Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Tuesday, September 10, 2019

Mendaki Gunung Stong

 Artikel bertajuk "Stong Cabar Pendaki" dalam BH

 Di kaki Gunung Stong

 di pertengahan Gunung Stong

Di puncak Gunung Stong

BULAN lepas dalam BH disiarkan sebuah artikel bertajuk "Stong Cabar Pendaki" oleh Nor Amalina Alias. Sudah tentu dengan segera menggamit nostalgia saya ketika mendaki Gunung Stong tersebut pada 2 Julai 2010 dulu. Malahan gambar yang saya letak di atas sekali blog ini dengan tajuk "Mendaki" dan caption "Usaha tangga jaya" adalah satu daripada gambar yang saya klik sepanjang aktiviti itu.  Saya setuju sangat dengan kata "cabar" oleh Nor Amalina itu kerana pernah merasa sendiri cabaran yang dihadapi ketika mendaki Gunung Stong. Ditambah lagi dengan iringan lagu"Ingat Mati" Waliband daripada telefon bimbit seseorang. Paling mengembirakan apabila kita berjaya sampai ke puncak Gunung Stong.

Peluang mendaki Gunung Stong timbul apabila saya terlibat mengiringi sekumpulan pelajar UPM menjalankan kerja lapangan selama enam hari daripada 30 Jun 2010 hingga 5 Julai 2010 di sekitar Gua Musang, Kelantan. Sepanjang tempoh itu kami tinggal di Kem/Taman Etnobotani KESEDAR.  Selain Gunung Stong, kami berpeluang melawat Stesen Keretapi Gua Musang dan berakit di Sungai ketil. Berakit menggunakan bot dengi melintasi Taman Wangi dan terus hingga belakang bangunan KESEDAR. Pada hari terakhir selain singgah beli strawbery di Cameron Highlands, kami singgah Sekolah Kebangsaan Pos Broke, Gua Musang berinteraksi dengan guru-guru dan pelajar-pelajarnya.

Wednesday, October 3, 2018

Semut Charlie


DALAM akhbar Utusan Malaysia bth 29/9/2018 tersiar berita dua kanak-kanak 'diserang' semut Charlie.  Berita ini mengingatkan saya kepada beberapa peristiwa dan persoalan.  Pertama, kanak-kanak ini menjadi mangsa Charlie di Pekan, Pahang.  Saya sendiri kena serangan kayap untuk pertama kali ketika berada di Pekan, Pahang.  Ketika itu saya menyertai Kejohanan SUKUM UMP 2018.  Saya menginap di asrama sejak hari Ahad.  Empat hari kemudian, iaitu hari Khamis ketika bangun tidur saya dapati ada kesan merah selebar dua jari di bahagian kiri dada.  Hari Jumaat setelah kembali ke Serdang, Selangor, kemerahan itu telah merebak hingga ke bahagian belakang badan. Segera saya berjumpa doktor di Pusat Kesihatan Universiti.  Doktor sahkan saya terkena virus kayap dan mengarahkan saya makan pil Acyclovir 400mg untuk lima kali sehari selama seminggu, iaitu ubat merawat Herpes Simplex Virus.  Juga ubat sapu Vicide Cream 5%/Acyclovir 10g.  Kayap ini bukan saja merah malah mengerutu seperti jerawat batu, rasa gatal dan sakit apabila tersentuh.  Ketika itu saya tidak tahu puncanya ialah Charlie.  Saya hanya tahu kemudian apabila anak menantu saya kata saya digigit Charlie dan bertanya "ada sawah ke di Pekan, Pahang?" Saya semakin yakin dengan kenyataan itu selepas tular di internet bahawa semut Charlie boleh dijumpai di sawah padi, padang, dan hutan.  Semut Charlie juga dikenali sebagai Rove Beetle atau semut Semai atau Semut Kayap.  Dalam badannya ada toksin atau racun yang dipanggil 'pederin' yang racunnya berkali ganda racun ular Tedung. Persoalannya bolehkah dinamakan semut kerana Charlie boleh terbang.  Kedua, anak saya sendiri pernah digigit Charlie di asramanya di Permatang Pauh awal tahun ini.  Mungkin ada bezanya antara digigit dengan terkena cecair badan Charlie.  Apapun awaslah serangan Charlie @ Rove Beetle.  Ini pesanan dari Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.  Antara caranya ialah tutup semua pintu dan tingkap pada waktu malam, pasang jaring halus jika perlu, dan tutup lampu kerana Charlie suka cahaya lampu.

Wednesday, September 12, 2012

Nostalgia Rambai

RAMBAI adalah satu daripada jenis buah-buahan yang boleh digolongkan sebagai nadir, iaitu buah yang sukar untuk didapati. Tidak menghairankan jika ramai golongan muda yang tidak pernah merasa keenakan buah rambai.  Rambai sedap dimakan dengan bijinya sekali. Jika dimakan dengan membuang bijinya, rambai akan terasa masam waima sebenarnya ia manis.  Pokok rambai pula, apa yang saya pernah nampak terdapat dua jenis, iaitu pertama, jenis pokok yang rendang, banyak cabang berbentuk horizontal dan kanopinya lebar seperti pokok duku.  Kedua, jenis pokok yang tinggi dan cabangnya berbentuk vertikal seperti pokok langsat.

Semasa zaman kanak-kanak, di sebelah rumah saya ada sepohon pokok rambai jenis yang kedua itu.  Setiap kali musim berbuah, maka lebatlah buahnya dan menarik perhatian untuk memanjatnya.  Pokok setinggi 40 - 50 kaki itu sukar dipanjat kerana terpaksa letak kaki di celah pangkal dahan dengan batang pokok yang sempit kerana dahan yang berbentuk vertikal itu.  Pabila diingat-ingat semula, rasa bersyukur kerana tidak jatuh.  Sekarang, selepas lebih tiga puluh tahun, jika diupah seribu pun, rasanya tidak akan panjat pokok serupa itu.  Sebab itulah jika terjumpa orang menjual rambai di mana-mana pasar malam, pasti saya akan membelinya.


Thursday, April 1, 2010

Buku oh buku

PABILA hambatan begitu banyak, memang sukar untuk meluangkan masa membaca buku terutama yang tergolong dalam kategori buku pilihan kerana keutamaan adalah kepada buku yang wajib dibaca, iaitu bersangkutan dengan peperiksaan, penyediaan assignment, kertas projek atau pun tesis. Justeru ada pengalaman dalam hal ini, ingin dikongsikan suatu nostalgia yang mungkin baik atau tidak baik untuk difikirkan sendiri.

Masa itu memang tengah sibuk dengan pelbagai komitmen, iaitu menyiapkan tesis, komitmen tempat kerja, komitmen keluarga dan pelbagai peristiwa di luar jangka. Oleh itu membaca novel adalah pillihan berbanding meneliti bahan bacaan akademik dan buku-buku agama. Novel pula semakin banyak dibeli terutama ketika menghadiri diskusi buku, seminar dan bengkel. Tak kan novel itu hanya disusun dalam gerobok untuk hiasan? Lalu novel Manikam Kalbu tulisan Faisal Tehrani dan Di Sebalik Mentari Jingga tulisan W.B. Rendra dicapai untuk dibaca dan dihayati. Bermula pada 11/11/2007 setiap novel dibaca bergiliran sebanyak sepuluh halaman sehari.
Novel Di Sebalik Mentari Jingga mengandungi 268 halaman. Sepatutnya dapat dibaca dalam tempoh 27 hari. Bagaimanapun atas urusan peperiksaan PTK, Dinner Masputra, dan ekspedesi ke Tasik Kenyir, lima hari tak dapat baca menyebabkan novel ini habis dibaca pada 13/12/2007, iaitu dalam tempoh 32 hari! Begitu juga dengan Manikam Kalbu. Manikam kalbu yang mengandungi 364 halaman dapat dihabiskan dalam tempoh 36 hari. Makna kata dua buah novel dapat dibaca dalam tempoh lebih kurang sebulan.

Sebagai catatan, kedua-dua buah novel ini terdapat tandatangan penulisnya dengan kata-kata hikmat. Manikam Kalbu diperolehi melalui Pn. Nisah Hj. Haron melalui pos pada 7/11/2007 sementara Di Sebalik Mentari Jingga diterima dari penulisnya sendiri juga melalui pos tetapi ditandatangani oleh penulisnya pada 7/11/2007. Pada masa ini, novel yang sedang dibaca ialah yang telah dibeli pada lima tahun lepas. Tidak mahu dinyatakan di sini kerana penulis terkenal itu mungkin akan rasa marah, kecil hati atau kecewa walaupun nanti terubat luka apabila novel itu akhirnya dihayati jua....

Thursday, May 28, 2009

Sabar dan Syukur

NOSTALGIA ini menggamit memori minggu lepas ketika terdengar ceramah Ustazah Nur Bahyah di televesyen.
Masa itu saya berumur kira-kira 15 tahun. Tinggal di sebuah kampung sejak kecil. Suatu hari saya sedang menaiki basikal dari rumah menuju ke arah simpang tiga di jalan besar. Suatu ketika saya berselisih dengan seorang budak perempuan. Saya tak ingat sama ada dia naik basikal atau jalan kaki. Tiba-tiba dia berkata "SS". Saya terkejut dan amat tersentuh. Anak siapakah budak perempuan yang saya tidak kenali itu tergamak berkata begitu? Saya tak kata apa-apa pun, hanya berpapasan!. Adakah "SS" itu bermakna syok sendiri? Sejak hari itu saya bertekad tidak akan menegur atau "mengacau" bebudak perempuan. Saya takut dikata "SS". Akibatnya saya tidak akan ada rakan perempuan kalau tidak budak perempuan itu tegur saya dulu. Malah isteri saya sekarang pun dulu dialah yang "kacau" saya dulu. Itu pun saya respons selepas tiga tahun kemudian. Minggu lepas Ustazah Nur Bahyah kata "SS" itu adalah sabar dan syukur. Baharulah saya seronok mendengarnya. Kita harus bersabar dalam menempuh ujian daripada Allah Azzawajalla. Kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya jika... kita melihat orang tak lulus SRP pun boleh pakai Mesedes sedangkan kita ada ijazah kelas pertama pun tidak punya apa-apa lalu mengeluh, maka bermakna kita tidak bersyukurlah tu. Untuk rasa bersyukur janganlah tengok ke atas. Tengoklah pula ke bawah. Tengok kesusahan orang yang membongkar tong sampah untuk mencari rezeki. Tengok orang yang menderita terperangkap dalam kancah peperangan. Tengok orang yang sedang sakit tenat di hospital. Akhirnya selepas 30 tahun barulah saya tahu makna "SS", ialah "Sabar" dan "Syukur"!