Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Sunday, September 30, 2012

Nostalgia Longan

ANTARA pokok buah dengan pokok hiasan, mana yang lebih penting. Mungkin kedua-duanya penting bergantung kepada tujuan penanamannya.  Melihat pokok-pokok Bungo bersebelahan pejabat saya, terdetik di hati ini, alangkah baiknya kalau pokok itu pokok buah mata kucing atau pokok buah longan..., boleh juga dimakan buahnya.  Saya melihat buah longan di pasar malam persis yang terdapat bergayutan di pokok Bungo tersebut.  Walaupun tak boleh dimakan, pokok Bungo ini akan berbunga penuh, berwarna merah muda dengan saiznya yang agak besar.

Wednesday, September 12, 2012

Nostalgia Rambai

RAMBAI adalah satu daripada jenis buah-buahan yang boleh digolongkan sebagai nadir, iaitu buah yang sukar untuk didapati. Tidak menghairankan jika ramai golongan muda yang tidak pernah merasa keenakan buah rambai.  Rambai sedap dimakan dengan bijinya sekali. Jika dimakan dengan membuang bijinya, rambai akan terasa masam waima sebenarnya ia manis.  Pokok rambai pula, apa yang saya pernah nampak terdapat dua jenis, iaitu pertama, jenis pokok yang rendang, banyak cabang berbentuk horizontal dan kanopinya lebar seperti pokok duku.  Kedua, jenis pokok yang tinggi dan cabangnya berbentuk vertikal seperti pokok langsat.

Semasa zaman kanak-kanak, di sebelah rumah saya ada sepohon pokok rambai jenis yang kedua itu.  Setiap kali musim berbuah, maka lebatlah buahnya dan menarik perhatian untuk memanjatnya.  Pokok setinggi 40 - 50 kaki itu sukar dipanjat kerana terpaksa letak kaki di celah pangkal dahan dengan batang pokok yang sempit kerana dahan yang berbentuk vertikal itu.  Pabila diingat-ingat semula, rasa bersyukur kerana tidak jatuh.  Sekarang, selepas lebih tiga puluh tahun, jika diupah seribu pun, rasanya tidak akan panjat pokok serupa itu.  Sebab itulah jika terjumpa orang menjual rambai di mana-mana pasar malam, pasti saya akan membelinya.