Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, December 28, 2017

Haruan: Pabila Musim Hujan Tiba


APA yang kelihatan dalam gambar ini ialah air.  Sebenarnya kawasan ini adalah sebuah tanjung yang kering dan menganjur ke tengah tasik.  Banjaran rumput di kiri dan kanan adalah tebing berumput.  Ketika musim hujan ini ia dinaiki air hingga paras lutut.  Keadaannya seperti banjir termenung. Ketika inilah Haruan mula bermain di kawasan ini malah kelihatan seperti lubuk ikan.  Musim kali ini membolehkan saya pecahkan beberapa rekod peribadi, iaitu pertama, dapat Haruan terberat (600gm); kedua, balingan pertama terus dapat Haruan; ketiga, dapat Haruan tiga hari berturut-turut; keempat, dapat Haruan dua ekor dalam masa sepuluh minit atau sekali berpergian.  Biasanya saya 'casting' antara 7.00-7.30 pagi sebelum masuk kerja jam 8.00pg.

Tuesday, November 21, 2017

Kacang Panjang 2



MUSIM menuai kembali lagi.  Kali ini saya tanam dalam pasu konkrit.  Gambar memperlihat tuaian kali kedua, iaitu semalam.  Kira-kira 12 batang dapat dipetik seberat 200gram. Kalau nak beli, harganya sekitar RM10.00/kg.  Hari ini dapat sembilan batang sahaja.  Yang penting dalam dua minggu ini setiap hari perlu petik hasil yang sudah matang.

Tuesday, October 31, 2017

Menaiki Bot di Sungai Sepang Besar

 Pada 4 Okt 2017
Pada 25 Okt 2017

HARI ini hari terakhir bulan Oktober.  Bagi memenuhi quota sekurang-kurangnya satu catatan sebulan, maka ini sahaja yang sempat saya capai untuk dititipkan dalam keadaan terkejar-kejar waktu kerana banyak tugasan yang perlu dibereskan.  Gambar pertama di atas memperlihat saya berada dalam bot di atas sungai Sepang Besar dekat Bagan Lalang pada 4 Oktober 2017.  Masa itu saya sedang meninjau lokasi untuk satu slot daripada bengkel yang akan dilaksanakan kemudian.  Pada 25 Okt saya datang lagi bersama hampir 20 orang peserta bengkel "Forensics Investigation Techniques for Water Quality in Agriculture" yang berlangsung drp 24-27 Okt 2017.  Bagaimanapun selama empat hari bengkel saya cuma snap gambar sana snap gambar sini, tetapi gambar saya satu pun tiada. Justeru, saya paparkan gambar bot di belakang bot yang saya naiki.

Friday, September 29, 2017

Harum Manis yang Hilang


POKOK mangga Harum Manis ini saya tanam berdekatan pejabat antara empat hingga lima tahun lepas. Alhamdulillah walaupun di Selangor, pokok ini dapat hidup dan berbuah. Buah pertama agak besar, tapi hilang dirembat walaupun bersampul kertas. Dalam gambar ini ialah buah musim kedua. Sempat snap gambar beberapa hari sebelum hilang juga.  Rasanya dirembat orang kerana bersampul kertas surat khabar, tetapi apabila dibuka balutannya didapati telah kosong. Ketika didapati hilang, ada beberapa putik di dahan lain. Selepas itu baru dapat merasa setelah dipetik sebelum ranum kerana kalau lambat lagi dikhuatiri hilang juga. Selepas diperam lima enam hari baru dikupas dan walaupun keras sedikit masih terasa harum dan manisnya.  Jika dapat ditunggu hingga betul-betul masak tentu persis Harum Manis di Perlis sana.

Thursday, August 10, 2017

Dua Pingat Gangsa


ALHAMDULILLAH, penglibatan dalam sukan catur membolehkan saya bawa pulang dua pingat gangsa dalam tempoh dua minggu lepas.  Pertama pada 25/7/2017 selepas terlibat dengan Sukan Badan Berkanun 2017 di UiTM Bandaraya Melaka. Kedua, pada 4/8/2017 selepas terlibat dengan Kejohanan Sukan Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-42, 2017 di UPSI Tg. Malim, Perak. Sukan Badan Berkanun (Sukanun) berlangsung pada 21-27/6/17 di UTeM, Melaka, sementara SUKUM berlangsung pada 29/7/17-6/8/18 di UPSI, Tg. Malim, Perak.

Friday, July 28, 2017

Antara Pagi dengan Petang

 7.00 pagi dapat ini
7.00 petang dapat ini
HAL ini berlaku pada 18/7/17 yang lalu.  Seperti biasa saya sampai pejabat sebelum jam 7.00 pagi.  Hari masih gelap.  Selepas hantar beg sandang ke pejabat, saya keluar lagi untuk ambil barang lain di kereta.  Saya terdengar sesuatu dan terlihat sehelai dua rumput bergerak hanya dua meter di hadapan pintu pejabat.  Mujur saya tidak terpijak kerana dekat dengan laluan saya setiap pagi.  Dengan bantuan seorang Polis  bantuan (dulu pengawal keselamatan) saya berjaya kerjakan ular itu.  Petangnya menjelang 7.00 ptg di tasik belakang pejabat saya dapat seekor Haruan pula...

Kacang Panjang


TANAM 10 pokok kacang panjang di belakang bangunan pejabat (rumah di taman perumahan tiada tanah untuk bercucuk tanam), jika setiap hari dapat petik sebanyak ini, dapat petik selama dua minggu pun cukuplah. Memang berbaloi.

Wednesday, June 21, 2017

Menjadi Penulis Cerpen



SUDAH lama sebenarnya jadi penulis cerpen ni, iaitu sejak 1983.  Cuma kurang produktif.  Shawal 1438H ini mungkin paling bermakna kerana setelah memenangi pertandingan menulis sajak bulan lepas, bulan ini cerpen pula tersiar dalam majalah.era Muslimah terbitan terbaharu, iaitu Bil 36/2017.  Jika sajak anti dadah itu bertajuk "Kehadirannya Membawa Petaka", cerpen ini pula bertajuk "Apabila Kesedaran itu Datang..."

Tuesday, May 30, 2017

Menjadi Penulis Sajak


PERKARA yang menjadi sejarah dalam hidup saya kali ini ialah apabila menjadi pemenang tempat pertama Pertandingan Menulis Sajak UPM 2017 Sempena Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-habisan.  Saya mendapat galakan untuk menyertai pertandingan penulisan sajak daripada ketua jabatan setelah beliau menyaksikan penyampaian hadiah penulisan sajak di dewan yang sama beberapa bulan sebelum ini.  Seorang rakan penulis juga beberapa kali mengingatkan supaya menulis dan menyertai pertandingan ini.  Justeru, pada 16 Mei 2017 saya berjaya menyiapkan sebuah sajak dan jangan sampai tidak hantar, kata orang, tugas saya pun selesai.  Bagaimanapun pada 26 Mei 2017 dalam Majlis Perasmian Penutupan Bulan Kesejahteraan Diri: Perangi Dadah Habis-habisan di Dewan Besar UPM, pertama saya tidak sangka diumum pemenang tempat pertama; kedua, saya tidak sangka diminta membaca sajak itu di atas pentas.  Antara audien ketika itu selain Prof. Dr. M. Iqbal Saripan, TNC(Akademik & Antarabangsa) UPM ialah Dato' Fazley Yaakob yang diundang untuk slot penampilan khas.  Selain RM300.00 saya turut menerima hadiah buku "Terima Kasih Yaa Rabbi" kumpulan puisi Anismas ar dan "Discovering 100 Bird of Universiti Putra Malaysia" oleh Muhammad Syafiq Yahya dan rakan-rakan. "Kemenangan ini membuktikan saya masih wujud dalam persada penulisan kesusasteraan tanah air.

Tuesday, May 16, 2017

Berbakti Kepada Tanah



BARU-BARU ini berlaku kejadian ribut di kawasan pejabat saya.  Akibat daripada kejadian itu banyak pokok tumbang selain bangunan banyak yang rosak.  Antara yang tumbang ialah sepohon pokok Sukun betul-betul sebelah pejabat saya.  Mujur tidak hempap bangunan.  Pokok Sukun itu tingginya kira-kira 40 kaki. besar pangkal pokok itu sepemeluk orang dewasa.  Hikmahnya kejadian itu ialah saya dapat petik sebiji buah Sukun yang amat besar.  Setelah ditimbang, beratnya 3.5kg!  Buah yang sudah cukup tua itu rasannya sedap dan lemak apabila digoreng.  Pokok ubi kayu juga condong akibat angin kencang.  Setelah dicabut didapati beratnya 3.3kg. Amat sedap apabila direbus.  Teksturnya halus dan lembut tidak berakar.

Wednesday, April 19, 2017

Minggu Akuatik

Hasil pancingan di Danau Pinggiran, Putrajaya dua hari lepas.
Hasil pancingan di tasik berdekatan pejabat pagi ini

KEBETULAN sahaja makmal di bawah tanggungjawab saya ialah Makmal Penyelidikan Akuatik.  Kelas amali yang saya dipertanggungjawabkan pula dilaksanakan di Makmal Akuatik.  Itu biasa sahaja.  Hari Isnin lepas (17/4/17) saya memburu hidupan akuatik, iaitu memancing di Kolam Danau Pinggiran, Putrajaya.  Kali ini dengan beberapa pembaharuan kerana dua-tiga kali sebelum itu saya kecundang.  Antara yang diubah ialah tali perambut pada spring dipanjangkan 3 cm lagi dan mata pancing pula ditukar kepada yang lebih kecil.  Alhamdulillah hasil pancingan mencecah 13 ekor, iaitu Rohu 4 ekor dan Lekoh 9 ekor.  Hasilnya agak luar biasa, tetapi memancing itu biasa sahaja. Yang luar biasa ialah apabila pagi ini (19/4/17) sekitar jam 7.15 pagi, tergerak di hati nak 'casting' di Tasik berhampiran pejabat.  Lalu laci diselongkar untuk mencari gewang berbentuk katak yang dibeli di Digital Tackle, Puchong kira-kira dua  tahun lepas.  Selepas diikat pada joran, terus ke tasik.  Melontar dan karau, melontar dan karau lagi.  Hanya selepas beberapa belas kali, tiba-tiba gewang disambar.  Dipendekkan cerita, Haruan itu seberat 470gram.  Bukan sahaja sudah terlalu lama tidak memancing haruan, tetapi juga ini paling besar pernah dapat sekaligus pecah rekod sendiri.  Perlu dimaklumkan juga bahawa saya bercuti rehat tiga hari ini.

Monday, April 10, 2017

Warna Merah


PERNAH Seorang ustaz, dalam ceramah agama di Surau Hidayah berhampiran rumah saya menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah memakai pakaian warna merah.  Justeru, dalam artikel saya sebelum ini, iaitu pada Ogos 2015 dengan tajuk "Antara Warna Merah dengan Warna Merun", saya  selitkan hal itu.  Bagaimanapun dalam ruangan agama Berita Harian bth. 29 Mac 2017, artikel "Lima Warna Kegemaran Rasulullah" menceritakan sebaliknya.  Menurut artikel itu, selain warna putih, nabi SAW juga ada beberapa pakaian berwarna merah.  Tentulah saya berasa bersalah dan malu kerana menulis perkara yang tidak benar. Tidak seperti tulisan di akhbar, kata-kata ustaz itu hanya singgah di telinga saya dan hilang dibawa angin, lalu tiada bukti untuk diungkit.  Nampaknya perlu berhati-hati selepas ini.

Monday, March 27, 2017

Tanam Semua dalam Satu Pasu


TULIS apa ya...!  Masa makin suntuk.  Saya tidak mahu ada satu bulan dalam setahun yang saya tidak menulis.  Orang kata kalau terdesak, tulislah apa sahaja.  Justeru, kali ini saya nak cerita sedikit pasal sebuah pasu.  Pasu ini bukan pasu biasa yang bulat dan boleh tanam sebatang pokok renek.  Pasu ini jenis memanjang diperbuat daripada simen peninggalan Fakulti Perubatan dan Sains kesihatan.  Sebagai orang taman perumahan yang kekurangan tanah tentu sahaja saya ingin tanam pelbagai jenis tanaman di sini.  Oleh itu saya tanam pokok Delima, ubi kayu, betik, nanas dan Durian Monthong. Anak pokok Delima ini asalnya sejengkal sahaja pemberian jiran jauh. Ubi kayu jenis Medan ambil di kampung, di Batu Pahat. Betik pula jenis isinya berwarna kuning, saya dapat benihnya semasa ke Kedah beberapa bulan lepas.  Nanas adalah jenis MD2 yang tengah popular sekarang ini.  Sementara Durian Monthong saya dapat beli pada harga yang paling murah di MAEPS, iaitu RM35.00 untuk dua anak pokok. Orang kata durian ini jenis rendah dan boleh berbuah dalam masa tiga tahun.  Entahlah.

Friday, February 24, 2017

Azam Tahun Baru


SEBELUM ini setiap kali terima borang BE daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, walaupun terima dua bulan sebelum tarikh akhir, iaitu 30hb April, saya hanya hantar dalam minggu terakhir sebelum tamat tempoh.  Biasanya tiga-empat hari sebelum. Akibatnya amat teruk.  Oleh itu tahun ini saya berazam untuk hantar secepat mungkin.  Semalam apabila saya terima borang BE tersebut, petang semalam juga saya lengkapkan.  Hari ini tinggal harmonikan dan terus pos.  Maknanya kali ini saya berjaya melakukannya dua bulan lebih awal.  Makna kata sebahagian azam baru tahun 2016 telah dilunaskan dengan jayanya.

Thursday, January 26, 2017

Program Pemantapan Kendiri


 Perlu naik lori masa pergi dan balik antara simpang dengan Teratak Riverview Resort
 Bergambar ramai pada hari kedua selepas senamrobik/regangotot
Abseling antara 'Outdoor Extremme Programs' yang dilaksanakan

Wah, Januari dah nak sampai ke penghujung, namun saya masih belum menulis lagi... Apakah yang patut saya tulis?  Di manakah ilham!?. Ah, itu salah sendiri.  Usah membangau lagi seperti dalam lagu bangau oh bangau itu. Aktiviti yang paling penting untuk dikongsikan dalam ruangan ini dalam bulan ini ialah penglibatan dalam Program Pemantapan Kendiri Siri II 2017 yang berlangsung di Teratak Riverview Resort, Tanjung Malim pada 20-22 Januari 2017 baru-baru ini.  Antara aktiviti yang dijalankan ialah 'flying folk', 'abseling' dari bumbung empat tingkat, hanyut di jeram yang laju airnya (watertube), dan 'war game' selain daipada ceramah motivasi. Banyak pengajaran yang didapati daripada Program yang dikendalikan oleh Team Profesional Awana Unggul itu.