Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Tuesday, December 22, 2015

Buku Bahasa Inggeris Pertama


BAGI orang yang tidak mahir berbahasa Inggeris seperti saya boleh dikatakan mustahil boleh baca buku BI sepenuhnya daripada kulit depan hingga kulit belakang, waima ianya sebuah novel atau pun buku-buku teks semasa alam persekolahan.  Namun kali ini saya memaksa diri melakukannya walaupun ambil masa panjang dan bertemankan sebuah kamus.  Buku "The TAO of Chess" menjadi buku BI pertama yang saya baca dari mula sampai habis.  Hal ini demikian kerana saya ingin benar-benar mahir dalam permainan catur.  Ia terbukti berkesan apabila ketika baru membaca separuh buku ini saya telah menyertai Kejohanan Catur Terbuka DUN Bangi baru-baru ini, dan saya memperolehi 4.5 mata daripada 7 pusingan. Selain daripada itu, buku ini juga menjadi kenangan kerana saya membelinya di Times The Bookshop, Warisan Square Kota Kinabalu, Sabah pada 24/04/2007 semasa menghadiri Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-8 di Universiti Malaysia Sabah pada 25-26 April 2007.  Selalunya jika saya berpeluang melancong atau mengembara atau kerja lapangan di sesuatu tempat yang jauh, saya akan beli sebuah buku untuk dicatatkan tarikh, tempat beli, dan maklumat lain yang berkaitan.

Friday, November 20, 2015

Antara Danau Dengan Pergau


SEJARAH ini perlu didokumentasikan demi sebuah NOSTALGIA.  Tanggal 11/11/2015 (Rabu) itu MEREKA bertolak ke Tasik PERGAU, Jeli, Kelantan.  Hari yang sama juga saya ke Kolam  DANAU Pinggiran, Putrajaya.  Saya telah isi borang cuti rehat awal kerana nama tidak tersenarai untuk kerja lapangan EMG4801 (11-15/11/2015) untuk kali kelima berturut-turut.  Alhamdulillah memancing selama dua setengah jam dapat hasil yang lumayan seperti di atas. Gambar itu diambil sebelum dapat sekor lagi kemudiannya. Tetapi Rohu dan Pacu ini masakan sama dengan Sebarau dan Toman yang mereka dapat melalui jala atau beli daripada orang di PERGAU sana...

Friday, November 13, 2015

Tahniah Dua Tokoh Anugerah Penghargaan Akademik


TAHNIAH diucapkan kepada Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Abu Hassan dan Prof. Madya Dr. Noor Aina Dani atas penganugerahan tersebut (lihat Berita Harian, 11 November 2015)  DUA tokoh ini adalah antara idola saya dalam bidang bahasa dan sastera.  Dr. Noor Aina Dani pernah menjadi pensyarah saya bagi kursus "Pengantar Psikolinguistik" semasa menuntut di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM..  Selain minat dengan subjek ini, cara beliau mengajar yang berketerampilan, mesra, dan mudah senyum membolehkan saya mendapat 'A' dlm subjek ini.  Prof. Dr. Mohamed Mokhtar pula adalah pelopor Teori Konseptual Kata Kunci.  Semasa menghadiri Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006 pada 4-6 Ogos 2006 di Hotel Le Paris @ Costa Rica, Port Dickson, Negeri Sembilan, saya telah membeli buku "Teori Konseptual Kata Kunci" tersebut daripada Nisah Hj. Haron (atau orang/meja di sebelahnya).  Kemudian kebetulan saya semeja dengan Prof. Dr. Mohamed Mokhtar Hassan semasa makan tengah hari.  Justeru, saya hulur buku tersebut untuk beliau tandatangani.  Tulisan Prof. pada buku itu berbunyi "Saudara Abdul Rahman, semoga mencintai dan meneruskan supaya menjadi sebuah teori yang mantap. Ikhlas daripada..t.t.".

Tuesday, November 3, 2015

Pabila Dirancang Tak Menjadi


KITA hanya merancang.... Pabila yang dirancang serba tak menjadi, mungkin ada hikmah di sebaliknya.  Seawal 15/10/15, iaitu dua minggu sebelum, saya telah disenaraikan sebagai pembantu pengawas ujian SKP2101 (Kenegaraan Malaysia) pada 1/11/2015 (Ahad).  Namun empat hari menjelang tarikh itu, saya dimaklumkan ia sebenarnya telah dibatalkan/ditangguhkan.  Justeru saya akan berpeluang menyertai Pancing Santai pada 1/11/2015 itu di Pesta Konvo UPM.  Malangnya sehari kemudian, saya dimaklumkan bahawa aktiviti memancing juga dibatalkan atas sebab teknikal.  Maka keputusan drastik dibuat, iaitu balik kampung sahajalah jengok ibu-bapa kami.  Alhamdulillah, waima buat keputusan saat akhir, malam Sabtu sampai juga ke Batu Pahat yang berjarak 260Km dari UPM.  Dipendekkan carita pagi Ahad balik semula ke Selangor kerana malamnya bertugas di pameran Konvokesyen.  Dalam Mingguan Malaysia kemudiannya saya difahamkan Utusan Malaysia sebenarnya tidak terlibat langsung dengan aktiviti memancing itu, walaupun tertera dalam poster.

Monday, October 12, 2015

Pertandingan Catur Piala DUN Bangi


Matlamatnya ialah untuk menjadi pemain catur mewakili organisasi dalam kejohanan SUKUM tahun hadapan.  Sudah dua tahun menjadi jurulatih kerana ketidakhadiran dalam pemilihan dan latihan akibat komitmen kepada keluarga.  Sebagai anjakan, saya sertai satu kejohanan besar, iaitu Pertandingan Catur Piala DUN Bangi yang diadakan di Dewan Cempaka Kompleks PKNS Bangi pada 11 Oktober 2015. Kejohanan ini dianggap besar kerana disertai juga bekas Juara Kebangsaan, Natioanl Master (NM) Ahmad Kamal Abdullah ran rakan-rakannya, selain menghimpun lebih dua ratus pemain bagi kategori terbuka, bahawh 17, dan bawah 12 tahun.  Sebelum kejohanan lagi saya sudah maklumkan kepada rakan-rakan bahawa keterlibatan ini bagi membuktikan kelayakan saya sebagai pemain, bukan jurulatih.  Alhamdulillah, saya memperoleh 4.5 mata daripada 7 pusingan, sementara rakan-rakan lain mendapat 4 mata, 3.5 mata dan 3 mata.  Saya telah buktikan. Kipidap!

Monday, September 14, 2015

Antara Memancing dengan Menulis

 Tentang Zainal Rashid Ahmad dlm Nuansa Pengarang BH 6/9/15
 Zainal Rashid Ahmad dengan Patin Mekong/Pelabuk
Saya dengan Patin Mekong di kolam Seksyen 24 tahun lepas

KENAPA saya memancing? Bila masanya saya menulis? Paling terbaharu saya memancing ialah pada 5/9/2015, iaitu baru seminggu lepas, di kolam Danau Pinggiran, Putrajaya.  Hanya sehari besoknya (6/9/2015) tersiar dalam Berita Harian tulisan Latifah Arifin tentang Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Latifah Arifin memetik ZRA sebagai berkata "Saya tidak ada komputer peribadi di rumah, bahkan untuk memikirkan idea ketika bersama keluarga juga agak mustahil kerana biasanya masa digunakan sepenuhnya untuk menonton televesyen dan melakukan aktiviti wajib, iaitu memancing".  Nah, sama macam saya.  ZRA suka memancing, saya juga suka memancing. Namun pencapaian dalam bidang penulisan tidak sama.  ZRA telah memenangi deretan anugerah sastera (lihat Dewan Sastera, Ogos 2015).  Sehingga kini ZRA telah menghasilkan tiga buah kumpulan cerpen.  Saya sekadar eceran.  Kenapa?

Wednesday, September 9, 2015

Kejohanan Ping Pong

Saya jauh di belakang sana sedang betulkan kaca mata

UMPAMA diari kehidupan, perlu dicatatkan di sini bahawa pada 1, 3, dan 4 September 2015, saya terlibat dalam kejohanan ping-pong antara Gabungan bertempat di Stadium UPM.  G9 adalah gabungan iDEC, FSKTM dan FPAS.  Berjaya masuk ke suku akhir, kemudian berjaya ke peringkat separuh akhir.  Namun tersekat di separuh akhir apabila tewas kepada Gabungan Perpustakaan.

Friday, September 4, 2015

Hikayat Merong Mahawangsa


TARIKH beli: 2 September 2005*
Tarikh mula baca: 28 Ogos 2015
Tarikh selesai baca: 3 September 2015

*BELI di Kedai Buku Universiti Kebangsaan Malaysia.

Friday, August 28, 2015

Catur: SUKUM 2015


TAHUN ini berpeluang lagi menyertai pasukan Catur dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2015 yang berlangsung di UiTM Shah Alam pada 17-22 Ogos 2015. Alhamdulillah kali ini berjaya membawa balik empat pingat, iaitu satu emas dan tiga perak. Emas dimenangi dalam acara Blitz individu wanita dan satu perak juga daripada Blitz individu wanita.  Sementara dua lagi perak melalui Rapid berpasukan lelaki dan Rapid berpasukan wanita.

Monday, August 17, 2015

Merah dan Merun Lagi


DUA hari lepas saya terima dua pasang baju lagi kerana menjadi wakil pasukan catur ke Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2015. Seperti yang dinyatakan sebelum ini kebanyakan baju percuma yang saya terima berwarna merah.  Nampaknya kali ini pun dapat baju yang sepasang berwarna merah dan sepasang lagi warna merun.

Tuesday, August 11, 2015

Antara Warna Merah dengan Warna Merun


WARNA sering diperkatakan dalam pelbagai bidang. Warna amat penting apabila dikaitkan dengan lukisan, fotografi, fesyen pakaian, warna bangunan dan bermacam lagi. Warna juga menjadi fokus bidang psikologi apabila dikaitkan dengan keperibadian seseorang.  Baju berwarna pink atau merah jambu contohnya dikatakan hanya dipakai oleh lelaki yang berani, kata pakar motivasi terkenal. Secara peribadi, saya tidak suka pakaian berwarna merah.  Hal ini demikian antaranya kerana seorang penceramah agama kata Nabi tidak pernah pakai pakaian berwarna merah.  Tidak tergerak pula nak tanya zaman itu ada tak warna biru dan hijau yang menjadi warna kegemaran.

Walaupun saya kurang suka pakaian berwarna merah, tetapi banyak pula koleksi pakaian saya yang berwarna merah.  Hal ini demikian kerana semuanya baju percuma.  Antara aktiviti yang menyebabkan dapat baju tersebut ialah 1). Kursus Pemantapan Kendiri; 2). Program Sambutan Alam Sekitar 2009 Peringkat Daerah Kinta (Cintai Sungai Kinta); 3).Baju T rasmi untuk staf di organisasi; 4).Baju T untuk pasukan Catur (tiga pasang) dalam sukan SUKUM tahun 2014 di UTM; 5). Baju T 'gift' kerana beli sehelai kemeja. Bagaimanapun saya terperangkap(tertipu?) apabila suatu hari di sebuah gedung membeli-belah, ketika membelek-belek kemeja T, Amoy yang menjaga bahagian pakaian, berkata "Ha, cantiklah warna baju itu." Saya kata "saya tidak suka warna merah." disambut oleh Amoy itu dengan "itu bukan warna merah,  itu warna merun!".  "Merun?" lantas aku berfikir bahawa warna merun bukan warna merah.  Lalu aku pun sambarlah sepasang.  Namun aku silap!  Merun dengan merah adik beradik.  Orang lebih suka sebut merah untuk warna merun.  Malah lebih baik pakai baju berwarna merah berbanding merun.  Sekarang jika nak beli baju, saya akan pilih warna biru atau hijau atau seangkatan dengannya.

Thursday, July 30, 2015

Keladi Pertama Saya


BERBAGAI jenis pokok sudah ditanam dan banyak kali menuai hasilnya. Hanya beberapa bulan lepas saya menanam Keladi.  Sesekali beli Keladi di pasar lambak dengan harga yang agak  tinggi, terfikir pula kenapa tidak ditanam! Justeru, setiap kali beli Keladi, bahagian atasnya saya tanam.  Keladi (gambar) di atas merupakan hasil tanaman Keladi pertama saya.  Beratnya 1.2 kg.  Lepas ini, kalau nak makan Keladi tak payah beli dah.
Pokok Keladi yang ditanam di luar pagar.

Monday, July 27, 2015

Buah Binjai


SEMPENA Aidil-Fitri 1436H baru-baru ini, seperti biasa pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor.  Di rumah mertua, hanya pokok Binjai (kemang?) yang berbuah.  Pokok ini sangat tinggi, lebih kurang 60-70 kaki (saya tak sempat ambil gambar pokok).  Batang pokok ini lurus dan besar, lebih kurang dua pemeluk orang dewasa.  Setiap pagi, apabila meronda sekitar pangkal pokok, dapatlah dalam tiga hingga empat biji.  Yang hairannya walaupun gugur dari dahan tinggi, ia tidak bonyok atau pecah. Cara memakannya kupas dan hiris isinya sama seperti buah mempelam (buah mangga) dan dimakan begitu sahaja.  Rasanya tersendiri dan manis.  Manis dan sedap.

Friday, July 3, 2015

Buat Bantal Kekabu Sambil Memancing



PELIK bunyinya kan.  Tapi itulah yang berlaku.  Semalam isteri saya minta tolong isikan kekabu untuk dibuat bantal pada hari minggu ini.  Saya kata "hari ini pun boleh".  Maka pagi itu juga sebelum jam 7.00pagi (biasanya saya ke pejabat jam 7.00 pagi) dia jahit dua helai sarung berbentuk empat segi tepat dengan sebahagiannya masih belum berjahit.  Maka saya bawalah satu bungkusan kekabu, dua helai kain baru jahit itu, dan sehelai lagi stok lama.  Jam 9.00pg, dari pejabat (saya ambil cuti rehat) saya bertolak ke Kolam Pancing Danau Pinggiran Putrajaya.  Hampir tiada siapa yang memancing, maklumlah bulan puasa.  Maka mulalah saya baling umpan dan letakkan lonceng pada joran agar ketika leka menyumbat kekabu nanti bolehlah dengar kalau ada ikan tersangkut pada mata pancing.  Menyumbat kekabu bukan kerja senang.  Kekabu perlu dilerai-leraikan supaya pengisian jadi sekata.  Itu yang menyebabkan kekabu mudah berterbangan.   Oleh itu perlu tutup hidung dengan sapu tangan bagi mengelakkan habuk masuk ke lubang hidung.  Namun ada juga yang singgah ke mata.  Seluar berwarna hitam jadi bercapuk putih.  Begitulah susahnya kalau nak tidur selesa.  Bantal diperbuat daripada span atau 'foam' memang kurang selesa.  Akhirnya dapatlah saya siapkan tiga buah bantal, siap berjahit bahagian lubangnya dan tujuh ekor ikan Lekoh.  Tiga daripadanya ada telor. Apa pun, mungkin lebih tepat lagi kalau tajuk wacana ini "Memancing Sambil Membuat Bantal". Betul tak!?  Apabila saya kata pada sang isteri bahawa saya isi kekabu sambil memancing, dia tidak terkata apa!  Bantal kekabu dapat, ikan pun dapat.

Tuesday, June 30, 2015

Perkongsian Ramadan III


SETELAH beberapa kali tazkirah dibuat pada pertengahan tarawih, malam tadi telah diumumkan bahawa atas nasihat penceramah tazkirah malam semalam, tazkirah akan dibuat setelah solat sunat tarawih selesai.  Itulah yang berlaku di surau berdekatan rumah saya.

DI SINI saya cuma nak berkongsi, khususnya kepada generasi baru yang mengerjakan solat sunat tarawih dengan cara yang mereka jumpa sekarang.  Sekarang ada surau tertentu mengupah 'al-hafiz' menjadi imam solat sunat tarawih supaya membaca satu juz surah setiap malam sesudah al-Fatihah.  Buku yang menjadi rujukan ialah Asas-asas Fardu Ain tulisan Ustaz Sulaiman Endut seperti dalam gambar di atas.  Diterbitkan kali pertama 1993 oleh Pustaka Haji Abdul Majid.  Ustaz Sulaiman Endut pernah bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga (JAKIM).  Antara cara mengerjakan solat sunat tarawih seperti tertera dalam halaman 150 buku ini ialah: "Surah yang dibaca sesudah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat boleh mana sahaja yang kita kehendaki.  Umpamanya mulai dari at-Takathur (al-Hakumut takathur) sampai surah Lahab (Tabbat yada Abi Laha-bin).  Pada rakaat kedua setelah dibaca al-Fatihah boleh dibaca mana-mana surah, tetapi diutamakan surah al-Ikhlas (Qul Huawallahu ahad)."

MAKNA kata boleh sahaja baca surah panjang-panjang, tetapi baca surah pendek inilah yang biasa saya jumpa sebelum tahun 1980-an dulu.  Sekadar berkongsi pengalaman....

Friday, June 26, 2015

Perkongsian Ramadan II


WALAUPUN berita bertajuk "JAIS syor laksana solat tarawih 20 rakaat" ini tersiar dalam Berita Harian bertarikh 23 Jun 2015, saya hanya menemuinya pada 25 Jun, iaitu sehari selepas saya menulis tentang tazkirah di bawah entri Perkongsian Ramadan.  Makna kata tulisan saya sebelum ini berasas.  Tambahan pula surau dan rumah saya di negeri Selangor.  Namun saya tidak fikir surau di tempat saya itu akan mematuhi syor yang dikeluarkan oleh JAIS....

Wednesday, June 24, 2015

Perkongsian Ramadan


RASANYA masih belum terlalu terlambat untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini. Antara pengisian ibadah di bulan Ramadan ini selain bersolat sunat tarawih ialah bertadarus al-Quran dan berqiamullail.  Bagaimana pula dengan tazkirah?. Masjid yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah selepas solat Zohor. Surau yang paling dekat dengan rumah saya mengadakan tazkirah (dinyatakan 30-40 minit) selepas empat rakaat solat tarawih. Di sini saya cuma nak berkongsi soal jawab agama yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 12 Ogos 2012.  Antara petikannya ialah "...Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya." Walau pun hujah ini dibuat oleh seorang berkelulusan PhD dan disokong dengan dua hadis sahih, diyakini tetap ada orang yang tidak setuju.  Kalau tak, masakan surau terdekat mengadakan tazkirah dalam waktu tarawih... Malah diyakini menjadi juara apabila di papan kenyataan tertera jadual tazkirah, iaitu pada 19, 20, 21, 22, 23, 25, 26, 27, 28, 29 Jun, 1, 2, 3, 4, 5, 8, 9, 11, dan 12 Julai 2015 lengkap dengan nama  penceramahnya.  Mujur tahun ini solat sunat tarawih dibuat lapan rakaat sama ada dibuat tazkirah atau tidak.  Tahun-tahun sebelum ini kalau ada tazkirah, buat lapan rakaat, kalau tiada tazkirah buat 20 rakaat.  Saya cuma nak berkongsi sahaja.  Saya tidak berani berpendapat.  Siapalah saya kalau dibandingkan dengan ahli jawatankuasa surau... Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa ilaihi 'l-marji'u wa 'l-ma'ab.

Friday, June 12, 2015

Alahai Harum Manis II


MASIH tentang Harum Manis.  Untuk ke Perlis saya tidak menggunakan GPS atau Waze sebagai petunjuk jalan.  Mereka kata senang guna Waze.  Tekan sahaja butang sampailah ke tempat di tuju.  Sebagai Otai saya tidak biasa.  Namun saya rujuk juga peta topografi, Google Map, dan Buku Peta Warisan Semenanjung Malaysia Petronas.  Mana-mana yang perlu, diphotostat dan ditanda. Ada juga yang dilukis semula bagi jemputan kahwin dalam Whatsapp.  Syukurlah nampaknya mudah sahaja untuk sampai ke semua tempat, iaitu Simpang Empat, Perlis, Kuala Perlis, Kangar, Beseri, Padang Besar, dan Felda Rimba Mas.  Di Kedah pula, sampai Kg. Pida Siam, Pekan Rabu, dan Jalan Kangkung Simpang Empat.  Sebagai orang Selatan Semenanjung tentulah teruja apabila sesekali sampai ke negeri paling Utara.  Berbalik kepada si Harum Manis, sebiji boleh penuh sepinggan.  Namun sewaktu nak menjamahnya teringat juga tentang harganya.  Sepinggan Harum Manis harganya sama dengan sepinggan chicken chop.  Bagaimanapun, apabila merasa isi Harum Manis yang halus, manis dan beraroma, memang berbaloi.  Nak rasa kena tutup mata, tapi buka minda.  Jangan peduli apa orang lain nak kata.

Friday, June 5, 2015

Alahai Harum Manis


SEBULAN lepas, iaitu pada 1 Mei 2015 saya memandu dari Serdang, Selangor ke Perlis.  Masa itu ada cuti bersambung selama empat hari.  Oleh hal yang demikian, Lebuhraya PLUS penuh kereta dan sering tersangkut dengan kesesakan.  Sampai Perlis tiga jam lewat daripada sepatutnya. Singgah di Simpang Empat, Perlis ambil anak dan terus ke homestay di Beseri, Perlis.  Besoknya ke Pekan Rabu, Alor Setar.  Kemudian ke Jalan Kangkung di Simpang Empat, Alor Setar menghadiri majlis kahwin rakan anak.  Kemudian ronda ke Kuala Perlis.  Kemudian balik ke homestay di Beseri untuk rehat dan solat.  Petang itu ronda di Padang Besar.  Kemudian ke rumah kenalan di Felda Rimba Mas tidak jauh dari Padang Besar itu.  Dipendekkan cerita masa itu adalah musim mangga Harum Manis bermula.  Bagaimanapun banyak gerai ada menjualnya terutama di jalan antara Simpang Empat ke Kangar. Cadangan dibuat untuk membelinya barang sebiji.  Lagipun boleh pilih sendiri untuk pilih yang terbaik.  Bagaimanapun pemikiran negatif menghalangnya.  Dikhuatiri harganya mahal, ada yang busuk, ada penipuan bukan Harum Manis yang asli dan sebagainya.  Maka singgah pun tidak.

Kononnya nak bercuti hingga Isnin (cuti umum), tetapi mengenangkan jalan sesak masa datang, dikhuatiri pula jalan sesak pada hari Isnin, maka baliklah ke Serdang pada Ahad 3 Mei. Tiadalah Harum Manisnya, namun banyak juga bawa balik buah Kuini yang dikait di homestay atas pelawaan tuannya dan buah mangga Sala pemberian kenalan di Felda Rimba Mas. Di Serdang seseorang kata "apalah, pergi Perlis tak makan Harum Manis, dia tak pergi pun dah dapat rasa!.". Cerita Harum Manis belum berakhir.  Akhirnya saya dapat juga Harum Manis pemberian orang Felda Rimba Mas melalui anaknya yang bekerja dan menetap di Serdang.  Masa pergi dulu belum masak.  Dan rakan sekerja juga tawarkan samada saya berhajat dengan harga RM24.00/kg....

Wednesday, May 20, 2015

Baca Novel Ramli Awang Murshid


NOVEL 9 Nyawa tulisan Ramlee Awang Murshid telah pun habis dibaca dua bulan lepas.  Sekarang sedang baca Ungu Karmila.  Novel Ungu Karmila ini mungkin dah lima tahun berada di rak buku, tetapi baru sekarang tergerak nak baca.  Tombiruo Terakhir pula tidak boleh dibaca sehingga saya boleh dapatkan novel Semangat Hutan, iaitu siri kedua dalam trilogi Tombiruo ini.  Semua novel ini bukan saya yang beli, tetapi anak saya yang beli.

Wednesday, May 13, 2015

Buku Untuk Koleksi


HARI Ahad, tiga hari lepas, kebetulan semasa di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi untuk ke pusat beli belah Billion, terdapat pamiran/jualan buku anjuran Galeri Buku Syabab di foyer bangunan itu. Kebanyakannya buku agama.  Bagaimanapun terdapat satu meja bagi buku-buku popular dan satu meja lagi khas untuk buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan juga ada tawaran potoangan harga yang sangat menarik, maka saya sambar lima buah buku, iaitu Jendelaku Kekasihku (Zahari Affandi), Bunga-Bunga Pulau (Fatimah Busu), Bagin Sungai Merah (Rahimah Muda), Tinta Elipsis (Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, dan Tebing Budi (Antologi peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru 2008). Lupa pula nak tanya jualan itu sehingga bila. Rasanya perlu pergi semula untuk mendapatkan buku-buku bermutu buah tangan penulis berwibawa dengan harga yang sangat menguntungkan...

Friday, April 24, 2015

Ulam Raja


ULAM Raja ini tumbuh di belakang pejabat saya. Sebenarnya kawasan ini telah diterangkan supaya lapang dan tiada nyamuk.  Bagaimanapun kerana tumbuhan asal di sini antaranya adalah pokok Ulam Raja yang banyak biji benihnya yang telah tua berwarna hitam maka tidak hairanlah pokok Ulam Raja tumbuh dan mendominasi kawasan ini.  Makna kata macam dia tumbuh sendirilah....

Tuesday, March 31, 2015

Pabila Terpaksa Memilih

PAGI tadi terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman MS ISO 9001:2008 di Fakulti Pertanian atau hadir mesyuarat Agung Persatuan PPS.  Saya diwajibkan menjalankan tugas Audit.  Oleh itu terpaksa melepaskan mesyuarat Agung yang menawarkan cenderamata eksklusif, cabutan bertuah, dan makan nasi Arab yang enak. 

PETANG ini pula terpaksa memilih antara menjalankan tugas Audit Dalaman ISO atau mesyuarat AJK Kelab Sosial dan Kebajikan atau menjalankan tugas melaksanakan kelas amali pelajar EMG3204 (Studio Perancangan Alam Sekitar 1). Perlu memilih tugas hakiki, iaitu melaksanakan kelas amali pelajar.

Tuesday, March 3, 2015

Beratnya Kasut


BIASANYA jika ke pasaraya tertentu, saya akan ke penimbang berat badan yang berfungsi selepas memasukkan syling 20sen ke dalam slotnya.  Baru-baru ini, selepas menghadiri jemputan majlis perkahwinan, saya singgah ke sebuah pasaraya dan menimbang berat badan.  Alangkah terkejutnya apabila jarum meter memperlihatkan berat bertambah satu kilogram?! Tak kan baru makan nasi beriani sepinggan terus bertambah satu kilo? Bagi mencari jawapannya, saya timbang kasut yang digunakan.  Ternyata berat kasut itu satu kilogram!  Selalunya saya menimbang berat badan dengan berselipar atau bercapal....

Tuesday, February 17, 2015

Penggunaan RON97


ARTIKEL ini tersiar dalam BH 5 Februari 2015.  Tajuk artikel ini selari dengan persepsi saya selama ini, iaitu RON97 lebih jimat terutamanya daripada segi jangka panjang apabila enjin kereta lebih tahan lama.  Selain daripada itu, daya pecutan enjin juga lebih baik.

Thursday, February 5, 2015

Besarnya Kelapa


DARIPADA segi saiznya, memangnya yang paling besar saya pernah jumpa, justeru ditimbang untuk mengetahui beratnya.  Ternyata beratnya mencecah 5.5kg. "Kelapa asli," kata penjual di Pasar Tani itu... Harganya pun lebih mahal.  Namun apa yang kerap saya alami ialah buah yang besar tidak semestinya elok. Lebih baik beli yang sederhana atau kecil.  Ia akan memberi lebih nilai untuk wang anda. .selain kelapa ini saya ada pengalaman ke atas buah durian, betik, tembikai dll. Beli sebiji yang besar, kalau busuk, busuk semuanya.  Beli dua biji yang kecil, kalau busuk sebiji, yang sebiji lagi mungkin molek.

Tuesday, January 20, 2015

Tahun Baru Kereta Baru


HANYA beberapa minit selepas 'publish' artikel atau entri yang lepas, pihak Proton telefon minta datang ke pusat jualannya di Bandar Baru Bangi untuk mengambil kereta Proton baru....

Friday, January 9, 2015

Tahun Baru Kereta Lama


MASIH belum terlambatnya rasanya untuk mengucapkan selamat tahun baru 2015. Selain azam baru daripada segi semangat dan iltizam keperibadian, antara kita mungkin ada yang telah pun tukar beberapa barang baru seperti rumah baru, kereta baru, motor baru, TV baru atau telefon bimbit baru. Setakat menulis ini, saya masih lagi guna kereta lama. Ramai kawan-kawan dah tukar Honda baru, Proton baru, Perodua baru,Nissan baru atau Toyota baru, saya masih lagi menggunakan Saga Iswara tahun 1997.  Sudah hampir 18 tahun menggunakan kereta ini.  Makna kata kereta lamalah ini....