Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya
Showing posts with label Penulis. Show all posts
Showing posts with label Penulis. Show all posts

Friday, October 26, 2018

Bertemu Ramlee Awang Murshid

 Bergambar dengan Ramlee Awang Murshid

Bergambar dengan RAM dan seorang ahli RAMFC

TANGGAL 22 Okt. 2018, empat hari lepas, Ramlee Awang Murshid (RAM) datang ke UPM, Serdang untuk program "Bicara Personaliti Bersama Novelis Ramlee Awang Murshid".  Program ini dilaksanakan di Aras 1, Perpustakaan Sultan Abdul Samad jam 9.00-10.30pagi.  Saya yang telah memiliki 20 buah novel RAM tentulah mengambil peluang ini untuk berjumpa dan mendengar bicara beliau.  Di penghujung program ini saya sempat beli tiga buah novel beliau lagi, iaitu Mandatori, Banja Manggala, dan Fiksyen 302, seterusnya buku itu dichop RAM Fan Club dan ditandatangani serta bergambar kenangan.

Wednesday, June 21, 2017

Menjadi Penulis Cerpen



SUDAH lama sebenarnya jadi penulis cerpen ni, iaitu sejak 1983.  Cuma kurang produktif.  Shawal 1438H ini mungkin paling bermakna kerana setelah memenangi pertandingan menulis sajak bulan lepas, bulan ini cerpen pula tersiar dalam majalah.era Muslimah terbitan terbaharu, iaitu Bil 36/2017.  Jika sajak anti dadah itu bertajuk "Kehadirannya Membawa Petaka", cerpen ini pula bertajuk "Apabila Kesedaran itu Datang..."

Tuesday, May 30, 2017

Menjadi Penulis Sajak


PERKARA yang menjadi sejarah dalam hidup saya kali ini ialah apabila menjadi pemenang tempat pertama Pertandingan Menulis Sajak UPM 2017 Sempena Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-habisan.  Saya mendapat galakan untuk menyertai pertandingan penulisan sajak daripada ketua jabatan setelah beliau menyaksikan penyampaian hadiah penulisan sajak di dewan yang sama beberapa bulan sebelum ini.  Seorang rakan penulis juga beberapa kali mengingatkan supaya menulis dan menyertai pertandingan ini.  Justeru, pada 16 Mei 2017 saya berjaya menyiapkan sebuah sajak dan jangan sampai tidak hantar, kata orang, tugas saya pun selesai.  Bagaimanapun pada 26 Mei 2017 dalam Majlis Perasmian Penutupan Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-habisan di Dewan Besar UPM, pertama saya tidak sangka diumum pemenang tempat pertama; kedua, saya tidak sangka diminta membaca sajak itu di atas pentas.  Antara audien ketika itu selain Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, TNC(Akademik & Antarabangsa) UPM ialah Dato' Fazley Yaakob yang diundang untuk slot penampilan khas.  Selain RM300.00 saya turut menerima hadiah buku "Terima Kasih Yaa Rabbi" kumpulan puisi Anismas ar dan "Discovering 100 Bird of Universiti Putra Malaysia" oleh Muhammad Syafiq Yahya dan rakan-rakan. "Kemenangan ini membuktikan saya masih wujud dalam persada penulisan kesusasteraan tanah air.

Friday, February 19, 2016

Antara Menulis dengan Membaca


SEORANG sahabat saya kata bahawa saya telah meninggalkan dunia penulisan. Saya terkedu dan terharu dengan kenyataan ini.  Memang sudah lama saya tidak menulis cerpen, tetapi sekurang-kurangnya saya masih menulis dalam blog ini.  Walaupun saya agak meninggalkan dunia penulisan, tetapi saya masih dengan dunia pembacaan. Buktinya dalam tempoh empat hari ini saya telah membeli semua buku-buku di atas. Tanggapan lain pula boleh dibuat, iaitu beli sahaja tapi tidak dibaca apa gunanya kan. Memang benar.  Dan saya tidak mahu lagi berbentengkan tanggapan...

Thursday, May 8, 2014

Antara Menulis dengan Melukis 2

Sembilan daripada 19 buah lukisan yang telah disiapkan

JIKA sebelum ini saya ada menyiarkan lukisan yang diadaptasi daripada nukilan puisi/sajak, kali ini dipaparkan pula lukisan yang diadaptasi daripada cerpen.  Pelajar diberi satu salinan tajuk cerpen daripada cerpen-cerpen tulisan saya sendiri yang pernah tersiar dalam majalah.  Mereka dikehendaki memahami jalan cerita kemudian memindahkan ke dalam bentuk lukisan.  Cuma kali ini setiap lukisan dilukis oleh sekumpulan dua orang bagi menekankan kerjasama.  Lukisan dibuat atas satu keping 'Ilustratioan Board' bersaiz 508mm X 762mm.

Monday, March 31, 2014

Antara Menulis dengan Melukis


BUKAN saja-saja memilih tajuk ini. Menulis dan melukis memang genre yang berlainan, tetapi kita tentu pernah mendengar tentang sebuah drama atau 'movie' yang diadaptasi dari sebuah novel.  Mungkin ini agak baharu apabila lukisan di atas diadaptasi dari puisi atau sajak.  Itulah hakikatnya.  Daripada sembilan buah lukisan di atas, tiga daripadanya adalah adaptasi daripada sajak-sajak "Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya" oleh Usman Awang, "The World is too Much With Us" oleh William Wordsworth, dan "Bila Langit Tak Lagi Biru" oleh Lim Swee Tin.  Bagaimanapun lukisan di atas hanya dilukis oleh pelajar-pelajar jurusan Bacelor Pengurusan Alam Sekitar yang mungkin itu kali pertama mereka melukis. Kredit untuk Dr. Ruzaimi Mat Rani yang telah memberi tip dan sedikt tunjuk-ajar semasa 'persinggahannya' di Studio 1, tempat saya bertugas, suatu masa dahulu.  Lukisan tersebut dibuat atas Ilustration board bersaiz 508mm X 762mm yang dipotong dua.

Thursday, March 27, 2014

Antara Memancing dengan Menulis

Peralatan memancing dan ikan Patin di kolam Danau Pinggiran pada Dis. 2013

APA sahaja yang berlaku di dunia ini boleh dijadikan bahan untuk menulis.  Bahkan benda yang belum berlaku pun boleh diimaginasikan dan ditulis, contohnya fiksyen sains.  Justeru, memancing dan menulis memang tidak terkecuali.  Cerpen "Tapah" oleh Lim Swee Tin yang memenangi Sayembara Cerpen Esso-Gapena III dan "Kelah Sisik Merah" oleh Baharuddin Kahar adalah antara cerpen yang berkisar tentang memancing dan ikan.  Malah cerpen tersebut telah menjadi klasik dan malasegar.  Di peringkat sarwajagat pula novel "Orang Tua dengan Laut" oleh Hemingway yang mengisahkan seorang tua dengan perahu kecilnya berjaya memancing atau menangkap seekor ikan yang besar, sering diperkatakan. 

Friday, September 20, 2013

Masa Untuk Menulis?

BELUM!
Namun pada masa ini saya masih menjadi pelanggan tetap Dewan Sastera, Dewan Siswa, dan Pelita Bahasa.  Sebelum ini saya tempah juga Dewan Budaya dan Dewan Pelajar.  Pada seorang rakan penulis, pernah saya kata dah bersara sebagaimana dia juga pernah kata pada saya begitu waima dia dah menulis semula.  Keinginan untuk menulis itu ada tapi bukan minggu inilah.

HARI ISNIN: Jam 9.00 mlm. hantar anak ke stesen bas Kajang untuk menaiki bas jam 10.15 ke Perlis. Bagaimanapun jam 12.30 dinihari baru bas sampai, seterusnya jam 1.00pg baru sampai rumah. SELASA-JUMAAT terlibat dengan program audit dalaman ISO.  terpaksa bawa dokumen segala bagai ke rumah untuk 'study' segala klausa dan panduan mengaudit.  SABTU ini ada jemputan kahwin dan bla bla bla....

Monday, November 19, 2012

Antara Memancing dan Main Catur

 Memancing di Danau Pinggiran, Putrajaya pada 17/11/12
Kejohanan Catur Tertutup UPM pada 18/11/12

DUA-DUA bukanlah pilihan pertama. Pilihan pertama ialah apa yang sedang dibuat sekarang, iaitu menulis. Waima menulis dalam blog kerana selain menulis cerpen untuk siraran media cetak, tulis dalam blog pun sebahagian proses mematangkan aktiviti penulisan.  Bagaimanapun antara memancing dan main catur di atas ada cerita di sebaliknya.

Dalam satu minggu ini, sebahagian rakan sepejabat memancing di Tasik Banding, Grik, Perak. Seorang rakan lagi memancing di sebatang sungai di Pahang.  Di Tasik Banding mereka dapat ikan Kaloi. Di Pahang rakan saya dapat ikan Kelah.  Saya dapat ikan Rohu pun jadilah.  Yang terkilannya ialah selepas melabohkan mata pancing ke kolam, saya pun pergilah ke kaunter pembayaran/pendaftaran.  Balik semula ke tempat tadi, terlihat seseorang sedang memegang joran saya sambil melayan Rohu besar, dan seorang rakan saya sedia menangguk.  Sedangkan apa yang paling seronok ketika memancing ialah ketika berlawan dengan ikan!  Yang mengembirakan ialah umpan yang saya adun persis dulu-dulu nampaknya masih berkesan.  Tidak perlulah saya minta umpan daripada rakan alias sifu baru itu.  Dan belum sempat masukkan ikan ke dalam jaring, pancing saya mengena Rohu lagi!  Selepas dua jam, pulang ke rumah untuk ke majlis perkahwinan. Orang dah jemput, kenalah pergi kan.

Kejohan catur pula, saya hadir dengan pasrah.  pasrah kerana tidak cukup baca buku catur. Banyak komitment lain yang mengehadkan peluang berlatih main catur.  Tambahan pula sudah hampir tiga tahun tidak terlibat dengan kejohanan catur.  Banyak pergerakan dah lupa.  Justeru lawan saya pun bukan calang-calang orang.  Pusingan pertama saya jumpa pemain Malaysia, pusingan kedua jumpa pemain UPM dalam MASUM. Pusingan ketiga baru menang mudah.  Apa yang paling mengharukan ialah dalam pusingan terakhir saya korbankan Kuda, Gajah dan Tir untuk tiga bidak lawan sehingga saya tinggal satu gerakan untuk Sahmat! Kerana putus asa barangkali lawan saya korbankan Permaisurinya dengan memakan satu lagi Tir saya.  Sebab tidak sabar nak menang, dengan bersicepat saya makan Permaisuri itu denga bidak di hadapan Raja tanpa terfikir Raja akan terdedah dan lawan saya yang hampir kalah itu letakkan Tirnya menekan Permaisuri yang dibelakangnya ada Raja.  Sepatutnya saya menang tiba-tiba jadi kalah!  Itulah Catur!  Penuh dengan muslihat dan taktik, tetapi masih bergantung pada nasib!

Wednesday, September 29, 2010

Sahabat

KATA orang; "bersahabat biar seribu..." Sekiranya dikira jumlah sahabat sejak kecil hinggalah ke usia setengah abad, memang jumlah sahabat mencecah seribu. Kiralah jumlah sahabat sekampung dan sepermainan. Jumlah sahabat sekelas dari darjah satu hinggalah ke tingkatan enam atas. Sahabat sekuliah di universiti. Sahabat di tempat kerja dan sebagainya. Secara peribadi, saya mempunyai sahabat dari kalangan pemain catur IPTA seluruh Malaysia, dari kalangan pemancing, dari kalangan penulis kreatif dll.
Bagaimanapun kita terpaksa menerima hakikat bahawa apabila masa terus berubah, kita akan kehilangan sahabat itu seorang demi seorang. Hilang dalam erti kata tidak menemu, namun hilang di hati tidak sesekali. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah ramai teruja apabila bertemu sahabat yang telah hilang sehingga 20 atau 30 tahun dahulu. Seperti kata salah seorang sahabat saya... walaupun masa terus berubah, persahabatan tidak pernah berubah. Wallahu a'lam.

Tuesday, September 28, 2010

Swee Tin Bersara dari UPM

BEGITULAH tajuk berita kecil, tetapi bergambar foto subjeknya, dalam kolum Nasional Berita Harian Sabtu 25 September hlm. 4. Saya agak terkilan kerana tidak sempat mengunjungi beliau di pejabatnya menjelang persaraan padahal beliau pernah memaklumkan hal ini beberapa kali sebelum ini. Manalah tahu kalau saya boleh geledah biliknya dan menemui beberapa buah buku lagi yang boleh dibawa pulang... Sebelum ini pun hampir setiap kali saya muncul di pintu bilik atau pejabatnya, pasti ada buku yang saya bawa balik, sama ada buku kritikan sastera atau pun novel atau kumpulan puisi. Sama ada buku tulisan beliau sendiri atau pun tulisan penulis lain. Oleh hal yang demikian, tidak kurang sepuluh buah buku tulisan beliau yang saya miliki mempunyai tandatangan penulisnya. Dr. Lim Swee Tin, penerima Anugerah Penulisan SEA 2000 ini, dalam penulisan sastera memanglah ibarat langit dan saya bumi, tetapi saya amat gembira kerana pernah menjadi muridnya dalam kursus BBK3309 Drama Melayu ketika program Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) di UPM awal tahun 2004. Lama sebelum itu, kali pertama saya berbual dengan beliau ialah sewaktu diperkenalkan oleh Aripin Said (Dato') dalam sebuah restoran di Taman Sri Serdang.

Monday, September 27, 2010

Dato' Aripin Said - Penulis Cerita Rakyat


SEBELUM jam 8.00 pagi Ahad semalam, saya sedang menelaah sebuah buku dalam bilik apabila saya terdengar suara Aripin Said dari televesyen di ruang tamu. Dengan bersicepat saya menghambur keluar dan sempat melihat caption "Lagu rakyat "Bawang Merah" Dato' Aripin Said". Maka saya lupakan yang lain untuk menghayati persembahan beliau. Sambil menghayati Dato' Aripin Said mendendangkan "Bawang Merah" sambil mengetuk rebananya itu saya teringat sejarah dan terkenang nostalgia lalu. Antaranya antologi cerpen kanak-kanak Sayang Tuk Aki terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1995) yang mengandungi 18 buah cerpen yang ditulis oleh Aripin Said, Nalida, dan saya sendiri. Agak panjang juga lagu rakyat itu waima liriknya berulang-ulang hinggakan saya resah bilakah lagu itu akan ditamatkan. Mungkin hanya beberapa saat lagi, tetapi terpotong kerana siaran Berita akan bermula. Selepas Berita, saya teruskan mendengar temu-bual pengacara TV1, iaitu Zaleha dan Adelynne Hani dengan Dato' Aripin Said dalam segmen Sembang Sosial - Dongeng & Cerita Rakyat itu. Buku Benawi dan Buluh Perindu Awang Selasar oleh Dato' Aripin Said di atas dibawa dan dibincangkan dalam segmen itu sementara buku Sayang Tuk Aki adalah antologi susunan Dato' Aripin Said yang empat buah cerpen saya terkandung di dalamnya.