Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Friday, October 30, 2009

Nostalgia Taman Negara Selai

Poster yang dilekatkan di kiri-kanan pacuan empat roda kami

SEMUA yang akan berakhir harus bermula. Untuk bermula itulah yang payah walaupun hanya sedikit catatan diperlukan untuk kenangan alias nostalgia dalam blog ini. Pada 24 Oktober 2009 lalu, bermulalah satu lagi perjalanan. Program yang dinamakan Ekspedisi Saintifik 4x4 Taman Negara Selai disertai oleh 17 orang yang terdiri daripada staf Fakulti Pengajian Alam Sekitar (13) dan NAHRIM (4). Kami menaiki empat buah kereta pacuan empat roda. Kami bertolak pada jam 10.00 malam dari UPM. Dengan bertolaknya itu, bermakna terlaksanalah rancangan yang asalnya pada 23-25 Disember 2006. Halangan yang terjadi pada masa itu ialah berlakunya banjir besar yang dianggap berlaku 50 tahun sekali itu.
Tulisan pada baju T yang saya pakai

Dalam perjalanan malam itu, kami singgah di Tanjung Agas selepas melihat begitu ramai orang sedang memancing di jambatan atas Sungai Muar. Kami juga tidak lepaskan peluang memancing. Ikan yang paling banyak dapat dinaikkan ialah Belukang. Naik juga seekor Senangin dan Buntal. Jam 5.00 pagi, kami meneruskan perjalanan dan singgah sarapan di Felda Chemplak Barat, iaitu di rumah ibu-bapa seorang daripada peserta ekspedisi. Karipap dan mee hoon goring yang dihidangkan memang amat sedap.
Antara spesis tumbuhan yang ditemui

Kami meneruskan perjalanan pada jam 9.00pagi. Tempat pertama perlu singgah semestinya pejabat Taman Negara Johor Endau Rompin (Selai) di Taman Berjaya, Bekok untuk mendapatkan kebenaran memasuki Taman Negara. Akhirnya jam 11.00pg kami sudah melepasi Lubuk Tapah. Enam buah chalet atau pondok disewa dengan bayaran RM10.00 seorang. Dapur juga kami sewa untuk memasak nasi dan mengoring ikan belukang yang kami dapat dari kuala Sungai Muar.
Labah-labah di tepi Sungai Selai

Sesuai dengan namanya; Ekspedisi Saintifik, kami menjalankan beberapa kajian dan mengambil gambar flora dan fauna untuk tujuan dokumentasi. Peserta dari NAHRIM mengukur lebar, dalam, dan laju air sungai Selai untuk mendapatkan jumlah isipadu air yang melalui sungai. Sampel air pula diambil untuk mengukur parameter COD. Saintis dari UPM pula mengambil sampel hidupan akuatik. Pelbagai jenis plankton, kumbang, dan ikan diambil untuk mendapatkan gambaran kualiti air semasa Sungai Selai.
Ada sekumpulan lagi pengunjung Taman Negara Selai

Hari kedua di Taman Negara Selai, kami tidak lepaskan peluang merentas hutan. Saya yang pernah ‘jungle tracking’ di Lukut sebelum ini dapat merasakan perbezaannya. Kali ini laluannya memang amat mencabar kerana banyak laluan yang curam. Maka banyaklah tali disediakan untuk berpaut. Terdapat juga jambatan di atas satu juram. Memandangkan masa terhad, kami tamatkan pendakian setakat Takah Pandan, iaitu satu air terjun yang tipis aliran airnya, tinggi kira-kira 15 meter puncaknya, dan curam hampir 90 darjah sudutnya.
Papan tanda untuk 'jungle tracking'

Pulang semula ke pondok, kami sempat berendam dalam kesejukan air Sungai Selai sebelum bertolak balik pada jam 11.00 pagi. Dalam perjalanan balik, kami singgah Zohor di Masjid Jamek Bekok. Kemudian singgah Balai Polis Bersejarah Bukit Kepong. Kemudian singgah lagi dekat Parit Bunga, Muar untuk menikmati mee bandung dan soto kambing.

Detik-detik terakhir di Sungai Selai, Taman Negara Selai

Thursday, October 15, 2009

Mereka Tidak Tahu

SEMALAM pagi dimulakan dengan hujan yang turun dari langit Serdang sejak sebelum Subuh. Emak dan abah saya di Batu Pahat tentu tidak tahu di sini hujan. Di pejabat, saya lihat rakan-rakan bawa makanan. Ada yang bawa nasi lemak, mee hoon goring, keropok, pisang dll. Mereka tidak tahu saya terlupa. Saya kata biar saya buat air Nescafe panas. Menjelang 11.00pg kami semua mula menjamu selera. Rakan-rakan saya kata sedap sungguh Nescafe yang saya buat. Seorang pensyarah perempuan yang hadir kemudiannya juga kata begitu. Mereka tidak tahu saya sudah sukat termos itu muat sebelas cawan air. Jadi saya bubuh 11 sudu kecil Nescafe dan 11 sudu besar susu.. Mereka semua tidak tahu jam 12.10 th, anak saya hantar mesej minta dijemput di fakulti kejuruteraan. Mereka tidak tahu saya sempat hantar anak saya ke rumah sebab 12.25 th saya ada dalam bilik itu semula. Jam 1.30 ptg saya dijemput makan nasi bariani di bangunan sebelah. Saya makan juga walaupun mereka tidak tahu saya dah kenyang. Rupanya isteri saya juga tidak tahu saya ada jamuan. Dia tunggu saya balik kerana anak saya tidak bagitau walau sudah dipesan tadi. Petang ini saya minta dua orang rakan saya tolong kendalikan kelas amali kerana saya akan terlambat sikit. Mereka tidak tahu sebenarnya saya perlu ke kedai Photostat ambil lima salinan ‘soft bound’ tesis. Mereka tidak tahu saya ke Fakulti Bahasa Moden untuk dapatkan tandatangan komiti penyeliaan atas borang GS15a. Balik ke pejabat saya sediakan ayat-ayat untuk ditulis atas cendera mata perpisahan dua orang pegawai yang kini berkerja di agensi lain. Turun dari tingkat dua, saya ditahan oleh seorang AJK yang sedang sibuk susun kerusi meja untuk majlis besok. Saya cepat kata ‘nak pergi kedai tempah cenderamata’ sambil tunjuk ayat-ayat tadi. ‘Sempatkah?’ tanya dia dan berkata lagi ‘pergilah cepat!’. Dia tidak tahu sebelum ke kedai, saya nak pejabat TNC di tingkat 4 bangunan pentadbiran. Saya perlu jumpa Zainal Abdul Kadir sebelum jam 5.00 ptg. Untuk ambil buku “Citra Takmilah: Analisis Terhadap Kumpulan Puisi Islam” tulisan Maniyamin bin Haji Ibrahim. Penulis buku itu yang nama penanya Nassury Ibrahim tidak tahu bahawa kawan saya itu sudah pinjam buku itu agak lama juga. Buku itu amat menolong saya dalam menyiapkan ‘assignment’ (dengan izin) yang bertajuk ‘Kumpulan Puisi Bahtera Madani: Analisis Citra Takmilah’. Pensyarah tersebut, Dr. Samsina mungkin tahu berdasarkan bibliografi tetapi dia tidak tahu saya dapatkan buku itu terus dari penulisnya semasa Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 anjuran DBP, PENA dan PEN di Hotel Costa Rica, Port Dickson pada 4-6 Ogos 2006. Pukul lima saya sudah di Taman Sri Serdang tempah cenderamata. Dalam perjalanan balik, telefon bimbit berbunyi. Staf perempuan itu tanya tentang dua buah ‘Coolman ice box’ yang minta ditumpangkan dalam kereta untuk tempahan sate 2,500 cucuk untuk besok. Dia tidak tahu saya sudah jengok bilik pejabatnya tadi, tapi dia tidak ada. Hampir ke pejabat, SMS pula masuk ke telefon bimbit. Puan Azna nyatakan tarikh dia mula dan tamat kerja di fakulti dan kenapa tanya?. Dia tidak tahu maklumat itu dah terlambat. Saya sudah pun tempah cenderamata dengan tulisan ‘Sekalung Ingatan, nama dia, dan fakulti. Hakikatnya saya sendiri pun tidak tahu apa yang mereka sedang buat dan apakah tujuannya. Kalau mereka kata buang masa saja baca tulisan ini, pun saya tak tahu.

Sunday, October 11, 2009

Mencari Perkara Tersembunyi

MALAM tadi pukul 11.00 telefon bimbit saya berbunyi nada panggilan berupa lagu raya dendangan Sanisah Huri "Bersabarlah Sayang". Telinga ini kemudiannya mendengar suara anak perempuan saya yang minta dijemput di hadapan Dewan Besar, UPM. Hai budak perempuan ini... keluh saya sambil teringat pernah dua kali dia menunggu keseorangan di tepi jalan malam-malam begini. Deraf tesis yang sedang saya uliti terus ditinggal bersepah dengan buku-buku lain atas katil. Dengan bersicepat kain pelikat disalin dengan seluar panjang. Jam tangan dan kunci kereta terus disambar dan terus keluar. Engin kereta dihidupkan dan pintu gate dibuka. Tanpa tunggu lama kereta saya terus berdesup. Selepas belok kanan belok kiri belok kanan, pusing di bulatan, melepasi lampu isyarat, dan melepasi pengawal keselamatan, saya sampai tempat dituju sejauh 3Km itu. Masih ada beberapa orang pelajar di sekitar. Anak saya tidak ada. Saya terus baca es em es yang masuk sewaktu memandu tadi. Saya eja 'Tpt tggu bs dkt dwn bsar". Fahamlah walaupun ejaannya... Dipendekkan cerita saya pun pulang ke rumah mengikut jalan yang sama. Sampai di rumah apabila saya raba-raba kocek belakang saya dapati dompet saya tidak ada! Wah, baru saya ingat semasa saya balik dari kedai buku jam 9.00 mlm tadi, saya tinggalkan beg duit itu termasuk lesen memandu dan Mykad di atas buku-buku di raknya. Dan ia masih di situ. Mujurlah tidak kena tahan polis di mana-mana tadi. Dan perkara ini tidak perlu diberitahu kepada sesiapa. Perkara ini pun pertama kali berlaku. Perkara ini harus jadi sejarah dan nostalgia.