Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Thursday, May 28, 2009

Sabar dan Syukur

NOSTALGIA ini menggamit memori minggu lepas ketika terdengar ceramah Ustazah Nur Bahyah di televesyen.
Masa itu saya berumur kira-kira 15 tahun. Tinggal di sebuah kampung sejak kecil. Suatu hari saya sedang menaiki basikal dari rumah menuju ke arah simpang tiga di jalan besar. Suatu ketika saya berselisih dengan seorang budak perempuan. Saya tak ingat sama ada dia naik basikal atau jalan kaki. Tiba-tiba dia berkata "SS". Saya terkejut dan amat tersentuh. Anak siapakah budak perempuan yang saya tidak kenali itu tergamak berkata begitu? Saya tak kata apa-apa pun, hanya berpapasan!. Adakah "SS" itu bermakna syok sendiri? Sejak hari itu saya bertekad tidak akan menegur atau "mengacau" bebudak perempuan. Saya takut dikata "SS". Akibatnya saya tidak akan ada rakan perempuan kalau tidak budak perempuan itu tegur saya dulu. Malah isteri saya sekarang pun dulu dialah yang "kacau" saya dulu. Itu pun saya respons selepas tiga tahun kemudian. Minggu lepas Ustazah Nur Bahyah kata "SS" itu adalah sabar dan syukur. Baharulah saya seronok mendengarnya. Kita harus bersabar dalam menempuh ujian daripada Allah Azzawajalla. Kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya jika... kita melihat orang tak lulus SRP pun boleh pakai Mesedes sedangkan kita ada ijazah kelas pertama pun tidak punya apa-apa lalu mengeluh, maka bermakna kita tidak bersyukurlah tu. Untuk rasa bersyukur janganlah tengok ke atas. Tengoklah pula ke bawah. Tengok kesusahan orang yang membongkar tong sampah untuk mencari rezeki. Tengok orang yang menderita terperangkap dalam kancah peperangan. Tengok orang yang sedang sakit tenat di hospital. Akhirnya selepas 30 tahun barulah saya tahu makna "SS", ialah "Sabar" dan "Syukur"!

Friday, May 22, 2009

Motivasi Yang Muncul

PABILA motivasi itu muncul, maka usaha dan semangat harus digembleng sama untuk mencapai sasaran. Misalnya motivasi saya untuk menang dalam pertandingan catur yang diminati. Saya ada pilihan untuk teruskan atau lupakan dulu jika ada komitmen lain yang lebih penting. Tetapi jika motivasi itu adalah sesuatu yang terpaksa diredah, lain naratifnya. Pabila saya sudah lengkapkan borang GS14a, bayar yuran tesis RM500.00, sediakan abstrak dan isi kandungan, serta hantar ke pejabat berkenaan, maka saya tidak ada pilihan lain lagi. Inilah masa yang paling kritikal. Tiga bulan ini seharusnya saya dikuarantinkan supaya di penghujungnya tesis itu sudah siap dijilid. Mampukah? Sedangkan sejak dua tahun lepas ia tidak siap-siap disebabkan sejuta hambatan yang membuat saya hampir putus asa! Mujurlah masih ada ibu-bapa, rakan-rakan, anak-anak, dan pensyarah yang mengajar terutamanya penyelia saya yang menjadi pendorong untuk saya teruskan.... Kali ini saya mesti redah! Tiga bulan lagi saya mesti hantar tesis! Selepas itu, kalau saya gagal juga maka saya redhalah. Kalau saya berjaya syukurlah. Itulah motivasi yang baru muncul.

Wednesday, May 13, 2009

Motivasi Yang Hilang

KHABARNYA sukan staf antara universiti awam akan diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada bulan Jun 2009 ini. Kalaulah saya berpeluang mewakili UPM dalam sukan catur, tentu saya dapat berkampung di sana satu minggu. Ketika perlawanan saya akan bertemu rakan-rakan catur dari UiTM, UTHO, UKM, UTM, dll. Pada waktu lain dapat berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu.
Tetapi untuk mewakili UPM perlulah berlawan sesama sendiri terlebih dahulu untuk memililh wakil terbaik. Atas motivasi inilah saya baca beberapa buah buku catur. Antaranya 'Encyclopedia of Chess Wisdom', 'The Gruenfeld Defence', 'The Batsford Guide to Chess Openings' dan 'Chess Skills'. Seminggu lebih saya mendalaminya guna untuk menjadi antara terbaik di UPM. Malangnya sewaktu saya telefon pengurus catur UPM untuk pastikan tarikh pemilihan, beliau memaklumkan bahawa UMT sebagai tuan rumah tidak mengadakan pertandingan catur kerana tiada pasukan (baca tiada keyakinan). Akhirnya saya tutup buku catur dan simpan semula di rak buku. Saya sudah kehilangan motivasi.

Sunday, May 10, 2009

Antara Penanda dan Petanda

SEBAGAI penulis, itulah yang saya fikirkan dan rasakan. Sebagai sebuah teks, itulah kod atau penandanya. Sebagai khalayak atau pembaca, anda tafsir, tanggap, atau buatlah intepretasi sendiri apa petandanya....

Saturday, May 9, 2009

Tiba-tiba Teringatkan Zoo

...terutama tika hiruk-pikuk dan haru-biru ini. Namun Zoo amat jauh....