Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, January 31, 2013

Pos Kemar - Siri 4 - Ekspedisi Dalam Media


Penulis (anak panah) dlm. BH bth. 31 Disember 2012
Penulis (anak panah) dlm. BH bth. 3 Januari 2013

SEBELUM ekspedisi ini bermula, program ini telah pun diwar-warkan dalam BH.  Selepas ekspedisi ini berakhir, program ini dilaporkan lagi dalam BH sebanyak dua kali.  Pertama, dlm. BH 31 Disember 2012 dengan tajuk "Sungai di kawasan Pos Kemar belum tercemar" oleh Mohd. Yusuf Abu Bakar.  Kemudian dlm. BH (Sisipan Varsiti) 3 Januari 2013 oleh penulis sama dengan tajuk utama "Forensik alam sekitar".

Apa yang menariknya ialah saya sendiri tidak nampak imej saya dalam gambar kedua.  Besoknya apabila seorang rakan beritahu bahawa saya ada, maka saya pun naik hairan.  Makna kata ada gambar tersembunyi di situ...

Program ini juga disiarkan dalam Bernama TV pada hari ahad jam 9.30 malam di ASTRO chanel 502 beberapa minggu kemudian.

Thursday, January 17, 2013

Pos Kemar - Siri 3 - Cabaran 4 X 4

KAMI mula bertolak dari Serdang menjelang jam 12.00 tengah malam 22/12/12 selepas dua jam memunggah barang-barang ke dalam pacuan empat roda.  Sewaktu ramai orang tidur di rumah dengan selesanya, kami bersengkang mata hingga sampai ke Sg. Siput menjelang waktu Subuh 23/12/12 (Ahad).   Selepas solat Subuh di sebuah stesen minyak, kami bersarapan di Restoran Shameer Corner jam 7.15pg.  Selepas itu singgah di Pejabat Renj. Hutan Sungai Siput (U).  Konvoi kami disertai pula oleh staf pejabat renj tersebut sebagai pemandu arah untuk ke Pos Kemar.

Perjalanan paling mencabar ialah apabila melepasi Pos Piah.  Rupa buminya mirip jalan ke Cameron Highland atau Genting Highland, tetapi bukan jalan tar.  "Off-road" ini berupa jalan tanah merah dan kadang-kadang pasir tebal yang membuatkan tayar kereta jerlus atau pun kereta tersekat.  Pacuan 4 X 4 kami juga harus meredah lima buah sungai atau anak sungai sebelum sampai ke Pos Kemar.

 Menempuh jalan tanah merah untuk ke Pos Kemar
Meredah sungai untuk ke Pos Kemar

Dipendekkan cerita, kami selamat sampai.  Selepas dua malam tidur dalam khemah yang didirikan di hadapan Klinik Kesihatan Pos Kemar, kami pun bertolak pulang ke Selangor.  Cabaran pertama ialah apabila anak kunci kereta saya naiki hilang.  Terpaksalah Abang Salleh dari Kelab Raja Rimba jadi 'Mc Giver' dan anak kunci kereta selepas ini ialah 'skrew driver'.
  "Mc Giver" Serdang pecahkan rumah kunci supaya boleh dihidupkan dengan 'skrew driver'

Kereta saya naiki lekat di pasir.  Kereta hadapan tarik menggunakan tali.
Kereta "sangkut" lebih dua jam kerana enjin panas.  "Sesuatu" telah "diusahakan"

Cabaran kedua ialah terpaksa meredah laluan "off-road' yang sukar hingga sekali peristiwa kereta saya naiki tersekat pada jalan berpasir lembut.  Sebuah 4 X 4  dari Kelab Raja Rimba menariknya dengan tali.  Cabaran ketiga, kereta yang saya naiki kerap panas enjinnya.  Beberapa kali tambah air hingga satu ketika terpaksa berhenti di bahu jalan di Lebuhraya Utara Selatan di kawasan Perak kerana jarum 'temperature' telah berada di tanda merah.  Dua jam kami 'sangkut'.  Pelbagai cara dibuat dan difikirkan untuk selesaikan masalah.  "Mc-Giver" kami telah jalan dahulu tadi, jadi tidak dapat bantuan dia. Seorang lelaki India berhenti melihat dan mencadangkan kereta itu "totaly lost' dan perlu ditarik ke bengkel.  Pihak Plus dihubungi.  Mereka datang buat pemeriksaan dan cadangkan ditarik oleh penarik kereta panel Plus.

Sebelum kereta tarik sampai, ketua kelab raja rimba memutuskan kereta itu ditarik sahaja oleh beliau sendiri.  Rupa-rupanya Abang Salleh masih menunggu di hadapan di sebalik bukit.  Abang Salleh memutuskan beliau memandu kenderaan yang saya naiki itu (saya dah tumpang kereta lain).  Akhirnya beliau berjaya memandu sehingga selamat sampai ke Serdang!

Thursday, January 10, 2013

Pos Kemar - Siri 2 - Pos Kemar Airnya Cetek

PABILA nama tersenarai ke Pos Kemar, saya pun mula 'google' Pos Kemar.  Alangkah indahnya Pos Kemar dilihat berdasarkan gambar-gambar dalam beberapa blog.  Antaranya gambar-gambar yang berikut:
 Pos Kemar pada 31 Mac 2010 berdasarkan blog anakmuaalaf.blogspot.com
 Pos Kemar pada 27 Dis 2010 berdasarkan blog callmelara.blogspot.com
Pos Kemar  yang saya jejaki sendiri pada 24 Disember 2012

Selain ditugaskan sebagai 'fotographer' dan membawa beberapa peralatan memasak, saya juga diminta menyediakan umpan untuk memancing jika ada masa lapang nanti.  Maka ketika berkesempatan pulang ke kampung, saya mengutip kira-kira 70 biji buah sawit yang bertaburan di pangkal pokoknya.  Kebetulan ia baru dituai dua hari sebelumnya.  Ada yang saya rendam seminggu sebagaimana panduan blog renjersungai, ada yang saya rendam dua hari sahaja.  Juga saya sediakan umpan daripada dedak pelet dan tepung hong. Sudah semestinya beberapa jenis gewang untuk casting.  Tetapi setelah sampai Pos Kemar selepas bersusah-payah, akhirnya saya dapati Pos Kemar kering kontang.  Lihatlah gambar pertama! air tasik mencecah jeti.  Ketika saya datang, sungai yang tinggal pun boleh diredah paras bawah lutut hingga ke seberang!

Tuesday, January 8, 2013

Pos Kemar - Siri 1 - Pengenalan


BERMULANYA Ekspedisi Saintifik Kali Ke-5 4X4 Pos Kemar, Perak ini bagi saya ialah apabila e-mail dihantar oleh Ketua Ekspedisi kepada seluruh warga fakulti sebulan sebelumnya.  Antara kandungan e-mail tersebut ialah "sesiapa yang ingin menyertai ekspedisi, sila hadir ke mesyuarat pertama..." Lalu saya pun hadir sebagai tanda komitmen.  Ternyata tidak ramai yang hadir.  Saya angkat topi kepada dua rakan, iaitu En. Sujak Samad dan Cik Dalina yang turut hadir.  Siapalah yang sudi menyertai ekspedisi ini yang khabarnya Pos Kemar hanya boleh dijejaki dengan kenderaan pacuan empat roda sejauh 80km dari Sg. Siput.  Tentulah perjalanan amat sukar dan menyeksakan.  Tambah lagi pekerjaan yang akan dijalankan ini tiada imbuhan dalam bentuk tuntutan kerja lebih masa.  Berkerja pula pada hari Ahad dan cuti am Hari Kristmas (23-25/12/12).  Lebih baik duduk rehat di rumah!

Saya mungkin ada 10 sebab peribadi untuk turut serta.  Satu daripadanya ialah inilah masanya untuk saya 'berkelana' setelah dua kali tersingkir atau terpinggir daripada rombongan kerja luar yang dijalankan oleh Jabatan.  Pertama, ke Tasik Kenyir pada 2011 dan kedua, ke Tasik Banding pada 2012 waima pernah dijanjikan untuk turut serta program yang kedua itu selepas yang pertama dikatakan "terlepas pandang".