Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, September 8, 2016

Catur Penyumbang Pingat Emas


 Sedang menerima pingat gangsa
 Pemenang Emas, Perak dan Gangsa bergambar ramai

SESUAI dengan konsepnya sejarah dan nostalgia, maka kali ini pun saya paparkan apa yang telah berlaku sebulan lepas.  Pada 6-13 Ogos 2016 saya telah mewakili UPM menyertai Kejonan Sukan Staf Malaysia (SUKUM 2016) di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.  Sukan yang saya terlibat adalah Catur.  Pencapaian peribadi, saya cuma dapat 4.5 mata daripada 9 perlawanan.  Pasukan Lelaki pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga.  Bagaimanapun pasukan Perempuan berjaya merangkul Perak dan seorang pemain perempuan berjaya memperolehi emas individu terbaik menjadikan satu-satunya Emas diperolehi UPM disumbang olehi pasukan Catur!

Friday, August 26, 2016

Kundasang Aku Datang

 Bermain dengan ikan Kelah di "TAGAL"
 di kawasan Air Panas Poring
 di D'IZZ Homestay Kundasang berlatar-belakangkan Gunung Kinabalu
di Rumah Terbalik Tamparuli

SESUATU yang perlu dirakamkan sebagai sejarah untuk menjadi nostalgia ialah sesuatu yang sukar untuk mencapainya. Justeru perjalanan ke Kundasang, Sabah pada 29-31 Julai 2016 sewajarnya diabadikan di ruang ini.  Subuh 29hb. menaiki kapal terbang Air Asia dari KLIA2 ke Kota Kinabalu, Sabah.  Petangnya menginap di D'IZZ Homestay Kundasang.  30hb. bergerak ke Desa Dairy Farm.  Kemudian ke TAGAL Sg. Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau.  Kemudian ke Poring Hot Spring (Kinabalu Park), Ranau.  Hari terakhir 31hb. dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu, singgah Rumah Terbalik Tamparuli.  Di Kota Kinabalu, selepas membeli-belah di pasar Philiphines, ke Lapangan Terbang KK. Penerbangan lewat satu jam dan hampir sepanjang pernerbangan cuaca dimaklumkan bergelora.  Alhamdulillah selamat sampai KLIA2 kira-kira jam 11.00 malam.

Friday, August 19, 2016

Jamuan Raya


APA guna ada kamera kan kalau tidak snap gambar.  Justeru 'task' pertama saya adalah snap gambar pada majlis jamuan hari raya aidil fitri peringkat Jabatan dan peringkat Fakulti... Jamuan raya peringkat JPAS berlangsung pada 1/8/2016.  Jamuan peringkat Fakulti kemudian daripada itu.


Thursday, July 28, 2016

Kamera Baru



MASA semakin suntuk.  Dengan kata lain "sisa-sisa waktu" seperti tajuk cerpen kanak-kanak yang pernah saya buat lama sangat dulu-dulu.  Maksud saya sekiranya sasaran saya sekurang-kurangnya satu entri sebulan maka sasaran saya akan tersasar jika tiada apa-apa tulisan bagi bulan Julai ini.  Oleh yang demikian, kali ini saya terpaksa berkongsi tentang kamera. Minat saya terhadap kamera sejak remaja.  Kali pertama beli kamera Nikon FM pada tahun 1983 (lebih kurang.). Selepas itu bermacam-macam kamera sudah dibeli terutama yang berharga sederhana ikut kemampuan dan menghasilkan gambar yang baik berkualiti kalau boleh.  Rasanya kamera lama menggunakan filem negatif terutama Kodak ASA100 lebih cantik gambarnya. Kamera Digital compac memang tidak boleh lawan kamera jenis DSLR.  Mengambil kira kos yang tinggi dan saiz kamera agak besar dan berat, akhirnya kini saya beralih kepada kamera 'mirrorless'.  Kali ini memang 'all-out' (dengan izin) kerana harga Canon M3 ini hampir 2.5k..Harapan saya dapat menghasilkan gambar yang cantik, jelas, tajam dan berseni untuk kepuasan hati dan mengembirakan rakan dan keluarga yang saya snap gambar mereka.

Friday, June 3, 2016

Sebelum dan Selepas


 Sebelum
Selepas

DENGAN bermodalkan RM1.40, iaitu membeli sebatang berus cat, dapat menyusun semula mug atau cawan daripada berterabur tidak tersusun menyemakkan mata.  Untuk membuat rak ini, apa yang diperlukan dan sudah ada ialah papan terbuang daripada kayu katil, gergaji untuk memotong, tape untuk mengukur, dan baki cat lama berwarna putih yg masih elok.  Cuma berus cat yang tidak ada.  Justeru, inilah hasilnya....

Friday, May 20, 2016

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016


 Kunjungan pertama

Kunjungan kedua

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur telah pun berlangsung pada 29/4/16 - 9/5/16 di MAEPS, Serdang.  Bermacam cerita, komen dan pandangan boleh dibaca dan didengar.  Bagi saya yang tinggal di Serdang, ibarang orang mengantuk disorong bantal.  Berpeluang berkunjung ke PBAKL ini dua kali.  Kalau di PWTC mungkin saya tidak sampai.   Jauh.  Juga masalah-masalah lain.  Justeru, bagi mereka yang dulu mudah sekarang sukar, saya faham.  Kunjungan pertama, saya singgah booth Dewan Bahasa dan Pustaka.  Berkesempatan jumpa rakan penulis, staf DBP, iaitu Azimin Daud dan menjadi ahli Rakan DBP.  Beli buku "Berbalas Pantun Mandala Sukma" tulisan Azimin Daud, buku "Rumpai Laut Malaysia" kerana ada kaitan dengan bidang tugas, dan "Penenun Cinta".  Kunjungan kedua singgah booth Utusan Publication beli buku "Kalau Kita Menjadi Kayu", "Di Bawah Kerdip Lampu Di Atas Pentas Itu" dan "Buku Kekasih".

Tuesday, May 10, 2016

Botol dalam Botol dalam Botol


KADANG-KADANG selepas mendapat suatu idea, kita akan dapat idea lanjutan yang mungkin lebih baik lagi. kali ini botol 500ml dimasukkan ke dalam botol 770ml, kemudian dimasukkan lagi ke dalam botol 1500ml. Lebih banyak ruang dapat dijimatkan.  Sebagai pencerahan, aktiviti ini adalah untuk tujuan kitar semula. Di tempat saya ada satu pusat pengumpulan yang diberi nama 'Waste Bank' yang dikendalikan oleh sekumpulan pelajar.

Sunday, May 8, 2016

Botol dalam Botol


KEBELAKANGAN ini saya bermasalah untuk muatkan 1kg botol plastik ke dalam satu karung. Tidak muat. Mengingat suatu falsafah bahawa jika kita berhadapan masalah maknanya kita berpeluang menyelesaikan masalah tersebut, maka terfikirlah sesuatu yang mungkin "commone sense" bagi sesetengah orang, iaitu masukkan botol kecil ke dalam botol besar.  Tapi bagaimana? Mana muat jika mulut botol besar itu kecil sangat?.  Potong botol!.  Ya, botol plastik mudah dipotong dengan menggunakan pisau tajam.  Potong bahagian bawah botol besar tetapi jangan sampai putus.  Kemudian masukkan botol kecil dari bawah dan tutup semula.  Hasilnya saya berjaya membungkus botol plastik dengan sempurna dan seragam, iaitu 1kg setiap karung.

Thursday, April 28, 2016

Juara Kampung Tersungkur di MMU


SEBAGAIMANA maksud entri sebelum ini, bahawa untuk menang dalam kejohanan besar memang payah.  Ramai cerdik-pandai berpengalaman menyertai kejohanan besar.  Oleh itu pabila "juara kampung" masuk bertanding di "Multimedia University Cyberjaya Open Chess Tournament 2016" pada 24 April 2016 baru-baru ini, maka tewaslah jawabnya.  Tapi tidak mengapa.  Itu kan pengalaman namanya... Dapat juga sijil penyertaan dan kenalan baru pemain catur.

Wednesday, April 13, 2016

Akhirnya Menjadi Juara Catur


MENANG hadiah kedua atau ketiga mungkin lebih bermakna jika menyertai kejohanan besar atau berprestige.  Bagaimanapun menjuarai kejohanan catur ini besar maknanya bagi diri saya kerana inilah kali pertama menjadi juara.  Lagipun Karnival Sukan FPAS 2016 ini dibuat secara rasmi pada 3 April 2016 di Stadium UPM, Serdang.  Sukan lain yang turut dijalankan ialah ping pong, dam haji, badminton, dan bola jaring.  Pendek kata, sangat meriahlah karnival yang bermula jam 7.30pg dan tamat jam 6.00 petang ini.  Oleh sebab semua sukan dijalankan serentak, maka saya terlepas peluang untuk beraksi dalam acara ping pong.

Wednesday, March 16, 2016

Ada Apa Dengan Diari


TIDAK ada apa sangat sebenarnya, cuma kebetulan hari ini saya nak baca dan menghayati sebuah cerpen.  Lama sudah tidak baca cerpen kerana sebab-sebab yang peribadi yang mustahak yang tidak dapat dielakkan.  Dan kebetulan juga, cerpen yang ada atas meja saya bertajuk "Diari" tulisan Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir.  Cerpen ini baru tersiar dua hari lepas dalam Sanggar Sastera Berita Minggu BH.  Kebetulan pula terdapat fakta yang menyamai diri ini seperti yang diwarnakan kuning dlm gambar di atas, iaitu "Dari rumahnya di Serdang." dan "membeli sebuah diari berwarna biru."

Friday, March 11, 2016

Penglibatan dalam Bidang Sukan


SEPERTI yang dinyatakan sebelum ini bahawa saya akan sertai apa sahaja bidang sukan jika berpeluang, maka pada 5 Mac 2016 baru-baru ini saya telah menyertai "Canselor Chess Tournament (Check or Checkmate) sempena Putra Canselor Carnival (5th PCC):Color Up Your Life pada 4-6 Mac 2016. Dipendekkan cerita, selepas enam pusingan, saya dapat 4 mata.  Ini menjadikan saya sudah berpuas hati lalu leka di zon selesa.  Sewaktu hampir menang di pusingan ketujuh atau terakhir, saya umpama pemain bola sepak tersepak bola ke gawang sendiri.  Istilah paling tepat dalam permaianan catur ialah 'Big blunder'. Lalu saya terlepas peluang menjuarai kategori veteran.  Bolehlah anggap ini sebagai satu tragedi bagi saya dalam permainan catur.

Monday, February 29, 2016

Antara Penglibatan dengan Kerjasama


SEMASA Kursus Kepimpinan dan Pembangunan Budaya Inovasi Kreatif 2011 di Gold Coast Resort, kami disoal oleh penceramah motivasi, mana yang lebih penting antara penglibatan dengan kerjasama? Lalu kami diterangkan bahawa penglibatanlah yang penting, bukan kerjasama.  Begitu juga dengan kejohanan bowling anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan tempat kami bekerja.  Saya memilih untuk terlibat atas semangat kesukanan, jalinan ukhwah, dan tali silatturrahim.  Memang terlibat dalam sukan bukan keutamaan bertugas 8-5, tetapi terkandung makna tersirat disamping semangat ukhwah terzahir.  Secara peribadi, bowling adalah pembuka tirai 2016, penglibatan dalam bidang sukan.  Harap-harap dapat terlibat dalam kejohanan catur, ping-pong, dan bola tampar sepanjang tahun 2016 ini.

Friday, February 19, 2016

Antara Menulis dengan Membaca


SEORANG sahabat saya kata bahawa saya telah meninggalkan dunia penulisan. Saya terkedu dan terharu dengan kenyataan ini.  Memang sudah lama saya tidak menulis cerpen, tetapi sekurang-kurangnya saya masih menulis dalam blog ini.  Walaupun saya agak meninggalkan dunia penulisan, tetapi saya masih dengan dunia pembacaan. Buktinya dalam tempoh empat hari ini saya telah membeli semua buku-buku di atas. Tanggapan lain pula boleh dibuat, iaitu beli sahaja tapi tidak dibaca apa gunanya kan. Memang benar.  Dan saya tidak mahu lagi berbentengkan tanggapan...

Tuesday, January 19, 2016

Antara Sunan Cinta Nan Sakti dengan Bagaikan Puteri

"Bagaikan Puteri" terbit 2005 adalah sambungan kepada "Sunan Cinta Nan Sakti" terbit 2015

TULISAN kali ini saya tujukan kepada beberapa orang, iaitu rakan penulis; Zainal Abd Kadir, rakan catur; Omar Abd Hamid, dan penulis buku tersebut; Ramlee Awang Murshid.

ZAINAL Abd Kadir, buku "Bagaikan Puteri" saya beli pada tahun 2005 selepas membaca ulasan dalam blog saudara.  Saya tak begitu ingat, tetapi tulisan sdr menyatakan kehebatan buku ini dan kehebatan penulisnya yang mampu mengarang karya sedemikian rupa, justeru saya berusaha mencarinya di kedai buku.

OMAR Abd Hamid, saudara begitu berminat mengkaji kehidupan Laksamana Hang Tuah.  Antara pendapat sdr, Laksamana Tuah berasal dari Kelantan berdasarkan senjata kapak yang digunakannya semasa kecil.  Sejarah tak pernah bercerita tentang Laksamana Sunan.  Justeru, saya cadangkan sdr cuba baca "Bagaikan Puteri".

RAMLEE Awang Murshid, setelah membaca karya tuan yang terbaharu, iaitu "Sunan Cinta Nan Sakti", tuan sebenarnya telah memaksa saya membaca dan menghayati kembali "Bagaikan Puteri" walhal saya berazam taknak lagi baca karya tuan sebab banyak lagi kerja lain saya nak buat.  Saya terpaksa baca semula "Bagaikan Puteri" kerana ia adalah sambungan kepada "Sunan Cinta Nan Sakti" waima "Bagaikan Puteri" telah diterbitkan lama dulu...