Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Saturday, June 29, 2013

Antara Rezeki dan Tuah


PABILA dapat sesuatu di luar dugaan, orang kerap berkata 'rezeki anak-anak!"

Cerita saya pula begini... Baru-baru ini saya hadir mesyuarat agung koperasi.  Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung 8.00pg - 1.00ptg.  Beratus ahli datang dan sahkan kehadiran dengan menurunkan tandatangan.  Tanpa tandatangan, mereka tidak dapat elaun kehadiran. 

Saya hadir untuk pertama kali kerana baru jadi ahli pada tahun lepas.  Mesyuarat Agung ini adalah kali ke-23.  Ramai juga ahli yang terpaksa pulang awal kerana ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.  Saya terpaksa pulang pada jam 12.40 kerana menjemput anak di kolej kediaman pada jam 12.50 dan menjemput seorang lagi anak pada jam 1.00ptg di tempat kerja.  Jadual ini penting dipatuhi kerana jam 2.00 ptg., akan hantar semula seorang ke peperiksaan akhir semester dan seorang lagi masuk kerja semula.

Jam 1.00ptg itulah seorang rakan telefon bertanyakan saya berada di mana?.  Dia kata nama saya baharu sahaja dipanggil untuk cabutan pertama nombor bertuah!  Wah, nak buat camne kan, dah bukan rezeki saya waima nombor saya (2176) bertuah!.  Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa rakan yang telefon saya itu juga bertuah dan naik pentas mengambil hadiah berupa 'vacuum cleaner'.  Hadiah untuk saya (kalau saya adalah) dalam kotak yang agak besar.  hadiah nombor bertuah itu bukan rezeki anak-anak saya juga.


Thursday, June 20, 2013

Antara Batu Asah dan Batu Lesung


SEJAK kecil, malah dalam kelas "Seni Perusahaan" dalam tingkatan empat dan lima saya diajar menggunakan batu asah untuk menajamkan pisau, parang dan pahat.  Batu asahlah antara peralatan yang paling penting dalam kelangsungan hidup. Uniknya apabila orang di rumah saya lebih suka menggunakan batu lesung untuk menajamkan mata pisau.  Letaklah kedua-duanya berdekatan, pasti batu lesung juga akan digunakan. Jika saya berada dalam hutan, dan memang tiada batu asah, baharulah batu yang seakan-akan batu lesung digunakan, ibarat tiada rotan akar pun berguna.

Friday, June 14, 2013

Tetiba Terfikir


LAMA dulu saya sangka jika lambat sahaja jolok buah Sukun, akan dimakan oleh burung. Beberapa kali saya lihat burung terbang dari buah Sukun sewaktu saya mampir ke pangkal pokoknya.  Dan didapati buah Sukun itu telahpun kerewak/berlubang.

Kemudian orang di rumah saya beberapa kali pula mengadu bahawa buah Sukun yang saya bawa balik itu sebenarnya berulat di dalam dan tidak boleh dimakan.  Hairan juga kerana nampak kulit luar elok sahaja...

Hanya baru-baru ini saya terfikir bahawa sebenarnya burung itu tidak makan Sukun, tetapi mencari ulat-ulat daripada buah Sukun tersebut.