Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, April 29, 2010

Menjejak Novelis Bahagia Sesudah Derita


Begitulah tajuk wacana sastera dalam Mingguan Malaysia, 25/4/2010. Dalam wacana sastera tulisan Dr Talib Samat itu, selain menyentuh tentang novel Bahagia Sa-Sudah Derita ada juga disentuh tentang novel Ahad dan Saga. Kebetulan sekali saya memang ada menyimpan ketiga-tiga buah buku tersebut.

Bahagia Sa-Sudah Derita tulisan Md. Akhir bin Leman, milik saya adalah chetakan kedua (1963). Berharga $1.20. Buku itu asalnya kepunyaan bapa saudara saya yang dibeli pada 17 Dec. 1963 di Manaf Book Store, 17, Jalan Abdullah, Muar, Johor.

Ahad tulisan Zakaria bin Salleh pula adalah Chetakan yang pertama (1959) dan berkulit keras. Terdapat chop Sekolah Kebangsaan Langgar di dalamnya. Walaupun saya dilahir dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor, berdasarkan buku ini, menunjukkan ada salasilah keturunan emak saya di Kedah sana.

Sementara Saga tulisan Abdul Talib Mohd. Hassan adalah buku yang saya beli sendiri pada 6/8/1981, dua bulan selepas saya mula berkhidmat dengan Universiti Pertanian Malaysia. Buku ini adalah cetakan ketujuh (1981) yang cetakan pertamanya pada 1976. Makna kata, ketika saya beli, buku itu baru keluar dari kilang. Makna kata, buku itu antara buku yang mula-mula menjadi koleksi. Saga adalah antara buku yang paling saya minat ketika itu kerana plotnya. Setiap bab seperti saling bertaut.

Tuesday, April 20, 2010

Sukan oh sukan

Kenangan semasa perasmian sukan tahun dulu

Hendak dijadikan cerita (cerita benar), hari Jumaat lepas, saya bermain tiga jenis sukan. Sebelum solat Jumaat di masjid, bermain karom. Selepas Asar, jam 5.00 petang, main ping pong. Selepas solat Mahgrib pula, main bola tampar!
Hal ini jarang berlaku. Kebetulan seorang rakan yang sepatutnya bertemu dalam suku akhir pertandingan karom mengajak bermain pra-perlawanan. Kalah pun tak mengapa asal kan dapat pengajaran sebelum perlawanan sebenar. Antara kesilapan ialah kuku yang panjang dan tidak fokus.
Ping pong pula menyaksikan saya layan hingga tiga game, tiga set setiap game. Syukur kerana menang 3-0, 3-0, dan 2-1. Berpeluh sakan jugalah dibuatnya. Latihan ini bagi persiapan menghadapi kejohanan antara Pusat Tanggungjawab. Moga getah raket ping pong benilai RM90.00 sejak lima tahun dulu masih berprestasi tinggi. Getah ini penting kerana memberi daya pantulan yang tinggi di samping skil yang perlu ada pada setiap pemain.
Bola tampar memang diminati sejak kecil. Justeru apabila diminta datang pada saat akhir, tidak mampu menolaknya. Perlawanan lima set ini adalah persahabatan antara staf dan pelajar. Walaupun kalah 2-3, pengajaran daripada kekalahan itulah yang penting. Sebagai orang lama, minda terkongkong dengan prinsip main bola tampar adalah dengan tangan walaupun beberapa kali melihat pemain lain kadang-kadang menggunakan kaki. Bola dah nak cecah lantai pun saya masih berusaha mengangkatnya dengan tangan. Selepas ini perlu anjakan paradigma bahawa ketika yang sesuai, gunalah kaki. Ketika rakan sepasukan menyambut bola, kita perlulah hampir dengannya untuk membantu. Menghantar bola pula jangan ke lubuk sendiri tetapi lubuk lawan. Majulah sukan untuk kesihatan.

Tuesday, April 13, 2010

Perjalanan ke Kelantan

PERJALANAN kali ini bermula pada jam 9.30 malam 9 April 2010 apabila van yang dinaiki bergerak dari Serdang, Selangor. Singgah di Ampang sebentar untuk menjemput seorang lagi ahli menjadikan lima orang semuanya. Perjalanan diteruskan. Berhenti minum di Restoran Dapur Kita di Bentong dan sekali lagi di Gua Musang sebelum sampai di Kuala Krai jam 5.30 pagi.
Di hadapan Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan.
Selepas mandi dan sarapan, perjalanan diteruskan ke Utara Kelantan kira-kira jam 11.00 pagi. Destinasi seterusnya ialah Rantau Panjang. Tiga jam habis untuk membeli-belah dan makan tengah hari. Antara barang yang rakan-rakan beli ialah kuali dan kukus. Saya hanya beli tikar plastik. Dalam perjalanan ke Kota Bharu kemudiannya, kami singgah di Masjid Beijing dekat Rantau Panjang. Selain solat qasar dan jamak, saya berpeluang membeli sebuah beg sandang dengan harga yang murah. Kebetulan beg sandang "lamo meme dah repuk" dan perlu diganti.

Di pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

Perjalan diteruskan lagi ke Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Jo yang menjaga gerai keropok melayan kami dengan baik. Setiap kami diberi sebotol air minuman dan menjamah dodol serta serunding daging. Keropok ikan dan keropok sira semestinya menjadi buah tangan untuk dibawa pulang. Untuk mandi dan solat Maghrib kami menumpang sebuah rumah di Pasir Hor setelah menelefon tuannya di Serdang. Malam itu kami membeli-belah di Wakaf Che Yeh pula. Kenderaan yang masuk dikenakan bayaran RM2.00. Saya sempat membeli tali pinggang kulit dan sepasang baju batik buatan Hungga daripada kain gobi. Ternyata pasar itu antara destinasi pelancongan di Kelantan. Menjelang 11.30 malam, kami sampai semula di Kuala Krai. Besok seawal jam 6.00 pagi akan bertolak ke Gua Musang.

Di Pusat Latihan Kesedar

Seawal jam 5.45 pagi kami sudah dikejutkan untuk bersiap. Dan seawal 6.15 pagi kenderaan yang dinaiki telah pun bergerak ke Gua Musang. Dipendekkan cerita kami ada janji temu dengan pihak KESEDAR pada jam 8.30 pagi selain akan ke Pejabat Tanah dan Jajahan dan Majlis Daerah atas tujuan meninjau lokasi sebelum datang lagi nanti pada 26/6/2001-1/7/2010 bersama 30 orang pelajar UPM.

Pokok Tongkat Ali yang berbuah

Di Pusat Latihan Kesedar, kami meninjau dan berbincang tentang beberapa perkara, iaitu berkaitan tempat penginapan pelajar, makan dan minum, serta aktiviti yang akan dijalankan.

Selepas makan tengah hari di Gua Musang, kami teruskan perjalanan ke Lojing di Barat Gua Musang. Hampir dengan Lojing, kami singgah dahulu di Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, iaitu sebuah sekolah perkampungan orang asli. Guru Besar tiada maka bertemu Guru Penolong memaklumkan kedatangan rombongan kami pada 1 Julai nanti. Selepas singgah di Lojing kemudiannya, kami bertolak pulang melalui Cameron Highland. Secara peribadinya, kali terakhir saya menjejakkan kaki di Cameron Highland ialah 30 tahun dulu dengan mengikuti rombongan pemuda kampung semasa di Batu Pahat, Johor.

Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang.

Anak-anak orang Asli di asrama SK Pos Brooke

Pemandangan sebahagian Lojing yang menjadi ladang sayur-sayuran

Strawbery yang merah dan manis di Cameron Highland.

Akhirnya, kami turun ke Tapah. Berhenti di R & R Tapah dan bertolak balik selepas solat Maghrib. Kira-kira jam 10.00 malam kami selamat sampai di Serdang menjadikan perjalanan ini genap dua hari.

Wednesday, April 7, 2010

Surau oh surau

ALANGKAH bagusnya kalau setiap kali masuk waktu solat kita ramai-ramai ke surau. Solat berjemaah menjanjikan 27 kali ganda pahala. Solat mesti disegerakan. Tidak sempurna solat jika tidak bersegera apabila mendengar azan. Solat Isyak berjemaah seolah-olah beramal separuh malam dan apabila solat Subuh berjemaah besoknya seolah-olah beramal sepanjang malam. Dan banyak lagi fadilat solat berjemaah.

Beberapa bulan lepas, agaknya agak ramai juga yang tidak ke surau berdekatan itu, apabila waktu Subuh masuk menjelang 6.15 pagi kerana mereka harus bersegera pula untuk bergegas ke Kuala Lumpur supaya tidak terperangkap dengan kesesakan jalan raya atau sebab lainnya. Hal ini demikian kerana surau berdekatan itu, lambat memulakan solat fardu Subuh. Hal ini demikian kerana menunggu jemaah menunaikan solat sunat waima datang lambat. Hampir 15 minit kemudian baru solat fardu dimulakan. Memanglah berkorban masa besar ganjarannya.

Subuh ini, surau berdekatan itu, adalah destinasi sebaik azan dilaungkan jam 6.00 pagi. Harapan supaya situasi begitu tidak diulangi kerana kita juga ada kewajipan menanti. Sarapan harus dibeli. Anak-anak nak ke sekolah sekejap lagi. Kemudian bertaburan di muka bumi mencari rezeki. Ironinya hingga jam 6.15 pagi solat fardu tidak dimulakan lagi. Kelihatan Bilal menoleh ke belakang lagi. Seorang jemaah luar negeri masih berdiri solat sunat seorang diri. Seorang jemaah lain tiba-tiba bersuara tinggi: "Iqamatlah apa tunggu lagi?!" (begitulah lebih kurang bunyi). Sebaik salam diberi, kita pun minggatlah apa lagi. Itu pun dah jam 6.30 pagi....

Thursday, April 1, 2010

Buku oh buku

PABILA hambatan begitu banyak, memang sukar untuk meluangkan masa membaca buku terutama yang tergolong dalam kategori buku pilihan kerana keutamaan adalah kepada buku yang wajib dibaca, iaitu bersangkutan dengan peperiksaan, penyediaan assignment, kertas projek atau pun tesis. Justeru ada pengalaman dalam hal ini, ingin dikongsikan suatu nostalgia yang mungkin baik atau tidak baik untuk difikirkan sendiri.

Masa itu memang tengah sibuk dengan pelbagai komitmen, iaitu menyiapkan tesis, komitmen tempat kerja, komitmen keluarga dan pelbagai peristiwa di luar jangka. Oleh itu membaca novel adalah pillihan berbanding meneliti bahan bacaan akademik dan buku-buku agama. Novel pula semakin banyak dibeli terutama ketika menghadiri diskusi buku, seminar dan bengkel. Tak kan novel itu hanya disusun dalam gerobok untuk hiasan? Lalu novel Manikam Kalbu tulisan Faisal Tehrani dan Di Sebalik Mentari Jingga tulisan W.B. Rendra dicapai untuk dibaca dan dihayati. Bermula pada 11/11/2007 setiap novel dibaca bergiliran sebanyak sepuluh halaman sehari.
Novel Di Sebalik Mentari Jingga mengandungi 268 halaman. Sepatutnya dapat dibaca dalam tempoh 27 hari. Bagaimanapun atas urusan peperiksaan PTK, Dinner Masputra, dan ekspedesi ke Tasik Kenyir, lima hari tak dapat baca menyebabkan novel ini habis dibaca pada 13/12/2007, iaitu dalam tempoh 32 hari! Begitu juga dengan Manikam Kalbu. Manikam kalbu yang mengandungi 364 halaman dapat dihabiskan dalam tempoh 36 hari. Makna kata dua buah novel dapat dibaca dalam tempoh lebih kurang sebulan.

Sebagai catatan, kedua-dua buah novel ini terdapat tandatangan penulisnya dengan kata-kata hikmat. Manikam Kalbu diperolehi melalui Pn. Nisah Hj. Haron melalui pos pada 7/11/2007 sementara Di Sebalik Mentari Jingga diterima dari penulisnya sendiri juga melalui pos tetapi ditandatangani oleh penulisnya pada 7/11/2007. Pada masa ini, novel yang sedang dibaca ialah yang telah dibeli pada lima tahun lepas. Tidak mahu dinyatakan di sini kerana penulis terkenal itu mungkin akan rasa marah, kecil hati atau kecewa walaupun nanti terubat luka apabila novel itu akhirnya dihayati jua....