Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, November 24, 2014

"What Did U Do Last Saturday?"

 Pagi: ke pertandingan catur

Malam: ke Majlis Makan Malam Homecoming VIII (Alumni UPM)

DENGAN izin ya.  Mengguna kan satu ayat Bahasa Inggeris dalam satu wacana Bahasa Melayu. Apa yang saya buat Sabtu lepas?  Bukan Sabtu kelmarin.  Sabtu kelmarin (22/11/14) saya mengunjungi MAHA 2014 di MAEPS, Mardi, Serdang.  Bukan mudah melawat pelbagai pameran dan jualan dalam kawasan yang begitu luas dengan masa yang begitu sedikit.  Saya sempat beli buah-buahan, iaitu rambai, tampoi, limau manis Serawak, dan limau bali.  Di dewan makanan pula, saya sempat beli mi bandung Muar, Laksa Perlis, nasi Arab Maqlubah, dan kacang pool haji.

SABTU lepas (15/11/14) saya menyertai kejohana catur sempena Putra Canselor Karnival (14-16/11/14).  Saya korbankan pusingan ke-4 kerana menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat.  Selepas solat Zohor bergegas ke Kolej Canselor semula.  Rupanya saya juga kalah W/O pusingan ke-5 kerana lambat 10 minit. Seterusnya saya menang 'game' ke-6 dan seri 'game' ke-7.  Malamnya pula menghadiri Majlis Makan Malam Homecoming VIII - Sirih Pulang ke Gagang 2014 di Dewan Besar UPM anjuran Alumni.

Thursday, November 20, 2014

RON 97 Turun Harga 20 Sen


SEMALAM (19/11/14) harga minyak Petrol RON 97 turun 20 Sen.  Turun daripada RM2.75 kepada RM2.55.  Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas penurunan harga ini kerana saya adalah antara pengguna RON 97.  Ramai orang kata, orang kaya sahaja guna RON 97.  Sebenarnya tidak begitu.  Saya bukan orang kaya, malah kereta saya cuma sebuah itulah, iaitu Proton Saga Iswara yang saya beli pada tahun 1997.  Makna kata saya telah menggunakan RON 97 sejak 17 tahun lalu.  Hal ini demikian kerana sebagai seorang Pembantu Makmal, kemudian Penolong Pegawai Sains, saya memang terdidik melakukan sesuatu mengikut spesifikasi yang ditetapkan.  Mesti akurasi dalam istilah sains.  Ini jelas jika dilihat pada penutup tangki minyak kereta yang tertera 97 + OKTANA (OCTANE).  Saya tidak rasa rugi waima pada harga RM2.75 sebelum ini kerana merasakan hitungan batu lebih jauh, enjin kereta lebih tahan, dan kuasa pecutan lebih bertenaga.

Thursday, November 13, 2014

Hari Kitar Semula Kebangsaan



SEMPENA "National Recycling Day" atau Hari Kita Semula Kebangsaan yang berlangsung pada 11 Nov. 2014, saya berbasikal sebagai satu daripada acara kempen kesedaran yang diadakan selain pameran poster-poster, pengumpulan bahan-bahan kitar semula, kraftangan daripada bahan terpakai dan lain-lain lagi.

Wednesday, November 12, 2014

Hari Penghargaan dengan Kuntuman Mawar


SEMALAM saya dikejutkan dengan pemberian tiga kuntum Mawar. Sekuntum daripada sekumpulan pelajar dan dua lagi daripada individu. Satu daripadanya tercatat "Happy Appreciation Day" dan "Terima kasih banyak membantu kami".  Turut diterima sebungkus coklat.  Sesungguhnya saya hanya menjalankan tugas dengan sedikit tolak ansur apabila diperlukan serta tidak pernah mengharapkan penghargaan sedemikian rupa. Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada mereka yang bersusah-susah menghadiahkan kuntuman mawar tersebut.

Tuesday, November 4, 2014

Pokok Puding Hitam

 Pokok Puding Hitam
Nasi putih berlauk rendang ayam puding hitam

TIDAK semua tempat di negara ini, atau dengan kata lain, bukan semua masakan rendang ayam atau rendang daging dicampur pucuk puding hitam dalam resepi mereka.  Di tempat saya di Selatan tanah air memang tidak ditemui puding hitam dalam rendang.  Hanya empat-lima tahun ini baru disedari bahawa puding hitam banyak diguna oleh orang Negeri Sembilan dalam masakan rendang mereka.  Sejak itulah saya menanam banyak pokok puding hitam samada dalam pasu di rumah atau di tanah lapang berdekatan tempat kerja.