Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, December 19, 2013

Kreativiti Ala-ala MacGyver

MINGGU lepas saya pegang sekeping diskette yang saya ambil dari bilik di tingkat 2 ke bilik saya di blok lain.  Sepanjang perjalanan itu ada tiga orang menegur dengan nada yang sama: "hoi, zaman sekarang orang dah tak guna diskette lagilah!". Saya cuma tersenyum.  Itu memang benar kerana untuk copy sekeping gambar digital pun tak muat dalam sekeping diskette yang berkapasiti 1.44MB.  Sekeping gambar pun kurang-kurang bersaiz 2MB.
 Tujuan saya ke atas diskette itu ialah untuk digunakan bagi menampal galah yang patah.  Galah itu patah kerana terhempap sebatang dahan pokok sukun.  Kreatif ala-ala MacGyver ini, ialah gunakan apa sahaja yang ada di sekeliling.  Kebetulan saya ada gam 'Vevcon 2 Ton Epoxy-Clear' baki repair kereta.  Ada tali benang berkekuatan 84kg yang saya guna untuk memancing.
Mula-mula ambil kepingan logam tipis pada diskette.  Kemudian bancuh gam dan sapu pada bahagian yang patah.  Lepas itu tampal dengan kepingan logam daripada diskette tadi.  Besoknya ikat tampalan tadi dengan menggunakan tali benang dengan cara ikatan permati (boleh tengok Youtube bagaimana cara ikatan ini). Kemudian gam sekali lagi supaya lebih kuat.  Hasilnya telah diuji.  Galah boleh digunakan lagi.

Wednesday, December 18, 2013

Kreativiti Batang Pancing Menjadi Galah

DI SEKELILING rumah kita, atau rumah jiran, malah di kawasan tempat kerja, kadang-kadang ada pokok buah-buahan.  Malangnya apabila tiada galah, kita boleh tengok sahaja buah yang masak ranum di dahannya.  Justeru, inovasi berikut boleh dicuba:

 Dapatkan joran saudara kita yang dah tak guna lagi tu, atau beli saja yang baru dengan harga sekitar RM45.00 di kedai pancing.  Pastikan ia adalah joran jenis teleskopik atau antena yang boleh ditarik keluar menjadi panjang atau ditolak ke dalam menjadi pendek.
Buang 'section' paling hujung kerana ia lembut/mudah melentur.  Dapatkan sabit kecil di kedai 'hardware' dengan harga sekitar RM6.00.  Ikat sabit pada hujung batang joran dengan menggunakan getah belada atau getah tayar motor.


Akhirnya siaplah galah untuk kait buah sukun.  Bukan sahaja sukun, boleh juga kait buah manggis, rambutan, ciku, mangga dll.  Galah ini boleh disimpan dalam boot kereta.  Kalau balik kampung, boleh pula guna di sana. Kalau nak galah yang lebih panjang, belilah batang pancing yang lebih panjang, tapi harganya pun lebihlah sikit.  Selamat mencuba!

Tuesday, December 17, 2013

Kreativiti Buku Menjadi Catur

DAYA kreatif tidak terhad kepada keupayaan seseorang menulis cerpen, novel dan sebagainya.  Kali ini saya ingin kongsikan kreativiti saya menjadikan buku terpakai kepada papan catur yang tersembunyi.  Pertama sebuah buku lelong dengan harga RM5.00.  Buku ini saya potong bahagian dalam, kemudian masukkan papan catur kecil yang boleh muat.  Tiada siapa sangka ianya adalah papan catur sehingga membukanya.  Buku(dam catur) ini saya buat pada 25/3/2005.


Kedua, buku dam catur ini saya buat lebih awal dari yang di atas, iaitu pada 12 Julai 1990. Apa yang diperlukan ialah sebuah buku nota kulit tebal, dam catur kecil yang ada banyak dijual di kedai, beberapa keping besi tipis, dan magnet.  Tebuk buku mengikut ukuran dam catur dan tampal papan catur dengan gam.  Bahagian tepi boleh diletakkan magnet supaya buku ini sentiasa tertutup rapat atau tidak mudah terbuka.


Friday, November 8, 2013

Joranku Terjun Kolam dibuatnya

JIKA pada entri bth 4/9/2013 saya tulis tentang joran saya patah dibuatnya, kali ini saya nak cerita tentang joran saya terjun ke dalam kolam.  Hal ini terjadi pada hari Khamis 31 Okt. 2013.  Hari itu saya ambil cuti rehat untuk berehatlah, tapi berehat di tepian kolam Danau Pinggiran Putrajaya.  Saya cuma nak pinjam kolam tu dalam dua jam sahaja dengan kos RM10.  Namun baru satu jam duduk dah dapat tiga ekor Pacu dan seekor Patin.  Kali ini saya gunakan umpan baru, iaitu dedak Dindings.  Perambutnya juga baru, iaitu bentuk"V" dengan dua mata.  Ketika joran melentur dan saya menyambutnya, terasa begitu berat.  Tali pula asyik keluar dari kekili.  Lama juga mengepamnya hingga suatu ketika terasa ada dua kali getuan mengejut.  Hairan! Adakah mengena dua ekor ikan kerana ada dua mata kail!?  Tangan saya lengoh melayan.  Sesekali pangkal joran diampu pada lengan.  Sesekali disangga bawah ketiak.  Akhirnya muncul Patin, dan mata pancing tersangkut pada ekor!  "Patutlah bertenaga ikan tu," kata seseorang.  Setelah berjaya dinaikkan, saya dapati ada mata kail tanpa perambut di mulutnya, dan ternyata perambut saya putus satu. Apa yang saya rasa dua kali getuan tadi mungkin sekali masa perambut putus, dan sekali lagi masa ekornya pula tersangkut mata satu lagi. Setelah ditimbang, berat ikan Patin kali ini 3.6kg!
 Ikan Patin 3.6kg



Joran berlumpur setelah dinaikkan dari dalam kolam

Sewaktu saya berasa lega kerana trip kali ini begitu berjaya, tiba-tiba joran saya ditarik dengan lajunya.  Saya dapat lihat joran itu bergerak mengelongsor terus masuk dalam kolam dan hilang dari pandangan mata! Saya panik seketika.  Beberapa orang yang perasan menegur.  Mereka minta saya gunakan joran satu lagi menggarau dengan mata tiga.  Kebetulan memang saya sentiasa bersedia dengan mata tiga itu.  Seorang pakcik mengambil joran saya dan mengikatkan mata tiga tersebut. Setelah itu beliau melontarnya ke tengah kolam dan menggarau.  Kali ketiga menggarau dah dapat tarik tali dan terus bertarung kerana ikan masih tercangkuk pada mata kail.  Tiba-tiba tusss! tali jadi ringan.  Dia kata tali dah reput ke? Dalam hati saya kata mungkin dia ikat tidak ketat tadi... Kemudian saya hulur mata tiga bersekali gewang sesudu.  Dia yang ikat lagi.  Kali ini tersangkut pula dengan entah apa di tengah kolam. Tarik lagi dan putus.  Kali ketiga baru dapat tarik tali pancing yang terjun itu, tetapi dah ringan.  Maknanya ikan (entah ikan apa) dah terlepas.  Walaupun dapat tali, pancing masih terbenam dalam kolam.  Dia kata kalau berani masuk sahajalah, dalamnya paras dada.  Wah, tidak sanggup rasanya!  Seorang pemancing menawarkan diri menggarau dengan mata spring kepunyannya sendiri.  Setelah sepuluh kali lontaran baru dapat ditarik joran saya yang terjun itu.  Itu pun dengan agak bersusah-payah.

Thursday, November 7, 2013

Sembilan Budak Hitam

Di Pejabat saya ada sembilan budak hitam.  Enam pergi Tasik Kenyir, tinggal lagi tiga.  Satu pergi UKM, tinggal lagi dua.  Satu EL, tinggal lagi satu.  Satu budak "hitam" yang tinggal itu akulah....

Pencerahan:
budak hitam = Staf makmal
Tasik Kenyir = Kerja lapangan di sekitar Tasik Kenyir
UKM = Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia
EL = Cuti kecemasan
"hitam" = gelap

Wednesday, October 30, 2013

Catatan Oktober

TETIBA Oktober ini saya tiada selera untuk menulis dalam blog.  Pelbagai konflik melanda kehidupan.  Besok (Khamis,31 Oktober) saya akan bercuti rehat untuk tenangkan fikiran.  Namun jika tiada sebarang entri untuk bulan ini, maknanya saya telah melanggar prinsip, iaitu sekurang-kurangnya satu entri sebulan.  Justeru saya paparkan beberapa keping gambar Oktober daripada kamera Canon IXUS 115 HS, kamera murah yang saya ada itu... Bukankah sekeping gambar menyamai seribu kata!?
 Majalah yang saya beli dan baca Oktober ini

 Pokok Kunyit yang saya tanam dalam pasu sudah berbunga


 Melihat Teratai Indah di kolam Dusun Contoh


Mendayung kanu di kolam Bukit Ekspo

Thursday, September 26, 2013

Masa Untuk Catur?

YA! Inilah masanya.
Inilah sesuatu yang lain yang saya fikirkan itu.  Nampaknya terpaksalah buka buku catur dalam sisa-sisa waktu ini sebab saya perlu berentap sesama sendiri pada hari Sabtu dan Ahad ini untuk menempah tiket ke Sukan Staf Antara Universiti Awam pada 2-10 November 2013.  Tengok gayanya laluan saya sukar kerana mereka sentiasa bermain dan berlatih sejak lama dulu.  Hal ini demikian (ewah, guna bahasa akademik pulak) mungkin kerana mereka banyak masa lapang dan dapat fokus kepada catur sahaja.  Saya ada kira-kira 40 buah buku catur.  Bagaimanapun ada buku sahaja pun tak guna jika tidak dibaca, difahami, dihayati dan dihafali.  Hal ini mengingatkan tentang kisah seorang ulamak di tanah Arab zaman dulu.  Beliau punya banyak buku berisi ilmu.  Apabila pada suatu hari beliau dirompak, maka habislah buku-buku tersebut dibawa lari termasuk segala ilmu yang ada dalam buku tersebut sedangkan ilmu itu tidak ada dalam kepala. Kenapa kita tidak mengambil pengajaran daripada kisah ini....!?

Wednesday, September 25, 2013

Masa Untuk Memancing?

TAK NAK! TAK NAK! TAK NAK! (tiru suara Prof. Izi, penceramah motivasi tu...)
Ikan Rohu dan Lee Koh yang saya pancing empat hari lepas (Ahad)

Sudah kerap sangat 'release tension' sambil menguji joran baru serta pelbagai jenis umpan.  Rasanya dah puas hati dah.  Semua joran sudah pun dikemas, simpan dalam sarungnya, dan simpan dalam almari/gerobok.  Malah apabila diajak turun hari Sabtu ini, saya telah pun menolaknya.  Saya fikir perlu buat sesuatu yang lain....

Tuesday, September 24, 2013

Masa Untuk Memasak?


TENTU tidak!

Walaupun saya memiliki dua buah buku resipi tersebut, iaitu "Koleksi Resipi busy mummy" dan "Masakan Tradisi MELAYU JOHOR", buku itu saya letak di pejabat untuk rujukan sesiapa yang sudi membacanya.  Setiap kali balik ke rumah, makanan sudah tersedia atas meja.  Di pejabat pula sesekali ada program masak bubur lambuk, sup tulang untuk sesuatu majlis, dan beberapa jenis lagi, saya hanya terlibat sebagai tukang potong bawang atau tukang kacau.  Saya cuma pernah rebus ubi kayu dan buat sambal tumis untuk jamu kawan-kawan sepejabat. Bagaimanapun tidak mustahil jika suatu masa nanti saya masakkan sesuatu yang lebih istemewa untuk rakan-rakan.

Monday, September 23, 2013

Masa Untuk Melukis?

TIDAK juga!

Saya hanya boleh buktikan bahawa saya sangat berminat dengan lukisan.  Pernah menang beberapa peraduan yang melibatkan lukisan, antaranya hadiah saguhati peraduan Shell Bangi, hadiah saguhati mewarna di majalah Puspasari, hadiah pertama mencipata logo Kelab Alam Sekitar fakulti.  Pernah juga melukis guna cat minyak atas kanvas di rumah rakan yang cuba mengajar saya.  Itu terlalu lama dulu, dan masa terus berlalu...  Untuk berketrampilan melukis kononnya, saya mengumpul beberapa buah buku panduan melukis, antaranya seperti berikut:
1. Asas Seni Lukis 1.
2. Asas Seni Lukis 2.
3. Figura dalam Seni Halus Edisi Kedua oleh Abu Sareb Haron.
4. Learn Pencil Shading - Sketching
5. How To Do Pencil Shading - in BIRDS.
6. Catan Akrilik - oleh Wendy Jelbart dll.
7. Lukisan Cat Air - Langkah Demi Langkah - oleh Jackie Barrass dll.
8. Jom Melukis - Mengapakah anak anda perlu pandai melukis - oleh Ruzaimi Mat Rani.

Tidak cukup dengan buku, saya juga dah beli keperluan melukis seperti Buncho Poster Color, Artist's Alpha Water Colors, kertas D'arte illustration Board  dan berus Dolphin Nylon.  Pendek kata saya dah buat seperti kata pepatah Cina 'perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah pertama'.  Malangnya saya berhenti selepas beberapa langkah.  Pepatah Melayu "Jika tidak dipecah ruyong mana kan dapat sagunya" mungkin lebih tepat untuk situasi saya.  Minggu lepas ketika hadir ke Festival PC dan Buku di tempat saya (jualan kain, tudung pun ada) saya singgah di gerai melukis potret.  Saya lihat artis yang bernama En. Mokhtar itu melukis potret seorang pelanggan.  Di bawah ialah lukisannya berdasarkan sekeping gambar lama yang saya hulukan kepadanya.  Kesimpulannya BAKAT semula jadi menjadi tonggak kejayaan seseorang dalam bidang seni diikut dengan USAHA.  Saya ada?!

Friday, September 20, 2013

Masa Untuk Menulis?

BELUM!
Namun pada masa ini saya masih menjadi pelanggan tetap Dewan Sastera, Dewan Siswa, dan Pelita Bahasa.  Sebelum ini saya tempah juga Dewan Budaya dan Dewan Pelajar.  Pada seorang rakan penulis, pernah saya kata dah bersara sebagaimana dia juga pernah kata pada saya begitu waima dia dah menulis semula.  Keinginan untuk menulis itu ada tapi bukan minggu inilah.

HARI ISNIN: Jam 9.00 mlm. hantar anak ke stesen bas Kajang untuk menaiki bas jam 10.15 ke Perlis. Bagaimanapun jam 12.30 dinihari baru bas sampai, seterusnya jam 1.00pg baru sampai rumah. SELASA-JUMAAT terlibat dengan program audit dalaman ISO.  terpaksa bawa dokumen segala bagai ke rumah untuk 'study' segala klausa dan panduan mengaudit.  SABTU ini ada jemputan kahwin dan bla bla bla....

Thursday, September 19, 2013

Ikan Pertama untuk 'Rod' Baharu: Rohu


SEMUA pemancing apabila beli 'rod' baharu atau kekili baharu atau tali baharu malah mata kail baharu akan berharap eksesori baharu ini akan membuahkan hasil.
Justeru saya ambil kesempatan cuti Hari Malaysia pada hari Isnin lepas turun ke gelanggang pancing.  Seperti biasa di Danau Pinggiran, Putrajaya.  Objektif utama kali ialah mencuba joran baharu.  Untuk menghayati lenturan ditarik ikan, perlu juga pastikan ada ikan yang sudi menjamah hidangan yang kita sediakan.  Beberapa tip terbaharu daripada rakan pemancing dimanfaatkan.  Syukurlah dapat merasa tarikan Rohu seberat 1.8kg - ikan pertama untuk 'rod' baharu yang baru dibeli....

Saturday, September 14, 2013

Joran Patah: Hikmah Disebaliknya.

JORAN teleskopik menjadi pilihan kerana joran yang panjang hingga enam atau tujuh kaki boleh dipendekkan menjadi satu atau satu setengah kaki sahaja dan boleh dimuatkan dalam beg baju atau beg sandang.  Joran Exori yang patah itu telah saya ubah-suai dengan memotong sedikit hujungnya, tukar cincin hujung dengan jenis FUJI, dan pasang pemegang gabus, menjadikan nilainya bertambah kepada RM100.
Joran itu juga berjasa banyak kali menaikkan ikan antaranya ikan Rohu, malah beratnya mencecah 1.8kg.  Mujurlah ia patah pada waktu yang tepat, iaitu di kolam ikan dan orang tidak ramai.  Bayangkan kalau ia berlaku di Tasik Kenyir ketika bertarung dengan Toman atau Kelah.  Atau tetiba Patin lebih 5kg yang mengena?
Justeru, saya ke kedai pancing Hasya Joran di Taman Lestari Perdana (bersebelahan Taman Equine), Seri Kembangan.  Kreteria yang saya sebut kepada En. Din yang menyelia kedai tersebut ialah "saya nak cari joran jenis dua bilah, tetapi yang paling pendek yang ada"  Maka dia syorkan 'Lion Stick'  'Harganya murah tapi kuat' kata En. Din.  Ternyata joran Lion Stick model Vortice Blue sepanjang 4'6" itu memang cantik dan kuat.  Saya yakin kali ini joran saya tidak akan patah lagi.

Wednesday, September 4, 2013

Joranku Patah Dibuatnya: Patin

HARI Isnin kelmarin saya bercuti kerana kononnya akan penat selepas hantar anak mendaftar di UniMAP Perlis.  Maklumlah dari Serdang perlu memandu kereta sejauh hampir 500km!.  Sebelum ini hanya balik kampung jauhnya hanya 240km.  Pagi Isnin itu terfikir pulak, tak kan nak tidur je kat rumah kan!  Jiran sebelah rumah yang sedang membilas tiga batang joran kata dia baru balik dari Pulau Ketam.  Wah, lagi bersemangat.  Segala peralatan memancing saya muatkan dalam kereta.   Baki roti Gardenia beli tiga hari lepas, saya ambil sekeping dan penyekkan tipis dan potong-potong sebesar batang mancis.  Sang isteri tanya nak pergi mana? Kali ini saya jawab terus nak pergi memancing. Tak tipu.

Jam 9.00 pagi saya terus memandu ke kolam Danau Pinggiran di Putrajaya.  Kali ini saya gunakan joran teleskopik Exori kerana joran Uglystik PRO saya tertinggal di pejabat.  Seperti biasa saya gunakan dedak 929, tetapi kali ini saya bancuh dengan air soya.  Jiran sebelah rumahlah yang bagi petua ini.  Dedak dikepal pada mata bom, roti dicucuk pada mata pancing.  Sesekali saya tukar umpan baru.  Namun selepas dua jam sunyi sahaja seluruh kolam.  Saya kata pada pemancing di sebelah, nak kata umpan saya kureng, orang lain pun tak dapat...

Akhirnya pemancing di kiri-kanan saya balik dengan kecewanya.  Saya masih menunggu.  Beberapa orang lain datang.  Saya sudah berkira-kira nak balik jam 1.00 selepas tiga jam membangau, apabila tiba-tiba tali pancing saya ditarik dengan lajunya.  Saya pun membalas tarikan itu.  Rasa tidak terbalas dan terasa ikan kali ini adalah yang paling besar pernah saya pancing di situ.  Saya buat gaya seorang pro, iaitu tarik hujung joran melepasi kepala, kemudian turunkan joran sambil gulung.  Kemudian pam lagi dan turunkan jorang sambil gulung tali.  Saya terlupa diri bahawa joran itu jenis teleskopik!  Seseorang kata jangan sampai ikan itu masuk bawah kipas kincir, kalau masuk situ habislah!  Hal ini membuat saya pam joran dengan kuat... dan tiba-tiba joran saya patah!

Ketika inilah beberapa orang yang tidak saya kenali mula membantu.  Seorang menarik tali dengan tangannya sambil menjerit minta kain (untuk elakkan tangan terluka, tali pancing kan halus), seorang memegang tangguk, dan seorang lagi mengulung tali ke dalam reel.  Saya pulak jadi tukang tengok kerana keadaan menjadi kelam-kabut. Syukurlah akhirnya seekor Patin seberat 3.2kg dapat didaratkan.  Sudah lama saya teringin naikkan Patin, akhirnya!

Tuesday, September 3, 2013

Tak Balik Kampung di Aidil Fitri?

IANYA memang menjadi sejarah dan nostalgia apabila pada 1 Shawal saya tidak pulang ke kampung.  Di sebuah rumah teres dua bilik yang saya sewa ketika itu di sebuah taman perumahan di Serdang, Selangor, saya hanya dapat bayangkan betapa 240km di Selatan Tanah Air sana, semua adik beradik sedang berkumpul, berjamu ketupat rendang bersama emak dan abah.

Kenangan 23 tahun dulu kembali menhimbau apabila pada 17 Ogos 2013, Hot FM mengundang ND Lala dan Shila Hamzah ke konti.  ND Lala menceritakan tentang kemiskinannya suatu masa dulu hingga tidak mampu balik kampung pada hari lebaran.  Justeru, kepada emaknya sendiri diberitahu dia balik rumah mertua, kepada emak mertua diberitahu dia balik ke kampung emak sendiri.  Satu di Perak, satu di Selangor.

Begitulah yang berlaku kepada saya 23 tahun dulu.  Saya memang tidak berduit untuk pulang ke kampung pada Hari Raya Aidil Fitri.  Alasan yang saya berikan kepada ibu-bapa sendiri dan ibu-bapa mertua ialah isteri baharu bersalin secara pembedahan, oleh itu tidak boleh renyah untuk ke sana-sini. Katalah saya naik bas, turun-naik bas dengan mendukung bayi dan beg baju lagi.  Silap-silap terbuka jahitan di perut!  Logik tak alasan tu....!?

Monday, August 19, 2013

Salam Hari Raya


 Bergambar ramai pada hari raya pertama bersama ibu-bapa saya, tanpa kehadiran keluarga abang yang sulung dan keluarga adik yang bongsu.
Saya dapat tukar 400 keping duit Seringgit baharu kali ini, tetapi hanya gunakan tiga keping kerana lebih banyak guna duit RM5

MUNGKIN masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat berhari raya kerana suasana Aidilfitri masih terasa di sekitar dan lagu raya pun masih didendangkan di corong radio.  Namun apa yang paling penting ialah saya ingin mengambil kesempatan ini menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari semua yang mengenali saya sekiranya saya ada tersalah laku dan tersilap atau terlanjur kata.  Selamat Hari Raya dan maaf zahir batin.

Wednesday, July 31, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor IV

 Sejurus sebelum menaiki feri dari Pulau Pangkor ke Jeti Lumut

PERISTIWA yang tidak akan dilupakan dalam perjalanan kali ini ialah pada hari terakhir.  Masa itu kami dalam perjalanan balik dari dari Pulau Pangkor. Sewaktu saya mula berjalan di Jeti Pangkor menuju ke feri yang sedang menunggu jauh di hujungnya, saya perasaan ada kelainan pada beg baju yang saya jinjing.  Saya hairan kerana terpaksa ketatkan semula pelapik pada tali beg.  Kemudian saya hairan kerana beg saya sepatutnya ada zip di kedua-dua hujung beg. Warna beg sama, iaitu biru putih. Semua orang dah nak sampai ke feri.  Tinggal tiga orang lagi bersama saya dan mungkin orang terakhir.  Saya beritahu kawan-kawan kegusaran ini.  Setelah diperiksa didapati ada tag peserta dari UPM. Maknanya beg rakan pesertalah.  Pabila dibuka sedikit, nampak baju sukan.  Saya pun ada baju camtu, tapi tak bawa.  Dengan rasa bimbang, saya angkut juga beg itu dan humban bersama beg-beg lain di haluan feri.  Dalam feri mereka semua gelak dengan berbagai ramalan sewaktu saya penuh kerisauan.  Saya telefon pihak Teluk Dalam Resort jika ada beg yang masih tertinggal di sana.  Mereka kata ada dan akan dihantar ke booth Resort di tanah besar.  Saya tenangkan hati dalam kebimbangan.  Kalau hilang beg itu, habislah! Ada flash kamera yang bernilai hampir seribu ringgit, ada joran teleskopik ezori saya bernilai RM100, dan 'fishing reel' jenis DAIWA bernilai RM175.00.  Kalau setakat baju saya tak kisah sangat.

Selepas feri berhenti di Lumut, saya bergegas ke tempat beg itu dihumban.  Syukurlah beg saya ada di bawah timbunan beg-beg lain.  Lega rasanya.  Pemilik beg yang saya bawa tadi bermati-matian mengatakan dia memang bawa beg itu tadi siap dengan bukti saksi lagi.  Saksi saya pun ada tadi dan berbalas hujah.  Apa pun yang penting, peristiwa ini menjadi pengajaran.

Tuesday, July 30, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor III



SETELAH kami dipecahkan kepada lima kumpulan, kami diminta memberi nama kepada setiap kumpulan berdasarkan nama kereta.  Justeru, BMW dipililh sebagai nama kumpulan.  Tugasan pertama ialah menyusun no 1 hingga 9 atas sembilan petak supaya semua arah menghasilkan jumlah 15.  Tugasan kedua diberi sebuah puisi/sajak untuk dipecahkan kodnya.  Dengan mudahnya saya dapat pecahkan kepada "Kota Belanda".  Di Kota Belanda kami diberi bola ping pong seorang sebiji dan usahakan supaya beredar melalui semua ahli tanpa jatuh.  Dipendekkan cerita, pelbagai klu itu membawa kami ke Tokong Fu Lin, Rretoran Pak Hassan, Muzium dan kilang ikan bilis.  Saya diminta melukis dan mewarna pemandangan dari tempat paling tinggi Tokong Fu Lin.  Kumpulan kami kena makan laksa terlebih dahulu di Restoran Pak Hassan sebelum dapat klu berikutnya.  Kami diminta siang satu kilogram ikan bilis dan belah dua sebelum dapat klu terakhir, iaitu berkumpul di Lobby Teluk Dalam Resort.  Kami sampai hanya lewat dua minit daripada juara explorace ini!

Thursday, July 25, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor II


PROGRAM di Pulau Pangkor tersebut menyaksikan sesuatu yang berbeza, iaitu persepsi tentang fotografi.  Sebelum ini sesuatu program itu menyatakan seorang atau dua orang fotographer sahaja.  Malah ada yang tidak hirau langsung, bergantung kepada siapa yang menjadi ketua program tersebut.  Kali ini, hasil perbincangan dalam mesyuarat sebelum program, lima orang fotographer telah disenaraikan.  Antara sebabnya ialah mereka menyedari bahawa di sana nanti akan ada sesi 'explorace' di mana peserta akan dibahagikan kepada lima kumpulan.  Justeru, lima kamera diperlukan untuk merakamkan aktiviti lima kumpulan berlainan yang tentu sahaja akan terpisah kepada lima lokasi berlainan.  Perlu dinyatakan bahawa telah terlalu banyak kali program yang melibatkan kira-kira 40 orang pelajar, apabila dibahagikan kepada lima kumpulan, saya hanya mampu merakam aktiviti satu kumpulan sahaja.  Mungkin tiada koleksi langsung jika saya tidak diturut-sertakan.  Seterusnya apabila diperlukan kemudian hari, saya juga yang ditanya ada tak gambar itu ini?!  Antara kamera yang dibawa ialah Nikon D300 (saya bawa), Nikon D200, Nikon D90, Nikon D40, dan kamkoder.

Wednesday, July 24, 2013

Antara Aktiviti di Pulau Pangkor I


SAYA berpeluang ke Pulau Pangkor pada 5-7 Julai 2013 yang lalu.  Perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam dari Kuala Lumpur.  Kami semua seramai kira-kira 50 orang berkampung di Teluk Dalam Resort.  Banyak aktiviti dan peristiwa yang berlaku di sana.  Antara aktiviti tersebut ialah berakit.  Kami dibahagikan kepada lima kumpulan.  Setiap kumpulan diminta mengikat dan menyiapkan rakit sendiri.  Kemudian kami bertanding.  Saya mengayuh tanpa henti.  Alhamdulillah, kumpulan saya (kumpulan BMW) menjuarai acara ini.  Malah penganjur kata kami pecahkan rekod, iaitu sampai dalam masa 25 minit sedangkan masa terpantas pernah dibuat sebelum ini ialah 45 minit, malah ada yang gagal sampai ke pantai Resort. Aktiviti/cerita lain akan dicatat kemudian....

Saturday, June 29, 2013

Antara Rezeki dan Tuah


PABILA dapat sesuatu di luar dugaan, orang kerap berkata 'rezeki anak-anak!"

Cerita saya pula begini... Baru-baru ini saya hadir mesyuarat agung koperasi.  Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung 8.00pg - 1.00ptg.  Beratus ahli datang dan sahkan kehadiran dengan menurunkan tandatangan.  Tanpa tandatangan, mereka tidak dapat elaun kehadiran. 

Saya hadir untuk pertama kali kerana baru jadi ahli pada tahun lepas.  Mesyuarat Agung ini adalah kali ke-23.  Ramai juga ahli yang terpaksa pulang awal kerana ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.  Saya terpaksa pulang pada jam 12.40 kerana menjemput anak di kolej kediaman pada jam 12.50 dan menjemput seorang lagi anak pada jam 1.00ptg di tempat kerja.  Jadual ini penting dipatuhi kerana jam 2.00 ptg., akan hantar semula seorang ke peperiksaan akhir semester dan seorang lagi masuk kerja semula.

Jam 1.00ptg itulah seorang rakan telefon bertanyakan saya berada di mana?.  Dia kata nama saya baharu sahaja dipanggil untuk cabutan pertama nombor bertuah!  Wah, nak buat camne kan, dah bukan rezeki saya waima nombor saya (2176) bertuah!.  Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa rakan yang telefon saya itu juga bertuah dan naik pentas mengambil hadiah berupa 'vacuum cleaner'.  Hadiah untuk saya (kalau saya adalah) dalam kotak yang agak besar.  hadiah nombor bertuah itu bukan rezeki anak-anak saya juga.


Thursday, June 20, 2013

Antara Batu Asah dan Batu Lesung


SEJAK kecil, malah dalam kelas "Seni Perusahaan" dalam tingkatan empat dan lima saya diajar menggunakan batu asah untuk menajamkan pisau, parang dan pahat.  Batu asahlah antara peralatan yang paling penting dalam kelangsungan hidup. Uniknya apabila orang di rumah saya lebih suka menggunakan batu lesung untuk menajamkan mata pisau.  Letaklah kedua-duanya berdekatan, pasti batu lesung juga akan digunakan. Jika saya berada dalam hutan, dan memang tiada batu asah, baharulah batu yang seakan-akan batu lesung digunakan, ibarat tiada rotan akar pun berguna.

Friday, June 14, 2013

Tetiba Terfikir


LAMA dulu saya sangka jika lambat sahaja jolok buah Sukun, akan dimakan oleh burung. Beberapa kali saya lihat burung terbang dari buah Sukun sewaktu saya mampir ke pangkal pokoknya.  Dan didapati buah Sukun itu telahpun kerewak/berlubang.

Kemudian orang di rumah saya beberapa kali pula mengadu bahawa buah Sukun yang saya bawa balik itu sebenarnya berulat di dalam dan tidak boleh dimakan.  Hairan juga kerana nampak kulit luar elok sahaja...

Hanya baru-baru ini saya terfikir bahawa sebenarnya burung itu tidak makan Sukun, tetapi mencari ulat-ulat daripada buah Sukun tersebut.

Thursday, May 9, 2013

Dakwat Kekal

SAYA tidak bermaksud menulis tentang politik atau mana-mana parti. Saya cuma ingin berkongsi pandangan tentang dakwat kekal.  Imej di atas ialah jari saya selepas lima hari disapu dakwat kekal.  Bagi saya, masih terdapat sisa-sisa warna dakwat kekal di situ. Bagi orang lain, mungkin dah bersihlah tu. Petang lima hari lepas, seorang jiran saya menunjukkan jarinya dan berkata "tengok ni, dakwat dah hilang!".  Saya terkejut kerana warnanya jauh lebih hitam daripada warna dalam imej di atas, waima sudah ada tanda seperti dibasuh.  Lalu saya kata "Eh, masih ada hitam-hitam tu, kira masih adalah...".  Dia bertegas "dah hilang, tengok ni!".  Saya tengok dan pada saya warna dakwat itu masih jelas.  Dua tiga kali dia bertegas dengan pendiriannya dan saya terpaksa juga bertegas dengan pendirian saya.  Kesimpulannya warna dakwat kekal di jari telunjuk ini bersifat subjektif.  Siapa nak kata dah hilang boleh, nak kata masih ada pun boleh. Terpulang pada tanggapan masing-masing.

Thursday, April 25, 2013

Menang Satu Saat

'PUNCH CARD' adalah mekanisme yang digunakan untuk memastikan pekerja hadir dan balik pada waktu yang ditetapkan.  Dalam tahun 80-an mesin yang digunakan berbentuk jam dan sekeping kad berwarna kuning dimasukkan untuk cetak waktu kehadiran.  Di sesetengah pejabat kerajaan, apabila tiga kali lewat, kad akan ditukarkan ke warna hijau, kemudian jika masih melakukan kesalahan, kad akan ditukar ke warna merah.

Dalam abad ke-21 ini kehadiran dibuat melalui sistem komputer on-line.  Lebih canggih lagi pekerja hanya perlu 'cap jari', iaitu meletakkan ibu jari pada peranti elektronik yang disediakan berhampiran pintu pejabat.  Di pejabat saya masih menggunakan sistem komputer secara on-line, iaitu hidupkan komputer, buka perisian 'punch', masukkan ID dan password.  Kehadiran semua staf akan terpapar, maka bolehlah lihat siapa yang datang dulu, siapa lewat datang, dan nama siapa tiada dalam skrin menunjukkan dia cuti atau kerja lapangan.

Kelmarin anak saya minta dihantar ke kolej seawal 6.15 pagi.  Saya fikir inilah masanya untuk menjadi orang pertama hadir ke pejabat.  Sebelum ini hampir setiap hari seorang pensyarah menjadi orang pertama hadir, iaitu sekitar jam 6.40 pagi.  Saya tidak pernah menang waima selalu ke pejabat seawal 7.00 pagi.  Selepas saya 'punch-in' di paparan komputer saya lihat waktu kehadiran saya 06:40:19 dan waktu kehadiran pensyarah tersebut 06:40:20 di bawah nama saya.  Wah, saya menang cuma satu saat!

Tuesday, April 23, 2013

Antara Meminjam Drp Bank dgn Isteri

HUJUNG-HUJUNG bulan begini ramai orang kehabisan duit belanja. Hujung bulan begini barang dapur tetap kena beli.  Minyak motor atau kereta tetap kena isi. Sesuatu di luar dugaan juga kadang-kadang mendatangi kita, contohnya tetiba kereta rosak, atau kena balik kampung kerana sedara sakit, atau cermin mata pecah, atau dakwat printer habis, atau anak-anak perlukann duit, dan bermacam ragam lagi la...

Kalau kereta tetiba rosak, selalunya kos untuk membaiki bukan sedikit.  Biasanya antara RM300.00 - RM500.00.  Bayangkanlah kalau ia berlaku pada hari ini, contohnya 23hb. sedangkan gaji biasanya 25hb.  Saya berani kata setiap sepuluh orang Melayu yang lalu di hadapan saya, sembilan daripadanya kekeringan wang kocek, terutamanya yang lelaki.  Malahan hal ketidak-cukupan ini bukan sahaja berlaku pada hujung bulan, sebalik nya awal bulan lagi dah negatif selepas bayar hutang sana hutang sini.  Jika ini berlaku perlulah ada suntikan modal supaya pusingan wang setiap bulan stabil.  Satu-satunya cara suntikan modal ialah dengan meminjam.  Meminjam pun perlu dengan kesedaran bahawa dua atau tiga tahun lagi kita akan stabil apabila gaji dah naik, bonus pun dapat, serta beberapa kos sara hidup dapat dikurangkan.

Berbalik kepada meminjam tadi, daripada siapa patut meminjam?  Kalau ada jutawan Melayu Islam yang sudi memberi pinjaman tanpa mengenakan sebarang keuntungan, baguslah.  Biasanya pinjaman peribadi dibuat melalui  bank atau syarikat kooperasi.  Biasanya apabila meminjam, contohnya dua puluh ribu Ringgit Malaysia, kita dihulur oleh pegawai kaunter wanita dengan senyuman manis menawannya, dan hati pun senang serta lapang waima selepas lima tahun kita telah membayar balik kepada pemberi pinjam itu hingga dua puluh lima ribu Ringgit Malaysia!  Bukankah lebih baik pinjam daripada isteri...?  Tak payah pinjam sampai dua puluh ribu, pinjam dua ribu pun cukuplah...  Tengok responnya camne....!?


Monday, April 22, 2013

Cerita Tentang Ikan


SAYA tidak bermaksud menjuruskan blog ini ke dunia pancing, tapi penglibatan saya dalam dunia catur semakin tidak diterima di organisasi saya bekerja.  Dunia penulisan pun tidak terkejar. Bulan Februari lepas ada juga sertai pertandingan catur terbuka UPM, tetapi saya hanya meraih 3.5 mata daripada 7 perlawanan.  Mungkin sebab itu saya tidak dijemput untuk ke 'inter-varsiti' dlm bulan Jun ini di sebuah univrsiti di Utara. Tentang penulisan pula, banyak sebab yang tidak dapat diterima oleh rakan penulis sebagai sebab tidak menulis, ha ha.

Cerita tentang ikan, saya telah mengambil cuti rehat pada hari Rabu, 3 April 2013.  Seperti biasa saya pergi kerja (pergi ke tempat kerja sebenarnya). Kemudian kira-kira jam 9.00pg saya dah sampai di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya bersama dua orang rakan sekerja (mereka pun ambil cuti).  Syukurlah, hanya dua jam memancing, saya dapat naikkan enam ekor Rohu. Kerana berjaya, isteri tak kata apa.

Itu cerita kejayaan.  Pada 13 April saya pergi lagi apabila rakan saya kata mereka berdua akan turun. Malangnya apabila saya sampai, tidak pula kelihatan kelibat mereka.  Selepas berhubung melalui telefon, barulah saya tahu dia ada hal dan tak jadi pergi.  Dilema dibuatnya.  Dia yang ajak, saya yang jadi mangsa. Dah sampai tak kan tak hulur joran kan!  Selepas dua jam, rezeki saya kali ini cuma tiga ekor Lampam sebesar tapak tangan! Kerana gagal tahanlah telinga...

Nak kata gagal, tidak juga.  Apabila disiang, didapati perut ikan ini agak bersih berbanding Lampam dari tempat lain.  Beberapa hari kemudian, isteri saya pun gorenglah tiga Lampam ini bersama tiga ekor ikan laut.  Seorang anak saya makan seekor.  Kemudian seorang lagi anak saya buat lauk makan nasi.  Selepas solat Zohor, apabila saya buka tudung saji..."eh, dah habis ikan Lampam!?" baru saya tahu rupanya dia makan dua ekor.  Dan ikan laut tu masih tidak luak.

Friday, March 29, 2013

Nostalgia Pulau Tali Kail

NAMPAK gayanya bulan ini menulis entri di saat-saat akhir lagi akibat sibuk yang amat sangat...
 Sebelum 'jungle tracking' ke puncak menara di Pulau Tali Kail
 Pemandangan dari puncak menara di Pulau Tali Kail
 Ulat gonggok yang besar di Pulau Tali Kail
 Bunga Pakma di Royal Belum
Sejurus sebelum meninggalkan Pulau Tali Kail... Semoga bertemu lagi Pulau Tali Kail....

Thursday, February 28, 2013

Pulau Tali Kail Jadi Nostalgia

 Pemandangan Pulau Tali Kail
 Ikan Sebarau yang masuk jaring, bukan dipancing
Bergambar ramai sewaktu akan berangkat pulang ke Selangor

NAMPAKNYA dalam kesempatan hari terakhir bulan Februari ini saya hanya sempat paparkan beberapa keping gambar semasa berada di Pulau Tali Kail, Tasik Banding pada 14-17 Februari 2013 yang lalu.  Minggu ini memang masa penuh untuk kerja-kerja sebagai juruaudit dalaman ISO di sebuah organisasi.  Besok mungkin ada masa lapang mungkin tidak, tapi besok sudah 1 Mac bang...  Minggu depan juga akan sibuk sebagai timbalan penyelaras audit dalam di organisasi sendiri selama empat hari penuh.

Thursday, January 31, 2013

Pos Kemar - Siri 4 - Ekspedisi Dalam Media


Penulis (anak panah) dlm. BH bth. 31 Disember 2012
Penulis (anak panah) dlm. BH bth. 3 Januari 2013

SEBELUM ekspedisi ini bermula, program ini telah pun diwar-warkan dalam BH.  Selepas ekspedisi ini berakhir, program ini dilaporkan lagi dalam BH sebanyak dua kali.  Pertama, dlm. BH 31 Disember 2012 dengan tajuk "Sungai di kawasan Pos Kemar belum tercemar" oleh Mohd. Yusuf Abu Bakar.  Kemudian dlm. BH (Sisipan Varsiti) 3 Januari 2013 oleh penulis sama dengan tajuk utama "Forensik alam sekitar".

Apa yang menariknya ialah saya sendiri tidak nampak imej saya dalam gambar kedua.  Besoknya apabila seorang rakan beritahu bahawa saya ada, maka saya pun naik hairan.  Makna kata ada gambar tersembunyi di situ...

Program ini juga disiarkan dalam Bernama TV pada hari ahad jam 9.30 malam di ASTRO chanel 502 beberapa minggu kemudian.

Thursday, January 17, 2013

Pos Kemar - Siri 3 - Cabaran 4 X 4

KAMI mula bertolak dari Serdang menjelang jam 12.00 tengah malam 22/12/12 selepas dua jam memunggah barang-barang ke dalam pacuan empat roda.  Sewaktu ramai orang tidur di rumah dengan selesanya, kami bersengkang mata hingga sampai ke Sg. Siput menjelang waktu Subuh 23/12/12 (Ahad).   Selepas solat Subuh di sebuah stesen minyak, kami bersarapan di Restoran Shameer Corner jam 7.15pg.  Selepas itu singgah di Pejabat Renj. Hutan Sungai Siput (U).  Konvoi kami disertai pula oleh staf pejabat renj tersebut sebagai pemandu arah untuk ke Pos Kemar.

Perjalanan paling mencabar ialah apabila melepasi Pos Piah.  Rupa buminya mirip jalan ke Cameron Highland atau Genting Highland, tetapi bukan jalan tar.  "Off-road" ini berupa jalan tanah merah dan kadang-kadang pasir tebal yang membuatkan tayar kereta jerlus atau pun kereta tersekat.  Pacuan 4 X 4 kami juga harus meredah lima buah sungai atau anak sungai sebelum sampai ke Pos Kemar.

 Menempuh jalan tanah merah untuk ke Pos Kemar
Meredah sungai untuk ke Pos Kemar

Dipendekkan cerita, kami selamat sampai.  Selepas dua malam tidur dalam khemah yang didirikan di hadapan Klinik Kesihatan Pos Kemar, kami pun bertolak pulang ke Selangor.  Cabaran pertama ialah apabila anak kunci kereta saya naiki hilang.  Terpaksalah Abang Salleh dari Kelab Raja Rimba jadi 'Mc Giver' dan anak kunci kereta selepas ini ialah 'skrew driver'.
  "Mc Giver" Serdang pecahkan rumah kunci supaya boleh dihidupkan dengan 'skrew driver'

Kereta saya naiki lekat di pasir.  Kereta hadapan tarik menggunakan tali.
Kereta "sangkut" lebih dua jam kerana enjin panas.  "Sesuatu" telah "diusahakan"

Cabaran kedua ialah terpaksa meredah laluan "off-road' yang sukar hingga sekali peristiwa kereta saya naiki tersekat pada jalan berpasir lembut.  Sebuah 4 X 4  dari Kelab Raja Rimba menariknya dengan tali.  Cabaran ketiga, kereta yang saya naiki kerap panas enjinnya.  Beberapa kali tambah air hingga satu ketika terpaksa berhenti di bahu jalan di Lebuhraya Utara Selatan di kawasan Perak kerana jarum 'temperature' telah berada di tanda merah.  Dua jam kami 'sangkut'.  Pelbagai cara dibuat dan difikirkan untuk selesaikan masalah.  "Mc-Giver" kami telah jalan dahulu tadi, jadi tidak dapat bantuan dia. Seorang lelaki India berhenti melihat dan mencadangkan kereta itu "totaly lost' dan perlu ditarik ke bengkel.  Pihak Plus dihubungi.  Mereka datang buat pemeriksaan dan cadangkan ditarik oleh penarik kereta panel Plus.

Sebelum kereta tarik sampai, ketua kelab raja rimba memutuskan kereta itu ditarik sahaja oleh beliau sendiri.  Rupa-rupanya Abang Salleh masih menunggu di hadapan di sebalik bukit.  Abang Salleh memutuskan beliau memandu kenderaan yang saya naiki itu (saya dah tumpang kereta lain).  Akhirnya beliau berjaya memandu sehingga selamat sampai ke Serdang!