Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, October 15, 2009

Mereka Tidak Tahu

SEMALAM pagi dimulakan dengan hujan yang turun dari langit Serdang sejak sebelum Subuh. Emak dan abah saya di Batu Pahat tentu tidak tahu di sini hujan. Di pejabat, saya lihat rakan-rakan bawa makanan. Ada yang bawa nasi lemak, mee hoon goring, keropok, pisang dll. Mereka tidak tahu saya terlupa. Saya kata biar saya buat air Nescafe panas. Menjelang 11.00pg kami semua mula menjamu selera. Rakan-rakan saya kata sedap sungguh Nescafe yang saya buat. Seorang pensyarah perempuan yang hadir kemudiannya juga kata begitu. Mereka tidak tahu saya sudah sukat termos itu muat sebelas cawan air. Jadi saya bubuh 11 sudu kecil Nescafe dan 11 sudu besar susu.. Mereka semua tidak tahu jam 12.10 th, anak saya hantar mesej minta dijemput di fakulti kejuruteraan. Mereka tidak tahu saya sempat hantar anak saya ke rumah sebab 12.25 th saya ada dalam bilik itu semula. Jam 1.30 ptg saya dijemput makan nasi bariani di bangunan sebelah. Saya makan juga walaupun mereka tidak tahu saya dah kenyang. Rupanya isteri saya juga tidak tahu saya ada jamuan. Dia tunggu saya balik kerana anak saya tidak bagitau walau sudah dipesan tadi. Petang ini saya minta dua orang rakan saya tolong kendalikan kelas amali kerana saya akan terlambat sikit. Mereka tidak tahu sebenarnya saya perlu ke kedai Photostat ambil lima salinan ‘soft bound’ tesis. Mereka tidak tahu saya ke Fakulti Bahasa Moden untuk dapatkan tandatangan komiti penyeliaan atas borang GS15a. Balik ke pejabat saya sediakan ayat-ayat untuk ditulis atas cendera mata perpisahan dua orang pegawai yang kini berkerja di agensi lain. Turun dari tingkat dua, saya ditahan oleh seorang AJK yang sedang sibuk susun kerusi meja untuk majlis besok. Saya cepat kata ‘nak pergi kedai tempah cenderamata’ sambil tunjuk ayat-ayat tadi. ‘Sempatkah?’ tanya dia dan berkata lagi ‘pergilah cepat!’. Dia tidak tahu sebelum ke kedai, saya nak pejabat TNC di tingkat 4 bangunan pentadbiran. Saya perlu jumpa Zainal Abdul Kadir sebelum jam 5.00 ptg. Untuk ambil buku “Citra Takmilah: Analisis Terhadap Kumpulan Puisi Islam” tulisan Maniyamin bin Haji Ibrahim. Penulis buku itu yang nama penanya Nassury Ibrahim tidak tahu bahawa kawan saya itu sudah pinjam buku itu agak lama juga. Buku itu amat menolong saya dalam menyiapkan ‘assignment’ (dengan izin) yang bertajuk ‘Kumpulan Puisi Bahtera Madani: Analisis Citra Takmilah’. Pensyarah tersebut, Dr. Samsina mungkin tahu berdasarkan bibliografi tetapi dia tidak tahu saya dapatkan buku itu terus dari penulisnya semasa Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 anjuran DBP, PENA dan PEN di Hotel Costa Rica, Port Dickson pada 4-6 Ogos 2006. Pukul lima saya sudah di Taman Sri Serdang tempah cenderamata. Dalam perjalanan balik, telefon bimbit berbunyi. Staf perempuan itu tanya tentang dua buah ‘Coolman ice box’ yang minta ditumpangkan dalam kereta untuk tempahan sate 2,500 cucuk untuk besok. Dia tidak tahu saya sudah jengok bilik pejabatnya tadi, tapi dia tidak ada. Hampir ke pejabat, SMS pula masuk ke telefon bimbit. Puan Azna nyatakan tarikh dia mula dan tamat kerja di fakulti dan kenapa tanya?. Dia tidak tahu maklumat itu dah terlambat. Saya sudah pun tempah cenderamata dengan tulisan ‘Sekalung Ingatan, nama dia, dan fakulti. Hakikatnya saya sendiri pun tidak tahu apa yang mereka sedang buat dan apakah tujuannya. Kalau mereka kata buang masa saja baca tulisan ini, pun saya tak tahu.

No comments:

Post a Comment