Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya
Showing posts with label Diari. Show all posts
Showing posts with label Diari. Show all posts

Sunday, February 7, 2021

Kemaskini Fail

 

Semua surat-surat dan borang-borang disimpan dalam fail ini sejak 40 tahun lepas.



Setelah dikeluarkan dokumen yang tidak perlu, tinggal lima fail sahaja.

MENJELANG persaraan wajib hujung tahun ini, saya mulai risau tentang barang-barang peribadi yang akan terpaksa dibawa balik ke rumah.  Sebagai kakitangan berpendapatan rendah, rumah yang mampu dimiliki pula kecil, iaitu rumah teres dua bilik.  Barang-barang yang saya tumpang letak di bilik pejabat antaranya adalah buku, iaitu lebih kurang 900 buah; pakaian, cendera mata, koleksi lencana, rantai kunci, nametag, potongan akhbar (ruangan cerpen dan pelbagai rencana) dll.  Sebagai permulaan saya kemaskini fail-fail personal sebanyak 14 buah.  Fail ini saya buka sejak masuk kerja pada 1981.  Menyedari bahawa saya harus simpan dokumen yang benar-benar penting sahaja maka semua dokumen yang tidak lagi relevan, saya keluarkan.  Ternyata dua per tiga daripadanya tidak perlu disimpan.  Hasilnya daripada 14 fail, kini hanya tinggal lima fail, seterusnya dapat jimatkan ruang.

Tuesday, May 28, 2019

Bergambar Ramai

DALAM sesuatu aktiviti, samada melibatkan pejabat tempat kerja, keluarga, kumpulan sukan, dan sebagainya, bergambar ramai menjadi antara yang terpenting selain bergambar seorang atau kumpulan kecil terutama berlatarbelakangkan lokasi aktiviti tersebut dilaksanakan.  Hal ini penting dalam konsep sejarah dan nostalgia. Berikut beberapa gambar ramai yang telah diambil.  Jika guna kamera sendiri, seseorang mungkin tolong snap atau pun gunakan jika gunakan tripod, fungsi self-timer yang terdapat pada kamera dapat membantu.
 Lawatan 5S di Putra International Centre 10/5/2019

 Majlis jamuan meraikan staf berpencen, staf baru masuk, dll 30/4/2019

 Kerja lapangan kursus "Pengenalan Kepada Kerja Lapangan" pada 1-3/4/2019 
di Cameron Highlands

 Lawatan ke Jabatan Kimia Makanan, Jabatan Kimia Malaysia 
anjuran Persatuan Penolong Pegawai Sains. 15/1/2019

Jamuan Raya Aidilfitri di Jabatan, 4/7/2018

Tuesday, January 30, 2018

Berkayak di Tasik Darulaman Perdana


DARI Serdang ke Sg. Petani,
Singgah sebentar di Permatang Pauh;
Alang-alang sampai di sini
Dengan kayak kami berkayuh.

Tanggal 29/12/17 (Jumaat) seawal 5.20 pagi saya dan keluarga bertolak dari Serdang, Selangor ke Sg. Petani, Kedah.  Melalui Saujana Putra, solat Subuh di hentian/stesen Petronas 10km sebelum sampai Hospital Sg. Buluh.  Hujan sepanjang perjalanan hingga melepasi Terowong Menora.   Sesekali hujan lebat hingga tak nampak jalan.  Singgah di UiTM Permatang Pauh untuk menjemput seorang lagi ahli keluarga.  Solat Jumaat di situ.  Makan malam di Restoran Marina 4 Sg. Petani.  Semasa balik ke Darulaman Perdana terlihat papan tanda "Laguna Merbok" tempat rakan sepejabat bercuti dua-tiga hari lepas.  Hari Ahad baru saya berkesempatan berkayak di Tasik Darulaman Perdana dengan bayaran RM10.00 seorang.  Hari Isnin bertolak balik ke Serdang seawal 7.15 pagi.  Singgah sebentar di Permatang Pauh.  Alhamdulillah sampai Serdang dengan selamatnya jam 1.45 petang.

Friday, July 28, 2017

Antara Pagi dengan Petang

 7.00 pagi dapat ini
7.00 petang dapat ini
HAL ini berlaku pada 18/7/17 yang lalu.  Seperti biasa saya sampai pejabat sebelum jam 7.00 pagi.  Hari masih gelap.  Selepas hantar beg sandang ke pejabat, saya keluar lagi untuk ambil barang lain di kereta.  Saya terdengar sesuatu dan terlihat sehelai dua rumput bergerak hanya dua meter di hadapan pintu pejabat.  Mujur saya tidak terpijak kerana dekat dengan laluan saya setiap pagi.  Dengan bantuan seorang Polis  bantuan (dulu pengawal keselamatan) saya berjaya kerjakan ular itu.  Petangnya menjelang 7.00 ptg di tasik belakang pejabat saya dapat seekor Haruan pula...

Wednesday, March 16, 2016

Ada Apa Dengan Diari


TIDAK ada apa sangat sebenarnya, cuma kebetulan hari ini saya nak baca dan menghayati sebuah cerpen.  Lama sudah tidak baca cerpen kerana sebab-sebab yang peribadi yang mustahak yang tidak dapat dielakkan.  Dan kebetulan juga, cerpen yang ada atas meja saya bertajuk "Diari" tulisan Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir.  Cerpen ini baru tersiar dua hari lepas dalam Sanggar Sastera Berita Minggu BH.  Kebetulan pula terdapat fakta yang menyamai diri ini seperti yang diwarnakan kuning dlm gambar di atas, iaitu "Dari rumahnya di Serdang." dan "membeli sebuah diari berwarna biru."

Tuesday, November 3, 2015

Pabila Dirancang Tak Menjadi


KITA hanya merancang.... Pabila yang dirancang serba tak menjadi, mungkin ada hikmah di sebaliknya.  Seawal 15/10/15, iaitu dua minggu sebelum, saya telah disenaraikan sebagai pembantu pengawas ujian SKP2101 (Kenegaraan Malaysia) pada 1/11/2015 (Ahad).  Namun empat hari menjelang tarikh itu, saya dimaklumkan ia sebenarnya telah dibatalkan/ditangguhkan.  Justeru saya akan berpeluang menyertai Pancing Santai pada 1/11/2015 itu di Pesta Konvo UPM.  Malangnya sehari kemudian, saya dimaklumkan bahawa aktiviti memancing juga dibatalkan atas sebab teknikal.  Maka keputusan drastik dibuat, iaitu balik kampung sahajalah jengok ibu-bapa kami.  Alhamdulillah, waima buat keputusan saat akhir, malam Sabtu sampai juga ke Batu Pahat yang berjarak 260Km dari UPM.  Dipendekkan carita pagi Ahad balik semula ke Selangor kerana malamnya bertugas di pameran Konvokesyen.  Dalam Mingguan Malaysia kemudiannya saya difahamkan Utusan Malaysia sebenarnya tidak terlibat langsung dengan aktiviti memancing itu, walaupun tertera dalam poster.

Monday, November 24, 2014

"What Did U Do Last Saturday?"

 Pagi: ke pertandingan catur

Malam: ke Majlis Makan Malam Homecoming VIII (Alumni UPM)

DENGAN izin ya.  Mengguna kan satu ayat Bahasa Inggeris dalam satu wacana Bahasa Melayu. Apa yang saya buat Sabtu lepas?  Bukan Sabtu kelmarin.  Sabtu kelmarin (22/11/14) saya mengunjungi MAHA 2014 di MAEPS, Mardi, Serdang.  Bukan mudah melawat pelbagai pameran dan jualan dalam kawasan yang begitu luas dengan masa yang begitu sedikit.  Saya sempat beli buah-buahan, iaitu rambai, tampoi, limau manis Serawak, dan limau bali.  Di dewan makanan pula, saya sempat beli mi bandung Muar, Laksa Perlis, nasi Arab Maqlubah, dan kacang pool haji.

SABTU lepas (15/11/14) saya menyertai kejohana catur sempena Putra Canselor Karnival (14-16/11/14).  Saya korbankan pusingan ke-4 kerana menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat.  Selepas solat Zohor bergegas ke Kolej Canselor semula.  Rupanya saya juga kalah W/O pusingan ke-5 kerana lambat 10 minit. Seterusnya saya menang 'game' ke-6 dan seri 'game' ke-7.  Malamnya pula menghadiri Majlis Makan Malam Homecoming VIII - Sirih Pulang ke Gagang 2014 di Dewan Besar UPM anjuran Alumni.

Thursday, November 13, 2014

Hari Kitar Semula Kebangsaan



SEMPENA "National Recycling Day" atau Hari Kita Semula Kebangsaan yang berlangsung pada 11 Nov. 2014, saya berbasikal sebagai satu daripada acara kempen kesedaran yang diadakan selain pameran poster-poster, pengumpulan bahan-bahan kitar semula, kraftangan daripada bahan terpakai dan lain-lain lagi.

Monday, October 13, 2014

Tulisan Jawi



HARI Raya Kurban minggu lalu ramai orang berkunjung ke masjid dan surau atau tempat-tempat khas untuk penyembelihan kurban.  Biasanya saya hanya ke surau berdekatan dan terlibat sebagai orang awam yang datang dengan sebilah parang yang telah diasah tajam, membantu melapah atau memotong, kemudian dapat sebahagian daging kurban.  Kali ini, pada 5 Oktober 2014 lalu, saya di kampung, ditugaskan oleh ayah saya menguruskan kurban seekor lembu.  Penyembelihan dilakukan di kandang lembu yang jaraknya lebih 25km dari kampung.  Ayah saya menyerahkan senarai nama-nama arwah dengan niat kurban-imarah, mudah-mudahan pahalanya sampai kepada mereka.  Apa yang menarik ialah dia menulis senarai itu dalam tulisan jawi. Kita pun sedia maklum bahawa tulisan jawi semakin terpinggir sekarang. Lembu pilihan ini hanya dapat disembelih pada jam 12.30 tengah hari kerana giliran ke 15 daripada 20 ekor.  Dan saya yakin senarai inilah satu-satunya senarai dalam tulisan jawi.

Wednesday, December 19, 2012

Siapa Bertuah


HARI Sabtu lepas bolehlah dikatakan suatu hari yang penuh hiruk-pikuk dan memenatkan.  Menjelang Suboh hinggalah selepas Mahgrib, penuh dengan aktiviti yang melibatkan komitment keluarga. Ada orang datang minta 'baby'nya dijaga separuh hari.  Terpaksa mendukungnya satu jam sewaktu 'orang rumah' 'shoping' sayur-ikan di pasar awam. Lepas itu hantar anak ketiga ke Alamanda, Putrajaya bersama kawannya. Lepas itu jemput anak kedua di kolej di UPM dan terus ke Kajang. 'Shoping' beg dan tudung berdekatan Ali Stor.  Lepas pekena sate Samuri dekat Stadium, terus ke KAMDAR beli kain. Jam 5.00ptg balik dari situ terus ke Alamanda jemput anak dan kawannya. Selepas solat Asar di rumah, terus ke Seri Kembangan kononnya nak beli mesin basuh. Masa inilah kawan saya telefon tanya sama ada saya nak ikan Patin itu.  Dia sedang memancing di kolam MAEPS. Dengan segera terus ke sebuah pasaraya untuk beli barangan dapur kerana perlu menanti kawan saya di rumah sebelum jam tujuh.  Kawan saya bukan sahaja beri Patin, malah seekor lagi Rohu.  Saya sempat menjeling seekor lagi Rohu seberat kira-kira 3kg dalam keretanya.  Dia kata dua ekor lagi sudah diberi kepada orang lain.  Usai solat Mahgrib, parang pun dicapai untuk mengayakannya.  Mujur malam sebelumnya saya telah perhatikan bagaimana penjual ikan air tawar di pasar malam menyiang ikan.  Kalau Rohu seekor, tidak sampai seminit dah siap.  Kalau Keli, dalam seminit antara 10-15 ekor boleh siap.  Pendek kata, memang bertuah la kan, tak pergi memancing pun boleh dapat dua ekor ikan.  Ikan Patin itu pula saya goreng beberapa keping malam itu juga dan besoknya.  Ternyata kali ini memang sedap. Tidak ada langsung bau hanyir atau bau tanah.  Tetapi kalau dapat pergi sendiri memancing di mana-mana 'port' tentu lagi seronok kan, kan....

Sunday, September 30, 2012

Nostalgia Longan

ANTARA pokok buah dengan pokok hiasan, mana yang lebih penting. Mungkin kedua-duanya penting bergantung kepada tujuan penanamannya.  Melihat pokok-pokok Bungo bersebelahan pejabat saya, terdetik di hati ini, alangkah baiknya kalau pokok itu pokok buah mata kucing atau pokok buah longan..., boleh juga dimakan buahnya.  Saya melihat buah longan di pasar malam persis yang terdapat bergayutan di pokok Bungo tersebut.  Walaupun tak boleh dimakan, pokok Bungo ini akan berbunga penuh, berwarna merah muda dengan saiznya yang agak besar.

Thursday, July 5, 2012

Harga petrol RON97 turun 20 sen

TURUNnya harga petrol RON97 sebanyak 20 sen menyebabkan dua perasaan timbul.  Pertama gembira, kedua terkilan. Gembira kerana harga minyak petrol turun dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan saya.  Terkilan kerana saya hanya tahu harga diturunkan melalui Buliten Utama TV3 jam 8.15 malam tadi, sedangkan saya telah penuhkan tangki minyak kereta saya dengan petrol RON97, iaitu sebanyak RM60.00 pada jam 7.15 petang semalam!  Hanya satu jam perbezaan masa.  Apa pun, syukurlah....

Friday, June 29, 2012

Maka Jun Pun Berakhir...

SEKADAR memenuhi kuota satu bulan sekurang-kurangnya satu entri, maka saya titipkan sebaris dua diari dalam ruangan ini...

21-22 Jun 2012
Dua hari seperti terperangkap dalam bilik operasi kerana bertugas sebagai pengiring juruaudit MS ISO 9001:2008 dari pihak SIRIM.

26 Jun 2012
Seharian berada dalam kawasan FRIM Kepong kerana suatu urusan peribadi yang amat mustahak yang tidak dapat dielakkan.  Antara pengisian peribadi yang dipenuhi dari jam 8.00pagi hingga 4.00petang ialah membaca novel Kusebut Namamu Selalu karya Muhd Mansur Abdullah yang dah lama beli tapi belum sempat mula baca.  Itu pun dapat baca lima bab sahaja.  Selain itu berjalan di sekeliling sebuah kolam melihat dua ekor ikan Arapaima Gigas yang besarnya mungkin 50kg atau 60kg seekor.  Sisik ikan itu memang cantik, satu bersisik kuning, satu lagi bersisik merah.

Lain-lain
Sepanjang Jun ini, tiga kali bertugas sebagai pembantu pengawas peperiksaan akhir.  Semuanya di luar waktu pejabat, iaitu sama ada petang, malam, atau hari Ahad.  Tapi tak apa, dapat juga buat tuntutan bayaran kerja lebih masa.  Siapa nak bagi!

Tuesday, March 13, 2012

Tempat Jatuh Lagi Dikenang





DALAM entri sebelum ini telah diceritakan tentang pengalaman memancing di Kg. Nelayan Telok Gong, Kelang. Dalam akhbar Utusan Malaysia semalam terpapar berita tentang warung-warung di sekitar Jeti Kg. Nelayan Telok Gong itu telah hanyut dibawa arus. Tentulah berita buruk itu mengundang nostalgia kerana baru bulan lepas saya menjejakkan kaki di jeti itu....

Thursday, January 12, 2012

Diam-diam Ubi III

DIAM-DIAM ubi berisi. Diam tak diam sudah beberapa kali tapak penanaman ubi kayu saya bersilih ganti. Sudah dicabut, tanam semula, dicabut lagi, dan tanam semula. Dimulai dengan satu variety ubu kayu, iaitu Ubi Medan, kini saya sudah menanam empat variety ubi kayu. Variety tersebut seperti dalam gambar di bawah mengikut susunan ialah Ubi Medan, Ubi Putih, Ubi Indon, dan Ubi Pulut. Ubi Medan. Paling biasa ditanam orang. Batangnya berwarna kemerahan semasa kecil. Batang tua berwarna gelap. Dahannya kemerahan. Kulit ubinya agak berkakah. Sedap dimakan apabila direbus dan cecah dengan sambal tumis bilis. Benih asal saya dapat dari Batu Pahat, Johor.


Ubi Putih. Batangnya berwarna hijau cerah. Apabila tua pun masih cerah berbanding ubi medan. Saya belum pernah makan ubinya, tetapi sahabat saya yang mendapatkan benih ubi ini dari kampungnya di Kapar, Kelang berkata, ubi inilah yang paling sedap.



Ubi Indon. Batangnya lebih gelap berbanding Ubi Medan dan Ubi Putih. Dahannya lebih merah daripada ubi medan. Kulit ubi ini agak licin atau rata. Tekstur ubinya mungkin antara ubi medan dan ubi pulut. Masih dalam peringkat kajian.



Ubi Pulut. Daunnya ketara berbeza, iaitu panjang. Ada orang mengelarnya ubi jurai sebab daunnya yang berjurai itu. Isi ubinya mungkin tidak dimakan orang kerana tidak empuk. Kalau hendak dimakan pun kena diparut dahulu dan dibuat kueh. Pucuk ubi inilah yang selalu dimakan dan banyak dijual di pasar malam. Benih asal saya perolehi dari seorang rakan sekerja yang tinggal di Sungai Buluh.

Thursday, August 25, 2011

Berenang-renang ke Tepian




NOSTALGIA? Benarlah begitu apabila yang dibicarakan ini sudah sebulan setengah berlalu. Kursus Keselamatan di Tempat Kerja (Air) ini berlangsung selama tiga hari pada pertengahan Julai lalu. Banyak yang tidak boleh saya buat pada hari pertama. Antaranya mencecah lantai kolam, kerana saya akan sentiasa tersembul ke permukaan air. Menjelang hari akhir saya boleh lakukannya khususnya untuk bergambar sedemikian rupa, lain dari yang lainnya...

Tuesday, July 19, 2011

Amal Jariah



PEJABAT tempat saya bertugas mengadakan aktiviti menanam pokok pada 1 Julai 2011. Sebanyak 80 anak pelbagai pokok telah ditanam. Antaranya pokok limau kasturi, jambu air, mangga, kedondong dll. Pokok-pokok tersebut ditanam di sekeliling sebuah kolam/tasik. Minggu lepas saya mula berjogging sekeliling tasik itu. Masa itulah saya nampak ada satu lagi lubang tidak bertanam.


Minggu ini saya berkesempatan balik kampung. Berkesempatan pula membeli sebatang anak durian belanda. Harganya cuma RM2.00. Penjual tu kata boleh berbuah dalam setahun setengah lagi. Lalu saya membelinya khusus untuk ditanam di tepi tasik itu. Ketika menanamnya dua hari lepas, seorang rakan kata buat apa tanam di situ, belum tentu saya akan dapat hasilnya kerana tempat lalu-lalang orang awam. Saya pula kata, tak apalah... buat amal jariah.

Friday, July 8, 2011

Akibat Sebuah Perhimpunan

CEH! Kalau tidak kerana perhimpunan yang tidak sepatutnya besok, tentu aku dan keluarga balik kampung yang jauhnya 250km dari KL untuk menjengok kedua ibu-bapa kami yang kian uzur. Kesian mereka. Bukan mudah untuk mendapat hari-hari yang lapang seperti besok dan lusa kerana hari-hari lain ada sahaja hambatan. Sudahlah lama tak dapat menjengok, bersalam, mencium tangan mereka, serta buat apa-apa yang patut di keliling rumah. Memang menyusahkan betul....

Wednesday, June 29, 2011

Sebuah Anugerah


SEPERTI bulan lepas, saya tiada bahan(baca masa) yang cukup untuk menulis dalam blog. Sepanjang minggu lepas saya terkurung dalam bilik mesyuarat Fakulti Perhutanan kerana menjadi juruaudit dalaman MS ISO 9001:2008. Sepanjang minggu sebelumnya saya membantu juruaudit dalaman di fakulti sendiri. Memenatkan juga tugas ini kerana saya seperti membaca novel, perlu menghayati semua watak dan perwatakannya serta konflik yang tercetus dalamnya. Dalam sistem pengurusan kualiti ini, sebagai auditor saya perlu menghayati segala keperluan dan kepatuhannya. Pengorbanan ini seperti terbalas(waima ia penilaian 2010) apabila semalam saya berpeluang menaiki pentas menerima anugerah khidmat cemerlang untuk kesekian kalinya.

Sunday, May 29, 2011

Nostalgia Taman Negara Pahang

Di mercu tanda Taman Negara Pahang



Pelajar-pelajar program Master Alam Sekitar

Di 'Canopy Walkway'

Dengan pelajar-pelajar luar negara peserta program ini


Sempatlah memancing di 'kawasan kelah' dengan lesen memancing RM10.00



KIRANYA sebulan saya tidak menulis dalam blog... alangkah sibuknya sepanjang Mei... dan Jun menanti dengan pelbagai tugas; Besok bermula Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-10 (3 hari), Kursus Kesejahteraan Persaraan (1 hari), Juruaudit dalam ISO di fakulti lain (4 hari), dan selebihnya membantu juruaudit dalam ISO di fakulti sendiri (4 hari). Catatan ini sekadar mengisi kekosongan Mei. Saya enggan terima hakikat satu entri pun tiada dalam bulan Mei. Justeru perjalanan ke Taman Negara Pahang (9-13 Mei 2011) menjadi benteng kekosongan itu.