Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya
Showing posts with label Pokok. Show all posts
Showing posts with label Pokok. Show all posts

Wednesday, May 5, 2021

Hasil Tuaian PKP

 


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) mulai besok 6/5/2021 hingga 17/5/2021 menyebabkan pejabat saya berkerja akan ditutup daripada beroperasi sepanjang tempoh itu. Ini bermakna saya tidak boleh datang ke pejabat sekaligus tidak boleh datang ke 'kebun' di belakang pejabat. Oleh hal yang demikian saya terpaksan menuai apa yang patut kerana sebahagiannya akan ranum atau layu di pokok dalam masa 12 hari itu dan sebahagian lagi memang untuk keperluan memasak juadah Aidil Fitri yang dijangka pada 13/5/2021.  Antara yang saya tuai kali ini ialah durian belanda, pisang, mangga, serai, lengkuas, bunga kantan, dan cili api kampung. Semoga dikembalikan PKPB pada 18/5/21 nanti sebab masa itu timun telah boleh dituai. juga hasil tanaman yang lain. Pergilah Covid-19.

Monday, May 3, 2021

Bunga Pokok Bungor

 

Bunga Bungor

Pokok Bungor

CANTIK juga bunga pokok Bungor ini.  Pokok yang saya ambil gambarnya ini terletak depan pintu belakang pejabat/makmal saya.  Pangkal pokoknya tak sampai pun lima meter dari pintu, sementara kanopinya hampir dengan bumbung pejabat/makmal.  Terdapat lebih daripada lima pokok Bungor berdekatan pejabat.  Saya difahamkan pokok ini di sesetengah tempat mengeluarkan bunga yang banyak/lebat seperti bunga Sakura di Jepun dan Tecoma di Malaysia. Bagaimanapun Bungor di sini tidak begitu lebat bunganya.  Sebab itu satu daripadanya saya tebang dan gantikan dengan pokok durian Monthong, durian belanda, dan sayur-sayuran supaya hasilnya lebih produktif.

Tuesday, April 27, 2021

Jambu Mawar

 



JAMBU Mawar, kali terakhir merasanya semasa saya awal remaja kerana ada sepokok di kebun ayah saya di kampung, iaitu lebih 40 tahun dulu.  Di sini saya dapat tengok pokoknya di beberapa tempat, iaitu di belakang Pusat Kesihatan, di hadapan Pejabat Pos, dan di perkarangan sebuah tadika..  Paling kerap tengok pokoknya ialah di kawasan orang, tidak jauh daripada pejabat saya.  Kali ini apabila melihat buahnya yang lebat dan sedang masak ranum, saya memang tidak boleh tahan lalu saya hubungi mereka yang berkenaan meminta izin untuk memetiknya. Masuk sahaja waktu berbuka puasa, saya jamah buah jambu mawar dahulu.  Ternyata rasanya manis dan harum baunya.

Wednesday, March 31, 2021

Tanaman di Kawasan Perumahan

 

TERDESAK. Itulah perkataan yang sesuai untuk saya apabila tinggal beberapa jam sahaja lagi bulan Mac 2021 akan berakhir. Biasalah apabila dalam sisa-sisa waktu ini saya akan menulis apa sahaja bagi memenuhi kuota posting sebulan sekali untuk bulan Mac ini.  Lalu sekejap tadi saya snap pokok-pokok yang ada dalam pasu atau polybag yang terdapat di hadapan rumah. Tiada tanah untuk ditanam pokok.

Pokok Daun Selasih
Pokok Pandan
Pokok Puding yang daunnya boleh dibuat masakan botok-botok
Pokok Daun Pegagga
Pokok Daun Kesum
Pokok Cili Api Kampung dan Daun Kunyit
Pokok Limau Purut

Itulah antara pokok-pokok yang ada dihalaman rumah teres yang kalau nak menanamnya haruslah gunakan pasu atau polybag yang diletak atas simen atau batu-bata.

Thursday, December 24, 2020

Buah-buahan pun nak swafoto jugak

 







Kali ini intai dulu di pokok sebelum tuaian dibuat untuk hari ini...


Setelah tuaian dibuat.

Friday, November 20, 2020

Belimbing Buluh PKPB

Belimbing Buluh yang lebat dan besar buahnya. Petik dengan tangan sahaja dapat penuh satu beg plastik No. 30.


 Belimbing Buluh yang ingin dipetik besoknya, tetapi tak sempat, dah jadi reseki orang lain.


TANGGAL 14/10/2020 adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan  (PKPP) kerana gelombang ketiga pandemik Covid-19.  Sejak tarikh itu saya memang dilarang tegas daripada hadir ke pajabat.  Bagi orang pencen mungkin tiada masalah. Bagi pekerja yang duduk di pejabat berurusan dengan dokumen/fail dan komputer juga kurang kesannya.  Namun jenis pekerjaan seperti saya yang ruang kerjanya luas dan apa yang perlu dibuat pun banyak/pelbagai, saya agak terseksa batin jika tidak dapat hadir ke tempat kerja.  Tambah lagi apabila PKPB yang dijadualkan dua minggu dilanjutkan empat minggu lagi, iaitu hingga 6/12/20.  Sayup rasanya untuk menyampai ke tarikh itu.  Namun tetiba saya berpeluang hadir ke pajabat pada 18-20/11/20 atas tugasan kritikal.  Peluang ini digunakan juga menjengok hasil tanaman warga pejabat yang kebanyakannya dilaksanakan semasa program gotong-royong dulu. Antaranya ialah belimbing buluh yang dipaparkan dalam gambar di atas.  Konsep yang digunapakai ialah siapa hendak/rajin, ambillah. Itu lebih baik daripada belimbing buluh gugur sendiri dan berlambak di atas tanah. Kali ini saya ambil untuk buat belimbing hitam. Ini kali pertama membuatnya. Lapan jam juga merebusnya sehingga jadi belimbing hitam. sebahagian lagi buat jeruk dengan menyimpan dalam telap bersama garam. Pabila belimbing hitam menjadi dan sedap pula rasanya, besoknya saya berkunjung lagi ke bawah pokok itu kerana buah belimbing yang lebat dan tinggi sedikit itu belum disentuh. Tengok-tengok, dah tiada. Tak mengapalah, rezeki masing-masing.


Friday, February 21, 2020

Aktiviti Pertanian di Bulan Februari

FEBRUARI ini dirangkum sebahagian aktiviti pertanian yang saya terlibat. Semestinya di sekitar pejabat kerana rumah di taman perumahan mana ada tanah untuk bercucuk tanam kecuali gunakan pasu atau kaedah pertanian bandaran termasuk fertigasi atau aquakulture...
 Ubi Kayu
PAGI ini saya cabut sepokok lagi ubi kayu. Beratnya hampir 3kg. Semalam pun dah cabut sepokok. Tuan semalam timbang bersih setelah dibuang tanah dan batangnya genap-genap 3kg.

 Kekabu
Musim kekabu datang lagi. Tahun lepas pun musimnya dalam bulan Februari.  Kali ini ternyata lebih lumayan.  Waima saya kait tiga hari dan dapat berkilo-kilo, kali ini tiga orang lain juga dapat habuan.

 Labu Manis/Kuning
Ini kali kedua saya tanam Labu Manis. Jika tahun lepas cuma dua pokok, kali ini lima pokok. Harap-harap menjadi seperti tahun lepas.

 Cili Api Kampung
Pokok ini yang saya beli anak pokok di pasar tani dengan harga RM1.00 (Ringgit Malaysia satu sahaja).  Baru-baru ini saya juga berkesempatan mengambil anak pokok yang banyak tumbuh di bawah pokok cili api kampung di Batu Pahat semasa balik kampung dua minggu lepas.

 Sayur Sawi
Kebetulan saya berkursus cara pertanian fertigasi di Fakulti Pertanian UPM baru-baru ini. Sebaik tamat kursus selamatiga hari, semua peserta dibenarkan bawa balik dua polybag yang siap dipindahkan anak pokok sawi yang ketika itu berukuran dua inci yang masing-masing diajar tanam secara praktikal.  Ramai yang tidak ambil kerana hadir dengan motosikal, justeru saya bawa balik enam pokok. Walaupun tiada sistem paip, pam, dan spageti untuk pengairan, saya bagi juga baja AB secara manual.  Nampaknya hidup subur.

 Daun Kesum
Pokok Daun Kesum memerlukan banyak air dan cahaya yang sederhana, Oleh itu saya tanam dalam bekas polystryn terbuang.

 Lengkuas
Pokoknya sangat rimbun.  Oleh itu baru-baru ini saya gali secara besar-besaran dan hasilnya dapat dibahagikan kepada ramai orang.

 Serai
Serai memang dah lama sangat tidak beli di kedai. Ambil apabila diperlukan memang dapat serai yang segar dan bersaiz besar.

Kantan
Setakat ini saya baru dapat empat kuntum bunga kantan daripada rumpun kantan di sebelah pajabat saya.

Wednesday, December 18, 2019

Buah Malberi

 Pokok Malberi dalam pasu konkrit

Buah Malberi yang lebat di pokoknya

APA yang saya nak tulis untuk kuota bulan Disember ini?  Terlanjur saya ada snap gambar pokok Malberi atau Mulberry (Morus spp) yang ditanam bersebelahan pejabat tempat kerja, biarlah saya buat sedikit catatan tentangnya.  Wah, pejabat lagi!  Tentang Malberi ini, saya cuma perlu berjalan 80 langkah dari meja kerja ke rumpun pokok Malberi pertama dan sepuluh langkah lagi untuk ke rumpun seperti dalam gambar di atas.  Saya seperti tiada saingan daripada lebih kurang 80 orang staf kerana mereka di blok-blok hadapan tidak sudi menjengah ke belakang. Entah mereka sibuk, tidak tahu, atau takut dengan nyamuk, ular, biawak dan binatang lain.  Monyet pun pernah sampai ke sini.  Tentang penanaman, khasiat buah dan daun, serta fakta bahwa daun pokok ini adalah makanan ulat sutera, bolehlah lihat di google atau blog-blog lain. Buah Malberi berasa manis apabila telah matang berwarna kehitaman.

Sunday, October 27, 2019

Utusan Malaysia, Penyu, dan Pokok Ambung-ambung

Artikel dalam Utusan Malaysia 26 Ogos  2019

AWAL bulan Oktober 2019 ini saya berpeluang ke Pulau Pangkor.  Tujuan ke sana adalah 'reecee' atau meninjau lokasi untuk program kerja lapangan pengurusan alam sekitar pada hujung bulan ini. Tempat pertama sampai semestinya Jetty Pangkor.  Kemudian antara yang sempat dilawati ialah Teluk Dalam dan Teluk Nipah.  Kemudian singgah di Teluk Penyu. Saya tidak pasti nama tempat ini tetapi kalau tak silap, di Puteri Bayu Resort ada peta yang tertulis nama tempat ini "Turtle Bay".
 Pusat Konservasi Penyu di Pulau Pangkor

Pokok Ambung-ambung di Pulau Pangkor

Di sini terdapat Pusat Konservasi Penyu.  Seorang pengendali pusat tersebut, En. Rasli amat ramah dan tidak lokek berkongsi ilmu tentang kehidupan penyu yang terancam dan bagaimana mereka membantu kelestarian penyu.  Saya teringat baru-baru ini saya ada terbaca satu artikel tentang penyu dalam Utusan Malaysia.  Saya bertanya En. Rasli "bukankah Penyu suka pokok Ambung-ambung?" dia terus tunjuk ke arah sebelah kaki saya dan berkata "itu pokok Ambung-ambung."  Rupa-rupanya hanya di sebelah tempat saya berdiri.  Tingginya lebih kurang satu meter.  Kemudian baru saya perasan bahawa di sepanjang sempadan pantai berpasir dengan tanah daratan, terdapat sebaris pokok Ambung-ambung yang masih kecil, iaitu setinggi antara tiga hingga empat kaki. Kesimpulannya banyak ilmu pengetahuan boleh didapati dalam akhbar Utusan Malaysia.  Saya suka Utusan Malaysia, malangnya penerbitannya telah berakhir...

Tuesday, October 8, 2019

Labu





BERMULANYA cerita apabila suatu pagi isteri saya beri segenggam biji labu.  Tanamlah kat pejabat katanya.  Sebelum ini saya memang tidak pernah tanam labu. Seperti biasa saya sampai pejabat sebelum 7.00 pagi.  Oleh kerana biji labu itu basah dan berlendir dengan rerambut bahagian tengah labu, saya letak dulu atas rumput di luar pejabat.  Kononnya tengah hari nanti ia akan kering.  Namun besok paginya baru teringat dan didapati biji labu itu tinggal empat.  Mungkin telah dimakan oleh tupai atau binatang lain.  Saya terus tanam dalam bekas polybag kecil.  Beberapa hari kemudian dua daripadanya hidup.  Saya pindahkan ke batas tanah.  Apa yang saya tahu, ramai orang akan ambil pucuk labu untuk dibuat sayur masak lemak.  Mujur saya tidak buat begitu kerana pokok labu ini merayap jauh hingga enam-tujuh meter.  Seterusnya buah akan muncul di bahagian hujung, bukan di bahagian pangkal seperti yang saya sangka.  Daripada dua pokok itu keluar hasil sebanyak tujuh biji yang beratnya setiap satu antara 1.3-1.6kg. Lepas ini bolehlah tanam labu lagi.

Wednesday, August 14, 2019

Menuai Hasil Kebun di Pejabat


Kelapa Mawar, daun pisang, daun pandan, serai, dan lengkuas yang dituai pada 11/08/19

Cili Api Kampung yang dituai pada 13/08/19 semalam. Di belakang sana dapat dilihat  pokok Lengkuas, pokok Durian Monthong, pokok Labu dan sedikit Ulam Raja.

HARI Raya Qurban pada 11/8/19, paginya terlibat dengan program Qurban di Surau al-Hidayah berdekatan rumah. Sebagai ketua untuk lembu nombor dua daripada tujuh ekor, telah memantau kerja-kerja melapah dan memastikan semua bahagian terutama kepala dan ekor selamat sampai ke ruang kerja-kerja memotong dan pengagihan. Petang, selepas Asar, ke pejabat bersama sang isteri.  Sementara dia mengerjakan kekabu, iaitu membuang biji dan empulurnya, saya mengutip "hasil ladang", iaitu kelapa Mawar, daun pisang, daun pandan, serai, dan lengkuas. Besoknya empat biji diparut di kedai dengan upah 40sen sebiji. Semalam selepas waktu kerja kutip pula cili api kampung. Inilah antara sebab saya datang ke pejabat sebelum 7.00 pagi dan pulang ke rumah 7.00 malam.

Thursday, March 28, 2019

Pokok Rambai Istana


POKOK Rambai Istana atau nama saintifiknya Lepisanthes ala(a) ini boleh dilihat di Dusun Contoh UPM.

Wednesday, February 20, 2019

Musim Kekabu Datang Lagi


HUJUNG bulan lepas pejabat saya mengadakan gotong-royong sehari membersihkan kawasan sekitar bagi membendung pembiakan nyamuk Aedes punca wabak Denggi. Antara aktiviti ialah bersihkan longkang dan menebang menebas tumbuhan yang tidak diperlukan. Suatu ketika saya ternampak dua pokok kekabu lagi di pinggiran kawasan.  Sebelum ini saya tidak perasan pun ada pokok kekabu di situ mungkin kerana terlindung bangunan jika saya berada di pokok kekabu yang selalu saya kunjungi. Kali ini saya nampak, mungkin berada berdekatan selain buahnya yang masih hijau bergayut lebat.

Minggu lepas saya tinjau lagi dan didapati buahnya telah matang untuk dituai.  Oleh itu mulai petang Isnin, selepas waktu kerja, saya kait kekabu menggunakan galah bersabit di hujungnya. Setiap petang saya peruntukkan antara 30-40 minit untuk mengutip hasil seberat 2kg selepas dibuang kulitnya yang sudah kering.  Dalam masa lima hari saya dapat 10kg.
Kekabu ini perlu dijemur di tengah panas supaya benar-benar kering sebelum disimpan.  Oleh kerana kekabu kali ini memang sudah cukup matang dan kering semasa dituai, selepas dijemur pun beratnya tidak banyak perbezaan.  Berat sebenarnya nanti akan berkurang selepas dibuang biji dan empulurnya.

Monday, November 19, 2018

Limau Purut: Habis Limau Purutku

 PAGI ini sebaik sampai di pejabat, didapati pokok limau purutku ini telah togel daunnya sebelah atas atau sebelah pucuk. Terkilan juga kerana beli anak pokok ini bukannya murah.  Baru nak hidup telah diserang oleh perosak tanaman.  Tercari-cari juga di sekitar luar polybag ini kalau-kalau ada siput babi bersembunyi di celah-celah rumput...
Namun tidak menemu.  melihat-lihat semula di bahagian dalam polybag.  Baru perasan rupanya ada seekor ulat hijau yang agak besar di atas daun limau purut yang paling bawah...

Thursday, August 9, 2018

Jagung


HARI ini 9/8/18 tercatat dalam 'planner' saya "Tarikh tuai jagung".  Saya buat catatan itu pada 4/6/18 dulu, iaitu tarikh saya tanam benih jagung.  Hal ini demikian berdasarkan tulisan pada bungkusan benih jagung manis Green World 301 "Harvest: 65 days after sowing".  Terbukti ketepatannya berdasarkan jagung tersebut (lihat gambar) memang telah matang untuk dituai hari ini.

Wednesday, June 6, 2018

Kobis


SAYA telah menanam tiga pokok kobis dalam bekas polybag bersebelahan pejabat. Oleh kerana hidup subur, saya bawa balik ke rumah satu. Beberapa hari kemudian kobis yg di pejabat mula dimakan serangga atau ulat.  Begitulah telahan kawan-kawan.  Bagaimanapun saya tak boleh nampak serangga atau ulat. Seterusnya saya spray dengan Insect Repellent. Besoknya masih ada tanda dimakan.  Saya sembur dengan Malathion. Besoknya lagi masih ada tanda dimakan, saya sembur lagi dengan Malathion yg lebih pekat. Namun besoknya lagi begitu juga, lalu saya sembur dengan Ridsect. Tidak berkesan juga.  Akhirnya baru saya terfikir bahawa kita tidak boleh terima bulat-bulat apa orang lain kata. Justeru, saya menyiasat sekitar polybag tersebut.  Ternyata ada dua ekor siputbabi yg agak besar. Satu melekap di tepi polybag satu lagi di celah rumput.  Patutlah racun serangga tidak berkesan.

 Kobis yang telah rosak dimakan siputbabi


Kobis yang dibawa balik ke rumah masih selamat

Tuesday, May 22, 2018

Kekabu

POKOK Kekabu ini terletak di tepi tasik di belakang pejabat tempat saya berkerja

Apabila tiba musimnya pokok Kekabu akan berbuah.  Ini buah Kekabu yang masih hijau

Ini pula buah kekabu yang sudah matang dan pecah.  Inilah masa yang paling sesuai untuk mengutip Kekabu untuk dijadikan bantal.

Jika sekali kait dapat Kekabu begini banyak, beberapa kali kait sahaja sudah penuh satu beg plastik besar.

Walaupun cuma sepokok, kalau rajin mengutipnya boleh dapat berkotak-kotak.  Kotak yang digunakankan ini bersaiz besar muatan air minuman 1.5L.  Setiap kotak boleh muat 2kg Kekabu yang telah dibuang kulit. Harus dijemur di bawah terik matahari beberapa jam supaya benar-benar kering dan mengembang.  Bagaimanapun setelah dijemur dan kemudian dibuang biji serta empulurnya, beratnya hanya tinggal 1kg.  Kekabu yang kering dan bersih seberat 1kg akan menghasilkan sebiji bantal besar yang sangat-sangat mampat dan tidak akan penyek apabila digunakan.  Untuk tidur yang selesa, gunakan bantal kekabu adalah yang terbaik.