siapalah saya...
Showing posts with label Catur. Show all posts
Showing posts with label Catur. Show all posts
Friday, September 7, 2018
Catur
APA kaitan gambar ini dengan catur? Gambar ini dipancarkan melalui LCD Projector ke dinding bagi memperlihat pergerakan buah catur yang sedang dimainkan di meja-meja utama. Papan catur di meja utama agak istemewa kerana set caturnya disambungkan ke komputer dan seterusnya dipancar di screen besar untuk tontonan di luar kawasan pertandingan. Dapat bertanding di meja utama adalah impian setiap pemain. Hal ini demikian kerana biasanya pemain yang punya mata tertinggi dapat duduk di sini terutama pada pusingan terakhir, biasanya pusingan ketujuh. Jika ditempatkan di sini pada pusingan pertama, mungkin kerana nama bermula dengan abjad A atau ranking paling tinggi. Oleh itu saya rasa sangat teruja apabila julung kalinya dapat merasa duduk di meja ini pada pusingan ke-4 setelah saya menang semua tiga pusingan sebelumnya. Teruja juga apabila pusingan ke-4 ini saya berhadapan dengan pemain handalan dari UTM, iaitu Dr. Nasrul Humaimi. Peristiwa ini berlaku pada 15/8/18 dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di Universiti Malaysia Pahang (UMP)
Bagaimanapun sebagai atlet saya bawa pulang pingat gangsa daripada acara Rapid Chess Berpasukan Lelaki. Secara keseluruhan, pasukan UPM yang saya wakili bawa balik empat pingat, iaitu satu Emas daripada Rapid Chess Individu Wanita dan tiga gangsa daripada Blitz Chess Individu Wanita, Rapid Chess Berpasukan Wanita, dan Rapid Chess Berpasukan Lelaki. Gambar di atas adalah ahli pasukan Catur UPM. Tahniah.
Thursday, August 10, 2017
Dua Pingat Gangsa
ALHAMDULILLAH, penglibatan dalam sukan catur membolehkan saya bawa pulang dua pingat gangsa dalam tempoh dua minggu lepas. Pertama pada 25/7/2017 selepas terlibat dengan Sukan Badan Berkanun 2017 di UiTM Bandaraya Melaka. Kedua, pada 4/8/2017 selepas terlibat dengan Kejohanan Sukan Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-42, 2017 di UPSI Tg. Malim, Perak. Sukan Badan Berkanun (Sukanun) berlangsung pada 21-27/6/17 di UTeM, Melaka, sementara SUKUM berlangsung pada 29/7/17-6/8/18 di UPSI, Tg. Malim, Perak.
Thursday, September 8, 2016
Catur Penyumbang Pingat Emas
Sedang menerima pingat gangsa
Pemenang Emas, Perak dan Gangsa bergambar ramai
SESUAI dengan konsepnya sejarah dan nostalgia, maka kali ini pun saya paparkan apa yang telah berlaku sebulan lepas. Pada 6-13 Ogos 2016 saya telah mewakili UPM menyertai Kejonan Sukan Staf Malaysia (SUKUM 2016) di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Sukan yang saya terlibat adalah Catur. Pencapaian peribadi, saya cuma dapat 4.5 mata daripada 9 perlawanan. Pasukan Lelaki pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga. Bagaimanapun pasukan Perempuan berjaya merangkul Perak dan seorang pemain perempuan berjaya memperolehi emas individu terbaik menjadikan satu-satunya Emas diperolehi UPM disumbang olehi pasukan Catur!
Thursday, April 28, 2016
Juara Kampung Tersungkur di MMU
SEBAGAIMANA maksud entri sebelum ini, bahawa untuk menang dalam kejohanan besar memang payah. Ramai cerdik-pandai berpengalaman menyertai kejohanan besar. Oleh itu pabila "juara kampung" masuk bertanding di "Multimedia University Cyberjaya Open Chess Tournament 2016" pada 24 April 2016 baru-baru ini, maka tewaslah jawabnya. Tapi tidak mengapa. Itu kan pengalaman namanya... Dapat juga sijil penyertaan dan kenalan baru pemain catur.
Wednesday, April 13, 2016
Akhirnya Menjadi Juara Catur
MENANG hadiah kedua atau ketiga mungkin lebih bermakna jika menyertai kejohanan besar atau berprestige. Bagaimanapun menjuarai kejohanan catur ini besar maknanya bagi diri saya kerana inilah kali pertama menjadi juara. Lagipun Karnival Sukan FPAS 2016 ini dibuat secara rasmi pada 3 April 2016 di Stadium UPM, Serdang. Sukan lain yang turut dijalankan ialah ping pong, dam haji, badminton, dan bola jaring. Pendek kata, sangat meriahlah karnival yang bermula jam 7.30pg dan tamat jam 6.00 petang ini. Oleh sebab semua sukan dijalankan serentak, maka saya terlepas peluang untuk beraksi dalam acara ping pong.
Friday, March 11, 2016
Penglibatan dalam Bidang Sukan
SEPERTI yang dinyatakan sebelum ini bahawa saya akan sertai apa sahaja bidang sukan jika berpeluang, maka pada 5 Mac 2016 baru-baru ini saya telah menyertai "Canselor Chess Tournament (Check or Checkmate) sempena Putra Canselor Carnival (5th PCC):Color Up Your Life pada 4-6 Mac 2016. Dipendekkan cerita, selepas enam pusingan, saya dapat 4 mata. Ini menjadikan saya sudah berpuas hati lalu leka di zon selesa. Sewaktu hampir menang di pusingan ketujuh atau terakhir, saya umpama pemain bola sepak tersepak bola ke gawang sendiri. Istilah paling tepat dalam permaianan catur ialah 'Big blunder'. Lalu saya terlepas peluang menjuarai kategori veteran. Bolehlah anggap ini sebagai satu tragedi bagi saya dalam permainan catur.
Tuesday, December 22, 2015
Buku Bahasa Inggeris Pertama
BAGI orang yang tidak mahir berbahasa Inggeris seperti saya boleh dikatakan mustahil boleh baca buku BI sepenuhnya daripada kulit depan hingga kulit belakang, waima ianya sebuah novel atau pun buku-buku teks semasa alam persekolahan. Namun kali ini saya memaksa diri melakukannya walaupun ambil masa panjang dan bertemankan sebuah kamus. Buku "The TAO of Chess" menjadi buku BI pertama yang saya baca dari mula sampai habis. Hal ini demikian kerana saya ingin benar-benar mahir dalam permainan catur. Ia terbukti berkesan apabila ketika baru membaca separuh buku ini saya telah menyertai Kejohanan Catur Terbuka DUN Bangi baru-baru ini, dan saya memperolehi 4.5 mata daripada 7 pusingan. Selain daripada itu, buku ini juga menjadi kenangan kerana saya membelinya di Times The Bookshop, Warisan Square Kota Kinabalu, Sabah pada 24/04/2007 semasa menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 di Universiti Malaysia Sabah pada 25-26 April 2007. Selalunya jika saya berpeluang melancong atau mengembara atau kerja lapangan di sesuatu tempat yang jauh, saya akan beli sebuah buku untuk dicatatkan tarikh, tempat beli, dan maklumat lain yang berkaitan.
Monday, October 12, 2015
Pertandingan Catur Piala DUN Bangi
Matlamatnya ialah untuk menjadi pemain catur mewakili organisasi dalam kejohanan SUKUM tahun hadapan. Sudah dua tahun menjadi jurulatih kerana ketidakhadiran dalam pemilihan dan latihan akibat komitmen kepada keluarga. Sebagai anjakan, saya sertai satu kejohanan besar, iaitu Pertandingan Catur Piala DUN Bangi yang diadakan di Dewan Cempaka Kompleks PKNS Bangi pada 11 Oktober 2015. Kejohanan ini dianggap besar kerana disertai juga bekas Juara Kebangsaan, Natioanl Master (NM) Ahmad Kamal Abdullah ran rakan-rakannya, selain menghimpun lebih dua ratus pemain bagi kategori terbuka, bahawh 17, dan bawah 12 tahun. Sebelum kejohanan lagi saya sudah maklumkan kepada rakan-rakan bahawa keterlibatan ini bagi membuktikan kelayakan saya sebagai pemain, bukan jurulatih. Alhamdulillah, saya memperoleh 4.5 mata daripada 7 pusingan, sementara rakan-rakan lain mendapat 4 mata, 3.5 mata dan 3 mata. Saya telah buktikan. Kipidap!
Friday, August 28, 2015
Catur: SUKUM 2015
TAHUN ini berpeluang lagi menyertai pasukan Catur dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2015 yang berlangsung di UiTM Shah Alam pada 17-22 Ogos 2015. Alhamdulillah kali ini berjaya membawa balik empat pingat, iaitu satu emas dan tiga perak. Emas dimenangi dalam acara Blitz individu wanita dan satu perak juga daripada Blitz individu wanita. Sementara dua lagi perak melalui Rapid berpasukan lelaki dan Rapid berpasukan wanita.
Tuesday, August 26, 2014
Catur Penyumbang Pingat Kontigen
Bergambar ramai sebelum pertandingan. Dr. Adrian tukang ambil gambar
Ketika menerima hadiah pingat Gangsa
Bergambar ramai selepas menerima pingat
Pingat dimenangi sebagai kenangan
HARI ini 30 Syawal 1435H. Harap belum terlambat untuk memohon maaf zahir dan batin sempena bulan mulia ini. Begitu lama tidak menulis dan memancing rasanya. Hanya sempat memancing satu jam pada suatu petang Ramadan lalu. Hal ini demikian, antaranya kerana sibuk dengan pemilihan, latihan, dan pertandingan catur. Dipendekkan cerita saya terpilih mewakili UPM ke Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti di UTM Skudai, Johor (13-23 Ogos 2014). Misi kali ini ialah mendapat pingat (sebarang warna) kerana tahun lepas hanya tempat keempat. Alhamdulillah selepas menempoh pertandingan yang kadang-kala penuh dramatik, akhirnya pasukan catur lelaki mendapat tempat ketiga (pingat gangsa). Kami tumpang gembiran dengan kejayaan pasukan catur wanita yang mengungguli kejohanan ini (pingat emas) buat kali ketiga berturut-turut.
Buah Sentul
SEPANJANG kejohanan ini kami ditempatkan di Blok M25 Kolej Tun Dr. Ismail. Betul-betul di sebelah tempat penginapan kami terdapat sepohon Sentul yang sangat tinggi, rendang, dan lebat buahnya. Banyak buah sentul bertaburan di atas rumput. Sayangnya tiada galah untuk menjolok. Daripada segi makan tengah hari dan malam, boleh dikatakan makanan di sini sedap-sedap belaka. Samada dalam kampus mahupun di restoran sekitar Taman Universiti berhampiran. Beberapa kali kami menjamu selera di Restoran Mak Jah dalam kawasan Universiti, dan Restoran Agus di Taman Universiti. Sesungguhnya perjalanan kali ini memang memuaskan.
Thursday, July 10, 2014
Kembali ke Sukan Catur
KETIKA melibatkan diri dalam sukan ping pong sebelum ini, pasukan saya berjaya menjadi naib juara kumpulan dalam pusingan pertama. Bagaimanapun tersekat ke suku akhir pada pusingan kedua. Kini saya kembali kepada Catur. Dalam perlawanan pemilihan pemain pasukan untuk ke sukan SUKUM2014 di UTM pada bulan Ogos nanti saya seri dengan semua lawan dan Alhamdulillah akhirnya terpilih. Semoga kali ini semua ahli pasukan dapat bermain dengan cemerlang bagi mengulangi sejarah menjadi juara atau sekurang-kurangnya naib juara yang pernah diraih sebelum ini...
Tuesday, March 11, 2014
Antara Catur dengan Memancing
Sewaktu menyertai Pertandingan Catur Persahabatan UPM lawan Pejabat Kastam 8/11/2013
PAGI semalam seorang rakan bernama Zul tanya saya samada nak sertai pertandingan memancing di Danau Pinggiran anjuran sebuah masjid berhampiran. Dengan seret-meret saya setuju dan hulur yuran penyertaan RM10.00. Sangat murah kerana bayaran memancing biasa pun RM20.00.
Hanya selang beberapa minit seorang rakan bernama Sul pula datang dan tanya samada saya nak sertai pertandingan catur. Dengan serta-merta juga saya setuju, waima yuran penyertaannya RM25.00.
Jika anda kaki pancing, masih ada masa untuk sertai. Hubungi En. Rahmat 019-2559912 kerana tarikh riadah tersebut pada 15 Mac 2014.
Jika anda kaki catur juga masih ada masa kerana tarikh kejohanan pada 29 Mac 2014. Hubungi Cik Rosni 013-9677270 atau lawat Http//mtm1314.wix.com/pcc2014.
Thursday, September 26, 2013
Masa Untuk Catur?
YA! Inilah masanya.
Inilah sesuatu yang lain yang saya fikirkan itu. Nampaknya terpaksalah buka buku catur dalam sisa-sisa waktu ini sebab saya perlu berentap sesama sendiri pada hari Sabtu dan Ahad ini untuk menempah tiket ke Sukan Staf Antara Universiti Awam pada 2-10 November 2013. Tengok gayanya laluan saya sukar kerana mereka sentiasa bermain dan berlatih sejak lama dulu. Hal ini demikian (ewah, guna bahasa akademik pulak) mungkin kerana mereka banyak masa lapang dan dapat fokus kepada catur sahaja. Saya ada kira-kira 40 buah buku catur. Bagaimanapun ada buku sahaja pun tak guna jika tidak dibaca, difahami, dihayati dan dihafali. Hal ini mengingatkan tentang kisah seorang ulamak di tanah Arab zaman dulu. Beliau punya banyak buku berisi ilmu. Apabila pada suatu hari beliau dirompak, maka habislah buku-buku tersebut dibawa lari termasuk segala ilmu yang ada dalam buku tersebut sedangkan ilmu itu tidak ada dalam kepala. Kenapa kita tidak mengambil pengajaran daripada kisah ini....!?
Inilah sesuatu yang lain yang saya fikirkan itu. Nampaknya terpaksalah buka buku catur dalam sisa-sisa waktu ini sebab saya perlu berentap sesama sendiri pada hari Sabtu dan Ahad ini untuk menempah tiket ke Sukan Staf Antara Universiti Awam pada 2-10 November 2013. Tengok gayanya laluan saya sukar kerana mereka sentiasa bermain dan berlatih sejak lama dulu. Hal ini demikian (ewah, guna bahasa akademik pulak) mungkin kerana mereka banyak masa lapang dan dapat fokus kepada catur sahaja. Saya ada kira-kira 40 buah buku catur. Bagaimanapun ada buku sahaja pun tak guna jika tidak dibaca, difahami, dihayati dan dihafali. Hal ini mengingatkan tentang kisah seorang ulamak di tanah Arab zaman dulu. Beliau punya banyak buku berisi ilmu. Apabila pada suatu hari beliau dirompak, maka habislah buku-buku tersebut dibawa lari termasuk segala ilmu yang ada dalam buku tersebut sedangkan ilmu itu tidak ada dalam kepala. Kenapa kita tidak mengambil pengajaran daripada kisah ini....!?
Monday, November 19, 2012
Antara Memancing dan Main Catur
Memancing di Danau Pinggiran, Putrajaya pada 17/11/12
Kejohanan Catur Tertutup UPM pada 18/11/12
DUA-DUA bukanlah pilihan pertama. Pilihan pertama ialah apa yang sedang dibuat sekarang, iaitu menulis. Waima menulis dalam blog kerana selain menulis cerpen untuk siraran media cetak, tulis dalam blog pun sebahagian proses mematangkan aktiviti penulisan. Bagaimanapun antara memancing dan main catur di atas ada cerita di sebaliknya.
Dalam satu minggu ini, sebahagian rakan sepejabat memancing di Tasik Banding, Grik, Perak. Seorang rakan lagi memancing di sebatang sungai di Pahang. Di Tasik Banding mereka dapat ikan Kaloi. Di Pahang rakan saya dapat ikan Kelah. Saya dapat ikan Rohu pun jadilah. Yang terkilannya ialah selepas melabohkan mata pancing ke kolam, saya pun pergilah ke kaunter pembayaran/pendaftaran. Balik semula ke tempat tadi, terlihat seseorang sedang memegang joran saya sambil melayan Rohu besar, dan seorang rakan saya sedia menangguk. Sedangkan apa yang paling seronok ketika memancing ialah ketika berlawan dengan ikan! Yang mengembirakan ialah umpan yang saya adun persis dulu-dulu nampaknya masih berkesan. Tidak perlulah saya minta umpan daripada rakan alias sifu baru itu. Dan belum sempat masukkan ikan ke dalam jaring, pancing saya mengena Rohu lagi! Selepas dua jam, pulang ke rumah untuk ke majlis perkahwinan. Orang dah jemput, kenalah pergi kan.
Kejohan catur pula, saya hadir dengan pasrah. pasrah kerana tidak cukup baca buku catur. Banyak komitment lain yang mengehadkan peluang berlatih main catur. Tambahan pula sudah hampir tiga tahun tidak terlibat dengan kejohanan catur. Banyak pergerakan dah lupa. Justeru lawan saya pun bukan calang-calang orang. Pusingan pertama saya jumpa pemain Malaysia, pusingan kedua jumpa pemain UPM dalam MASUM. Pusingan ketiga baru menang mudah. Apa yang paling mengharukan ialah dalam pusingan terakhir saya korbankan Kuda, Gajah dan Tir untuk tiga bidak lawan sehingga saya tinggal satu gerakan untuk Sahmat! Kerana putus asa barangkali lawan saya korbankan Permaisurinya dengan memakan satu lagi Tir saya. Sebab tidak sabar nak menang, dengan bersicepat saya makan Permaisuri itu denga bidak di hadapan Raja tanpa terfikir Raja akan terdedah dan lawan saya yang hampir kalah itu letakkan Tirnya menekan Permaisuri yang dibelakangnya ada Raja. Sepatutnya saya menang tiba-tiba jadi kalah! Itulah Catur! Penuh dengan muslihat dan taktik, tetapi masih bergantung pada nasib!
Monday, May 31, 2010
Karnival Sukan MASUM 2010 - Catur
Perlawanan game pertama
Perlawanan catur hari kedua
Pasukan catur wanita
Sarapan pada hari terakhir (30 Mei 2010)
Perlawanan catur wanita hari terakhir (30 Mei 2010)Kejohanan catur yang besar seperti "Merdeka Open" dan berbagai "open" lagi, sering diadakan setiap minggu, bulan atau pun tahun, memang tidak disertai kerana "langkah pendek" dan "hambatan masa". Tidak juga ke Kompleks Wilayah atau Putrajaya yang sering disertai oleh rakan-rakan pemain catur. Namun saya berada di kelompok tersendiri apabila pernah menyertai kejohanan Catur Badan Berkanun, Karnival Catur Sukan Staf antara IPTA Malaysia, mewakili Selangor dalam Kejohanan Catur MAKSAK sewaktu diadakan di Melaka (1997), dan terbaharu mewakili UPM dalam Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa II yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada 23-30 Mei 2010. Yang terakhir ini diceritakan dalam foto di atas.
Friday, July 17, 2009
Buku Catur
SEBELUM ini saya ada menyiarkan entri tentang buku catur pertama. Buku itu menjadi sumber pengetahuan tentang notasi pergerakan catur. Bermula dengan buku pertama, maka bertambah-tambahlah koleksi buku catur hinggakan akhirnya berjumlah 40 buah termasuk yang diphotostat kerana buku tersebut tiada lagi di pasaran. Daripada 40 buah itu terdapat beberapa buah yang agak penting untuk dinostalgiakan. 
Pertama, buku yang bertajuk “Logical Chess, Move by Move” oleh Irving Chernev. Buku tahun 1957 terbitan Simon and Schuster, New York ini saya beli di Kompleks PKNS Shah Alam kira-kira pada tahun 1990 dengan harga RM27.00. Mungkin pada masa itu buku ini antara buku yang paling mahal saya beli. Oleh sebab buku ini dalam bahasa Inggeris, maka keraplah saya merujuk kamus pada peringkat awalnya. Buku ini bagus kerana memperlihatkan tujuan setiap pergerakan buah catur sama ada putih atau hitam dari awal hinggalah tamat permainan. Permainan yang dijadikan contoh pula sebanyak 33 permainan yang kebanyakannya berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kedua, buku yang bertajuk “The Gruenfeld Defense” oleh Grandmaster Leonid Shamkovich dan Jan R. Cartier. Buku ini diterbitkan oleh Hays Publishing, Dalas pada tahun 1997. Buku ini saya beli terus melalui on-line di alamat http:www.chess.co.uk pada 19/5/2004 dan sampai ke tangan saya pada 2/6/2004. Bagaimanapun saya ditolong oleh pensyarah saya dengan menggunakan kad Visanya. Saya pernah terserempak seorang veteran catur di Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM65.00. Dan saya tersenyum kerana saya cuma belanja RM50.00 untuk buku itu.
Ketiga, buku yang bertajuk “The Tao of Chess” oleh Chess Master Peter Kurzdorfer. Buku terbitan Adams Media, an F+W Publications Company, U.S.A tahun 2004 ini saya beli di Times The Bookshop, di Warisan Square, Sabah pada 24 April 2007. Saya beli buku ini sebagai kenang-kenangan ke Sabah kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 yang berlangsung pada 25-26 April 2007. Bagaimanapun saya di Sabah selama enam hari kerana pergi awal balik lewat. Buku ini antara yang seronok dibaca kerana berunsur falsafah.
Pertama, buku yang bertajuk “Logical Chess, Move by Move” oleh Irving Chernev. Buku tahun 1957 terbitan Simon and Schuster, New York ini saya beli di Kompleks PKNS Shah Alam kira-kira pada tahun 1990 dengan harga RM27.00. Mungkin pada masa itu buku ini antara buku yang paling mahal saya beli. Oleh sebab buku ini dalam bahasa Inggeris, maka keraplah saya merujuk kamus pada peringkat awalnya. Buku ini bagus kerana memperlihatkan tujuan setiap pergerakan buah catur sama ada putih atau hitam dari awal hinggalah tamat permainan. Permainan yang dijadikan contoh pula sebanyak 33 permainan yang kebanyakannya berlaku pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Kedua, buku yang bertajuk “The Gruenfeld Defense” oleh Grandmaster Leonid Shamkovich dan Jan R. Cartier. Buku ini diterbitkan oleh Hays Publishing, Dalas pada tahun 1997. Buku ini saya beli terus melalui on-line di alamat http:www.chess.co.uk pada 19/5/2004 dan sampai ke tangan saya pada 2/6/2004. Bagaimanapun saya ditolong oleh pensyarah saya dengan menggunakan kad Visanya. Saya pernah terserempak seorang veteran catur di Kuala Lumpur menjualnya dengan harga RM65.00. Dan saya tersenyum kerana saya cuma belanja RM50.00 untuk buku itu.
Ketiga, buku yang bertajuk “The Tao of Chess” oleh Chess Master Peter Kurzdorfer. Buku terbitan Adams Media, an F+W Publications Company, U.S.A tahun 2004 ini saya beli di Times The Bookshop, di Warisan Square, Sabah pada 24 April 2007. Saya beli buku ini sebagai kenang-kenangan ke Sabah kerana menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 yang berlangsung pada 25-26 April 2007. Bagaimanapun saya di Sabah selama enam hari kerana pergi awal balik lewat. Buku ini antara yang seronok dibaca kerana berunsur falsafah.
Dan keempat, buku yang bertajuk “ Encyclopedia of Chess Wisdom” oleh Eric Schiller. Buku ini saya beli di Popular Book Co, di Batu Pahat Mall. Seperti buku ketiga di atas, untuk membeli buku ini saya berpusing-pusing dan berfikir banyak kali. Banyak kali saya fikir kerana harga yang tertera ialah RM97.70! Saya kena ada sepuluh sebab untuk membeli buku ini. Saya tekadkan dalam hati bahawa inilah buku catur yang terakhir saya beli dan akhirnya saya 'tutup mata' dan menghantarnya di kaunter. Selepas tolak diskaun, saya bayar RM87.93 untuk memilikinya dengan harapan saya akan menjadi pemain catur terbaik dalam kalangan pemain catur UPM!
Subscribe to:
Posts (Atom)


















