Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, March 31, 2009

Nostalgia Port Dickson III

KALI ini tentang perjalanan yang lebih awal lagi. Tarikhnya 4 - 6 Ogos 2006. Hari itu saya menghadiri Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006. Tempatnya di Hotel Le Paris @ Costa Rica di Port dickson, Negeri Sembilan. Saya ke sana dengan berkereta sendiri - Proton Iswara Aeroback berwarna putih. Sebaik sampai petang itu, saya terus mendaftar dan meletakkan beg dalam bilik di tingkat 10. Seterusnya saya turun semula untuk bersiar-siar di gigi pantai. Tak lama kemudian muncul Salman Sulaiman bersama Ariff Mohamad. Gambar berlatar belakangkan Costa Rica di atas diklik oleh Salman Sulaiman kalau tak silap saya kerana hanya dia dan Ariff yang ada di situ. Salman Sulaiman saya cam bukan hanya kerana selalu terpapar dalam akhbar dan majalah Dewan, dia adalah rakan sebilik semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 pada 3 - 6 Jun 2005 di Tanjung Piai, Johor.
Boleh dikatakan inilah bilik hotel yang paling besar dan mahal pernah saya duduk. Bilik tidur ada dua dan bilik airnya cukup besar di samping ruang tamu yang terpapar di atas.

Daripada varandah bilik di tingkat 10 itu, kelihatan landskap yang cantik di bawah. Yaang berjalur biru putih itu adalah tempat berenang atau berendam!


Saya ambil kesempatan ini untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh Hjh Halimah bagi kursus program sarjana sastera dengan mewawancara seorang penulis terkenal, iaitu Ariff Mohamad.

Oleh kerana hari dah petang... malah berhadapan dengan laut, maka saya klik satu pemandangan yang orang Jawa kata 'sunset'. Mungkin tak seberapa, namun itulah sahaja peluang yang ada. Paling penting dalam 'perjalanan' ini ialah pengisian seminar selama tiga hari dua malam ini... malangnya tak dapat dititipkan tika ini....

Wednesday, March 25, 2009

Nostalgia Port Dickson II

SEPERTI yang saya katakan dalam "Nostalgia Port Dickson" sebelum ini, sebelum ke PD pada 6-8 Mac 2009 yang baru lalu, saya telah ke tempat yang sama dengan tujuan yang sama pada 21-23 Mac 2008. Walaupun sama tetapi ada yang tidak serupa. Yang sama antaranya ialah menaiki bot ke pulau untuk persampelan alga dan 'jungle tracking' hutan Tanjung Tuan. Di Rumah Api Tg. Tuan, saya memanjat tangga yang berpusing-pusing hingga sampai ke puncak rumah api itu. Juga ada membuat 'sosial survey' (dengan izin) di Teluk Kemang. Yang tidak sama, kunjungan yang ini ada aktiviti soal selidik di tiga buah pusat latihan tentera.
Di Teluk Kemang

Dengan Komandan
di hadapan kereta kebal

Atas pulau, tidak jauh dari Teluk Kemang
Perlu naik bot untuk sampai ke sini.


Dengan rakan-rakan sekerja.


Ibarat buah baru berputik, tidak dapat hendak dirasa. Ibarat hati baru berdetik, hanya mampu memendam rasa. Namun dokumentasi ini penting perakam nostalgia, lipatan sejarah di hari muka. Ada pertemuan tetap bersua. Ada jodoh tidak ke mana. Eh, ke mana pulak mata pena mengembara. Hilang tujuan seperti alpa. Jika demikian seperti dikata, mohon diri barang seketika. Chewah! Jumpa lagi di Nostalgia PD tiga.

Thursday, March 19, 2009

Kisah Tiga Abdul

SEBERMULA maka tersebutlah sebuah negeri bernama Antah Berantah. Di negeri ini terdapat pantai yang jernih airnya dan putih bersih pasirnya. Kedudukannya tidak jauh dari sebuah teluk bernama Kemang. Tak jauh juga dengan sebuah tanjung bernama Tuan. Diceritakan orang ada seorang tuan puteri yang terlalu baik parasnya. Ada pun tuan puteri selalu ditemani seorang dayang Asmaratul Aini namanya.
Kata sahibul hikayat, tersebutlah ceritera tiga orang pemuda di negeri itu. Seorang bernama Abdul Rah. Orangnya pendiam dan pemalu namun apa sahaja yang diperintah istana pasti dilakukannya. Seorang bernama Abdul Man. Orangnya Agam dan cerah kulitnya. Ramai juga dayang-dayang terpikat akan dia tetapi lari juga kemudiannya. Seorang lagi bergelar Abdul Rus. Orangnya gelap sedikit dan berambut ikal. Hanya raja sahaja yang boleh beri perintah, tidak boleh melalui bendahara mahupun laksamana. Abdul Rah sering rasa rendah diri kerana tidak pandai berenang. Sedang Abdul Man dan Abdul Rus sangat pandai mengalahkan ikan duyung. Abdul Man dan Abdul Rus sering menyakat Abdul Rah.
"Tuan hamba ni tak pandai berenang, siapalah yang suka, ha ha!" kata Abdul Man.
"Jangankan tuan puteri, gadis pingitan pun tak pandang tuan hamba! hu hu!" kata Abdul Rus.
Akan tuan puteri, teringinlah hendak belayar ke pulau sana. Dikhabarkan orang terdapat sebuah ujana impian di pulau itu. Maka sebuah bahtera yang indah siap dibina. Berwarna kuning emas dan merah saga pabila disepuh cahaya. Berpesawat dari hadapan pula. Lalu bertitahlah tuan puteri kepada dayang Asmaratul Aini "Panggillah ketiga-tiga abdul itu guna temankan beta ke sana - tengok siapa yang setia!"
Akan dayang Asmaratul Aini lalu dihantarnyalah es-em-es kepada Abdul Rah. "Datanglah segera tuan hamba ke pantai!". Abdul Rah yang sedang sibuk menyusun daun pandan berbagai motif dan warna - biru dan merah - segera bangkit dan ingin memberi maklum balas. Namun dek terkhilaf tekan butang, pesanan itu tidak dapat dibalasnya. Abdul Rah segera solat Zohor agar dapat segera turun ke pantai. Entah ada sesuatu perintah raja perlu dilaksana.
Dayang Asmaratul Aini segera hantar es-em-es kepada Abdul Rus. Dijawab oleh Abdul Rus "Hamba tak naklah dayang, hamba takut kulit hamba jadi hitam. Nanti orang tak kenal pula."
Dayang Asmaratul Aini hantar pula es-em-es kepada Abdul Man. Dijawab oleh Abdul Man "Hamba tak naklah dayang, hamba takut tumbuh pula teritip kat badan hamba."
Adapun Abdul Rah telah siaplah solat Zohor dan berpakaian basahan lalu segera menuju ke pantai. Abdul Man menegurnya "Rajinnya tuan hamba ini... nanti jangan lupa belajar berenang anjing ya! he he."
Ditegur pula oleh Abdul Rus, "Hai tuan hamba, panas ni! nanti hitam pula kulit tuan hamba! ha ha!"
Akan Abdul Rah, tidak diendahkannya ejekan sahabat-sahabatnya itu. Niatnya ikhlas untuk berbakti kepada raja dan negara. Di gigi air, Abdul Rah lihat laut begitu indah. Mentari yang condong sedikit atas kepada menebarkan cahaya ke permukaan laut yang berombak kecil membuat laut kelihatan seperti ditabur manik-manik bak mutiara layaknya.
"Tuan hamba!" Abdul Rah menoleh ke arah bahtera. "Naiklah bahtera ini, tuan puteri telah lama menanti!" laung dayang Asmaratul Aini seraya melambai-lambaikan tangannya.
Dipendekkan ceritera, maka naiklah Abdul Rah ke atas bahtera. Bersama dayang-dayang pengiring, bergeraklah bahtera berwarna kuning emas merah saga itu menuju ke pulau yang ada ujana impian itu. Sekoyong-koyong bahtera bergerak laju, tak lama terlihatlah Abdul Rah akan sahabat-sahabatnya Abdul Man dan Abdul Rus sedang menghempas-hempas diri dan berguling-gulingan di pantai!
Abdul Rah belayar dengan tuan puteri
bersama dayang-dayang pengiring
menuju ke Ujana Impian di pulau sana....
Wallahu a'lam bissawab wa illahil marji'u wal mahab.

Friday, March 13, 2009

Nostalgia Port Dickson

SEBENARNYA saya ingin titipkan nostalgia ke Port Dickson (PD) pada tahun lepas. Bagaimanapun belum sempat tulis, saya sudah pun ke PD untuk kali kedua atas tujuan yang sama, iaitu kerja lapangan kursus EMG3006 Amali Sains dan Geografi Untuk Pengurusan Alam Sekitar. Tarikhnya pada 6-8 Mac 2009 - minggu lepas. Program pertama ialah dengar taklimat di Majlis Perbandaran Port Dickson. Bagaimanapun saya tidak sertai kerana ada urusan peribadi yang amat mustahak yang tidak dapat dielakkan, saya sampai ke PD jam 5.15ptg dengan berkereta sendiri. Inilah yang dikatakan cahaya bermanik-manik
bak mutiara di permukaan laut
Selepas solat Asar di Stesen Penyelidikan Marin UPM, saya terus ke pantai. Semua pelajar sudah pun berlepas ke pulau berhampiran dengan bot getah. Beberapa orang rakan sudah pun tamatkan aktiviti renang. Lalu saya berendam sendirian. Malam itu setiap kumpulan pelajar bentangkan jenis-jenis alga yang ditemui dengan menggunakan 'power point'.
Trip kali ini agak berbeza kerana saya bertindak selaku jurugambar tidak rasmi apabila saya membawa dua buah kamera. Satu kamera digital Canon Ixus75 dan sebuah lagi kamera digital SLR Nikon D300; 28-200mm zoom lens. Kamera digital Nikon SLR ini ternyata beri pengalaman berbeza. Kebetulan saya pernah mempunyai kamera Nikon FM lama dulu. Antara yang saya suka ialah ambil gambar potret gunakan tele 200mm dengan bukaan apature F5.6 supaya wajah jelas tetapi latar belakang kabur.
Pada hari kedua (7/3/2009), kami mulakan pagi dengan sarapan sebab hujan. Selepas senam robik semua pelajar menuju ke pantai untuk satu amali yang dikendalikan oleh sorang prof. madya. Sekumpulan staf berada atas padang, buat persediaan pengukuran untuk amali petang nanti. Sebagai jurugambar, saya perlu berada di kedua-dua tempat!
Pantai yang penuh sampah

Antara persampelan yang perlu dibuat oleh pelajar ialah mengukur jarak dan kecerunan pantai serta mengambil sampel pasir untuk mengukur saiz pasir dengan menggunakan 'sieve' pelbagai saiz. 'Sieve' tu macam pengayak tepunglah kiranya...
Pantai dibersihkan oleh para pelajar

Pagi Ahad (8/3/2009), iaitu hari ketiga dan terakhir, seawal jam 7.00pg kami semua sudah berkumpul bersenam-robik dengan iringan lagu poco-poco dan 'chicken dance'. Selepas bersarapan kemudiannya, kami bertolak ke Tanjung Tuan.

Di Tanjung Tuan berlatar belakangkan rumah api

Seperti tahun lepas, dengan iringan pegawai ranjer hutan, kami pun menyusur hutan tebal Tanjung Tuan. Banyak kali mendaki dan menuruni kawasan yang curam. Meletihkan. Berdekatan pantai, kami berhati-hati kerana sebulan lepas diberitakan ada buaya di pantai Tanjung Tuan itu. Kami berehat sebentar di Tapak Kaki Hang Tuah sebelum berhenti di Rumah Api Tanjung Tuan.

Mendengar 'kuliah' daripada seorang
peminat burung di Rumah Api Tanjung Tuan

Menarik juga melihat kegilaan peminat burung yang agak ramai di situ. Pantang nampak helang berlegar di angkasa, berlarilah mereka ke sebelah sana. Dapat juga peluang melihat melalui 'view finder' kamera salah seorang mereka. Wah, jauh beza dengan zoom 200mm saya!

Wah, penatnya mendaki dalam hutan...!

Aiskrim ini pelajar yang belanja.
Pabila makan aiskrim begini,
terasa umur baru 18??

Sekeping gambar sama dengan 1000 perkataan
Petik kata Nabil: Lu fikirlah sendiri!

Tak pernah terfikir nak naik
'banana boat' tapi kalau
dah 'jodoh' naik juga....

Sungguh! Saya hanya ingin rakamkan aktiviti sampingan ini sebagai kenang-kenangan mereka semua. Tetapi saya diajak bersungguh-sungguh oleh pelajar untuk mencukupkan orang. Apabila rakan staf mengajak juga, saya tak mampu menolaknya. Dan akhirnya tiga kali kena humban dalam laut. (Masa 'war game training' di Jeram Besu dulu pun, kena humban dalam sungai sekali sahaja). Apa-apa pun tidak semua aktiviti dapat saya kongsikan....

Tuesday, March 3, 2009

Nostalgia Lumut, Perak

BERKUNJUNG ke sesuatu destinasi adalah biasa terutama atas sebab melancong, kedua atas sebab tugas. Sebab yang pertama memerlukan kos yang tinggi. Sebab yang kedua bukan sahaja dapat melancung, malah dapat elaun lebih masa atau elaun perjalanan pula. "Melancung" ke Lumut, Perak mungkin tidak tersenarai sepuluh teratas jika dibuat pilihan. Tetapi banyak tempat berdekatan patut dilawati, iaitu Pulau Pangkor, Pantai Teluk Batik, Pangkalan TLDM, Pusat Penetasan Penyu Segari, Pantai Teluk Senangin, dan Taman Paya Bakau, Manjung. Lawatan ke tempat-tempat inilah yang ingin saya dokumentasikan terlanjur saya tidak lagi menulis diari. Hari pertama saya (29/6/08), saya sudah pun berada di pantai Teluk Senangin yang sangat indah dan jernih airnya petang itu. Pantai berpasir landai ini sangat bersih mungkin kerana kurangnya pembangunan di kawasan ini.


Di Pantai Teluk Senangin


Rombongan kami, iaitu kira-kira 10 orang staf dan 35 orang pelajar Bacelor Pengurusan Alam Sekitar, menginap di Rindu Alam Motel di Kg. Baharu (Lumut) Ayer Tawar, Perak. Besok paginya (30/6/08) dengan bas sewa khas, kami ke Segari. Di sana kami berpecah kepada empat kumpulan untuk melawat reban-reban ayam yang begitu banyak di Segari. Ada yang mudah untuk masuk dan ada yang perlu pakai uniform khas. Kumpulan saya berpeluang naik reban di ladang ternakan ayam kepunyaan En. Ibrahim. Petangnya kami melawat pula pusat pemprosesan ayam Dindings.


Bergambar ramai setelah selesai kajian
Hari ketiga (1/7/08) kami ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, di Lumut. Kami berpecah kepada empat kumpulan untuk menaiki empat buah kapal. Sebelum naik kapal, kami dengar taklimat dalam Dewan KD Malaya. Selepas lawatan itu dan sebelum pulang ke tempat penginapan, kami singgah pantai Teluk Batik untuk makan tengah hari.
Makan nasi bungkus di pantai Teluk Batik
Petang itu di Rindu Alam Motel, saya cuba merakam suasana matahari jatuh menjelang senja. Kami dimaklumkan bahawa jeti berdekatan menjadi tumpuan setiap pagi kerana nelayan mendaratkan ikan dan udang.

Senja di Kg. Baharu (Lumut)
Pada 2/7/08 kami ke Marina Island yang masih dalam pembinaan. Pulau buatan ini adalah sebuah projek mega. Petangnya kami melawat pula Pusat Pengurusan Penyu di Pasir Panjang, Segari. Berbagai maklumat tentang penyu diterangkan oleh pegawai yang menjaganya. Selepas melawat tapak penetasan, kami bermain-main dengan anak penyu. Kemudian kami bermain pula dengan penyu dewasa sambil beri makan ikan dan timun kepada penyu-penyu tersebut.

Di pintu masuk Pusat Pengurusan Penyu

Hari kelima (3/7/08) saya sempat menaiki feri menyeberang ke Pulau Pangkor. Sekejap sahaja saya dan seorang rakan kembali semula ke tanah besar. Tengah hari itu selepas solat Zohor, kami ke Pejabat Daerah Manjung. Dengar taklimat dan bersoal-jawab tentang Taman Paya Bakau Manjung. Saya sempat pegang mikrofon dan berkongsi pengalaman berdasarkan lawatan saya ke paya bakau Tanjung Piai, Pontian semasa perhimpunan penulis muda dulu. Dan sebelum 4.00ptg itu kami semua sudah berada di Taman Paya Bakau Manjung.

Di Taman Paya Bakau Manjung

Hari keenam dan terakhir (4/7/08) kami singgah ke Teluk Batik lagi sewaktu dalam perjalanan balik ke Serdang, Selangor. Kali ini saya tidak lepaskan peluang untuk 'berenang' di pantai Teluk Batik.

Sebelum berenang di air laut di belakang sana

Sampai semula di Serdang, ada tugas perlu diselesaikan. Semua pelajar wajib buat laporan lengkap (assignment) tentang penemuan mereka dan pengurusan alam sekitar yang dicadangkan. Staf pula perlu isi borang tuntutan lebih masa sambil mengumpul nostalgia....