Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya
Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Tuesday, September 25, 2018

Tenpin Boling

Antara  peserta yang sempat bergambar setelah menerima hadiah masing-masing

PADA  19 Ogos 2018 yang lepas, hanya beberapa hari selepas balik dari Kejohan Catur SUKUM di UMP, Pekan, Pahang, saya telah menyertai pertandingan Terbuka Bowling Warga FPAS.  Kejohanan ini terbuka kepada semua staf fakulti dan ahli keluarga.  Kejohanan yang dilaksanakan di South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor ini bersifat santai kerana apa yang lebih penting ialah kerlibatan dalam aktiviti atau program ini dapat menjalin ukhwah sesama ahli fakulti.  Kesempatan ini juga adalah peluang mengenali boling bagi yang baharu dan peluang memperlihat skill bagi yang lama atau serius dalam bidang ini.  Saya sendiri pernah menjadi juara longkang, kali ini berjaya melonjak ke tempat ke-5 daripada 13 peserta lelaki selepas menonton youtube dan berlatih beberapa kali sebelum ini.

Thursday, September 8, 2016

Catur Penyumbang Pingat Emas


 Sedang menerima pingat gangsa
 Pemenang Emas, Perak dan Gangsa bergambar ramai

SESUAI dengan konsepnya sejarah dan nostalgia, maka kali ini pun saya paparkan apa yang telah berlaku sebulan lepas.  Pada 6-13 Ogos 2016 saya telah mewakili UPM menyertai Kejonan Sukan Staf Malaysia (SUKUM 2016) di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.  Sukan yang saya terlibat adalah Catur.  Pencapaian peribadi, saya cuma dapat 4.5 mata daripada 9 perlawanan.  Pasukan Lelaki pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga.  Bagaimanapun pasukan Perempuan berjaya merangkul Perak dan seorang pemain perempuan berjaya memperolehi emas individu terbaik menjadikan satu-satunya Emas diperolehi UPM disumbang olehi pasukan Catur!

Thursday, April 28, 2016

Juara Kampung Tersungkur di MMU


SEBAGAIMANA maksud entri sebelum ini, bahawa untuk menang dalam kejohanan besar memang payah.  Ramai cerdik-pandai berpengalaman menyertai kejohanan besar.  Oleh itu pabila "juara kampung" masuk bertanding di "Multimedia University Cyberjaya Open Chess Tournament 2016" pada 24 April 2016 baru-baru ini, maka tewaslah jawabnya.  Tapi tidak mengapa.  Itu kan pengalaman namanya... Dapat juga sijil penyertaan dan kenalan baru pemain catur.

Wednesday, April 13, 2016

Akhirnya Menjadi Juara Catur


MENANG hadiah kedua atau ketiga mungkin lebih bermakna jika menyertai kejohanan besar atau berprestige.  Bagaimanapun menjuarai kejohanan catur ini besar maknanya bagi diri saya kerana inilah kali pertama menjadi juara.  Lagipun Karnival Sukan FPAS 2016 ini dibuat secara rasmi pada 3 April 2016 di Stadium UPM, Serdang.  Sukan lain yang turut dijalankan ialah ping pong, dam haji, badminton, dan bola jaring.  Pendek kata, sangat meriahlah karnival yang bermula jam 7.30pg dan tamat jam 6.00 petang ini.  Oleh sebab semua sukan dijalankan serentak, maka saya terlepas peluang untuk beraksi dalam acara ping pong.

Monday, February 29, 2016

Antara Penglibatan dengan Kerjasama


SEMASA Kursus Kepimpinan dan Pembangunan Budaya Inovasi Kreatif 2011 di Gold Coast Resort, kami disoal oleh penceramah motivasi, mana yang lebih penting antara penglibatan dengan kerjasama? Lalu kami diterangkan bahawa penglibatanlah yang penting, bukan kerjasama.  Begitu juga dengan kejohanan bowling anjuran Kelab Sosial dan Kebajikan tempat kami bekerja.  Saya memilih untuk terlibat atas semangat kesukanan, jalinan ukhwah, dan tali silatturrahim.  Memang terlibat dalam sukan bukan keutamaan bertugas 8-5, tetapi terkandung makna tersirat disamping semangat ukhwah terzahir.  Secara peribadi, bowling adalah pembuka tirai 2016, penglibatan dalam bidang sukan.  Harap-harap dapat terlibat dalam kejohanan catur, ping-pong, dan bola tampar sepanjang tahun 2016 ini.

Wednesday, September 9, 2015

Kejohanan Ping Pong

Saya jauh di belakang sana sedang betulkan kaca mata

UMPAMA diari kehidupan, perlu dicatatkan di sini bahawa pada 1, 3, dan 4 September 2015, saya terlibat dalam kejohanan ping-pong antara Gabungan bertempat di Stadium UPM.  G9 adalah gabungan iDEC, FSKTM dan FPAS.  Berjaya masuk ke suku akhir, kemudian berjaya ke peringkat separuh akhir.  Namun tersekat di separuh akhir apabila tewas kepada Gabungan Perpustakaan.

Friday, August 28, 2015

Catur: SUKUM 2015


TAHUN ini berpeluang lagi menyertai pasukan Catur dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia 2015 yang berlangsung di UiTM Shah Alam pada 17-22 Ogos 2015. Alhamdulillah kali ini berjaya membawa balik empat pingat, iaitu satu emas dan tiga perak. Emas dimenangi dalam acara Blitz individu wanita dan satu perak juga daripada Blitz individu wanita.  Sementara dua lagi perak melalui Rapid berpasukan lelaki dan Rapid berpasukan wanita.

Friday, June 13, 2014

Beralih Arah ke Sukan Ping Pong

SATU daripada permainan yang saya suka ialah Ping-Pong atau 'table tenis'.  Sekarang adalah musim sukan antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan ping-pong berlangsung mulai 9 Jun 2014.  Dalam kejohanan ini setiap PTJ perlu hantar pemain perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu veteran lelaki, dan beregu campuran.  Saya mewakili beregu lelaki veteran dan perlu menentang tiga pasukan untuk penentuan johan dan naib johan kumpulan.  Setakat hari ini saya dah bermain dua kali.  Alhamdulillah kali pertama menang 3-1 (kumpulan menang 4-1) dan kali kedua menang 3-0 (pasukan menang 3-2).  Hari Isnin depan akan bermain sekali lagi.  Dan perjalanan masih jauh.  Ada pusingan kedua untuk naib johan kumpulan, suku akhir, separuh akhir, dan akhir.

Friday, March 7, 2014

Antara Boling dengan Catur


SELAMA ini saya beri tumpuan pada sukan catur selain sesekali berpeluang melibatkan diri dalam sukan lain.  Dalam bidang catur, pencapaian tertinggi saya ialah menyertai kejohanan MAKSAK dengan mewakili Selangor. Itu lama sangat dah dulu.  Sekarang untuk mewakili universiti tempat bertugas pun dah sukar kerana ramai bakat-bakat baru yang tinggi komitmen mereka. Boling pula memang tidak pernah saya sentuh.  Hanya selepas usia mencecah setengah abad, iaitu  pada 8 Februari 2014 baharulah saya dapat merasa bermain boling. Pada tarikh itu berlangsunglah kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan oleh Kelab Sosial dan Kebajikan tempat bertugas.  Kejohanan tersebut dijalankan di Kelab Golf Bukit Jalil.  Ternyata main boling lebih mudah dan menyeronokkan.  Bermain catur memaksa otak diperah semacam untuk bermain satu 'game' dalam tempoh dua jam.  Oleh yang demikian, catur bolehlah diletakkan pada kelas yang agak tinggi.  Ramai orang boleh bermain boling berbanding catur.  Malam kelmarin saya bermain boling lagi dengan rakan-rakan.

Monday, May 31, 2010

Karnival Sukan MASUM 2010 - Catur

Sarapan pada hari pertama (26 Mei 2010)

Perlawanan game pertama

Perlawanan catur hari kedua

Pasukan catur wanita

Sarapan pada hari terakhir (30 Mei 2010)



Perlawanan catur wanita hari terakhir (30 Mei 2010)

Bergambar ramai sebelum berpisah (30 Mei 2010)


Kejohanan catur yang besar seperti "Merdeka Open" dan berbagai "open" lagi, sering diadakan setiap minggu, bulan atau pun tahun, memang tidak disertai kerana "langkah pendek" dan "hambatan masa". Tidak juga ke Kompleks Wilayah atau Putrajaya yang sering disertai oleh rakan-rakan pemain catur. Namun saya berada di kelompok tersendiri apabila pernah menyertai kejohanan Catur Badan Berkanun, Karnival Catur Sukan Staf antara IPTA Malaysia, mewakili Selangor dalam Kejohanan Catur MAKSAK sewaktu diadakan di Melaka (1997), dan terbaharu mewakili UPM dalam Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa II yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada 23-30 Mei 2010. Yang terakhir ini diceritakan dalam foto di atas.

Tuesday, April 20, 2010

Sukan oh sukan

Kenangan semasa perasmian sukan tahun dulu

Hendak dijadikan cerita (cerita benar), hari Jumaat lepas, saya bermain tiga jenis sukan. Sebelum solat Jumaat di masjid, bermain karom. Selepas Asar, jam 5.00 petang, main ping pong. Selepas solat Mahgrib pula, main bola tampar!
Hal ini jarang berlaku. Kebetulan seorang rakan yang sepatutnya bertemu dalam suku akhir pertandingan karom mengajak bermain pra-perlawanan. Kalah pun tak mengapa asal kan dapat pengajaran sebelum perlawanan sebenar. Antara kesilapan ialah kuku yang panjang dan tidak fokus.
Ping pong pula menyaksikan saya layan hingga tiga game, tiga set setiap game. Syukur kerana menang 3-0, 3-0, dan 2-1. Berpeluh sakan jugalah dibuatnya. Latihan ini bagi persiapan menghadapi kejohanan antara Pusat Tanggungjawab. Moga getah raket ping pong benilai RM90.00 sejak lima tahun dulu masih berprestasi tinggi. Getah ini penting kerana memberi daya pantulan yang tinggi di samping skil yang perlu ada pada setiap pemain.
Bola tampar memang diminati sejak kecil. Justeru apabila diminta datang pada saat akhir, tidak mampu menolaknya. Perlawanan lima set ini adalah persahabatan antara staf dan pelajar. Walaupun kalah 2-3, pengajaran daripada kekalahan itulah yang penting. Sebagai orang lama, minda terkongkong dengan prinsip main bola tampar adalah dengan tangan walaupun beberapa kali melihat pemain lain kadang-kadang menggunakan kaki. Bola dah nak cecah lantai pun saya masih berusaha mengangkatnya dengan tangan. Selepas ini perlu anjakan paradigma bahawa ketika yang sesuai, gunalah kaki. Ketika rakan sepasukan menyambut bola, kita perlulah hampir dengannya untuk membantu. Menghantar bola pula jangan ke lubuk sendiri tetapi lubuk lawan. Majulah sukan untuk kesihatan.