Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, October 12, 2020

Musim Menuai Kembali Lagi

 SEMUANYA di kawasan pejabat


UBI kayu ini saya tanam agak tergesa-gesa pada petang hari terakhir berkerja sehari sebelum PKP, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac 2020. Tindakan saya ini betul kerana PKP bersambung dua mingu, kemudian dua minggu lagi hingga akhirnya saya tidak dapat datang ke pejabat selama 10 minggu. kini hampir tujuh bulan usia pokok ubi ini dan apabila saya cabut, hasilnya hampir 3kg.


Ini sebahagian kawasan pejabat. Hanya 30 meter dari tingkap bilik pejabat saya. Di sini sahaja saya dapat ambil daun Beruas, jantung pisang, dan daun pisang.


Pucuk daun Beruas, nama ini seperti yang kedua ibu-bapa saya beritahu. Bagaimanapun saya difahamkan nama sebenarnya ialah Bebuas. Daunnya lembut dan berbau wangi. Setakat ini hanya digunakan untuk masak botok-botok ikan. Difahamkan boleh sahaja celur dan makan dengan nasi dicecah air asam atau sambal belacan.


Daun pokok Pisang kapok.  Untuk masak botok-botok ikan, daun pisang diperlukan sebagai pembungkus sebelum dikukus. Puas hati apabila boleh pilih sendiri daun yang cantik berbanding dengan yang dijual di pasar.


Jantung pisang.  Kebetulan dah beli sebiji di pasar tani, yang ini bolehlah buat tambah.


Ulam Raja. Kali ini hidup subur kerana pembajaan yang cukup dan penjarakan antara pokok. Akibatnya makan tak habis waima sudah dipanggil rakan-rakan berulang-kali. Mereka tidak rajin datang kerana pejabat mereka agak jauh di blok hadapan. Hanya pekerja pencuci yang setiap hari datang dan sesekali mengambilnya. 


Daun kaduk atau nama lainnya Sireh Duduk juga sebahagian daripada bahan resepi botok-botok ikan. Pokok ini hanya tiga meter daripada pintu blok pejabat saya.  Pokok ini sebenarnya dah bertahun di situ, tetapi hanya baru-baru ini sahaja dia kelihatan merimbun. Selain daripada itu, beberapa jenis pokok puding juga diambil daunnya, antaranya puding mangkuk. Sekian adanya. Wassalam.