Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, December 28, 2011

Suatu Ketika di Morib

ADAKAH entri kali ini sekadar memenuhi quota Disember!? Mungkin. Sedang menerangkan falsafah di sebalik objek yang pasukan Biru siapkan

Hampir 100% staf yang terlibat membawa keluarga dalam program ini. Satu keluarga staf menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-22 dan ulang tahun kelahiran anaknya.


Sekeping gambar sama dengan 1000 perkatan kan?


Mencari ilham di pantai Morib, Selangor.


Antara aktiviti 'Explore Race' di pantai Morib. Sukarnya menghurai makna!


Antara gambar yang perlu ditunjukkan kepada fasilitator untuk mendapat 'chek point' seterusnya!


Pasukan saya (Biru) berjaya mendapat dua daripada hamper ini..., iaitu yang kedua besar dan yang satu lagi....


Bergambar ramai setelah tamat program 'Team Building'

Tuesday, November 22, 2011

Harimau 'in the' Garuda 'Shadow'

'SNAKE in the Eagle's Shadow' dijadualkan pada jam 10.00 malam di TV3 malam tadi. Filem ini memang ditunggu-tunggu kerana banyak kenangannya. Selain meminati cerita persilatan Jackie Chan, filem ini saya tonton di pawagam lebih 30 tahun lalu. Sekiranya perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia tamat jam 10.30, pasti ia akan ditayangkan juga. Bagaimanapun saya tetap berpuas hati dapat menonton "Harimau 'in the' Garuda 'Shadow'" yang berlarutan hingga jam 12.00 malam. Sebagaimana silat ular dapat mengalahkan silat helang ciptaan Jackie Chan, kita dapat menyaksikan Harimau mengalahkan Garuda! di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia dalam Sukan Sea yang beriputasi tinggi itu malam tadi. Tahniah Malaysia!. Berbaloi bagi yang beli tiket perlawanan kerana perlawanan 90 minit disambung dengan perlawanan 30 minit, kemudian ditambah lagi dengan sepakan penalti berbanding dengan peristiwa di litar Sepang dulu yang pertandingan baru bermula dihentikan akibat kemalangan. Maju sukan untuk negara!

Tuesday, October 4, 2011

Lepas Raya di Kampung, Raya di Pejabatlah Pula(k)




KETIKA tulis ini raya memang dah habis, tapi nostalgia tetap jadi sejarah. Satu Shawal tetap tiba dan kita semua tetap pulang ke kampung pabila sampai masanya. 25 Shawal 1432H, tarikh pilihan untuk berkumpul di pejabat harus dimesyuaratkan dan dibincang dengan rapi sebelum melaksanakannya. Syukur semuanya berjalan dengan lancar berkat sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua staf di pejabat. Moga matlamat mengerat silatturrahim tercapai dan kita terus bersatu pada masa hadapan.

Monday, September 26, 2011

Berkumpul di Pagi Aidilfitri



BEGITULAH setiap kali Aidilfitri, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, kami akan berkumpul bersalaman kemudian bergambar satu keluarga demi satu keluarga bersama ibu dan ayah. Akhir sekalil kami bergambar ramai seperti di atas. Bagaimanapun seperti tahun-tahun lepas juga ada satu dua keluarga yang belum sampai atau beraya di rumah mertua. Foto di atas memperlihatkan ibu dan ayah, adik beradik, ipar duai, dan anak-anak buah. Dua keluarga lagi tiada dalam gambar ini kerana belum sampai.


DALAM kesempatan ini, saya sekali lagi menyusun jari sepuluh memohon maaf zahir dan batin.

Friday, September 9, 2011

Antara Majalah yang Patut dibaca




SELAMAT hari raya aidil Fitri. Harap ucapan ini belum terlambat lagi. Serta tangan dihulur dan jari sepuluh disusun memohon kemaafan atas segala salah silap. Hari raya aidil fitri ini adalah hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa dalam bulan Ramadan. Hari raya ini tambah mengembirakan bagi mereka yang mendapat basikal baru, motor baru, kereta baru, rumah baru, isteri baru, gaji baru, dan bermacam-macam lagi benda baru. Bagi saya hari raya aidil Fitri ini lebih bermakna setelah menatap majalah al-Muslimah keluaran terbaharu, iaitu September 2011 serentak dengan sambutan hari raya aidil Fitri Shawal 1432H....

Thursday, August 25, 2011

Berenang-renang ke Tepian




NOSTALGIA? Benarlah begitu apabila yang dibicarakan ini sudah sebulan setengah berlalu. Kursus Keselamatan di Tempat Kerja (Air) ini berlangsung selama tiga hari pada pertengahan Julai lalu. Banyak yang tidak boleh saya buat pada hari pertama. Antaranya mencecah lantai kolam, kerana saya akan sentiasa tersembul ke permukaan air. Menjelang hari akhir saya boleh lakukannya khususnya untuk bergambar sedemikian rupa, lain dari yang lainnya...

Tuesday, July 19, 2011

Amal Jariah



PEJABAT tempat saya bertugas mengadakan aktiviti menanam pokok pada 1 Julai 2011. Sebanyak 80 anak pelbagai pokok telah ditanam. Antaranya pokok limau kasturi, jambu air, mangga, kedondong dll. Pokok-pokok tersebut ditanam di sekeliling sebuah kolam/tasik. Minggu lepas saya mula berjogging sekeliling tasik itu. Masa itulah saya nampak ada satu lagi lubang tidak bertanam.


Minggu ini saya berkesempatan balik kampung. Berkesempatan pula membeli sebatang anak durian belanda. Harganya cuma RM2.00. Penjual tu kata boleh berbuah dalam setahun setengah lagi. Lalu saya membelinya khusus untuk ditanam di tepi tasik itu. Ketika menanamnya dua hari lepas, seorang rakan kata buat apa tanam di situ, belum tentu saya akan dapat hasilnya kerana tempat lalu-lalang orang awam. Saya pula kata, tak apalah... buat amal jariah.

Sunday, July 10, 2011

Antara Dua Kuning

LUMRAH alam. Ada tinggi ada rendah. Ada gemuk ada kurus. Ada kaya ada miskin. Putih lawannya hitam. Jadi, antara dua kuning, apa bezanya? Bezanya kuning yang ada gambar burung kenyalang pandai....

Friday, July 8, 2011

Akibat Sebuah Perhimpunan

CEH! Kalau tidak kerana perhimpunan yang tidak sepatutnya besok, tentu aku dan keluarga balik kampung yang jauhnya 250km dari KL untuk menjengok kedua ibu-bapa kami yang kian uzur. Kesian mereka. Bukan mudah untuk mendapat hari-hari yang lapang seperti besok dan lusa kerana hari-hari lain ada sahaja hambatan. Sudahlah lama tak dapat menjengok, bersalam, mencium tangan mereka, serta buat apa-apa yang patut di keliling rumah. Memang menyusahkan betul....

Wednesday, June 29, 2011

Sebuah Anugerah


SEPERTI bulan lepas, saya tiada bahan(baca masa) yang cukup untuk menulis dalam blog. Sepanjang minggu lepas saya terkurung dalam bilik mesyuarat Fakulti Perhutanan kerana menjadi juruaudit dalaman MS ISO 9001:2008. Sepanjang minggu sebelumnya saya membantu juruaudit dalaman di fakulti sendiri. Memenatkan juga tugas ini kerana saya seperti membaca novel, perlu menghayati semua watak dan perwatakannya serta konflik yang tercetus dalamnya. Dalam sistem pengurusan kualiti ini, sebagai auditor saya perlu menghayati segala keperluan dan kepatuhannya. Pengorbanan ini seperti terbalas(waima ia penilaian 2010) apabila semalam saya berpeluang menaiki pentas menerima anugerah khidmat cemerlang untuk kesekian kalinya.

Sunday, May 29, 2011

Nostalgia Taman Negara Pahang

Di mercu tanda Taman Negara Pahang



Pelajar-pelajar program Master Alam Sekitar

Di 'Canopy Walkway'

Dengan pelajar-pelajar luar negara peserta program ini


Sempatlah memancing di 'kawasan kelah' dengan lesen memancing RM10.00



KIRANYA sebulan saya tidak menulis dalam blog... alangkah sibuknya sepanjang Mei... dan Jun menanti dengan pelbagai tugas; Besok bermula Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal ke-10 (3 hari), Kursus Kesejahteraan Persaraan (1 hari), Juruaudit dalam ISO di fakulti lain (4 hari), dan selebihnya membantu juruaudit dalam ISO di fakulti sendiri (4 hari). Catatan ini sekadar mengisi kekosongan Mei. Saya enggan terima hakikat satu entri pun tiada dalam bulan Mei. Justeru perjalanan ke Taman Negara Pahang (9-13 Mei 2011) menjadi benteng kekosongan itu.

Monday, April 25, 2011

Teringin Baca Muslimah?

"TERINGIN Baca Muslimah" adalah tajuk entri saya pada 17 Disember 2009. Ketika itu memang begitu sukar untuk mendapatkan Muslimah. Sekarang tidak lagi kerana beberapa buah kedai di taman perumahan tempat saya tinggal, masing-masing menjual antara 10-15 naskah al-Muslimah setiap bulan. Kenapa mesti baca Muslimah April 2011? Muslimah kali ini amat istemewa buat saya kerana menyiarkan cerpen "Beriani Gam". Sudah tentu juga untuk dikongsi dengan pembaca semua....

Thursday, March 31, 2011

Copa Cabana

Hari Pertama (29 Mac 2011): PETANG itu saya di Makmal Studio. Kira-kira tiga puluh orang pelajar sedang sibuk menghadap peta yang mereka lukis atas kertas bersaiz A1. Tugasan persis Rancangan Kawasan Khas (RKK) adalah sebahagian rangka kursus Studio Perancangan Alam Sekitar. Tiba-tiba Cik Z, rakan sepajabat muncul termengah-mengah. "Kenapa?" tanya kami spontan. "...siapkan laporan Copa Kabana itulah..." Saya sendiri tak pasti apa itu Copa. Mungkin adik beradik Academic Performance Audit (APA). Lalu saya pun bertanya lagi "APA itu COPPA?" waima tahu dia tengah stress tentang tesis masternya, kena mengajar lagi kursus tiga jam tiga hari seminggu dan kini kena buat laporan berkaitan COPPA pula. Hari Kedua (30 Mac 2011): TERGERAK di hati saya untuk menjengok blog rakan saya yang semalam. Saya jumpa entri bertarikh 28 Mac bertajuk "COPPA (kopa bunyinya) KEBANA". Isinya sebuah puisi yang indah dan penuh perlambangan yang saya sendiri tak dapat tafsirkan. Hari Ketiga (31 Mac 2011) (Hari inilah...) KETIKA saya membaca novel Saman karya Ayu Utami, saya temukan perenggan berikut di halaman 132: 'Lima belas menit kemudian teleponku berdering. "Aku sudah sampai Copa Cabana," suaranya berbisik. "Sihar lagi di kamar mandi. Nanti kutelepon lagi.' JADI, apa mesej dalam kisah ini? Saya sejak awal tak tahu apa makna copa kabana. Bunyinya agak sedap sebab berulang vokal, tapi aneh juga. Wah, nampaknya kenalah banyak membaca...

Saturday, March 26, 2011

Buku Klasik 6


MUNGKIN ini catatan terakhir dalam siri "buku klasik". Saya sememangnya ingin kongsikan buku yang ini, tetapi puas mencarinya namun tak menemu. Semalam sewaktu saya ingin susun sebuah buku catur dalam raknya, tiba-tiba buku ini 'terpacul dengan sendirinya' dari celah-celah sekumpulan buku catur.


Buku Faridah Hanum ini atau Setia Asyik Kepada Masyuknya atau Shafiq Afandi dengan Faridah Hanum ini dikarang oleh al-Marhum Syed Sheik bin Ahmad Al-Hadi. Dichetak dan diterbitkan oleh Qalam, Singapore. Tidak dichetak tahun terbitnya, bagaimanapun ada tandatangan bapa saudara saya dengan tarikh 5/52, bermakna dibeli pada tahun 1952. Buku ini pun sudah kekuningan dan dalam tulisan jawi. Buku setebal 100 halaman yang berharga $1.00 ini saya fikir bukanlah novel yang lengkap Faridah Hanum kerana tercatat "penggal yang pertama - Chetak yang ketiga". Di penghujung wacana buku ini juga tercatat (bersambung) (sambungan di dalam penggal yang kedua).

Friday, March 11, 2011

Buku Klasik 5


BUKU ini walaupun sudah lama dalam simpanan saya, tetapi tidak pernah membacanya. Kini apabila ingin dikongsikan tentangnya baharulah saya tersedar dan merasa rugi kerana tidak membacanya lama dahulu. Dan sebenarnya berlambak lagi buku yang menjadi koleksi tetapi belum 'menyentuhnya'. Chinta Pertama ada novel karangan pujangga agong Rusia, Ivan Turgenew diterjemahkan oleh Asraf dan diterbitkan oleh Kuala Lumpur: Oxford University Press 1961. Menurut pujangga Amerika Henry James, Turgenev ialah ahli novel bagi para ahli novel. Kejayaan Turgenev dalam penchiptaan novel-novelnya terletak pada penguasaan bahasa dan sastera sebagai seni, pada penyesuaian bentuk dengan isi, pada pandangan hidupnya yang puitis dan realistis. Chinta Pertama adalah antara novelnya yang paling mempersona dan cemerlang.

CHEPU KENCHANA pula adalah antoloji cherita2 pendek dunia yang menghimpunkan karya penulis-penulis agong, iaitu Honore De Balzac, Edgar Allen Poe, Leo Tolstoy, Guy De Maupassant, Anton P. Tchehov, O Henry, H. G. Wells, dan W. Somerset Maugham. Masing-masing karya diterjemahkan oleh Shahnon Ahmad, Zaihan Mahmud, Ali Haji Ahmad, Asraf, Asraf, Ghazali Yunus, Daud Baharum, dan Asraf. Chepu Kenchana ini cetakan kedua 1961 (kali pertama 1960). Kedua-dua buku ini termasuk dalam Seri Sastera Timur dan Barat.

Friday, March 4, 2011

Buku Klasik 4


ZAIN ZAWIYAH tulisan Haji Ahmad Murad ini menceritakan tentang "sa-orang laki2 yang kejam yang menyebabkan anak isteri-nya menderita dalam Peperangan Dunia II, dengan sebab 'ashekkan sa-orang perempuan durjana" Buku ini asal-nya di-chetak dengn huruf jawi, tetapi cetakan tahun 1963 ini dibuat dalam tulisan rumi. Haji Ahmad Murad bin Nasruddin, penulis buku ini adalah bekas pensyarah Bahasa Melayu, Maktab Perguruan Persekutuan Tanah Melayu, P. Pinang.

NAKHODA TENGGANG hasil pena Abdul Samad Ahmad ini tidak dinyatakan dengan jelas tahun terbit, tetapi di-chetak oleh The Khee Meng Press, Kuala Lumpur.

Wednesday, March 2, 2011

Dari Darjah Satu Sampai Tingkatan Lima

PETANG semalam kira-kira jam 7.20 saya sedang menjamah sukun goreng sebagai hidangan makan malam. Anak saya yang tingkatan dua ditanya oleh emaknya berapa markah dapat untuk bahasa Inggeris? Dia kata dapat D, tapi empat subjek lain dapat A! Lalu saya dijadikan tempat meluahkan keresahan dan kerisauan oleh emaknya. Katanya bahasa Inggeris itu penting kerana wajib lulus dalam PMR!. Kalau bahasa Inggeris tak lulus, bagaimana? Lalu saya pun berkata: "Kira okeylah tu dapat D, aku dari darjah satu sampai tingkatan lima dapat F!" Dan tidak sampai satu minit lepas itu saya dengar dialog "...dari darjah satu sampai tingkatan lima..." yang diungkapkan antara dua pelakon wanita dari drama "Begitukah Cinta" yang sedang disiarkan oleh TV3 dalam slot 7.00-8.00mlm!

Friday, February 25, 2011

Buku Klasik 3


(ADA pun cherita "NYAWA Di-HUJUNG PEDANG" ini telah mendapat hadiah yang pertama dalam peraduan mengarang cherita-cherita yang di-anjorkan oleh Jabatan Penerangan, Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1946 dahulu)

BEGITULAH catatan sebelum Pendahuluan novel Ahmad Murad bin Nasruddin ini. Buku chetakan yang keempat ini tertulis juga "Terchap Di-Khee Meng Press, 214 High Street, Kuala Lumpur 1957. Manakala dalam "Pendahuluan" novel ini dinyatakan buku ini mula di-chap dengan huruf Rumi, kemudian atas permintaan pembacha, di-keluarkan pula dengan huruf Jawi. Antara petikan yang menarik ialah pada halaman 54: Burung yang di-dalam sangkar dan harimau di-dalam penjara ada lebih peluang terlepas kelur dari kurungan-nya itu daripada orang-orang yang di-dalam kurongan M.P.
KISAH PELAYARAN ABDULLAH (ke-Kelantan dan ke-Judah) merupakan karya kedua penting Abdullah bin abdul Kadir Munshi selepas Hikayat Abdullah. Diterbitkan pada 1960 oleh Kuala Lumpur; Oxford University Press; Singapura; Malaya Publishing House Ltd. Tidak dapat nak diulas, bagaimanapun di bahagian belakang ada disertakan glosari, contohnya makna hatta, shahdan, arakian, chinchu, belibis, peluru tunang, laut kulzum dll.

Wednesday, February 23, 2011

Buku Klasik 2


KESAN Kesusasteraan Tua Di-Tanah Ayer

BUKU ini disusun oleh Abdullah bin Hj. Musa (Lubis) serta di-chitak dan di-terbitkan oleh QALAM, Singapore. Buku ini setebal 106 halaman. Dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu pangaroh sastera pada satu2 bangsa, pembahagian kesusasteraan, kesan kesusasteraan daripada Arab dan juga Farsi, sastera kebangsaan,dan puisi lama (puisi tua).



Panduan 'Akal

PANDUAN 'Akal adalah buku bachaan bagi darjah III di-keluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk Ministry of Educations Federation of Malaya. Ia adalah satu daripada The Malay School Series (No. 39). Buku chetakan baharu yang ke-empat (1959) ini mengandungi 40 pelajaran dalam bentuk cerita dan pantun. Antara cerita yang terkandung ialah Ayam Jantan dengan Musang, Abu Nawas Jadi Ayam Jantan, Kejadian Siang dan Malam, Pantun dn Mendaki Gunung Everest.

Thursday, February 17, 2011

Buku Klasik 1

KALI ini saya ingin berkongsi tentang buku-buku lama yang mungkin sekarang sudah dianggap klasik. Saya ada menyimpan beberapa buah buku peninggalan bapa saudara sebelah ibu. JALAN ke Kubor karya Khadijah Hashim ini diterbitkan pada 1969 oleh Penerbitan Pustaka Nasional Singapura. Lengkap dan masih boleh dibaca, tetapi tepi-tepi buku banyak kesan dimakan bubuk. Lorong Seribu Liku (1964) pula telah hilang kulitnya.

ORANG Tua Dengan Laut seolah-olah bacaan wajib bagi penulis-penulis lama yang tersohor. Buku cetakan kedua ini (1962) (Kali pertama 1961), diterbitkan oleh Oxford University Press dan masih elok lagi. Sementara Musafir yang merupakan Pemenang Pingat Perak Peraduan Novel DBP 1958 diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1959. Tiada gambar pada kulit luarnya mungkin kerana ia berkulit keras. Musafir karya Hasan bin Muhammad Ali ini telah saya baca pada pada 5-6/7/2005. Dua hari sahaja selesai mungkin kerana novel dulu-dulu tipis dan mudah, sebab itu dulu-dulu saya boleh baca sebuah buku dalam masa yang singkat berbanding sekarang.

Friday, January 28, 2011

Bagaikan Hilang Ingatan


BAGAIKAN Puteri yang saya miliki adalah hadiah daripada seorang sahabat penulis yang menggunakan nama pena Nalida pada 13/12/2005. Selesai dibaca sebulan kemudian. Lima tahun selepas itu baharulah saya beli sambungannya Cinta Sang Ratu sebagai kenang-kenangan berkursus di Grand Bluewave, Shah Alam pada 15/12/2010. Itu pun sebab MPH di SACC tidak jauh dari situ. Juga selesai dibaca dalam masa sebulan. Sebelum membacanya, anak saya membacanya dahulu dan selesai dalam dua hari. Justeru dia berminat membaca dan membeli siri ketiga; Hijab Sang Pencinta di MPH Alamanda, Puterajaya. Maka saya teringin juga menghayati Hijab Sang Pencinta itu.
BAGAIMANAPUN setelah membaca Hijab Sang Pencinta, saya terganggu oleh beberapa persoalan. Kenapa Laksamana Sunan bertarung dengan Hang Tuah? Siapa Nyi Burga Kelara? Bila pembantu Saifudin, Djailuh diganti oleh Sadik? Dan macam-macam lagi. Ternyata saya telah hilang ingatan ke atas novel pertama.
LANTAS saya "tutup" Hijab Sang Pencinta selepas letak penanda di halaman 152 dan "buka" semula Bagaikan Puteri. Setelah memamah 150 halaman, saya rasa macam 90% tak pernah baca Bagaikan Puteri itu. Ternyata setelah lima tahun, saya bagaikan hilang ingatan...
WALAUPUN Hijab Sang Pencinta sebagai penutup trilogi Bagaikan Puteri, Ramlee Awang Murshid nampaknya mencipta sebuah kesinambungan bertajuk Cinta Sufi menjadikan empat buah semuanya. Saya bagaikan terikat untuk membacanya. Alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan... Uhh habis masa senggang aku...!?

Tuesday, January 25, 2011

Salahkah Saya...?


SALAHKAH saya? Tiba-tiba saya teringat lagu Mengapa Aku Disalahkan dendangan Kelthum. Soalan ini adalah retorik bernada konflik. Ceritanya begini...
HARI itu saya ingin keluarkan sedikit duit daripada akauan ASW2020. Mulanya saya pergi ke CIMB. Selepas mengisi borang, saya pun tekan punat pada mesin nombor giliran. Wah, tertulis your number: 2142 dan now serving: 2113! Makna kata saya perlu tunggu 29 giliran lagi baru dapat berurusan. Tak boleh jadi ni... fikir saya. Silap-silap satu jam pun tak siap? Lalu saya keluar berjalan kaki mendaki sebuah jejantas menuju ke sebuah pejabat pos.
Di Pejabat Pos saya tekan punat pada mesin bagi mendapatkan nombor giliran. Tertulis atasnya no. anda 2175 dan no. sekarang 2155. Rasanya lebih baik tunggu 20 daripada 29. Tambahan pula di Pejabat Pos, dua kaunter dibuka. Saya pun menunggu di luar. Tiba-tiba saya terfikir sesuatu lalu masuk semula memeriksa kertas-kertas sekitar mesin no. giliran. Saya jumpa kupon bernombor 2172 sedangkan nombor itu belum sampai. Entah siapalah yang meninggalkannya di situ. Bukankah lebih baik dia masukkan ke dalam tong sampah?. Setelah mengambilnya saya keluar dari pintu. Tiba-tiba saya rasa nak periksa lagi lalu masuk semula. Saya nampak ada satu kupon atas lantai. Saya pun mengambilnya dan nombor 2160 yang tertera pun masih belum dipanggil. Kali ini saya mengambilnya dan duduk di bangku yang disediakan kerana nombor itu akan dipanggil tak lama lagi...
SELESAI berurusan, saya pun berjalan kambali menaiki jejantas di atas jalan raya yang kiri kanannya berpagar. Sebelum masuk dalam kereta, saya ingin lihat giliran berapakah sekarang di CIMB. Nombor yang baharu dipanggil ialah 2119! Wah, ternyata saya dapat menjimatkan banyak masa! Tetapi salahkah tindakan saya itu? Mintak ampun....
HARI ini di Pejabat Pos sama, saya pula terkena. Seorang pelanggan perempuan yang datang kemudian dari saya tiba-tiba dihulur sekeping kupon untuk kaunter A oleh seorang pelanggan lelaki kenalannya yang telah selesai urusannya di kaunter B. Saya tak kisah pun... tapi kalau boleh janganlah buat depan-depan saya hu hu.... Ternyata dia balik dulu dan saya perlu tunggu beberapa ketika lagi.

Thursday, January 13, 2011

Al-Fatihah Buat Seorang Follower Saya

HARI ini ramai blogger menulis tentang pemergian Allahyarham Abdul Aziz Baharom(Shahrun?), seorang blogger yang menggunakan nama Yang Gambi. Beliau yang berumur 56 tahun meninggal kira-kira jam 11.10 malam tadi. Ketika ini mungkin telah selamat disemadikan di Felda Keratong 2 Pahang. Saya rasa terharu dengan pemergiannya dan liputan meluas oleh para blogger. Hal ini demikian kerana beliau adalah seorang daripada sepuluh followers saya. Saya terharu juga kerana beliau sebagai penulis besar sudi menjadi followers ke atas blog saya yang kerdil ini. Dalam senarai followers blog saya ini, jika dilalukan cursor ke atas ikon beliau tertera nama fatanah@yahoo.com. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, al-Fatihah.

Monday, January 3, 2011

Cuba Teka


PERTAMA dalam tulisan saya kali ini tentulah ingin mengucapkan selamat menempuh tahun baharu 2011 semoga buku baru yang dibuka kali ini menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan. Tahu tak imej apa di atas? Cuba teka! Kata orang sekeping gambar menyamai 1000 perkataan. Mungkin saya tertarik dengan keceriaan warna-warna yang bergabung, iaitu merahnya buah, hijaunya daun dan birunya langit sambil dihias dengan putihnya awan larat. Lalu apa yang ingin diwar-warkan di sini?.
Sebelum dilanjutkan persoalan di atas, ingin saya jelaskan bahawa dengan kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menjulang piala Suzuki AFF di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dengan agregat 4-2 pada 29 Disember 2010, Perdana Menteri telah mengistiharkan cuti umum pada 31/12/10. Apabila hari Jumaat itu diistiharkan cuti umum, maka saya dan keluarga pun berkesempatan pulang ke kampung menemui ibu-bapa. Apabila berada di kampung, maka tidak dapatlah saya melayari internet seawal satu satu sebelas.... Bagaimanapun hari ini adalah hari pertama bagi kebanyakan kita mula bersekolah atau mula berkerja dalam tahun baharu ini kan!
Berbalik kepada persoalan di atas. Imej di atas adalah rakaman kamera saya ke atas pokok pucuk manis yang saya tanam dalam pasu di halaman rumah. Jika anda cam akan pokok itu, makna kata itulah antara ilmu yang anda ada. Jika tidak cam, makna kata waima kita pandai masih ada benda yang kita tidak tahu. Awal tahun ini mungkin kita dah boleh mula berfikir bagaimana untuk menampung kekurangan yang ada. Saya sendiri pun baharu tahu pokok pucuk manis berbuah begitu. Apabila ia cukup merah dan matang, ia akan merekah dan pecah. Dalamnya terdapat beberapa biji benih berwarna hitam sebesar kacang hijau. Dan saya yakin biji benih ini boleh digunakan untuk menanam pokok pucuk manis dengan banyaknya yang mana sebelum ini saya menanamnya dengan mencucuk batangnya yang dibeli di pasar setelah daunnya diambil buat sayur.
Harapan saya pada awal tahun ini, moga benih yang ditabur di tanah itu akan bertunas, hidup membesar segar, dan berupaya menjadi sayur hidangan yang menyelerakan. Amin.