boleh baca sebuah buku dalam masa yang singkat berbanding sekarang.