Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, December 24, 2020

Buah-buahan pun nak swafoto jugak

 







Kali ini intai dulu di pokok sebelum tuaian dibuat untuk hari ini...


Setelah tuaian dibuat.

Monday, December 21, 2020

Gewang Pun Ada Yang Otai

 

Sebahagian daripada koleksi gewang. Ada juga yang pernah disambar sang Haruan.


Hasil tangkapan hari ini (21/12/20)

Hasil tangkapan pada 14/12/20

HARI ini 'casting' lagi di tasik belakang pejabat.  Waktu kerja bermula jam 8.00pg, oleh itu 7.00pg 'casting' sekejap.  Alhamdulillah hari ini dapat dua ekor selang beberapa minit. Setelah ditimbang dan ukur panjangnya untuk dapatkan data kajian, Haruan kali ini dilepaskan semula. Kononnya amalkan konsep TAGAL, iaitu tangkap, ambil gambar, dan lepaskan semula.  Hakikatnya dah tak larat nak makan. Jika nak goreng atau masak sup, kena siang ikan dulu, rendam asam-garam, dll. Leceh juga. Faktor saiz ikan diambil kira juga.  Apa yang saya perhatikan ialah gewang pun ada yang otai. Ada satu gewang berwarna kuning ini, saya dah beli bertahun lepas dan dah berbelas ekor Haruan menyambarnya. Kononnya nak direhatkan, namun setelah gunakan gewang baru, hasil tangkapan tidak memberangsangkan.  Bukan tidak menyumbang langsung kerana pernahlah juga dapat Haruan.  Mungkin juga cuma kebetulan, tetapi apabila gewang lama/usang digunakan, Haruan seperti lebih berminat dan terkaman sering sahaja melekat.

Friday, November 20, 2020

Belimbing Buluh PKPB

Belimbing Buluh yang lebat dan besar buahnya. Petik dengan tangan sahaja dapat penuh satu beg plastik No. 30.


 Belimbing Buluh yang ingin dipetik besoknya, tetapi tak sempat, dah jadi reseki orang lain.


TANGGAL 14/10/2020 adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan  (PKPP) kerana gelombang ketiga pandemik Covid-19.  Sejak tarikh itu saya memang dilarang tegas daripada hadir ke pajabat.  Bagi orang pencen mungkin tiada masalah. Bagi pekerja yang duduk di pejabat berurusan dengan dokumen/fail dan komputer juga kurang kesannya.  Namun jenis pekerjaan seperti saya yang ruang kerjanya luas dan apa yang perlu dibuat pun banyak/pelbagai, saya agak terseksa batin jika tidak dapat hadir ke tempat kerja.  Tambah lagi apabila PKPB yang dijadualkan dua minggu dilanjutkan empat minggu lagi, iaitu hingga 6/12/20.  Sayup rasanya untuk menyampai ke tarikh itu.  Namun tetiba saya berpeluang hadir ke pajabat pada 18-20/11/20 atas tugasan kritikal.  Peluang ini digunakan juga menjengok hasil tanaman warga pejabat yang kebanyakannya dilaksanakan semasa program gotong-royong dulu. Antaranya ialah belimbing buluh yang dipaparkan dalam gambar di atas.  Konsep yang digunapakai ialah siapa hendak/rajin, ambillah. Itu lebih baik daripada belimbing buluh gugur sendiri dan berlambak di atas tanah. Kali ini saya ambil untuk buat belimbing hitam. Ini kali pertama membuatnya. Lapan jam juga merebusnya sehingga jadi belimbing hitam. sebahagian lagi buat jeruk dengan menyimpan dalam telap bersama garam. Pabila belimbing hitam menjadi dan sedap pula rasanya, besoknya saya berkunjung lagi ke bawah pokok itu kerana buah belimbing yang lebat dan tinggi sedikit itu belum disentuh. Tengok-tengok, dah tiada. Tak mengapalah, rezeki masing-masing.


Monday, October 12, 2020

Musim Menuai Kembali Lagi

 SEMUANYA di kawasan pejabat


UBI kayu ini saya tanam agak tergesa-gesa pada petang hari terakhir berkerja sehari sebelum PKP, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac 2020. Tindakan saya ini betul kerana PKP bersambung dua mingu, kemudian dua minggu lagi hingga akhirnya saya tidak dapat datang ke pejabat selama 10 minggu. kini hampir tujuh bulan usia pokok ubi ini dan apabila saya cabut, hasilnya hampir 3kg.


Ini sebahagian kawasan pejabat. Hanya 30 meter dari tingkap bilik pejabat saya. Di sini sahaja saya dapat ambil daun Beruas, jantung pisang, dan daun pisang.


Pucuk daun Beruas, nama ini seperti yang kedua ibu-bapa saya beritahu. Bagaimanapun saya difahamkan nama sebenarnya ialah Bebuas. Daunnya lembut dan berbau wangi. Setakat ini hanya digunakan untuk masak botok-botok ikan. Difahamkan boleh sahaja celur dan makan dengan nasi dicecah air asam atau sambal belacan.


Daun pokok Pisang kapok.  Untuk masak botok-botok ikan, daun pisang diperlukan sebagai pembungkus sebelum dikukus. Puas hati apabila boleh pilih sendiri daun yang cantik berbanding dengan yang dijual di pasar.


Jantung pisang.  Kebetulan dah beli sebiji di pasar tani, yang ini bolehlah buat tambah.


Ulam Raja. Kali ini hidup subur kerana pembajaan yang cukup dan penjarakan antara pokok. Akibatnya makan tak habis waima sudah dipanggil rakan-rakan berulang-kali. Mereka tidak rajin datang kerana pejabat mereka agak jauh di blok hadapan. Hanya pekerja pencuci yang setiap hari datang dan sesekali mengambilnya. 


Daun kaduk atau nama lainnya Sireh Duduk juga sebahagian daripada bahan resepi botok-botok ikan. Pokok ini hanya tiga meter daripada pintu blok pejabat saya.  Pokok ini sebenarnya dah bertahun di situ, tetapi hanya baru-baru ini sahaja dia kelihatan merimbun. Selain daripada itu, beberapa jenis pokok puding juga diambil daunnya, antaranya puding mangkuk. Sekian adanya. Wassalam.

Wednesday, September 9, 2020

Antara Dengar dengan Nampak

 

Bengkel kereta ini yang dekat dengan rumah juga 
yang akhirnya selesaikan masalah

DENGAR sahaja bunyi itu, orang tak nampak pun tahu bahawa itu kereta saya... Bunyi mengaum itu kedengaran setiap kali saya tekan 'brake' sewaktu mengundurkan kereta. Ketika mengundur sahaja. Saya bersabar dengan kereta, tapi terpaksa lebih bersabar pabila ada mulut selalu sangat berbunyi. Bukan saya tidak berusaha menghilangkan bunyi itu. Setiap kali ke bengkel, saya buat aduan ada bunyi ketika 'brake' sewaktu mengundur. Malangnya masalah tidak selesai. Tiga bulan kemudian ke bengkel lagi untuk servis dan buat aduan sama. Malangnya masih tak selesai juga. Sebelum tiga bulan berikutnya lagi, saya dah order 'brake disc' untuk tayar belakang. Hal ini demikian kerana saya sangka 'brake disc' dah rosak sebab sudah dua kali buat 'skim disc'. Orang kata tak boleh buat tiga kali. Justeru, tiga bulan berikutnya saya ke bengkel lagi untuk servis dan tukar 'brake disc' belakang. Malangnya apabila dah siap, saya lihat 'brake disc' depan yang telah ditukar. Rupanya bengkel silap order. Juruteknik pasang jer. Justeru, saya tukar juga yang belakang dengan tambahan kos dan masa menunggu. Malang lagi apabila dah siap, masalah bunyi brake mengaum tak selesai juga. Masalah mulut berbunyi pun tak selesai juga. SEORANG sahabat lelaki kemudiannya, sewaktu minum pagi di sebuah gerai, beritahu kereta dia ada masalah sama. Tukar 'kabel' di sebuah bengkel, terus tak bunyi sampai sekarang. Selepas minum itu juga saya terus ke bengkel berkenaan. Menurut juruteknik Melayu di bengkel itu, 'brake pad' saya jenis keras dan kualiti rendah. Dia syorkan saya tukar jenis baru dengan kos RM160.00. Alhamdulillah, sampai sekarang tak bunyi lagi. Ironinya saya dah berhabis banyak, di situ cuma seratus enam puluh! Ironinya juga apabila kereta tak berbunyi mulut pun tak berbunyi.  Berbunyilah macam ini: "...dah lama tak dengar bunyi." Kesimpulannya ialah sesetengah orang akan respons apabila nampak atau dengar. Pabila tak nampak dan tak dengar... lu fikirlah sendiri...

Monday, August 24, 2020

Apa Nak Tulis?

 

KATA jangan berhenti menulis!  Mungkin saya perlu menulis ringkas beberapa aktiviti terbaharu supaya saya sentiasa dalam mod menulis.  Kali ini seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, bahawa setiap kali saya nak masuk pejabat nyamuk ikut. Pabila saya keluar dari pejabat nyamuk dah tunggu.  Apatah lagi jika berlama-lama di luar untuk siram pokok atau mencangkul-menanam.  Oleh itu saya perlu selimut seluruh badan supaya tiada ruang sang nyamuk bertenggek atas kulit badan saya.  Selalunya di belakang lengan dan bahagian muka. Kebetulan seorang sahabat baik saya hadiahkan hamper berisi kuih dalam bakul, saya gunakan pembalut itu sebagai selimut pada muka seperti dalam gambar di atas.  Yang hairannya jika saya bertiga atau berempat di situ, saya jua yang jadi tumpuan sang nyamuk....

Friday, July 17, 2020

Jangan Berhenti Menulis

 Buku-buku saya di pejabat

 Buku-buku yang kebanyaknya saya pernah baca

 Buku-buku yang kebanyakannya saya beli, tapi tak sempat baca

Banyak lagi buku yang tidak dipaparkan di sini.

BUKU-BUKU hasil koleksi saya memang banyak.  Buku pertama saya adalah hasil kemenangan peraduan dalam majalah Murni semasa dalam tingkatan lima. Kemudian apabila minat menulis, saya mula membeli. Kemudian beli dan beli lagi.  tajuk buku dibeli terus berkembang bukan setakat cerpen dan novel, tetapi juga buku-buku agama, sukan, masakan, lukisan, kritikan dan sebagainya. Apabila saya mula minat main catur dan terlibat dalam banyak kejohanan, hampir 40 tajuk buku catur saya beli untuk jadi pencatur hebat.  Apabila saya sambung belajar ke peringkat bacelor dan master semakin banyaklah buku diperlukan untuk buat kertas kerja dan  tesis.  Kini menjelang bersara, saya mula pening sebab semua buku yang saya letak di pejabat akan dibawa pulang ke rumah, sedangkan rumah saya kecil dan sempit.  Dua minggu lepas saya terserempak pensyarah yang pernah mengajar saya di UPM semasa pulang dari Isyak di Masjid UPM.  Saya tanya apa yang patut saya buat dengan buku-buku saya yang banyak itu? Sama ada disedekah, serah ke perpustakaan, atau lupus sahaja? Dia tanya saya balik "Engkau dah berhenti menulis ke?"

Monday, June 1, 2020

Akibat Corona Virus Covid19

HARI ini adalah hari yang ke-74 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 5 Mei 2020 akibat pendemik Corona Virus yang kini lebih dikenal Covid19.  Hari ini adalah hari pertama saya berkerja secara fizikal dengan hadir ke pejabat setelah beberapa lama berkerja dari rumah (work from home). Sebab itu juga saya tidak dapat menulis dalam ruangan ini bagi bulan April dan Mei.

Tuesday, March 17, 2020

Buku Untuk Dilupus


Besok (18/3/2020) pejabat akan ditutup hingga 31 Mac 2020 lanjutan Arahan Kawalan Pergerakan akibat merebaknya Kovid19 atau lebih dikenal dengan wabak Korona Virus.  Justeru, saya perlu nukilkan sesuatu sebagai buah tangan bulan Mac ini. Menjelang nak pencen, saya tidak tahu mana nak letak buku-buku saya yang hampir seribu buah itu. Rumah sudahlah hanya sebuah, kecil pulak. Cuma sedekah ke perpustakaan, jual kepada pelajar berkaitan, atau timbang kati untuk kitar semula kertas.  Buat permulaan ini saya ingin melupuskan kira-kira 50 buah buku di atas.  Buku itu dibeli kerana saya ingin gunakan untuk rujukan semasa buat ijazah pertama, iaitu Bacelor di UPM dan Ijazah Master dalam bidang sastera. Ada juga yang dah dibeli dibeli lagi kerana disangka belum ada dalam koleksi.  Buat permulaan saya dah asingkan buku-buku ini, tapi belum ditetapkan cara perlupusannya.

Friday, February 21, 2020

Aktiviti Pertanian di Bulan Februari

FEBRUARI ini dirangkum sebahagian aktiviti pertanian yang saya terlibat. Semestinya di sekitar pejabat kerana rumah di taman perumahan mana ada tanah untuk bercucuk tanam kecuali gunakan pasu atau kaedah pertanian bandaran termasuk fertigasi atau aquakulture...
 Ubi Kayu
PAGI ini saya cabut sepokok lagi ubi kayu. Beratnya hampir 3kg. Semalam pun dah cabut sepokok. Tuan semalam timbang bersih setelah dibuang tanah dan batangnya genap-genap 3kg.

 Kekabu
Musim kekabu datang lagi. Tahun lepas pun musimnya dalam bulan Februari.  Kali ini ternyata lebih lumayan.  Waima saya kait tiga hari dan dapat berkilo-kilo, kali ini tiga orang lain juga dapat habuan.

 Labu Manis/Kuning
Ini kali kedua saya tanam Labu Manis. Jika tahun lepas cuma dua pokok, kali ini lima pokok. Harap-harap menjadi seperti tahun lepas.

 Cili Api Kampung
Pokok ini yang saya beli anak pokok di pasar tani dengan harga RM1.00 (Ringgit Malaysia satu sahaja).  Baru-baru ini saya juga berkesempatan mengambil anak pokok yang banyak tumbuh di bawah pokok cili api kampung di Batu Pahat semasa balik kampung dua minggu lepas.

 Sayur Sawi
Kebetulan saya berkursus cara pertanian fertigasi di Fakulti Pertanian UPM baru-baru ini. Sebaik tamat kursus selamatiga hari, semua peserta dibenarkan bawa balik dua polybag yang siap dipindahkan anak pokok sawi yang ketika itu berukuran dua inci yang masing-masing diajar tanam secara praktikal.  Ramai yang tidak ambil kerana hadir dengan motosikal, justeru saya bawa balik enam pokok. Walaupun tiada sistem paip, pam, dan spageti untuk pengairan, saya bagi juga baja AB secara manual.  Nampaknya hidup subur.

 Daun Kesum
Pokok Daun Kesum memerlukan banyak air dan cahaya yang sederhana, Oleh itu saya tanam dalam bekas polystryn terbuang.

 Lengkuas
Pokoknya sangat rimbun.  Oleh itu baru-baru ini saya gali secara besar-besaran dan hasilnya dapat dibahagikan kepada ramai orang.

 Serai
Serai memang dah lama sangat tidak beli di kedai. Ambil apabila diperlukan memang dapat serai yang segar dan bersaiz besar.

Kantan
Setakat ini saya baru dapat empat kuntum bunga kantan daripada rumpun kantan di sebelah pajabat saya.

Monday, January 27, 2020

Gajet Baru

 Mengambil gambar Bunga Raya sebagai cubaan awal

 Memerang ini tidak menyedari ada orang mengambil gambarnya

 Mengambil gambar burung Puchong dari jarak kira-kira 120 meter

Mengambil gambar burung Bangau dari seberang kolam Danau Pinggiran

MEMPUNYAI sebuah Canon EOS M3 sebenarnya sudah memadai untuk mendapatkan hasil yang tajam dan tidak pecah apabila imej dibesarkan. Tambahan pula apabila kamera 24MP tersebut telah ditambahbaik dengan lens 28-150mm berbanding lens asal 28-55mm.  Bagaimanapun saya masih tidak dapat mengambil gambar rakan-rakan atau pelajar amali di seberang tasik tanpa 'crop', iaitu proses mengedit dengan memotong bahagian yang tidak diperlukan.  Saya juga masih tidak dapat mengambil gambar memerang di tengah tasik atau burung Puchong yang hinggap di dahan pokok kekabu kerana apabila mendekat, semuanya lari.  Oleh itu saya nekad keluarkan sedikit modal untuk memiliki Canon SX740HS yang mampu mencapai 40X optical zoom.  Daripada segi prinsip, memang telah berlaku 'down-grade' daripada kamera mirrorless kepada compact.  Namun kedua-duanya ada kelebihan masing-masing dan boleh diguna mengikut kesesuaian.  Untuk siri pertama ini saya paparkan beberapa hasil tilikan SX740HS tersebut.