Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, December 31, 2009

Darts oh Darts

TANGGAL 28 April 2009 dulu saya pernah tulis tentang penglibatan saya dalam permainan darts. Kira-kira sebulan sebelum itu adalah kali pertama saya melontar darts sepanjang hidup saya. Untuk habiskan satu game paling cepat setengah jam. Kadang-kadang tak habis pun sebab amat sukar untuk baling tepat pada mana-mana 'double'. Namun bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan hanya 10 minit diperlukan untuk tamatkan permainan apabila balingan kerap ke sasaran.

Lontaran saya pada 29 Disember 2009


Bagaimanapun kebelakangan ini saya mula terfikir kalau katakanlah saya bermain darts dari jam 5.00 hingga 6.00 petang setiap hari. Sudah berapa banyak masa terbuang? Jogging 20 minit mungkin lebih baik untuk kesihatan. Dan hakikatnya saya lebih suka bergelar pemain catur berbanding pemain darts. Saya pun dah puas menang hinggakan suatu hari bukti kemenangan saya untuk dua hari berturut-turut telah dibuang. Lalu saya pun terfikir lagi, inilah masanya untuk berundur dengan martabat tinggi. Lalu mulai 10 Disember lalu saya istiharkan kini saya pemain 'profesional'. Hanya RM2.00 diperlukan sebagai yuran jika ingin bermain dengan pemain 'profesional'. Jika saya kalah, wang mereka akan dikembalikan. Ramai yang kecewa kerana yuran sebelah pihak. Ramai juga yang inginkan pertaruhan yang adil kononnya. Saya bersikeras dengan prinsip, iaitu saya tidak main judi. Judi itu haram hukumnya. Penangannya memang dasyat. Tanpa saya, gelanggang darts kelihatan sepi sendiri... Sebagai pemain 'profesional' saya sesekali lontar juga beberapa darts untuk kekalkan perfomance....

Lontaran saya pada 30 Disember 2009!

Thursday, December 17, 2009

Teringin Baca Muslimah


BANYAK majalah yang ada di pasaran sememangnya menghidangkan pelbagai wacana ilmu yang sememangnya berfaedah untuk mereka yang rajin membaca. Majalah yang saya langgan setiap bulan ialah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, dan Dewan Pelajar. Pernah juga melanggan Dewan Siswa dan Tunas Cipta. Kerapnya jika saya melanggan sesuatu majalah, saya akan melanggan penuh dari Januari hingga Disember sesuatu tahun supaya dapat dijilidkan kemudiannya. Tiba-tiba... sejak pertengahan Ogos '09 lalu, saya 'teringin' baca Muslimah. Untuk tujuan itu, semua kedai di taman perumahan tempat saya tinggal telah pun digeledah. Malahan di luar kawasan juga. Malangnya tidak menemu. Minggu lepas, untuk kesekian kalinya saya tanya lagi mamak di sebuah kedai 'yang paling mungkin' sebab sebelum ini dia pernah kata "baru punya belum keluar lagi". Kali ini dia kata "sudah lima bulan tidak mari. Lagi pun ada 'problem' dengan dia punya 'dealer'. Saya tanya siapa itu 'dealer'? dia jawab.... Lalu saya pun sedar bahawa mungkin belum ada jodoh untuk saya menatap wajah Muslimah.

Friday, December 4, 2009

Antara Seminar dan Bengkel

HIDUP dalam persekitaran dunia akademik, istilah-istilah seperti seminar, bengkel, kursus, kolokium, viva, kertas kerja, tesis, disertasi dan seumpamanya adalah kata yang biasa didengar dan diucapkan. Sama ada terlibat sebagai peserta seminar atau penganjur seminar satu hal lain pula. Sebagai peserta seminar atau bengkel, secara peribadi, saya terlibat dalam dua jenis. Pertama, berkaitan tugas sebagai penolong pegawai sains di sebuah institusi pengajian tinggi, saya menyertai kursus yang berkaitan jawatan dan jabatan untuk meningkatkan kompetence dan perfomance. Kedua, berkaitan bidang penulisan kreatif atau sastera, saya menyertai kursus atau bengkel yang berkaitan bidang kesusasteraan yang kebanyakannya dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka selalunya dengan kerjasama Gapena atau Pena.


Keterlibatan sebagai urusetia seminar pula cuma satu, iaitu yang kerap dijalankan oleh fakulti tempat saya bertugas. Terbaharu ialah Seminar Kebangsaan mengenai Isu-isu Semasa dan Cabaran dalam Pegurusan Kualiti Alam Sekitar di Malaysia yang diadakan pada 2-3 Disember 2009 di Hotel Marriot Putrajaya. Dalam dunia seminar bak kata orang; menjadi penganjur sudah, peserta pun sudah; menjadi pembentang sahaja yang saya belum. Lalu saya mula terfikir kenapa sesekali tidak jadi pembentang?


Terima kasih Darylynn Chung Yiu Li yang tolong klik!

Keterlibatan dalam dunia seminar, bengkel dan kursus menyebabkan saya dapat membuat beberapa koleksi. Gambar sebagai kenang-kenangan menjadi nombor wahid. Diikuti pula dengan beg dan tag nama. Bonus pula kalau dapat cenderamata lain. Bagaimanapun untuk mendapatkan gambar sendiri dalam mana-mana seminar bukannya semudah disangka. Kalau ada kamera sendiri bukan mudah minta rakan klik. Kalau kamera orang bukan mudah minta imej tersebut walau berada dalam dunia digital yang boleh dihantar melalui email dsb. Contohnya gambar ramai Bengkel Penulisan Novel Sejarah di Melaka dulu, saya mohon daripada Zaid Akhtar melalui email. Gambar semasa Bicara Buku di UKM suatu ketika dulu, saya mohon bantuan Pn. Nisah Haron klikkan. Mujurlah penulis besar tsb sudi menolong penulis kerdil ini.


Dan sepanjang seminar mutakhir yang saya terlibat ini, walaupun saya penat merakam ucapan aluan pengerusi seminar, perasmian oleh Naib Canselor, ucaptama profesor dari Taiwan, dan persembahan tradisional sebagai gimik, hanya sekeping dua yang ada imej saya....

Terima kasih Dalina Jaafar yang tolong klik!