Mendaki

Mendaki
Usaha Tangga Jaya

Wednesday, August 21, 2019

Musang



BIASANYA saya sampai pejabat sekitar 6.50 pagi.  Suatu hari beberapa minggu lalu, sebaik sampai pejabat dengan bantuan cahaya lampu motosikal saya nampak kelibat pergerakan seperti tupai yang memanjat grill tingkap dekat pintu belakang.  Saya memang selalu mengawasi kawasan itu kerana khuatir ada ular sebab sudah dua kali terserempak ular batam tebu depan pintu itu. Saya terus ke pintu kerana apa sangatlah kalau tupai.  Namun ketika hendak buka kunci mangga, saya seperti disergah oleh binatang itu.  Bentuk badan dan ekornya seperti tupai, tapi kepalanya seperti kucing.  Bimbang ia menerkam, saya ambil keputusan masuk pejabat (bangunan makmal sebenarnya) melalui pintu sebelah hadapan.  Sempatlah saya ambil gambar guna kamera. Flash menyala pun dia tak lari.  Malah kekal tidur di situ hingga jam 6.00 petang.  Besok paginya dah tak kelihatan lagi. Kemudiannya baru saya tahu bahawa binatang itu adalah musang.  Mungkin kerana kawasan itu banyak pokok-pokok dan habitat asalnya terganggu oleh projek MRT menyebabkan ia sampai ke kawasan pejabat saya. Sekian.

Wednesday, August 14, 2019

Menuai Hasil Kebun di Pejabat


Kelapa Mawar, daun pisang, daun pandan, serai, dan lengkuas yang dituai pada 11/08/19

Cili Api Kampung yang dituai pada 13/08/19 semalam. Di belakang sana dapat dilihat  pokok Lengkuas, pokok Durian Monthong, pokok Labu dan sedikit Ulam Raja.

HARI Raya Qurban pada 11/8/19, paginya terlibat dengan program Qurban di Surau al-Hidayah berdekatan rumah. Sebagai ketua untuk lembu nombor dua daripada tujuh ekor, telah memantau kerja-kerja melapah dan memastikan semua bahagian terutama kepala dan ekor selamat sampai ke ruang kerja-kerja memotong dan pengagihan. Petang, selepas Asar, ke pejabat bersama sang isteri.  Sementara dia mengerjakan kekabu, iaitu membuang biji dan empulurnya, saya mengutip "hasil ladang", iaitu kelapa Mawar, daun pisang, daun pandan, serai, dan lengkuas. Besoknya empat biji diparut di kedai dengan upah 40sen sebiji. Semalam selepas waktu kerja kutip pula cili api kampung. Inilah antara sebab saya datang ke pejabat sebelum 7.00 pagi dan pulang ke rumah 7.00 malam.

Friday, August 2, 2019

Memancing Rohu

Dedak No. 923 yang dibungkus pada 23.11.17

Ikan Rohu seberat 1.3kg yang berjaya dinaikkan

DUA Minggu lepas, iaitu tanggal 23/7/19 selepas lebih setahun saya tidak memancing Rohu, saya teringin melakukannya.  Oleh itu saya selongkar semula peralatan memancing dan umpan-umpan yang ada. Ternyata dedak yang saya simpan sudah  lama, iaitu bertarikh 23/11/2017 maknanya umpan dedak itu sudah setahun setengah dalam beg pancing.  Namun sudah niat di hati nak memancing Rohu, saya turun juga ke Danau Pinggiran di Putrajaya.  Selain joran dan mata pancing jenis bom, iaitu sebentuk spring dengan juraian lima mata pancing bersaiz kecil.  Umpan yang disediakan ialah dedak 929 dan 923, serbuk pandan Power, minyak tebu, dan roti Gardenier. Hanya roti sahaja yang dibeli baharu.
 Rezeki pertama, iaitu Lampam 
Joran yang dipacak. Kelihatan kad pendaftaran bernombor 1, dan masa masuk 9.45pagi

Saya bercadang untuk memancing selama dua jam sahaja. Bermula jam 9.45 pagi,ikan pertama berjaya dinaikkan ialah ikan Lampan sebesar tapak tangan. Kebetulan ada lima ekor kucing sedang setia menunggu di sekeliling. Hanya seekor kucing yang kenyang. Yang lain mengiau-ngiau.  Selepas itulah baru dapat Rohu seberat 1.3kg. Padahal kolam ini telah lebih sebulan tidak dimasukkan ikan oleh tuannya. Kali ketiga joran mengena seekor Lampam yang lebih besar.  Kali ini saya mula berfikir samada nak beri kepada kucing atau bawa balik. Kalau dapat dibakar atau goreng pun sedap.  Ketika itulah Lampam terlucut dari mata pancing dan tergolek masuk ke kolam semula. Kucing melepas saya pun melepas.  Kali keempat mengena dan dapat seekor Lampam yang sama besar dengan yang ketiga tadi, saya terus beri kepada kucing tanpa berfikir panjang lagi. Genap dua jam 'release tension', saya pun daftar keluar.