Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, December 24, 2018

Ikan Ketutu

KETUTU adalah nama sejenis ikan air tawar sebagaimana keterangan daripada gambar poster di atas.  Ketutu banyak meninggalkan kenangan, sejarah, atau nostalgia dalam hidup saya.  Antara cerpen awal saya bertajuk "Ketutu Idaman" yang tersiar dalam Buletin Putra terbitan Universiti Putra Malaysia.  Ketika itu saya belum pernah merasa ikan Ketutu.  Sebab itu kata "idaman" terpancar dalam tajuk cerpen saya.
Ketutu di atas adalah yang saya bela dalam akuarium. Kali  pertama saya merasa isi ikan Ketutu ialah selepas saya mengikuti trip ke Tasik Kenyir bersama rakan-rakan sepejabat. Saya memperolehinya daripada tekong rumah bot.  Berat seekor ikan Ketutu itu 1.2kg. Saya bawa balik hidup-hidup dan ketika sampai di Serdang, Selangor, Ketutu itu masih hidup.  Disebabkan besarnya ikan itu saya masak tiga kali. Antaranya masak stim dan goreng.  Rasanya... Ya Salam, memang sedap. Isinya lebih lembut daripada ketam yang berulas.
Ketutu ini saya bela dalam akuarium dengan harapan senanglah apabila nak makan.  Jika nak beli pun sukar nak dapat dan kalau ada pun harganya mahal.  Paling murah RM80.00 sekilo untuk Ketutu yang berat 1kg ke atas. Untuk membela Ketutu dalam akuarium pula bukannya senang kerana ia makan ikan kecil, cacing atau yang seangkatan dengannya.  Ketutu tidak makan palet seperti ikan-ikan akuarium lain.  Mujur saya mudah mendapatkan ikan Gapi di longkang simen(gambar) yang hanya 50meter dari pejabat.
Cara menangkapnya mudah sahaja. Tahan tangguk kecil yang diikat dihujung sebatang kayu di satu titik.  Kemudian menggunakan sebatang kayu lagi kocak air longkang yang jernih itu kira-kira dua atau tiga depa. Kocak ke arah tangguk dan sebaik sahaja sampai terus angkat tangguk.  Hasilnya dengan sekali tangguk boleh dapat hampir 100 ekor Gapi seperti dalam gambar di atas.  Jika dicurah ke dalam akuarium sekejap sahaja Ketutu yang berjumlah enam ekor itu habiskan.  Begitulah sukarnya membela Ketutu.