Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Monday, December 24, 2018

Ikan Ketutu

KETUTU adalah nama sejenis ikan air tawar sebagaimana keterangan daripada gambar poster di atas.  Ketutu banyak meninggalkan kenangan, sejarah, atau nostalgia dalam hidup saya.  Antara cerpen awal saya bertajuk "Ketutu Idaman" yang tersiar dalam Buletin Putra terbitan Universiti Putra Malaysia.  Ketika itu saya belum pernah merasa ikan Ketutu.  Sebab itu kata "idaman" terpancar dalam tajuk cerpen saya.
Ketutu di atas adalah yang saya bela dalam akuarium. Kali  pertama saya merasa isi ikan Ketutu ialah selepas saya mengikuti trip ke Tasik Kenyir bersama rakan-rakan sepejabat. Saya memperolehinya daripada tekong rumah bot.  Berat seekor ikan Ketutu itu 1.2kg. Saya bawa balik hidup-hidup dan ketika sampai di Serdang, Selangor, Ketutu itu masih hidup.  Disebabkan besarnya ikan itu saya masak tiga kali. Antaranya masak stim dan goreng.  Rasanya... Ya Salam, memang sedap. Isinya lebih lembut daripada ketam yang berulas.
Ketutu ini saya bela dalam akuarium dengan harapan senanglah apabila nak makan.  Jika nak beli pun sukar nak dapat dan kalau ada pun harganya mahal.  Paling murah RM80.00 sekilo untuk Ketutu yang berat 1kg ke atas. Untuk membela Ketutu dalam akuarium pula bukannya senang kerana ia makan ikan kecil, cacing atau yang seangkatan dengannya.  Ketutu tidak makan palet seperti ikan-ikan akuarium lain.  Mujur saya mudah mendapatkan ikan Gapi di longkang simen(gambar) yang hanya 50meter dari pejabat.
Cara menangkapnya mudah sahaja. Tahan tangguk kecil yang diikat dihujung sebatang kayu di satu titik.  Kemudian menggunakan sebatang kayu lagi kocak air longkang yang jernih itu kira-kira dua atau tiga depa. Kocak ke arah tangguk dan sebaik sahaja sampai terus angkat tangguk.  Hasilnya dengan sekali tangguk boleh dapat hampir 100 ekor Gapi seperti dalam gambar di atas.  Jika dicurah ke dalam akuarium sekejap sahaja Ketutu yang berjumlah enam ekor itu habiskan.  Begitulah sukarnya membela Ketutu.

Monday, November 19, 2018

Limau Purut: Habis Limau Purutku

 PAGI ini sebaik sampai di pejabat, didapati pokok limau purutku ini telah togel daunnya sebelah atas atau sebelah pucuk. Terkilan juga kerana beli anak pokok ini bukannya murah.  Baru nak hidup telah diserang oleh perosak tanaman.  Tercari-cari juga di sekitar luar polybag ini kalau-kalau ada siput babi bersembunyi di celah-celah rumput...
Namun tidak menemu.  melihat-lihat semula di bahagian dalam polybag.  Baru perasan rupanya ada seekor ulat hijau yang agak besar di atas daun limau purut yang paling bawah...

Friday, October 26, 2018

Bertemu Ramlee Awang Murshid

 Bergambar dengan Ramlee Awang Murshid

Bergambar dengan RAM dan seorang ahli RAMFC

TANGGAL 22 Okt. 2018, empat hari lepas, Ramlee Awang Murshid (RAM) datang ke UPM, Serdang untuk program "Bicara Personaliti Bersama Novelis Ramlee Awang Murshid".  Program ini dilaksanakan di Aras 1, Perpustakaan Sultan Abdul Samad jam 9.00-10.30pagi.  Saya yang telah memiliki 20 buah novel RAM tentulah mengambil peluang ini untuk berjumpa dan mendengar bicara beliau.  Di penghujung program ini saya sempat beli tiga buah novel beliau lagi, iaitu Mandatori, Banja Manggala, dan Fiksyen 302, seterusnya buku itu dichop RAM Fan Club dan ditandatangani serta bergambar kenangan.

Wednesday, October 3, 2018

Semut Charlie


DALAM akhbar Utusan Malaysia bth 29/9/2018 tersiar berita dua kanak-kanak 'diserang' semut Charlie.  Berita ini mengingatkan saya kepada beberapa peristiwa dan persoalan.  Pertama, kanak-kanak ini menjadi mangsa Charlie di Pekan, Pahang.  Saya sendiri kena serangan kayap untuk pertama kali ketika berada di Pekan, Pahang.  Ketika itu saya menyertai Kejohanan SUKUM UMP 2018.  Saya menginap di asrama sejak hari Ahad.  Empat hari kemudian, iaitu hari Khamis ketika bangun tidur saya dapati ada kesan merah selebar dua jari di bahagian kiri dada.  Hari Jumaat setelah kembali ke Serdang, Selangor, kemerahan itu telah merebak hingga ke bahagian belakang badan. Segera saya berjumpa doktor di Pusat Kesihatan Universiti.  Doktor sahkan saya terkena virus kayap dan mengarahkan saya makan pil Acyclovir 400mg untuk lima kali sehari selama seminggu, iaitu ubat merawat Herpes Simplex Virus.  Juga ubat sapu Vicide Cream 5%/Acyclovir 10g.  Kayap ini bukan saja merah malah mengerutu seperti jerawat batu, rasa gatal dan sakit apabila tersentuh.  Ketika itu saya tidak tahu puncanya ialah Charlie.  Saya hanya tahu kemudian apabila anak menantu saya kata saya digigit Charlie dan bertanya "ada sawah ke di Pekan, Pahang?" Saya semakin yakin dengan kenyataan itu selepas tular di internet bahawa semut Charlie boleh dijumpai di sawah padi, padang, dan hutan.  Semut Charlie juga dikenali sebagai Rove Beetle atau semut Semai atau Semut Kayap.  Dalam badannya ada toksin atau racun yang dipanggil 'pederin' yang racunnya berkali ganda racun ular Tedung. Persoalannya bolehkah dinamakan semut kerana Charlie boleh terbang.  Kedua, anak saya sendiri pernah digigit Charlie di asramanya di Permatang Pauh awal tahun ini.  Mungkin ada bezanya antara digigit dengan terkena cecair badan Charlie.  Apapun awaslah serangan Charlie @ Rove Beetle.  Ini pesanan dari Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.  Antara caranya ialah tutup semua pintu dan tingkap pada waktu malam, pasang jaring halus jika perlu, dan tutup lampu kerana Charlie suka cahaya lampu.

Tuesday, September 25, 2018

Tenpin Boling

Antara  peserta yang sempat bergambar setelah menerima hadiah masing-masing

PADA  19 Ogos 2018 yang lepas, hanya beberapa hari selepas balik dari Kejohan Catur SUKUM di UMP, Pekan, Pahang, saya telah menyertai pertandingan Terbuka Bowling Warga FPAS.  Kejohanan ini terbuka kepada semua staf fakulti dan ahli keluarga.  Kejohanan yang dilaksanakan di South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor ini bersifat santai kerana apa yang lebih penting ialah kerlibatan dalam aktiviti atau program ini dapat menjalin ukhwah sesama ahli fakulti.  Kesempatan ini juga adalah peluang mengenali boling bagi yang baharu dan peluang memperlihat skill bagi yang lama atau serius dalam bidang ini.  Saya sendiri pernah menjadi juara longkang, kali ini berjaya melonjak ke tempat ke-5 daripada 13 peserta lelaki selepas menonton youtube dan berlatih beberapa kali sebelum ini.

Friday, September 7, 2018

Catur


APA kaitan gambar ini dengan catur?  Gambar ini dipancarkan melalui LCD Projector ke dinding bagi memperlihat pergerakan buah catur yang sedang dimainkan di meja-meja utama.  Papan catur di meja utama agak istemewa kerana set caturnya disambungkan ke komputer dan seterusnya dipancar di screen besar untuk tontonan di luar kawasan pertandingan.  Dapat bertanding di meja utama adalah impian setiap pemain.  Hal ini demikian kerana biasanya pemain yang punya mata tertinggi dapat duduk di sini terutama pada pusingan terakhir, biasanya pusingan ketujuh.  Jika ditempatkan di sini pada pusingan pertama, mungkin kerana nama bermula dengan abjad A atau ranking paling tinggi.  Oleh itu saya rasa sangat teruja apabila julung kalinya dapat merasa duduk di meja ini pada pusingan ke-4 setelah saya menang semua tiga pusingan sebelumnya.  Teruja juga apabila pusingan ke-4 ini saya berhadapan dengan pemain handalan dari UTM, iaitu Dr. Nasrul Humaimi.  Peristiwa ini berlaku pada 15/8/18 dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) di Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Bagaimanapun sebagai atlet saya bawa pulang pingat gangsa daripada acara Rapid Chess Berpasukan Lelaki.  Secara keseluruhan, pasukan UPM yang saya wakili bawa balik empat pingat, iaitu satu Emas daripada Rapid Chess Individu Wanita dan tiga gangsa daripada Blitz Chess Individu Wanita, Rapid Chess Berpasukan Wanita, dan Rapid Chess Berpasukan Lelaki.  Gambar di atas adalah ahli pasukan Catur UPM. Tahniah.

Thursday, August 9, 2018

Jagung


HARI ini 9/8/18 tercatat dalam 'planner' saya "Tarikh tuai jagung".  Saya buat catatan itu pada 4/6/18 dulu, iaitu tarikh saya tanam benih jagung.  Hal ini demikian berdasarkan tulisan pada bungkusan benih jagung manis Green World 301 "Harvest: 65 days after sowing".  Terbukti ketepatannya berdasarkan jagung tersebut (lihat gambar) memang telah matang untuk dituai hari ini.

Monday, July 16, 2018

Cicak



MASALAH cicak berkeliaran dalam rumah atau bilik memang dialami semua orang.  Paling menyakitkan hati jika najisnya bersepah di sepanjang sesiku lantai dan dinding.  Risau juga jika ia bermain di sekitar makanan waima bertudung-saji dan pinggan-mangkuk kita.  Bilik saya di pejabat tidak terkecuali.  Bermacam-macam  cara dan petua telah dicuba.  Banyak petua boleh ditemui dalam majalah atau google.  Namun semuanya seperti tidak menjadi.  Terbaharu saya gunakan "sticky mouse trap paper'.  Lihatlah hasilnya.

Wednesday, June 6, 2018

Kobis


SAYA telah menanam tiga pokok kobis dalam bekas polybag bersebelahan pejabat. Oleh kerana hidup subur, saya bawa balik ke rumah satu. Beberapa hari kemudian kobis yg di pejabat mula dimakan serangga atau ulat.  Begitulah telahan kawan-kawan.  Bagaimanapun saya tak boleh nampak serangga atau ulat. Seterusnya saya spray dengan Insect Repellent. Besoknya masih ada tanda dimakan.  Saya sembur dengan Malathion. Besoknya lagi masih ada tanda dimakan, saya sembur lagi dengan Malathion yg lebih pekat. Namun besoknya lagi begitu juga, lalu saya sembur dengan Ridsect. Tidak berkesan juga.  Akhirnya baru saya terfikir bahawa kita tidak boleh terima bulat-bulat apa orang lain kata. Justeru, saya menyiasat sekitar polybag tersebut.  Ternyata ada dua ekor siputbabi yg agak besar. Satu melekap di tepi polybag satu lagi di celah rumput.  Patutlah racun serangga tidak berkesan.

 Kobis yang telah rosak dimakan siputbabi


Kobis yang dibawa balik ke rumah masih selamat

Tuesday, May 22, 2018

Kekabu

POKOK Kekabu ini terletak di tepi tasik di belakang pejabat tempat saya berkerja

Apabila tiba musimnya pokok Kekabu akan berbuah.  Ini buah Kekabu yang masih hijau

Ini pula buah kekabu yang sudah matang dan pecah.  Inilah masa yang paling sesuai untuk mengutip Kekabu untuk dijadikan bantal.

Jika sekali kait dapat Kekabu begini banyak, beberapa kali kait sahaja sudah penuh satu beg plastik besar.

Walaupun cuma sepokok, kalau rajin mengutipnya boleh dapat berkotak-kotak.  Kotak yang digunakankan ini bersaiz besar muatan air minuman 1.5L.  Setiap kotak boleh muat 2kg Kekabu yang telah dibuang kulit. Harus dijemur di bawah terik matahari beberapa jam supaya benar-benar kering dan mengembang.  Bagaimanapun setelah dijemur dan kemudian dibuang biji serta empulurnya, beratnya hanya tinggal 1kg.  Kekabu yang kering dan bersih seberat 1kg akan menghasilkan sebiji bantal besar yang sangat-sangat mampat dan tidak akan penyek apabila digunakan.  Untuk tidur yang selesa, gunakan bantal kekabu adalah yang terbaik.

Monday, April 16, 2018

Alahai Sang Ular




PAGI ini saya berkerja seperti biasa di pejabat.  Tetiba alat pendingin hawa meragam.  Bunyi kompressor agak kuat seperti nak rosak.  Saya Off sekejap kemudian On semula.  Mula-mula 'okey', tapi kemudian berbunyi semula.  Tak lama kemudian terhenti terus.  Saya keluar dan periksa kompressor.  Kompressor itu terletak atas rak besi dan kedudukannya di dinding atas daripada tingkap nako.  Kelihatan hujung pokok durian belanda yang berserabut dengan rumpai, iaitu sekentut telah menyentuh kompressor.  Menyangka daun-daun dan rumpai itu penyebabnya, saya pun cantas ranting-ranting dan rumpai yang menjalar itu dengan gunting pemangkas (pruning shears).  Setelah siap baru saya perasan ekor ular terjuntai dari kompressor.  Ular itu baru sahaja masuk berdasarkan kesan darah. Ini kali ke-12 saya jumpa ular di sekitar tempat kerja.

Wednesday, March 14, 2018

Apabila Pejabat Berhampiran Hutan

 Pernah nampak ayam hutan, Bangau, burung Puchong setinggi budak, biawak, malah kira-kira sepuluh ekor memerang sedang  berpesta menangkap ikan di sini.
Di sinilah saya berjalan "beriringan" dengan seekor ular Tedung Sela 
berwarna hitam sepanjang empat kaki.

BILIK saya di pejabat terletak dalam sebuah bangunan setingkat seluas 60' x 30'.  Ruang dalam bangunan dibahagikan kepada dua, iaitu ruang Makmal Penyelidikan Akuatik dan ruang menempatkan tiga bilik staf.  Bilik saya yang paling hujung ke arah "hutan" berhampiran.  Ada sebuah tasik seluas padang bola sepak.  Justeru terdapat pelbagai jenis haiwan hidup di sekitar.  Selain ikan kerap kali saya terserempak biawak, memerang, ayam hutan, bangau, burung puchong dan pelbagai jenis lagi.  Namun yang paling mengerunkan ialah terdapat banyak ular di sekitar. Dalam tempoh dua tahun ini lebih sepuluh kali saya terserempak ular.  Dua kali pihak Bomba (Bantu Mula) datang. Sekali sebab ular Batam Tebu yang muncul betul-betul depan pintu bangunan, dan sekali lagi sebab ular Sawa sepanjang 12 kaki yang muncul sekitar15 meter dari bangunan.

Kerap juga haiwan masuk dalam bangunan yang memaksa kami berusaha menghalaunya keluar seperti burung, tupai, katak dan lain-lain.  Cicak memang tempat dialah.  Pernah sekali di luar pengetahuan saya, seekor biawak kecil telah masuk ke dalam bilik apabila pintu bangunan terbuka dan pintu bilik saya juga terbuka. Rakan staf yang nampak cuba cari, tak jumpa, juga tidak maklumkan. Saya hanya sedar apabila bau bangkai sudah meruap di belakang susunan buku.  20 buah buku terpaksa dibuang kerana baunya melekat.

Pada 9/2/18 ketika saya solat Asar dalam bilik tiba-tiba seekor lipan bara panjang sejengkal menyusur di tebing sejadah sebelah kanan dari arah belakang. Mujur dia tidak naik atas sejadah ketika masih rakaat ketiga itu. Ular Tedung Sela pula pernah saya terlangkah. Hanya sedar selepas terdengar bunyi "sssss", dan ketika saya jengok dalam parit konkrit yang kering sedalam tiga kaki itu, kepalanya dah kembang.  Rupa-rupaya saya akan berhadapan situasi lebih berbahaya apabila kelmarin (12/3/18) ketika saya berjalan di belakang bangunan tiba-tiba ular tedung sela yang berwarna hitam panjang empat kaki dengan ukur lilit sebesar ibu jari kaki itu menyusur hanya sejengkal di sebelah kaki kiri saya dan menyusup ke celah rerumput dekat pokok pandan di hadapan.  Allahuakbar. Saya terdiam dan trauma sekejap. Ada kamera di tangan pun tak sempat klik.  Alhamdulillah kerana saya merasakan masih bernasib baik setakat ini...

Thursday, February 1, 2018

Legasi Tombiruo


BARU terima hari ini.  Beli melalui on-line.  Plastik pembalutnya pun masih belum dibuka.  Saya sudah memiliki Tombiruo, Semangat Hutan, dan Tombiruo Terakhir, oleh itu sewajarnya saya memiliki novel ke-28 Ramlee Awang Murshid ini, iaitu Legasi Tombiruo.

"EJIM  atau nama  barunya Amaruddin telah lama meninggalkan dunia TOMBIRUO setelah mendirikan rumah tangga bertahun-tahun lamanya.  Kini dia hidup bahagia bersama isteri tersayang Siti Nurhaliz dan anak tunggalnya Suriani.  Bagaimanapun kebahagiaan yang dikecapi tercalar tatkala Semangat Hutan muncul semula dalam jelmaan bapanya, Pondulou.  Bahkan menerusi mata fikirannya, Amaruddin sedang melihat pembunuhan kejam.  Amaruddin pun memutuskan untuk memburu pembunuh itu yang bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur."

Begitulah antara tulisan di luar kulit belakang novel ini.  Dengan pelbagai komitment, tentu saya memerlukan masa yang agak panjang untuk selesai menghayatinya.

Tuesday, January 30, 2018

Berkayak di Tasik Darulaman Perdana


DARI Serdang ke Sg. Petani,
Singgah sebentar di Permatang Pauh;
Alang-alang sampai di sini
Dengan kayak kami berkayuh.

Tanggal 29/12/17 (Jumaat) seawal 5.20 pagi saya dan keluarga bertolak dari Serdang, Selangor ke Sg. Petani, Kedah.  Melalui Saujana Putra, solat Subuh di hentian/stesen Petronas 10km sebelum sampai Hospital Sg. Buluh.  Hujan sepanjang perjalanan hingga melepasi Terowong Menora.   Sesekali hujan lebat hingga tak nampak jalan.  Singgah di UiTM Permatang Pauh untuk menjemput seorang lagi ahli keluarga.  Solat Jumaat di situ.  Makan malam di Restoran Marina 4 Sg. Petani.  Semasa balik ke Darulaman Perdana terlihat papan tanda "Laguna Merbok" tempat rakan sepejabat bercuti dua-tiga hari lepas.  Hari Ahad baru saya berkesempatan berkayak di Tasik Darulaman Perdana dengan bayaran RM10.00 seorang.  Hari Isnin bertolak balik ke Serdang seawal 7.15 pagi.  Singgah sebentar di Permatang Pauh.  Alhamdulillah sampai Serdang dengan selamatnya jam 1.45 petang.